Sunday 15 January 2012

Saya tidak Gentar!

Salah satu cara untuk saya menaikkan semangat adalah mengaitkan apa sahaja bentuk cabaran kehidupan dalam bolasepak. Malah dalam perkongsian motivasi saya di sekolah-sekolah pun, saya banyak mengetengahkan falsafah dan intipati perjuangan bola sepak. 

Justeru, untuk peperiksaan yang akan menjelang - saya akan menulis suatu berita seperti kisah bola sepak dalam memperikan perit jerih perjuangan saya untuk peperiksaan kali ini. 

Saya pernah menulis post yang serupa semasa menunggu keputusan IB pada tahun 2009. Boleh baca di sini.

BERITA 

Saya tidak gentar 
Shahkang arah pemain lupakan kisah jadual padat

MANCHESTER, Ahad - Penulis dan peminat haiwan, Shahkang hari ini menegaskan bahawa keputusan jadual perlawanan peperiksaan kali ini sedikit pun tidak menjejaskan semangat pasukannya. Malah, susunan perlawanan yang begitu padat dan tidak memihak kepada pasukannya itu telah membakar semangat juang mereka dengan lebih marak lagi.

"Mungkin pihak universiti menjangkakan semangat kita akan luntur apabila terpaksa bermain tiga perlawanan berturut-turut sebanyak dua kali. Ramai menjangkakan ianya sesuatu yang gila namun kami mempunyai ramai pemain muda yang mampu menggalas cabaran berkenaan." kata Shahkang ketika ditemui di Arndale

Disember lalu, kemarahan tercetus dari pihak Shahkang apabila pihak universiti meletakkan jarak perlawanan terlalu hampir iaitu pada 17, 18 dan 19 Januari dan pada 23, 24 dan 25 Januari 2012. Secara keseluruhan, pasukan Shahkang akan menentang enam subjek dalam masa hanya sembilan hari.

"Saya yakin kita punya ramai muka baru yang matang untuk menempuh keenam-enam perlawanan yang sukar itu." Ulasnya berkenaan kemasukan pemain baru, Encik Burung Merah dan Luis Saha  ke dalam pasukannya semasa tingkap perpindahan pemain September lepas.  
"Walaupun kami bermain sebagai pasukan underdog, namun saya yakin kita mampu bersaing dengan keenam-enam pasukan tersebut. Meskipun Fluids Mechanics telah menumpaskan banyak pasukan ternama musim lepas tetapi itu tidak bermakna kami perlu gentar untuk berdepan dengan mereka." kata pemain sayap kanan Shahkang, Encik Pemadam Biasa

Sementara itu, Pemain muda baru pasukan Shahkang, Encik Burung Merah turut meluahkan rasa tidak sabarnya untuk menggalas cabaran.

Encik Burung Merah (kiri) sedang menjalani latihan bersama oren-oren terpakai
"Sebelum ini saya hanya duduk di kedai menjadi barang hiasan. Kini saya diberi tanggungjawab untuk mengemudi jentera serangan Shahkang untuk perlawanan musim ini. Saya begitu teruja." Katanya yang mempunyai bulu berwarna merah dan berekor kontot (gambar).

Sementara itu, pasukan Fluids Mechanics yang baru tiba di Manchester Sabtu lepas bernekad untuk bermain bermati-matian dalam perlawanan Rabu nanti. .

"Saya yakin gabungan Navier Stoke dan Encik Turbulence di jentera serangan akan mampu menghasilkan jaringan dengan banyak. Encik LEBU yang baru pulih dari kecederaan juga akan bersama-sama kita dalam perlawanan  menentang Shahkang nanti." Ulas jurulatih Fluids Mechanics, Encik Zakaria (bukan nama sebenar)

Elak tragedi Second Year

Selain itu Shahkang turut memberi amaran kepada pemain-pemainnya untuk tidak mengulangi kesalahan semasa kejohanan Second Year tahun lepas.

"Kegagalan kita musim lalu berpunca daripada kealpaan benteng pertahanan. Kita terlalu banyak memberi gol mudah kepada pihak lawan." Tambahnya dengan ringkas sambil menceritakan semula kekalahan tipis pasukannya dengan Control Engineering, tahun lepas di mana kesilapan bek terakhir Shahkang, encik Kilometrico menghadiahkan gol mudah apabila silap melakukan clear semasa kekalutan di dalam kotak penalti.

Semangat IB Exam 2009

Ditanya sama ada pernah melalui keadaan yang serupa, dia menceritakan semula kejohanan IB Exam yang dimenanginya lebih dua tahun lalu.

"Kita pernah bermain sebanyak enam kali dalam masa dua hari sewaktu kejohanan IB 2009. Alhamdulilah kita berupaya bertahan selama 90 minit perlawanan dan menang tipis untuk kesemua perlawanan. Kita yakin pada kali ini kita akan mampu." 

Julai 2009 menyaksikan kemenangan dramatik buat pasukan Shahkang apabila gol minit akhir dijaringkan oleh Pensel Dua B yang mendapat lorongan mudah Fernando Torreh sebelum menerjah jaring IB yang dikawal oleh Encik Mathematic HL. Shahkang menang 4-3.

Perlawanan pusingan kedua Kejohanan Third Year akan berlangsung pada Mei depan manakala keputusan penuh perlawanan akan dikeluarkan pada penghujung bulan Jun - Manchester Kini.

No comments:

Post a Comment