Monday 14 April 2014

Cerpen: Kain Batik Kain Satin


Cerpen ini telah disiarkan di Mingguan Wanita, Mac 2014. Terima kasih Fahd Razy atas kiriman gambar di atas melalui FB. 

Oleh: Shahkang

LANGIT gelap telah lama beransur pergi. Simbahan tengkujuh sudah tidak bernafsu seperti hari-hari sebelum. Bayang suria tidak juga muncul menampakkan wajah. Awan-gemawan putih bercampur ambal-ambal kelabu pucat masih kekal memayungi Kampung Medan Sepakat, sebuah desa kediaman pengusaha-pengusaha bendang di negeri Jelapang Padi ini.
Afza menghampiri muka jendela. Tubuhnya longlai bagai usai seharian turun ke sawah. Tembok harapannya untuk melihat air bah surut kini runtuh. Titis hujan yang tak berhenti-henti semalam bagai pedang turun dari langit membelah perasaannya menjadi kepingan bercetai-cetai.
Begitu juga lapangan hatinya yang dahulu hijau segar saat menanti hari bersejarah ini. Hari dia dan Danial bakal disatukan dengan ikatan yang sah. Sekarang lapangan indah itu musnah sama sekali, umpama bendang pusaka tiga relung tinggalan ayah yang sudah menjadi lautan air bah berwarna coklat kekuningan.
Hari ini sepatutnya menggembirakan hati mana-mana gadis sekalipun. Penantian sekian lama bakal bertemu noktah. Dia bakal memulakan hidup baru bersama pasangan pilihan sendiri.
“Terpaksa buang menu ayam masak merah dan kurma daging. Peti ais kedai Ah Peng tak dapat berfungsi sebab elektrik kampung kita terputus. Bahan mentah dah busuk. Tak ada alternatif lain.” Penerangan Pak Long memanggang hangus tinggalan hati Afza yang sudah sedia hancur. Resah bergalau dalam dirinya.
“Habis, macam mana Pak Long?” Afza gelabah, tidak tahu bagaimana untuk bertindak. 
“Pak Long akan cuba uruskan.” Ada sinar harapan terpancar daripada anak mata Pak Long.  
Jaminan Pak Long serba sedikit melonggarkan ikatan masalah yang begitu kukuh berpaut di perdu pohon minda Afza. Tetapi, bukan sekadar itu yang menjadi mauduk kebimbangan Afza. Masih banyak kerisauan perlu ditenangkan dan timbunan masalah untuk diselesaikan.
“Bagaimana agaknya reaksi Dato’ Fadhil dan Datin Nora dengan majlis sebegini? Serba tidak lengkap! Memang tidak kelihatan seperti majlis langsung – tiada hidangan ekslusif buat rombongan pengantin, bersila atas lantai macam lagak Sadiq Segaraga dalam filem Tiga Abdul, panas akibat ketiadaan bekalan elektrik ditambah dengan angin pula tiba-tiba memilih untuk pegun. Bagaimana?” Afza meneruskan temuduga hati. Soalan demi soalan tanpa sumber jawapan meyakinkan terus bertalu-talu merempuh tiang ketabahan.
Masih terasa kemanisan bandung bersoda di rengkungnya saat menyertai rombongan resepsi perkahwinan kakak Danial setahun lalu. Majlis di pihak lelaki itu berlangsung penuh gemilang dengan hiasan karpet merah untuk laluan VIP. Hadirin duduk di meja bulat, tanpa perlu beratur mendapatkan hidangan secara bufet. Semuanya disediakan pelayan terlatih bersama susunan set kutleri yang sempurna. Majlis diserikan dengan pengacara berbayar. Tidak lupa persembahan seorang artis remaja tempatan menokok keriangan suasana. Riak wajah hadirin menjelaskan rasa suka tidak terhingga.
Afza bergerak perlahan ke arah tangga lalu menjenguk ke bawah. Ruang bawah rumah kayu itu masih kekal dinaiki air paras pinggang. Pelamin putih dengan hiasan renda merah yang ditempah khas kini bertukar rupa. Walaupun dibina sedikit tinggi, namun lantai pelamin telah terpalit dengan selut dan percikan air acar. Sampah sarap yang terapung dari arah bendang menjadikan persekitaran singgahsana raja sehari itu sebagai tempat perhentian. Bau lumpur yang begitu menusuk hidung tidak mampu dibendung, tambahan lagi parit utama kampung hanya beberapa meter daripada tangga rumah.
 Kerusi sofa mewah tempat bersanding telah menjadi tempat ayam-ayam katik dan itik-itik nila bertenggek setelah reban hanyut diranduk arus kuat. Kadar air yang meluru masuk pantas semalam menyebabkan hanya jambangan bunga ros dan bunga telur hiasan sempat diselamatkan ke bahagian atas rumah. Tidak sempat buat Afza menghubungi pemberi sewa pelamin untuk mengalihkannya ke lokasi lebih tinggi. Barangan hantaran juga tidak terjejas kerana ditempatkan di bilik tidur Afza di tingkat atas sepanjang masa.  
Majlis pernikahanku terpaksa ditangguh?
Afza lebih rela memilih cadangan drastik itu daripada memaksa Danial dan keluarganya mencemar maruah untuk menaiki sampan, berkaki ayam dengan selut di betis, berpeluh-lenjan dalam teratak kayu tidak berelektrik ini dan tidak dapat menikmati nasi jagung terkenal Kampung Medan Sepakat. Ternyata berbeza dengan anak perempuan mereka yang disambut penuh gah pihak pengantin lelaki di samping kunjungan orang-orang ternama negara, tempoh hari.
Ah, hari ini sepatutnya penuh kenangan manis, bukan?
Serta-merta wajah Dato’ Fadhil dan Datin Nora kembali menyempit-nyempit di monitor ingatan. Pentas pelamin perkahwinan anak sulung pasangan ahli perniagaan itu turut muncul. Alunan muzik tradisional daripada kumpulan kebudayaan profesional kembali singgah di gegendang telinga. Lagu tema Bahasa Inggeris dalam rakaman video hari kenduri yang dihasilkan syarikat rakaman terkemuka di ibu kota (kerana sering diupah oleh para selebriti) juga masih terperangkap dalam lohong perdengaran.    
“Kalau kahwin dengan orang bandar bukankah mudah? Buat sahaja majlis di ballroom hotel. Beginilah kalau di kampung, penuh masalah. Kau tu kerjanya jurutera cari gali. Graduan luar negara. Ramai gadis kota yang boleh kau pilih dengan sekali petik jari sahaja. Kau berkehendakkan sangat gadis dari ceruk kampung. Sudahlah jauh, pemikiran keluarganya juga pasti tidak sama dengan kita. Kau degil sangat!” Afza tidak mengerti dari mana ucapan ini hadir. Suara yang terngiang-ngiang itu saling tak tumpah suara Datin Nora menitipkan nasihat buat anak lelaki tunggalnya, Danial.
Pak Long, sudah selesaikah hal juadah kenduri?
Telefon bimbit yang kehabisan bateri setelah tenaga elektrik Kampung Medan Sepakat terputus makin membuatkan mindanya bercelaru. Selang seminit Afza akan menjenguk ke daun pintu, kalau-kalau ada kelibat Pak Long meranduk banjir atau menyusuri kawasan petak sawah yang ditenggelami air dengan sampan.
“Za, bersiap-siaplah. Tok Kadi akan tiba setengah jam lagi.” Ibunya muncul dari arah dapur yang turut ditenggelami air paras lutut.
“Apa yang nak disiapkan mak? Baju pengantin tak dapat diambil dari butik di pekan. Baju kurung Za ada di bawah. Semua dah kena rendam selut! Dah masam!” Afza merajuk sambil melempar pandangan sayu jauh daripada muka ibunya.
Ibu Afza tidak membalas, begitu faham kedudukan emosi anak dara tunggalnya itu pada ketika ini. Dia menghulurkan kain batik dan baju kurung Kedah miliknya. Afza mengerutkan dahi serta-merta.
“Mak mahu Za pakai kain batik waktu akad nikah? Baju Kedah?” Afza memberontak. Ini bukan zaman Jeffydin mahu pun R Azmi. Dia bakal ditertawakan sahabat handai, apatah lagi jika gambarnya berpakaian klasik itu disebarkan rakan-rakan di media sosial. Pastinya akan menjadi lawak tahunan untuk diingati selama-lamanya.
“Habis, nak bernikah dengan baju tu?” Ibunya tersengih sambil menunjuk baju T lusuh lengan pendek yang sedang dipakai Afza. Afza memanjangkan bibir ke hadapan sambil menyambut pemberian ibunya. Dia terpaksa akur dengan arahan wanita kesayangannya itu.  
Afza berserah kepada takdir saat keadaan begitu menjerut perasaan. Setelah usaha dilakukan dengan sedaya mungkin, tawakal adalah jalan terakhir. Dia percaya, apa jua insiden dalam hidup pasti Allah sisipkan bersama gunung hikmah untuk diterokai. Jika bukan hari ini hikmah itu ditemui, pastinya di lain waktu. Atau hikmah tersebut tidak ditujukan buatnya tapi kepada orang-orang tersayang. Afza cuba meneguhkan pancang-pancang positif dalam diri.
“Tok Kadi dah sampai!” Satu suara memekik dari halaman rumah.
“Rombongan pengantin lelaki pun dah sampai!” Suara lain menambah.
Beberapa buah sampan yongyat menuju ke tangga rumah. Warna merah isi delima sebagai tema menghiasi dulang-dulang hantaran pihak lelaki.
Masanya sudah tiba. Kuatkan semangat, Afza. 
Afza bersimpuh di pojok ruang tamu, berkain batik dan berbaju kurung Kedah hasil cadangan ibu. Mujur ada tudung bawal bermanik yang bersesuaian dengan warna hijau polos. Sanak saudara mula memenuhi kawasan berlantai kayu itu. Rombongan pengantin lelaki dan kadi sedang dialu-alukan kedatangan oleh Pak Long.
Ruang tamu rumah yang tadi hanya menjadi tempat Afza mengelamun kini dipenuhi sanak saudara kedua-dua belah pihak. Majlis dimulakan oleh kadi dengan tazkirah ringkas buat pedoman hadirin.
Dia tidak sanggup mengangkat muka untuk memerhati reaksi Dato’ Fadhil dan Datin Nora. Lebih tidak sanggup untuk dia melihat air muka kedua-duanya apabila diberitahu juadah hari ini tidak dapat disediakan seperti kenduri-kenduri kahwin lain.
Apakah ini majlis perkahwinan paling hambar pernah dihadiri keluarga Dato’Fadhil?
Dengan sekali lafaz, dia kini halal buat Danial. Dia merafakkan syukur pernikahan tidak ditangguh dek bencana banjir. Namun gusar tetap bergelumang di atmanya dalam menebak penerimaan Dato’ Fadhil dan Datin Nora.
Pak Long mengarahkan bahagian tengah ruang tamu dikosongkan. Para tetamu duduk dalam bulatan besar dengan pengantin diapit orang tua masing-masing. Kain alas dihamparkan di atas lantai kayu. Satu per satu pinggan dan bekas plastik berisi hidangan dibawa dari arah dapur.
Mata Afza tidak berkesip seketika melihat tindakan sanak saudaranya. Puluhan pinggan berisi rencaman lauk pauk kini memenuhi kawasan tengah ruang tamu yang sudah berlapik itu.  
 “Mana datangnya makanan sebanyak ini?” Afza berbisik kepada ibunya di sebelah. Sejak dua hari lepas, dia dan ibu hanya menanak nasi menggunakan dapur kayu dan makan bersama ikan kering. Pengangkutan terhad ketika banjir menyebabkan bekalan makanan terputus.
“Ikan puyu dan keli banyak yang sesat waktu banjir begini. Mudah ditangkap. Orang-orang kampung masak beramai-ramai di pusat lindungan banjir tadi. Ada juga penduduk yang tak kena banjir hantar pucuk paku masak manis, kerabu mangga dan sup bayam. Mak Ngah kau yang buat puding jagung tu. Mak Su buat serawa pisang. Cukuplah untuk tampung hadirin hari ini.” Ibu Afza menerangkan satu demi satu asal usul menu hari ini. Afza kini mengerti mengapa terdapat lauk pelbagai jenis tapi dalam kuantiti yang sedikit.
Ekor mata Afza tidak terlepas menjeling Dato’ Fadhil dan Datin Nora. Mereka begitu asyik menikmati hidangan dalam pinggan masing-masing. Bahkan Dato’ Fadhil tidak segan silu menambah apabila dihulurkan bekas berisi ikan puyu goreng. Datin Nora berulang kali mencedok air asam sebagai penambah rasa hidangan. Mereka sungguh berselera.
“Mama, abah, maafkan Afza. Segala persiapan terganggu akibat banjir luar jangkaan. Tak pernah kampung kami dilanda banjir seteruk ini.” Afza meluahkan isi benak ketika rombongan keluarga mertuanya mahu beredar meninggalkan majlis. Dia sudah tidak mampu mengempang bening yang lama bergenang di juring mata.
Datin Nora menyapu air jernih yang meluncur deras di pipi berlesung pipit Afza dengan tisu. Dato’ Fadhil menggeleng-geleng kepala, tidak dapat menerima permohonan maaf Afza.
“Tak perlu cakap begitu. Majlis sederhana dalam keadaan bencana begini lebih membuatkan pengantin sedar bahawa alam rumah tangga penuh dengan liku cabaran. Bernikah dalam keadaan penuh megah kadang-kala membuatkan kita lupa hakikat perkahwinan bukan untuk bersuka-suka tanpa sebarang tanggungjawab. Bersyukurlah Allah memberi peluang kamu bernikah dalam keadaan begini. Penuh hikmah dan kenangan.” Dato’ Fadhil bersyarah panjang.
Tubir mata Afza tidak tiris lagi. Matanya tetap juga merah. Ternyata selama ini rantai-rantai syaitan telah mengikatnya agar terus bersangka buruk terhadap keluarga Dato’ Fadhil. Dia cepat membuat andaian berdasarkan tipikal keluarga orang kaya yang selalu dipaparkan dalam drama-drama televisyen. Ternyata, kaedah andaiannya itu tidak tepat. Keluarga Dato’ Fadhil mempunyai kesederhanaan tersendiri walaupun peniagaan keluarga mereka dikenali dalam dan luar negara.
“Buat apa kalau sambutan perkahwinan besar-besaran, penuh dengan kemegahan material dan populariti tapi ikatan cinta tak berkekalan, tak begitu?” Dato’ Fadhil tersenyum kecil, melirik anak mata ke arah Datin Nora sebelum melangkah masuk ke perut sampan yang dikemudi Pak Long.
Afza cuba meneka maksud kata-kata terakhir Dato’ Fadhil. Lantas dia terhimbau kata-kata Danial dalam perbualan telefon dua bulan lepas:
“Kak Long turun naik mahkamah syariah sekarang. Suaminya minta cerai dan mungkin ada kaitan dengan status perniagaan keluarga kami yang kian merosot. Susah juga kalau berkahwin dengan ahli keluarga kami semata-mata mahu mengejar harta. Waktu kahwin dahulu tak menang tangan melayan kami. Haih, entahlah. Macam-macam perangai manusia!” 
Afza mengamati kain batik saksi pernikahannya. Dia terbayangkan kain satin putih yang menjadi seri kakak iparnya setahun lalu, di majlis gemilang pihak lelaki dengan ditemani lapan orang pengapit perempuan berpakaian sedondon.
“Kesederhanaan mengajar erti perkahwinan sebenar.” Isi pertuturan Dato’ Fadhil mendap perlahan-lahan di tanah ingatan Afza.
Hari ini bukan sahaja membahagiakan, malah memberi pedoman bermakna buatku dan Danial memulakan kehidupan sebagai suami dan isteri. Afza mendesis sendiri. 
Memang benar. Setiap ujian ada hikmahnya!