Tuesday 16 June 2015

Lima (5) Kelebihan Berpuasa di Luar Negara

Susah sungguh aku nak update blog. Setiap kali bersemangat setiap kali itulah aku akan cuba berehat 5 minit di atas katil, bangun-bangun dan Subuh kemudian mengantuk tak boleh menulis - bila dah siang ditemani minuman pagi dah kena buat kerja Phd semula. Inilah gejala tidak sihat seorang penulis yang sentiasa mencari alasan untuk tak menulis dan akhirnya melingkup di Facebook.

Aku baru beli biskut Fox perisa mint ada gambar panda, dan itu juga menganggu proses penulisan ini.

Anyway.

Tidak dinafikan bahawa bulan Ramadan akan membuatkan percikan rindu pada keluarga dan tanah air akan bertambah. Sebabnya bulan ini mengundang nostalgia bersama keluarga. Dari sirap selasih ais buatan ibu sehinggalah kepada kenangan duduk semeja bersama keluarga untuk sahur, semuanya terhimpun bersama menghasilkan ombak-ombak rindu nan menghempas pantai cinta dan batu-batu ketabahan.

Macam cerpen dah bunga-bunga ayat ni.

Tapi kejap, apakah benar puasa di luar negara ni selalunya tak seronok?

Jawapannya, tak semestinya. 

Maka dalam blog ini aku akan cuba tulis kelebihan berpuasa di luar negara, versi aku.

(Sebelum baca ada maklumat penting di sini: Keadaan 'luar negara' yang ditulis dalam blog ini adalah berdasarkan kehidupan penulis di Manchester (negara majoriti bukan Islam). Tentunya di tempat lain keadaannya berbeza tapi tak mustahil ada juga keadaan yang sama. Tajuk 'luar negara' untuk post ini adalah bertujuan memancing pembaca keh keh jangan marah abang memang gila like)


1. Tiada godaan makanan

Pernahkan anda terfikir kenapa gejala membazir sewaktu bazar Ramadan di Malaysia sering berlaku? Kadang-kala bukanlah sebab kita nak makan sangat, tapi lebih kepada 'kewujudan' makanan tersebut sekeliling kita. Kalau kita tinggal di tengah hutan dan yang ada hanyalah sebungkus roti Gardenia (tanpa jem), tentunya kita tak akan merengek dan mahu demand makanan 'eksotik' serupa roti John atau nasi kerabu solok lada. Kita tetap berasa kenyang dengan menelan roti Gardenia kosong.

Pada pendapat aku, orang kalut nak beli makanan di bazar Ramadan sebab perkara berikut:

  • Sebab nanti waktu malam gerai dah tutup. Maka kalau tiba-tiba teringin nak makan kuih tepung talam, kena tunggu pasar Ramadan esok
  • Yang dah lama di perantauan, rasa nak beli semua makanan di pasar Ramadan sekali-sekali dengan makcik jual kuih pun nak dibeli adalah sebab lama tak berjumpa makanan Malaysia. Jadi bukan isu lapar puasa sangat, lebih kepada isu 'Eh lama lah tak rasa makanan A makanan B makanan C! Belilah!'

Di Manchester, tiada pasar Ramadan. Tiada kelibat Wayne Rooney datang ke pasar Ramadan membeli taufufa gula merah. Di sini makanan hanya dibeli dari kedai-kedai makanan halal seperti Jazeera dan Moonlight - semuanya ini dibuka sampai lewat malam. Jadi tak perlu kalut-kalut membeli sebelum berbuka kerana kalau lapar malam-malam nanti (lepas tarawih contohnya), baru beli. Tak perlu nak beli segunung-sebukit sebelum berbuka. Hal ini mengurangkan pembaziran makanan.

(Di Manchester sebenarnya, ada juga pasar Ramadan orang Malaysia buat - tapi hanya sekali sepanjang bulan Ramadan)

Di kebanyakan negara bukan Islam, sumber makanan hari-hari adalah dari supermarket. Contohnya kalau di kawasan kurang orang Islam di UK, makanan rapu selalu dibeli di Sainsbury/Morrison - pasaraya ini dibuka sampai jam 11 atau 12 tengah malam (ikut tempat). Snek yang dibeli selalu dalam bentuk yang boleh disimpan dalam peti sejuk (yogurt, biskut wafer). Maka tak cepat basi.

Tiada godaan-godaan makanan sekeliling menyebabkan dosa kerana membazir makanan akan berkurangan. InsyaAllah. 


2. Waktu lebih lama untuk beribadat

Tentunya kalau sebut puasa di Manchester, semua tarik muka cakap ah lamanya berpuasa (sampai ada yang balik awal ke Malaysia sebab nak lari dari berpuasa di sini hoho)! 19 jam? Tak sanggup! Tak dapat nak bayangkan betapa jarum jam akan merangkak-rangkak untuk sampai jam 9.30 malam.

Tapi..

Waktu lama berpuasa membolehkan kita memanfaatkan kelebihan orang berpuasa. Boleh rujuk laman web sahabat saya ini (bekas SU MCOT Manchester - Zol Helmi/Seman), insyaAllah beliau menulis dengan berdasarkan sumber yang boleh dipercayai.

https://zolhelmimdzuki.wordpress.com/2013/07/08/kelebihan-puasa-pada-musim-panas/

Antara kelebihan yang beliau tulis:
  • Waktu lebih panjang untuk doa mustajab
  • Terhindar dari perkara-perkara melalaikan
  • Kegembiraan sewaktu berbuka 
  • Keampunan dari Allah
  • Waktu malam yang pendek (jadi kita lebih akan lebih menghargai sebab waktu pendek dan kita tergerak untuk memanfaatkannya)


3. Jom ke masjid!

Ramadan 2014 - saya berbuka masa 27 kali di masjid dan 3 kali di rumah orang (dijemput). 27 kali di masjid itu adalah di 7 masjid berlainan. Tak masak langsung hoho.

Yang seronoknya berbuka di masjid ni adalah:

  1. Dapat terus bersolat jemaah Maghrib. Jadi tak la rasa berat perut nak mengangkat dari rumah untuk ke masjid sesudah berbuka untuk solat Maghrib. 
  2. Makanan di masjid sedap dan banyak. Semasa di Islamik Akademi Manchester, orang masjid tahu saya tinggal seorang (di hostel) - jadi seorang pakcik ni selalu tunggu saya habis solat sunat untuk tawarkan makanan (beriani kambing!) untuk dibawa pulang. Sejujurnya dah kenyang dan teringin nak makan benda lain untuk sahur, tapi bila fikirkan ini dah macam kewajipan untuk tolong habiskan makanan, kalau tak - membazir. 
  3. Berbuka di masjid mendidik untuk bersifat sederhana dan 'terima saja apa yang ada'. Tak semua masjid makanannya mewah. Ada hari makan sedap, ada hari makan tak sedap. Jadi mind set sewaktu melangkah ke masjid berbuka adalah - "Apa ada hari ni, bantai saja! Kalau jemaah tetiba ramai dan makanan sikit, kita kongsi sorang sikit". Pernah saya ke satu masjid yang selalu hidang nasi beriani tapi hari tu roti cicah kari - jadi makan saja. Tak perlu gedik nak ayam percik lah, agar-agar merah dan sebagainya. 
  4. Peluang berkhidmat untuk masjid/komuniti. Hadir ke masjid dapat bertemu ramai rakan Islam dari negara lain. Dapat sama-sama bentang plastik, tolong hidang makanan - insyaAllah Allah kurniakan kegembiraan di hati kita yang menjamu orang untuk berbuka. 
  5. Sambil tunggu boleh berbuka buat amalan lain. Kalau di rumah tentunya lepak golek atas katil. Kalau di Malaysia, tengok drama di TV atau Istana Takeshi (ini zaman dulu punya la!). Tapi di masjid, insyaAllah boleh fokus baca al-Quran, berdoa dan sebagainya. 
Kepada yang wanita, ada masjid di Manchester yang buat buka puasa untuk wanita (Victoria). Bolehlah pergi dan cuba merasai sendiri kelebihan-kelebihan yang saya sebutkan di atas. 

Di negara bukan Islam lain, kalau yang ada masjid berdekatan tu bolehlah cuba. 

Ya tau tau, tak perlu komen "Hang dok Manchester bolehlah banyak masjid!". Jangan emo plsss. 


Tolong cedok nasi untuk jemaah masjid Pakistan. Majlis berbuka pada hari ini adalah sponsor rakyat Malaysia (kami kumpul duit seorang GBP 10, belanja untuk berbuka di masjid ini adalah GBP 150 untuk 50-60 orang makan)


Makanan dah siap dihidang, tunggu orang sampai saja la - kenangan Islamik Akademi Manchester yang sekarang sudah ditutup dan bakal diruntuhkan



Walaupun dah kenyang terpaksa ambil makanan lebih, untuk elakkan pembaziran. Biarlah bosan buka puasa dan sahur makan benda sama (beriani kambing) - yang lebih utama adalah jangan membazir!




4. Semangat muhibah komuniti Malaysia

Bila di Malaysia, masing-masing ada keluarga. Tapi di luar negara, kawan-kawan Malaysia sekeliling ibarat keluarga sendiri. Maka sewaktu puasa (dan raya), keakraban silaturahim akan bertambah. Akan ada bertukar juadah, jemputan berbuka di rumah dan sebagainya.

Di Manchester, waktu puasa ni tak ramai student sebab ramai balik bercuti maka yang mana tinggal di Manchester akan lebih akrab sesama sendiri. Ada juga program tadarus dan sebagainya.


Majlis berbuka puasa/khatam Quran rakyat Malaysia di pejabat EM Manchester


5. Mengurangkan pembaziran wang

Sebab buka puasa banyak di masjid atau masak sendiri, maka tak lah membazir sangat nak beli banyak makanan di bazar atau bergedik-gedik buka puasa di hotel (walaupun tahu diri tu miskin). Tambahan kalau di UK, masak sendiri sangatlah menjimatkan.


Hari-hari makan makanan Pakistan atau Arab pun tak jemu. 



Kesimpulannya

  • Di luar negara dan di Malaysia - kedua-duanya adalah kelebihan berpuasa tersendiri. Setiap tempat ada kekurangan dan kelebihan (ini kesimpulan paling klise tapi tetap nak kena tulis). 
  • Paling penting adalah untuk tidak cemburu dengan orang-orang di Malaysia (satgi depa upload gambaq buka puasa confirm pakat meroyan ahaha). Sebaliknya hendaklah kita cari kelebihan yang kita ada di bumi orang. InsyaAllah ada, cuma kita kena cari dan hayati. 
  • Sepanjang berpuasa di UK, alhamdulilah lebih banyak kegembiraan berbanding rasa kedukaan (tak tahan puasa, rindu keluarga dan sebagainya). Hidup rasa bersemangat dan waktu untuk buat kerja lebih lama sebab tak perlu fikir soal makan pagi dan tengah hari. 
  • Walaupun post di atas ditulis berdasarkan kehidupan penulis di Manchester, tapi tidak mustahil untuk kelebihan yang disebutkan di atas untuk dirasai orang lain di serata dunia. 

Ramadan di negara majoriti orang bukan Islam ada kalanya lebih meriah berbanding puasa di negara orang majoriti Islam. 

Selamat menyambut bulan Ramadan, semoga amalan kita diterimaNya

(InsyaAllah lepas ni akan tulis kelebihan beraya di luar negara.)


Ini gambar takbir raya dari rumah ke rumah tahun lepas di Manchester. Saja letak haha.