Sunday 9 December 2012

Cerpen: Pulut Serunding Buat Nazihah

Cerpen ini disiarkan di Berita Minggu, 4 Disember 2012. 

BUTIR-BUTIR manik jernih meluncur di kedua-dua belah pipinya. Tikaman cahaya suria mengunjungi bumi Manchester saat musim panas melepasi angka 20 darjah Celcius menzahirkan lagi garis basah di wajahnya yang dilitupi kemas oleh selendang pashmina buatan Turki. Awan bergerak gontai seakan-akan memahami jiwanya yang berkubang dengan rencaman kerisauan dan kebingungan.

Nazihah menyeranggung di kawasan berumput hadapan Whitworth Hall, lokasi majlis graduasi para pelajar University of Manchester. Di sekelilingnya teman sekelas kecoh taru dengan membaling topi graduasi dan galak ketawa sambil bergambar dengan kenalan dan keluarga.


“Zihah, aku tiada di Manchester sampai Ahad depan. Ke Edinburgh dan Inverness bersama keluargaku.” Rusaliha, teman serumah menjelaskan perancangan. Bunga senyuman mekar pada wajah bulat Rusaliha yang didandani selendang satin jingga. Nazihah sekadar mengangguk sambil berusaha menyembunyikan tampang kelat.

“Mengapa aku begitu kejam?” Rangkaian persoalan menyebu panti akal Nazihah. Sorotan katanya bernada tinggi tidak berhenti bergema di lohong pendengaran, menyiat saraf pendengaran menjadi daging bercetai-cetai. Sakit, benar-benar sakit dengan sikapnya sendiri!

“Tak perlulah, mak. Bukannya penting pun!” Masih belum lekang ayat sendiri di dinding ingatan. Nazihah berusaha mencagak pendirian. Di hujung talian, senyap menyelubungi, seolah-olah memberi laluan buat Nazihah memanahkan kata-kata dengan busur emosi.

“Tapi..” Suara ibu Nazihah mendatar lalu tersekat, ada sesuatu yang menyepit pita di kerongkong. Cuak bagai seorang tertuduh berbicara di hadapan hakim dan pendakwa raya.

“Tak usahlah, mak!” Suara Nazihah semakin melengking tinggi. Dia sedaya upaya mengawal pertuturan agar tidak menyakiti hati sesiapa. Namun, pendiriannya tetap utuh. Datanglah badai sekuat angin yang melanda pantai barat England ketika musim panas sekalipun, tidak akan sesekali berubah - ibu dan ayah tidak perlu menggagahkan kudrat tua untuk menghadiri majlis graduasi di Manchester.

Telefon pintar berteknologi kaca sentuh dihempas ke duvet sesudah panggilan ditamatkan. Nazihah menghembus nafas panjang. Nubari meracau, dicucuk-cucuk oleh hasrat kedua-dua orang tuanya.

“Perlukah sampai nak menjual lembu kambing dan tanah sekangkang kera arwah Pak Long untuk ke sini? Bukankah lebih baik gunakan untuk biayai Adik Chik di kolej swasta?”

Buat apa menghabiskan dekat puluhan ribu Ringgit hanya untuk suatu majlis penyerahan scroll yang ringkas? Bukannya lama, cuma sekitar satu jam. Pesta graduasi di Manchester tidak semeriah pesta konvokesyen di universiti-universiti Malaysia. Tiada apa yang istimewa melainkan detik sepantas mengunyah sebiji buah Melaka. Nazihah terus mencari logika di sebalik tembok pendirian.

Manchester bukan Alor Setar mahu pun Kangar. Apatah lagi mahu menyamai pekan nelayan Sungai Berembang. Di sini tidak ada ruang habuan bercucuk tanam kalau dilanda kebosanan. Bukannya boleh bermotosikal tanpa helmet menyaksikan nelayan pulang waktu petang. Tambahan untuk tinggal di rumah pelajar undergraduate di kotaraya Manchester, bukan ada apa-apa kemewahan melainkan ruang cukup-cukup untuk hidup.

Nazihah terbayangkan keadaan ibu dan ayahnya ketika pertama kali dibawa ke rumah Abang Long di Kuala Lumpur. Tidak senang duduk. Berdiri juga serba tidak kena. Di Malaysia pun terkebil-kebil jadinya apatah lagi mahu bersempit-sempit di bilik berlantai sejuk di daerah sibuk Rusholme ini?

Perjalanan juga bukan sekejap. Kalau menaiki penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke London menelan masa lebih 12 jam. Kalau memilih untuk transit di tanah Arab seperti Doha dan Dubai akan menjadi lebih lama malahan kadang-kala lebih sehari. Lutut mak belum pulih sepenuhnya selepas pembedahan, bukannya boleh duduk berjam-jam. Ayah pula kerap ke tandas dek penyakit kencing manis.

Nazihah larut dalam pencarian terhadap kemungkinan yang bakal berlaku. Kekalutan ibu dan ayah untuk menyesuaikan diri di bumi Inggeris dihitung satu per satu. Bukankah memerah tenaga mahu ke Manchester sesuatu yang menyusahkan buat mereka?

“Tapi Zihah, mak dan ayah benar-benar mahu hadir ke majlis graduasi kau. Bukan senang nak melihat anak desa sepertimu merangkul gelajar first class honour, terutama untuk bidang bukan calang-calang seperti fizik.” Abang Teh mengemukakan pandangan.

Nazihah malas berbicara. Sekadar berkata tidak berulang kali lantas membuatkan hujah abangnya mati modar dipancung bilah-bilah kata yang cukup tajam.

“Ini Nurul Nazihah, pelajar tahun ketiga Fizik di Manchester? Saya Encik Khairul pegawai jabatan kebajikan pelajar Malaysia di London.” Panggilan mengejut Encik Khairul lewat malam semalam masih menghantui, menyusup-nyusup di lohong perdengaran lalu terus mencanak naik sampai ke otak.

“Be..Betulkah Encik Khairul?” Seluruh tubuh Nazihah menggeletar tanpa disuruh.

“Awak tak perlu bergegas ke mari. Tiada gunanya. Kami di London akan bantu apa yang boleh. Cuma saya nak minta jangan matikan telefon bimbit kalau-kalau ada panggilan daripada jabatan imigresen Heathrow untuk sebarang siasatan.”

Detak jantung Nazihah bagai direnggut voltan elektrik berkuasa tinggi mendengar perkhabaran dari Encik Khairul. Ibu dan ayah ditahan di lapangan terbang antarabangsa Heahtrow! Lebih menokok kesangsian, Encik Khairul sendiri masih belum pasti punca penahanan.


Berdudu-dudu air persoalan membanjiri kamar akalnya. Ibu dan ayah tetap hadir ke sini? Agaknya mereka cuba berurusan dengan anak angkat Pak Long yang menetap di Reading.

Kelepir jari-jemarinya kian ketara. Monitor ingatan memancarkan semula adegan dalam Nothing To Declare, satu rancangan televisyen memperikan kisah benar penumpang-penumbang ditahan di lapangan terbang sekitar England untuk siasatan pelbagai kes. Soalan pegawai sememangnya bertali-arus. Bolehkah ibu dan ayah menjawab? Bahasa Inggeris pelat Malaysia pun sukar difahami apatah lagi dengan pelat British. Bagaimana pula kalau tiba waktu ibu menelan ubat darah tinggi? Bagaimana kalau ayah lemah kerana kandungan glukosa dalam badan rendah? Tahukah mereka berkomunikasi meminta itu ini?

Bagaimana pula kalau…? Ya Allah!

“Zihah, boleh tolong ambilkan gambar?” Imbasan layar kenangan Nazihah menyirna. Nazihah melangut. Nabiha – gadis genit dari Kuala Lipis yang juga teman serumah terpacak di hadapan sambil tangan menghulurkan kamera digital. Berkalutan Nazihah menyeka bening yang bergenang di tubir mata. Garis basah turut lekas direlas bagi menghilangkan bukti. Dia tidak mahu sesiapa pun tahu kesengsaraannya, terutama di hari penuh bersejarah buat para graduan fizik di sebuah universiti tersohor United Kingdom ini.

Nabiha mengalih kerusi roda ibunya, menghala ke arah Nazihah yang sudah bersedia dengan kamera. Nabiha memimpin pula ayahnya yang bertongkat perlahan-lahan dan cermat, mengambil tempat dalam satu barisan mengiring. Bangunan Whitworth Hall berusia lebih 110 tahun gah berdiri menjadi latar belakang ditemani langit lazuardi musim panas.

 “Ibu dan ayah teringin benar nak lihat kau di atas pentas mahsyur itu!” Wajah berjambang Abang Teh kembali berkunjung ke lawang minda Nazihah. Bayangan kerusi roda dan tongkat kedua-dua orang tua Nabiha saling bertukar ganti menjadi tetamu ruang fikiran.

Nazihah memanggung kepala. Kawasan persekitaran Whitworth Hall sebagai lokasi graduasi sudah pun lengang. Nabiha sekeluarga lenyap dari pandangan. Mungkin sedang menikmati makanan Afghanistan yang terkenal di Curry Mile. Atau menaiki bas 20 minit untuk melawat ke stadium Old Trafford, gelanggang pasukan handalan dunia Manchester United. Atau bersiap-siap menaiki tren ke London sebelum menukar kepada tren laju ke Paris di seberang laut. Nazihah sekadar meneka. Tidak ada apa boleh menghiburkan keluarga selain menghabiskan masa bersama untuk melancong. Inilah waktunya. Jika selepas ini dia melangkah pulang dan bekerja sebagai seorang saintis di ibu kota, mana mungkin punya masa terluang seperti hidup seorang pelajar.

Lebih mustahak, kebanggaan dan kepuasan hati melihat anak kesayangan menggapai kejayaan di tanah asing.

Oh, mengapalah aku begitu tidak memahami!


Telefon bimbit Encik Khairul dihubungi berkali-kali – tidak dijawab. Adakah ibu dan ayah dihantar pulang ke Malaysia oleh pihak imigresen Heathrow? Atau ditahan di sel sementara sebelum proses pembebasan. Sihat atau sebaliknya? Ah! Selirat di akar kewarasan makin bertambah.

Hanya deraman enjin bas yang beroperasi di Oxford Road menemani keheningan suasana. Nazihah mengungsi sekujur tubuh longlainya ke masjid universiti di bangunan Mcdougall. Dia mahu mengasingkan diri untuk mententeramkan gejolak perasaan. Telefon bimbit dikerling selang beberapa saat – menanti apa jua berita terkini daripada Encik Khairul meskipun dia sudah menukar profil telefon kepada ‘loud’.

Hon membingitkan telinga secara tiba-tiba menyergah. Nazihah mengalih pandangan 180 darjah. Sebuah jip hitam berhenti sepuluh meter di belakang dengan logo jata kebangsaan bersebelahan nombor plat. Encik Khairul muncul dari pintu pemandu, sedikit tersengih. Nazihah membeliakkan mata, terpempan yang amat tatkala melihat dua wajah pikun dikenali keluar dari pintu belakang kenderaan.

Naziha menonong pantas ke arah ibu dan ayahnya. Dirangkul kedua-dua tubuh berjaket tebal itu sepuas-puasnya. Cecair bening menuruni pipinya dengan lebih laju. Dikucup tangan mereka selama mungkin, membiarkan bening keinsafan membasahi tangan yang telah membesarkannya selama 24 tahun. Ucapan maaf tidak putus-putus dilafazkan.

“Maafkan mak juga, Zihah. Tak kesampaian kau nak makan pulut serunding daging dari kampung.”

Rasa lega Nazihah berbancuhan dengan keliru.



“Tadi mereka ditahan di Heathrow kerana membawa bahan berunsurkan daging. Biasalah kastam di situ memang tegas. Tapi disebabkan tak boleh cakap Bahasa Inggeris maka dihubunginya kami di kedutaan untuk membantu. Alhamdulilah tak ada apa-apa cuma serunding tersebut terpaksa dirampas. Saya pula kebetulan ada hal dengan persatuan pelajar di Leeds, jadi terus singgah di sini. Nabiha yang beritahu kamu ada di kawasan universiti.” Encik Khairul mengulas panjang.

Mata Nazihah bertambah kemerahan-merahan. Air matanya begitu tunak mengalir seakan-akan tiada penamat.

“Maafkan mak, Zihah.” Kesayuan semakin hebat menyelar perasaan Nazihah.

Sumber gambar