Tuesday 13 October 2015

Cerpen: Kahwinlah Cikgu


Cerpen ini telah disiarkan di majalah Mingguan Wanita keluaran 25 September - 1 Oktober 2015.

Terima kasih kepada Cikgu Helmi Ahmad atas kiriman gambar di atas. 

“KAHWINLAH, cikgu. Umur tu bukan makin menurun.”

Adeeb Azif melemparkan mata kail bertali tangsi ke muka tali air, perlahan-lahan umpan anak tebuan tenggelam lalu hilang dari pandangan. Dia melabuhkan punggung atas kerusi plastik genit sambil memeriksa umpan sekali-sekala, khuatir disambar puyu atau haruan tanpa dia sempat bertindak. 
Aktiviti luar seperti memancing sedikit sebanyak meleraikan keletihan menguruskan kelas tambahan pelajar tingkatan lima. Awal pagi dimulakan dengan Matematik Tambahan. Usai makan tengah hari, kelas ulang kaji subjek Fizik pula mengisi jadual rehat pada hujung minggu. Malam nanti sesudah Isyak, dia akan bertemu calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di balai raya kampung untuk menerangkan hal-hal permohonan biasiswa kerajaan untuk ke peringtkat matrikulasi dan pra-universiti. 

“Kalau ada orang rumah bukankah senang? Tak pening kepala fikir siapa nak siang puyu dan haruan tu. Ada orang tolong masak gulai masak lemak atau paling tidak pun goreng kunyit.” Muncung Pakcik Zakaria mengarah ke arah baldi merah bertutupkan tudung periuk yang mengandungi hasil tangkapan petang ini.

“Ada-ada sajalah Pak Ya ni.” Adeeb ketawa kecil. Bukanlah hidupnya terlalu sempit sehingga harus mengail untuk mengisi setiap waktu makan. Dia sudah tidak betah dengan gurauan sedemikian. Buat jejaka yang kian menjengah ke umur lewat 20-an, usikan seputar hal perkahwinan adalah lumrah. Bukan salah Pakcik Zakaria. Sememangnya buat masyarakat Melayu, umur lingkungan 20-an atau lebih tepat lagi 25 tahun ke atas tidak akan terlepas dari gurauan isu berkaitan perkahwinan.

“Bukannya apa, baya-baya cikgu ni banyak dah berumahtangga. Macam Cikgu Razalini. Eh, apa khabar dia di Kuala Lumpur sekarang, ya?”

“Entah. Dah lama kami tak berhubung.” Perasaan Adeeb bertukar dingin kala mendengar nama bekas teman serumahnya itu. Razalini. Sama-sama lulus dari universiti luar negara dan maktab guru tempatan, mereka ditakdirkan mendapat tugasan pertama sebagai guru tetap di daerah pedalaman, tepatnya di kampung ini – Kampung Medan Sepakat.

Nama Razalini membuatkan fikirannya melayang-layang, berkelintar di celah-celah batas pemisah petak bendang. Lalu fikiran itu berhenti di pintu pagar sekolah tempat dia mencurahkan bakti: SMK Kampung Medan Sepakat, satu-satunya sekolah menengah untuk anak-anak di desa tidak ternama ini. Di sinilah banyak memori bersama terpahat, juga saksi kata-kata Razalini yang kini tenggelam dalam lautan kenangan.

Tentunya hujung minggu Razalini tidak seperti dahulu. Hujung minggu di Kuala Lumpur mustahil bertemankan bau lumpur bendang, gigitan nyamuk hutan dan matahari rembang yang menemani keseronokan mengail puyu. Kuala Lumpur menawarkan puluhan kompleks beli belah, panggung wayang dan restoran mahal. Tentunya kehidupan di Kuala Lumpur lebih menggamit minat sesiapa jua jika hendak dibandingkan dengan Kampung Medan Sepakat yang hanya ada kedai runcit Han Wei dan sebuah gelanggang sepak takraw ini.

“Cikgu!”

Adeeb tersentak dari lamunan. Tali pancingnya telah digetus sesuatu kurang dua saat yang lalu. Cekatan dia merentap batang kail rotan yang dipegangnya. Kelekaan mengakibatkan umpan disambar ikan tanpa sempat dia bertindak. Dia mengeluh kecil, bukan rezekinya kali ini.

“Itulah cikgu, banyak berangan sangat. Terlepas lagi.” Pakcik Zakaria sekadar menggeleng.

Adeeb tersenyum hambar.

“Macam itu juga jodoh, kalau lambat bertindak nanti melepas.” Pakcik Zakaria menyediakan lelucon. Air muka Adeeb tidak berubah sebagai tanda kurang peduli dengan gurauan tersebut.

“Cikgu ingat nak masak apa puyu ni? Atau nak minta tolong Kak Kiah jadikan pekasam? Kena dengan nasi putih panas, memang terliur habis cikgu! Nak buat gulai pun boleh, nanti minta tolong Mak Non kau gilingkan rempah.”

Soalan tersebut dibiarkan berlalu. Adeeb melemparkan semula mata kail berisi umpan ke muka tali air. Wajah petak dan rambut sisir tepi milik Razalini tidak lekang dari ruang ingatan Adeeb. Satu per satu helaian memori lama diselak semula.

* * * *

Bilik kakitangan dan guru lengang setelah loceng tamat sekolah berbunyi. Hanya suara dua orang guru muda mencabar kesunyian ruang.

“Cabaran utama fasa perkahwinan adalah pengurusan masa. Aku pasti kau sedia maklum perbezaan komitmen seorang lelaki sebelum dan selepas kahwin.” Suara Adeeb mendatar. Sukar Razalini menafsir mauduk kata-kata teman serumahnya. Berisi dwi-maksud, boleh jadi nasihat, amaran atau kedua-duanya.

“Mustahil aku tak tahu. Topik perbincangan hangat sejak dahulu. Sejak di bangku universiti lagi. Krisis kehilangan aktivis sesudah pulang ke tanah air dan melangkah ke alam percintaan atau perkahwinan bukan perkara biasa. Gejala zaman-berzaman.”
“Sudah kau bersedia? Menggalas tanggungjawab seorang pendidik, aktivis masyarakat dan menguruskan keluarga secara serentak. Kau pasti sekarang adalah masa terbaik? Beberapa bulan sebelum pelajar menduduki peperiksaan terbesar dalam hidup mereka? Saat siang malam kau terpaksa digunakan sepenuhnya untuk sekolah kita?”

Razalini kelu memikirkan tugas besar menanti. Tentunya bukan mudah buat Razalini mencari jawapan soalan sebesar itu.

“Aku tak mahu bersangka buruk denganmu. Tapi berkahwin saat kudrat kau sangat diperlukan untuk kampung ini, aku dapat rasakan kau tak mampu. Aku cuba menjadi realistik. Bolehkah Khairiah memahami tugas sibuk yang menantimu nanti?”

Razalini bungkam memikirkan Khairiah, seorang anak perempuan ahli politik terkenal tanah air yang bakal dinikahinya. Seorang gadis kota yang dibesarkan dalam persekitaran kota metropolitan.

“Kau tak boleh skeptikal dengan cinta dan perkahwinan terus-menerus begini. Kau terlalu pesimis, dari dulu sampai sekarang!” Razalini cuba mencabar. Dia tahu ini misi sukar. Misi melonggarkan pancang keazaman Adeeb yang komited dengan tugasnya sebagai seorang pendidik dan penggerak masyarakat di Kampung Medan Sepakat. Bahkan hal-hal peribadi turut dikorbankan Adeeb semata-mata mahu menumpukan perhatian pada lambakan amanah di atas bahu.

Adeeb, anak muda berprinsip unik tetapi aneh. Satu dalam sejuta, mungkin.

“Kau tak menjawab soalanku tadi.” Adeeb masih menanti. Dia mencapai sebatang pen dan selembar kertas latihan aneka pilihan pelajar lalu mula menanda.

“Kau benci perkahwinan, sesuatu yang dianjurkan dalam agama kita?”

Adeeb menjegilkan mata. “Aku tak pernah sesekali menentang institusi perkahwinan. Aku tak pernah menghalang!”

Perdebatan kali ini tamat tanpa sebarang persepakatan, seperti selalu. Razalini meluru pantas keluar bilik guru, membiarkan Adeeb seorang diri termenung. Punat pen merah ditekan lalu dimasukkan ke saku baju kemeja, Adeeb tidak ingin terus menanda dalam keadaan jiwa bercelaru.

Kau terlalu skeptikal, Adeeb! Suara Razalini masih kekal bergema.

Adeeb pernah dihambur bermacam-macam tuduhan atas pendirian yang janggal dan tegas dalam soal percintaan. Dia bagaikan seorang yang pernah gagal dalam percintaan lalu trauma untuk bercinta lagi. Dia juga pernah digelar anti sunnah kerana seakan-akan menolak institusi perkahwinan. Adeeb sekadar mampu beristighfar dengan tuduhan tanpa asas ini. Sememangnya orang Melayu tidak dapat lari dari sikap suka membuat andaian melulu berdasarkan bukti-bukti tidak tepat.

* * * *

“Kau mahu berpindah? Apa jadi dengan rancangan kau membawa Khairiah ke mari?” Detak jantung Adeeb umpama mahu berhenti saat Razalini menunjukkan surat permohonan untuk menukar tempat berkhidmat serta-merta. Perkataan ‘LULUS’ disertai tandatangan pegawai pendidikan daerah membuatkan Adeeb diterkam rasa resah. Kalau diikutkan memang sukar seorang guru yang belum sampai tempoh setahun berkhidmat untuk menukar tempat bertugas. Apabila teringatkan kedudukan bapa mertua Razalini yang berpengaruh dalam dunia politik, Adeeb positif bahawa pertukaran cepat Razalini dari Medan Sepakat ke Kuala Lumpur telah mendapat campur tangan orang-orang tertentu.

“Kau harus faham, Khairiah ada perniagaannya sendiri di Kuala Lumpur. Dia sibuk dan tidak boleh meninggalkan urusannya begitu sahaja. Nak berjauhan dan bertemu seminggu dua sekali, dia tak sanggup. Dia mendesak aku untuk bertukar ke Kuala Lumpur. Lagipun, bukan mudah gadis bandar sepertinya untuk hidup di ceruk pedalaman sebegini.”

Adeeb tidak mampu mencerna alasan-alasan Razalini yang singgah di gegendang telinga. Kekesalan jelas terpampang pada kerutan dahi.

“Tenaga kau sangat diperlukan di sini. Peperiksaan SPM kurang dua bulan lagi. Pelajar tingkatan lima memerlukan kudrat muda berkebolehan seperti kau untuk memahamkan mereka ilmu-ilmu terutamanya untuk subjek Fizik. Kehilangan kau secara mengejut tentunya meranapkan semangat mereka untuk menghadapi peperiksaan.”

Razalini menggaru-garu leher, tidak senang mendengar.

“Masih kau ingat bulan pertama kita di sini. Kadar ponteng menurun. Pelajar ternanti-nanti untuk menghadiri kelas kau setiap waktu. Mereka teruja, mudah faham dengan teknik pengajaran kau yang unik. Bukan sahaja dalam Fizik, malah dalam Kimia dan Matematik Moden pun.” Adeeb mengingatkan Razalini.

Teknik Razalini ternyata berbeza dengan guru-guru sebelumnya. Pembahagian kumpulan dengan konsep mentor-mentee mencetus minat para pelajar untuk sama membantu dalam pelajaran. Razalini tidak hanya mencetak nota daripada buku rujukan, malah menaip nota sendiri agar mudah difahami pelajar-pelajar yang lemah. Pendekatan interaktif menerusi pelbagai eksperimen dalam memperkenalkan konsep-konsep fizik dan kimia turut mencetus rasa ingin tahu pelajar di samping menambah kefahaman dengan lebih mendalam.

Semua ini akan berakhir dengan pemergian Razalini.

“Kau tak ingat?” Adeeb mendesak lewat soalan retoriknya.

“Masakan aku lupa semua itu.”

“Habis, kau nak tinggalkan mereka semata-mata untuk keperluan peribadi kau? Kau sendiri berjanji tidak akan lupa tanggungjawab sebagai seorang pendidik di sini saat sudah bergelar suami. Tapi sekarang?”
Razalini sekadar menunduk, tidak punya jawapan utuh untuk justifikasi tindakannya. Dia terperangkap antara desakan hal peribadi dan amanahnya di Kampung Medan Sepakat. Mahu tidak mahu, dia terpaksa membuat pilihan.

Seperti yang dijangkakan Adeeb, pemergian Razalini secara mengejut beberapa hari kemudian ditangisi pelajar-pelajar tingkatan lima beraliran sains tulen. Masing-masing hilang punca, gundah-gelana memikirkan tiada lagi seorang pendidik yang telah berjaya membuahkan rasa minat mereka pada subjek-subjek sukar SPM. Ketakutan terhadap subjek-subjek itu yang membunuh minat sejak masuk ke tingkatan empat bertandang kembali. Tembok keyakinan nan selama ini dibina penuh sabar oleh Cikgu Razalini kini runtuh serta-merta. Mereka bukan sekadar hilang seorang tenaga pengajar, tapi juga hilang seseorang yang acap kali menyuntik semangat motivasi agar tidak cepat mengaku kalah.

“Tak apa guru besar, saya akan mengambil alih kelas Fizik dan Kimia untuk pelajar tingkatan lima. Berkenaan Matematik Moden, saya boleh buat kelas tambahan waktu malam.” Adeeb tidak sampai hati melihat wajah anak desa yang penuh dengan kedukaan. Anak-anak yang mahu mengubah nasib keluarga. Setiap wajah mereka memancarkan harapan ibu dan ayah yang rata-ratanya bekerja sebagai pesawah kecil atau menyara hidup dengan mencari hasil hutan.

“Apabila terperangkap dalam dua kemahuan, pilihlah yang perlu diberi keutamaan dan lebih mustahak. Hal ini diulas panjang dalam perbincangan fiqh aulawiyat oleh Yusuf Qaradawi. ” Adeeb teringat kata-kata Razalini sewaktu mereka mula mengangkat sumpah untuk bertugas sebagai seorang guru.

Adeeb akur, bukanlah hak dia menghukum Razalini seorang yang mementingkan diri sendiri. Namun, dia tetap tidak dapat berselindung dari perasaan kecewa yang menggunung tinggi. Sememangnya apabila usia meningkat dan tanggungjawab kian bertokok, cabaran terhadap pengurusan masa dan komitmen hidup turut bertambah. Itu memang lumrah seorang manusia.

Kerana itu, dia memilih untuk kekal bersendirian walau jauh di benak hatinya, dia tetap punya naluri untuk berpasangan seperti orang kebanyakan. Sehebat mana dia berprinsip pun, dia masih seorang manusia biasa.

* * * *

“Habis, cikgu nak membujang sampai ke tua demi mendidik anak bangsa?” Pakcik Zakaria keliru. Pertama kali dia bertemu dengan seorang anak muda berprinsip luar kebiasaan.

Adeeb tidak pasti apa jawapan tepat. Pertanyaan sama acap kali berlegar-legar dalam kepalanya, mencari kepastian. Dia begitu buntu memikirkan hala tujunya setelah melihat betapa percintaan bagaikan perangkap untuk mengalihkan tumpuan hidupnya daripada amanah untuk anak bangsa. Bahkan sahabat seperjuangan sendiri yang pernah sama-sama meniup semboyan sama telah tewas dengan perangkap komitmen kehidupan peribadi.

Adeeb benar-benar sangsi. Mungkinkah kelak nasibnya akan sama jua?

“Berkahwin ni macam memancing jugalah, cikgu. Pertama kali perlukan kesabaran. Kedua kena faham kaedah yang betul. Kalau memancing semberono, memang tak akan dapat hasil. Sama juga, kahwin ikut suka demi nafsu semata-mata dan tak ada kefahaman agama, itu yang merosakkan nama perkahwinan dan percintaan itu sendiri. ”

Adeeb mengangguk, setuju dengan analogi Pakcik Zakaria. “Betul tu Pak Ya. Perkahwinan dan cinta itu tak pernah salah. Dalam sejarah Islam sendiri pun, perkahwinan Rasulullah SAW tidak sesekali melunturkan semangat baginda untuk terus menyampaikan risalah dakwah. Yang menjadi masalah adalah segelintir masyarakat sekarang yang menjadikan perkahwinan itu penuh dengan suka-suka dan kemewahan semata-mata. Lihat sahaja persiapan gah untuk satu-satu majlis perkahwinan.”

Pakcik Zakaria terangguk-angguk dengan celoteh Adeeb sambil dia berhati-hati memasukkan umpan anak lebah separa beku pada mata kail.

“Akibatnya, fungsi sebenar perkahwinan gagal. Perkahwinan cuma menjadi tempat penyatuan hati manusia secara lahiriah tanpa melihat apa fungsinya dalam membangkitkan jiwa. Perkahwinan yang sepatutnya menghidupkan semangat kini menjadi satu lohong hitam yang menyedut lalu melenyapkan jiwa-jiwa yang sebelum ini berkobar-kobar untuk berkhidmat kepada masyarakat. Sayang sekali.” Adeeb menambah.

“Jadi, cikgu setuju tak dengan cadangan saya? Fikir dulu, ya? Janganlah terus menolak. Cubalah solat istikarah minta petunjuk. Ambil sedikit masa sebelum buat keputusan pun tak apa.” Pakcik Zakaria cuba meyakinkan Adeeb. Dia yakin Maizatul Munirah, gadis kerani sekolah yang bergiat aktif dalam persatuan belia kampung itu cocok untuk membantu Adeeb dalam tugas-tugas sebagai pengajar dan pemimpin belia di Kampung Medan Sepakat. Mereka berdua begitu sepadan, bukan sekadar pada pandangannya tapi juga dari kaca mata penduduk kampung yang lain.

“InsyaAllah, saya cuba.” Adeeb memberanikan diri, cuba membuang tanggapan buruk yang selama ini membelenggu hidupnya. Ya, dia bertanggungjawab untuk masuk dalam insitusi perkahwinan itu sendiri bagi mengubah persepsi.

“Percintaan dan perkahwinan itu tak pernah salah, yang menjadi masalah adalah sikap kita yang tidak memandang cinta dengan kaca mata keimanan.” Adeeb berbisik sendiri.

Saturday 15 August 2015

Tips Menulis - Golden Hours

Saya menulis post blog ini mengambil kira ramai sahabat masters di Manchester sedang kalut menyiapkan dissertation. Tak kurang juga rakan-rakan penulis dalam bidang kreatif yang bertanyakan macam mana nak atasi sindrom writer's block ni.

Writer’s block ni apa? 

Saya pun tak tahu haha. Cuma saya mendefinisikan dalam tulisan ini sebagai sesuatu yang membantut semangat dan kemampuan penulis untuk terus menulis.

Secara peribadi, proses menulis memang tak dapat nak dielakkan dalam kehidupan. Dalam pengajian Phd, supervisor saya jenis yang suruh tulis paper (agaknya sebab tajuk composite recycling agak baru). Di luar waktu PhD, kehidupan sebagai penulis kreatif memang memerlukan saya terus menulis dan menulis dan melangut depan komputer memerah idea.

Justeru, tips yang saya tuliskan ini boleh digunakan pakai untuk tulisan akademik dan bukan akademik. 

Apa itu teknik golden hours?

Saya mempelajari teknik ini ketika menghadiri kursus penulisan tesis di University of Manchester. Saya tak pasti apa nama sebenar teknik ini tapi yang saya ingat ia dipanggil golden hours.

Kaedah asas teknik ini adalah:

“Tulis saja jangan kira apa, tulis tulis tulis saja.  Pedulikan tatabahasa, ejaan, kesahihan fakta dan sebagainya. Pedulikan!”

Caranya secara umum adalah seperti di bawah.


  1. Fikir apa yang anda hendak tulis – pengenalan kajian anda contohnya.
  2. Bawa laptop atau kertas ke mana-mana kawasan yang tiada gangguan – kedai kopi, perpustakaan. Tiada gangguan dari segi komunikasi. Tempat yang tiada internet dan phone anda juga dimatikan atau diletakkan dalam beg dalam mode silent.
  3. Buka Microsoft Word atau tudung pen dan kertas.
  4. Mulakan tulis dan catat apa jua yang terlintas dalam kepala anda. Jangan takut untuk catat dan untuk buat kesalahan ejaan/fakta/tatabahasa dan sebagainya. 
  5. Tulis lagi, tulis sahaja. Jangan khuatir.
  6. Selepas beberapa minit/jam, anda sudah ada dalam beratus/beribu tulisan yang kualitinya masih lemah tapi flow idea tu adalah sikit-sikit.
  7. Tamat

Langkah seterusnya selepas sesi golden hours ini adalah tengok semula apa anda tulis dan betulkan mana-mana kesalahan. 

Susun balik idea bagi kemas, buang mana yang rasa tak perlu, cari balik fakta-fakta yang ketinggalan.

Alhamdulilah, saya sedikit sebanyak pakai teknik golden hours ni. Sekarang saya dah berjaya hasilkan 4 buah buku dan hasil-hasil tulisan bukan akademik terutamanya cerpen (boleh tengok senarai penerbitan dalam blog). 

Dalam PhD pula, di akhir tahun dua saya berjaya ada 2 conference paper yang dah accepted/presented dan 2 journal paper (1 sudah submit, 1 sudah hampir siap).

InsyaAllah, mungkin teknik golden hours ni boleh membantu sebahagian pembaca. 

Bagi memudahkan pemahaman, saya bagi beberapa contoh di bawah. 

Contoh 1 – penulisan akademik

Apa yang nak ditulis: Pengenalan kepada composite materials dan pengunaannya yang meluas sekarang

(boleh rujuk gambar)



Ulasan: Dalam penulisan golden hours memang akan banyak serabut, tak ingat fakta, grammar entah apa-apa –  itu biasa! Tapi yang bagusnya bila nak tulis yang sebenar – akan menjadi lebih mudah sebab sekurang-kurangnya kita ada sesuatu (rangka) untuk dirujuk.


Contoh 2  penulisan kreatif 

Apa yang nak ditulis: Suasana pagi, persekitaran Manchester dan watak lelaki, Danial Aqasha baru keluar pintu rumahnya untuk ke kelas.

Tulisan sewaktu sesi golden hours:

Matahari pun menyinar rasa cuaca boleh tahan sejuk-sejuk musim luruh, keluar rumah rasa bau pohon hijau sebab semalam hujan. Danial Aqasha pakai jaket tak tebal mana, menghirup secawan kopi dan keluar rumah dengan rasa kalut sebab lambat dah. jalan ke perhentian bas. tunggu bas. naik dan kemudian sampai sekolah dia bertemu dengn kekasihnya Natasha di depan pintu.

Tulisan sebenar yang dibuat kemudian:

Matahari tersenyum di langit timur saat suhu sederhana 10 darjah Celcius musim luruh berkunjung ke bumi Manchester. Danial Aqasha mengenakan jaket kulit nipis, menyedut saki baki kopi sejuk semalam lalu pantas menuju ke pintu rumah. Perjalanan 5 minit berjalan kaki ke perhentian bas berdekatan ditemani daun-daun coklat berguguran di tanah. Jauh di perhentian bas, Natasha menyungging senyum dan melambai-lambai. Danial melajukan langkah.

Ulasan: Tulisan sewaktu golden hours memang terabur dan tak kemas, tapi sangat membantu untuk melancarkan perjalanan untuk tulisan sebenar. Tulisan golden hours ibarat seperti rangka. Dalam penulisan golden hours, kita merapu sahaja apa pun sebab bukan final lagi, maka kita tak rasa risau nak tulis benda yang di luar perancangan atau mengarut. Plot juga boleh diubah sikit-sikit. 

Kebaikan teknik golden hours:

  • Anda sekurang-kurangnya dah mula menulis dan merangka idea walaupun tak sempurna mana dan banyak cacat cela.
  • Memudahkan anda untuk meneruskan penulisan sebab dah ada ‘something’ – jadi moral tak rasa down sangat. Motivasi lebih tinggi bila menghadap rangka tulisan, berbanding menghadap Microsoft Word yang putih kosong sekosong-kosongnya.

Kelemahan teknik golden hours:

  • Anda banyak menulis, tapi menulis yang kurang berkualiti (tapi boleh diatasi dengan berulang kali edit dan perkemaskan lagi tulisan)
  • Kadang-kala banyak masa dihabiskan untuk menghasilkan rangka berbanding tulisan sebenar 

Jujurnya dalam menulis post blog ini pun saya mengalami sindrom writer's block. Balik rumah konon nak tulis asyik tertidur dan ralit makan malam sambil tengok Pi Mai Pi Mai Tang Tu di Youtube (rumah di Manchester tak ada TV huhu).  Maka hari ini saya pun bawa  laptop ke kedai minum Chatime di Manchester, pesan segelas besar milk chocolate tea dan menumpukan perhatian pada laptop tanpa internet ini. Saya tulis di Word secara laju dan cincai. Kemudian bila depan komputer di school, barulah edit dan upload ke blog. 

(Tapi sebenarnya ada juga sedikit gangguan, sebab telefon bimbit ada internet huhu!)

Sebelum tamat, saya nak berkongsi pengalaman saya bersama penulis tersohor Malaysia, Nisah Haron ketika dia melawat saya di Manchester tahun 2011 (saya buat degree waktu ni).

Saya pun tak ingat sangat dialognya, tapi lebih kurang beginilah. Kak Nisah Haron ada muatkan juga dialog ni dalam bukunya Kembara Sastera. 


“Kak saya nak tulis tapi rasa tak tertulis sebab saya pentingkan kualiti penulisan. Akibatnya saya tak ada cerpen sebab nak sangat kesempurnaan." kata saya. 

“Ada cerpen yang siap ditulis tapi kurang berkualiti LEBIH BAIK daripada cerpen yang kita rasakan bagus tapi tak siap-siap ditulis sampai ke hari ini!” balas Kak Nisah Haron. 

Maksudnya di sini, teruskan menulis sama ada berkualiti atau tak – yang penting selepas itu boleh tulis semula atau sunting berulang kali sampailah jadi power!

Selamat mencuba dan insyaAllah kalau ada tips penulisan lain saya cuba kongsikan.

Sudi-sudilah kongsi jika dirasakan bermanfaat.

Shahkang

Manchester, UK

Thursday 16 July 2015

Skema Jawapan "Bila nak kahwin?"

Tengah stress kat office baik aku tulis benda mengarut - itulah tema hari ini. 

Tentunya waktu raya anda bakal dikunjungi makcik-makcik mulut laser, yang kerja mereka duduk di dapur dan menganalisis kemewahan-kemiskinan hidup anda berdasarkan jumlah fridge magnet luar negara yang ada di peti ais rumah anda.

Atau pakcik-pakcik nakal yang tugasnya mengusik anak muda.

Atau rakan-rakan kita yang dari zaman main senapang ceri sehinggalah ke kereta Dash Yonkuro asyik mengusik kita.

Soalan yang tidak dapat dielakkan oleh anak muda berumur lingkungan 20-30 tahun adalah

"Bila nak kahwin?????????"

(Walaupun serabut, tanda soal kena bubuh banyak, kasi hiperbola sikit).

Maka di sini ada beberapa cadangan skema jawapan untuk digunakan menjawab dan menepis soalan sedemikian.


Jenis respon: Soal kembali


Jawapan kepada: Orang yang bertanya berumur dari kita (pangkat abang/kakak) yang sudah berkahwin

Respon: 

"Tanya kita bila nak kahwin, akak tu bila lagi nak bermadu?"
"Tanya kita bila nak kahwin, abang bila pula nak kahwin dua?"

Kesan positif: Orang tersebut akan terkedu dan lidah bagai diikat daun palas

Kesan negatif: Anda akan dihumban ke dalam kawah rendang atau bermandikan cecair-pepejal kenyal si dodol atas tuduhan cuba menganggu ketenteraman awam.


Jenis respon: Mengorat


Jawapan kepada: Orang sama umur dan masih single

Respon anda:

"Aku sebenarnya lama dah minat hang. Kalau hang nak, jom kahwin sekarang."

Kesan positif: Orang tersebut akan tersipu malu dan akan bertaubat daripada bertanyakan soal kahwin kepada semua orang.

Kesan negatif: Gurauan anda dipandang serius olehnya dan dia secara tiba-tiba terus ke status Facebook dan menukar statusnya dari single kepada 'engaged'.



Jenis respon: Kader-kader perjuangan


Jawapan kepada: Semua yang bertanya

Respon anda:

"Perjuangan hidup saya untuk agama, bangsa dan negara lebih penting daripada percintaan yang bersifat peribadi."

"Saya nak tumpukan pada kerjaya saya terlebih dahulu."


Kesan positif: Mereka bangga ada anak muda macam anda.

Kesan negatif: Anda mungkin akan ditangkap dan dilabel sebab pejuang puak pelampau


Jenis respon: Terkejut


Jawapan kepada: Kawan-kawan rapat yang bertanya

Respon anda:

"Dah kahwin dah minggu lepas. Saja tak ajak hang dah mulut becok sangat."

Kesan positif: Kawan anda tahu anda dalam mood melawak dan tak kisah dengan soalannya.

Kesan negatif: Rakan anda ambil serius, merajuk sebab tidak diajak kemudian berlari meluru keluar rumah dan dilanggar kereta maka jadilah drama TV2 secara tidak disangka-sangka.


Jenis respon: Cadangan bernas


Jawapan kepada: Jika anda diusik dengan sesiapa contohnya "Eh Man, Leha tu single lagi apasal kau tak cuba. Kasihan dia membujang lama, umur dah meningkat."

Respon:

"Kau kahwin la ngan dia, buat bini nombor dua." - jawapan kepada lelaki
"Kau ambil la Leha tu jadi madu kau. Kata kasihan." - jawapan kepada perempuan

Kesan positif: Entah

Kesan negatif: Anda bakal disyaki memporak-perandakan rumah tangga orang.


Jenis respon: Klise tahap drama Melayu


Jawapan kepada: Semua yang bertanya

Respon anda:

"Jodoh belum sampai."
"Nanti adalah tu."
"Ini takdirku."
"Biarlah aku sendiri menempuh ombak hidup ini."
"Siapalah nak kita ni kan. kan kan kan kan kan...."

Kesan positif: Jawapan paling standard, ala-ala skema jawapan PAI waktu PMR atau SPM dulu

Kesan negatif: Anda akan dibantai semula dengan soalan lebih pedas contohnya "Eleh awak tu memilih sangat!", "Jual mahal!" dan sebagainya. Anda juga mungkin dilabel sebagai peminat drama atau novel Melayu tegar kerana jawapan anda sama saja dengan skrip-skrip drama TV atau novel cinta.


Jenis respon: Cari pasal


Jawapan kepada: Wanita yang dah berkahwin

Respon anda (Wanita sahaja):

"Boleh juga nak kawin, teringin nak jadi isteri kedua seseorang juga ni"

Kesan positif: Akak tu akan tertelan air liur, terkesima dan terkejut.

Kesan negatif: Akak tersebut akan guna Facebook suaminya dan block anda

-------

Kebanyakan jawapan di atas adalah sekadar dalam bentuk gurauan. Jangan ambil serius. Dan kalau nak guna pun, tengok keadaan. haha. Aku tak bertanggungjawab kalau ada yang melayang kena sepak nanti.

Kadang-kala soalan berbentuk 'nakal' setengah orang memerlukan jawapan yang sedikit 'nakal' juga untuk mendiamkan orang. Haha. Kalau jawab biasa-biasa nanti orang tak faham yang sebahagian kita agak sensitif dan tertekan dengan soalan-soalan sebegini.

Baru-baru ni di Facebook ada pesanan macam dalam gambar di bawah:


Sumber gambar: carian Google images, instagram Shima Anuar

Betul kah tak boleh tanya soalan sebegini?

Bagi aku, boleh. Cuma kena gaya yang betul. 

Bandingkan kedua-dua situasi di bawah

Situasi 1:


A: Eh kau bila nak kahwin? Kawan-kawan baya kau dah kahwin. Danial Aqasha tu anak dah dua orang. Kau bila lagi?
B: Hm tah lah tak ada jodoh lagi
A: Kau tu memilih sangat. Kahwin la baru hidup senang bla bla bla
B: Hm..


Situasi 2


A: Kau bila nak kahwin?
B: Hm tah lah tak ada jodoh lagi
A: Oh takpa lah slow2 lah weh. InsyaAllah.

Situasi 1 ternyata membuatkan orang yang ditanya rasa tertekan. situasi 2 niat yang bertanya lebih kepada ingin tahu berbanding nak mengusik.

Pendek kata, ada bezanya 'bertanya' dan 'mengacah' atau 'mengejek'. 

Nak tanya boleh, tapi tengok apa niat nak bertanya. Kalau nak mengacah mengejek tu baik tak perlu.

Anda mungkin rasakan "Eh takpa la nak diusik ini gadis hot/laki hensem/laki kaya/laki hebat/perempuan rebutan yang tak ada masalah jodoh." - hakikatnya, anda takkan tahu masalah-masalah hidup orang lain yang tersembunyi. Tak semua orang hidupnya macam yang anda tahu (contoh dalam cerita Melayu kalau lelaki kaya tu selalunya tak ada masalah jodoh).

Jadi, berhati-hati!

Jadi sila jaga budi bahasa bila berkomunikasi semasa hari raya. Rugi saja hang puasa sebulan kemudian raya banyak buat dosa dengan sakitkan hati orang secara 'senyap' tanpa disedari.

Tu saja mesej post ni, merapu punya panjang. 

Raya di Manchester tahun ni, selamat la sikit dari soalan-soalan cepumas.

Selamat hari raya!




Tuesday 16 June 2015

Lima (5) Kelebihan Berpuasa di Luar Negara

Susah sungguh aku nak update blog. Setiap kali bersemangat setiap kali itulah aku akan cuba berehat 5 minit di atas katil, bangun-bangun dan Subuh kemudian mengantuk tak boleh menulis - bila dah siang ditemani minuman pagi dah kena buat kerja Phd semula. Inilah gejala tidak sihat seorang penulis yang sentiasa mencari alasan untuk tak menulis dan akhirnya melingkup di Facebook.

Aku baru beli biskut Fox perisa mint ada gambar panda, dan itu juga menganggu proses penulisan ini.

Anyway.

Tidak dinafikan bahawa bulan Ramadan akan membuatkan percikan rindu pada keluarga dan tanah air akan bertambah. Sebabnya bulan ini mengundang nostalgia bersama keluarga. Dari sirap selasih ais buatan ibu sehinggalah kepada kenangan duduk semeja bersama keluarga untuk sahur, semuanya terhimpun bersama menghasilkan ombak-ombak rindu nan menghempas pantai cinta dan batu-batu ketabahan.

Macam cerpen dah bunga-bunga ayat ni.

Tapi kejap, apakah benar puasa di luar negara ni selalunya tak seronok?

Jawapannya, tak semestinya. 

Maka dalam blog ini aku akan cuba tulis kelebihan berpuasa di luar negara, versi aku.

(Sebelum baca ada maklumat penting di sini: Keadaan 'luar negara' yang ditulis dalam blog ini adalah berdasarkan kehidupan penulis di Manchester (negara majoriti bukan Islam). Tentunya di tempat lain keadaannya berbeza tapi tak mustahil ada juga keadaan yang sama. Tajuk 'luar negara' untuk post ini adalah bertujuan memancing pembaca keh keh jangan marah abang memang gila like)


1. Tiada godaan makanan

Pernahkan anda terfikir kenapa gejala membazir sewaktu bazar Ramadan di Malaysia sering berlaku? Kadang-kala bukanlah sebab kita nak makan sangat, tapi lebih kepada 'kewujudan' makanan tersebut sekeliling kita. Kalau kita tinggal di tengah hutan dan yang ada hanyalah sebungkus roti Gardenia (tanpa jem), tentunya kita tak akan merengek dan mahu demand makanan 'eksotik' serupa roti John atau nasi kerabu solok lada. Kita tetap berasa kenyang dengan menelan roti Gardenia kosong.

Pada pendapat aku, orang kalut nak beli makanan di bazar Ramadan sebab perkara berikut:

  • Sebab nanti waktu malam gerai dah tutup. Maka kalau tiba-tiba teringin nak makan kuih tepung talam, kena tunggu pasar Ramadan esok
  • Yang dah lama di perantauan, rasa nak beli semua makanan di pasar Ramadan sekali-sekali dengan makcik jual kuih pun nak dibeli adalah sebab lama tak berjumpa makanan Malaysia. Jadi bukan isu lapar puasa sangat, lebih kepada isu 'Eh lama lah tak rasa makanan A makanan B makanan C! Belilah!'

Di Manchester, tiada pasar Ramadan. Tiada kelibat Wayne Rooney datang ke pasar Ramadan membeli taufufa gula merah. Di sini makanan hanya dibeli dari kedai-kedai makanan halal seperti Jazeera dan Moonlight - semuanya ini dibuka sampai lewat malam. Jadi tak perlu kalut-kalut membeli sebelum berbuka kerana kalau lapar malam-malam nanti (lepas tarawih contohnya), baru beli. Tak perlu nak beli segunung-sebukit sebelum berbuka. Hal ini mengurangkan pembaziran makanan.

(Di Manchester sebenarnya, ada juga pasar Ramadan orang Malaysia buat - tapi hanya sekali sepanjang bulan Ramadan)

Di kebanyakan negara bukan Islam, sumber makanan hari-hari adalah dari supermarket. Contohnya kalau di kawasan kurang orang Islam di UK, makanan rapu selalu dibeli di Sainsbury/Morrison - pasaraya ini dibuka sampai jam 11 atau 12 tengah malam (ikut tempat). Snek yang dibeli selalu dalam bentuk yang boleh disimpan dalam peti sejuk (yogurt, biskut wafer). Maka tak cepat basi.

Tiada godaan-godaan makanan sekeliling menyebabkan dosa kerana membazir makanan akan berkurangan. InsyaAllah. 


2. Waktu lebih lama untuk beribadat

Tentunya kalau sebut puasa di Manchester, semua tarik muka cakap ah lamanya berpuasa (sampai ada yang balik awal ke Malaysia sebab nak lari dari berpuasa di sini hoho)! 19 jam? Tak sanggup! Tak dapat nak bayangkan betapa jarum jam akan merangkak-rangkak untuk sampai jam 9.30 malam.

Tapi..

Waktu lama berpuasa membolehkan kita memanfaatkan kelebihan orang berpuasa. Boleh rujuk laman web sahabat saya ini (bekas SU MCOT Manchester - Zol Helmi/Seman), insyaAllah beliau menulis dengan berdasarkan sumber yang boleh dipercayai.

https://zolhelmimdzuki.wordpress.com/2013/07/08/kelebihan-puasa-pada-musim-panas/

Antara kelebihan yang beliau tulis:
  • Waktu lebih panjang untuk doa mustajab
  • Terhindar dari perkara-perkara melalaikan
  • Kegembiraan sewaktu berbuka 
  • Keampunan dari Allah
  • Waktu malam yang pendek (jadi kita lebih akan lebih menghargai sebab waktu pendek dan kita tergerak untuk memanfaatkannya)


3. Jom ke masjid!

Ramadan 2014 - saya berbuka masa 27 kali di masjid dan 3 kali di rumah orang (dijemput). 27 kali di masjid itu adalah di 7 masjid berlainan. Tak masak langsung hoho.

Yang seronoknya berbuka di masjid ni adalah:

  1. Dapat terus bersolat jemaah Maghrib. Jadi tak la rasa berat perut nak mengangkat dari rumah untuk ke masjid sesudah berbuka untuk solat Maghrib. 
  2. Makanan di masjid sedap dan banyak. Semasa di Islamik Akademi Manchester, orang masjid tahu saya tinggal seorang (di hostel) - jadi seorang pakcik ni selalu tunggu saya habis solat sunat untuk tawarkan makanan (beriani kambing!) untuk dibawa pulang. Sejujurnya dah kenyang dan teringin nak makan benda lain untuk sahur, tapi bila fikirkan ini dah macam kewajipan untuk tolong habiskan makanan, kalau tak - membazir. 
  3. Berbuka di masjid mendidik untuk bersifat sederhana dan 'terima saja apa yang ada'. Tak semua masjid makanannya mewah. Ada hari makan sedap, ada hari makan tak sedap. Jadi mind set sewaktu melangkah ke masjid berbuka adalah - "Apa ada hari ni, bantai saja! Kalau jemaah tetiba ramai dan makanan sikit, kita kongsi sorang sikit". Pernah saya ke satu masjid yang selalu hidang nasi beriani tapi hari tu roti cicah kari - jadi makan saja. Tak perlu gedik nak ayam percik lah, agar-agar merah dan sebagainya. 
  4. Peluang berkhidmat untuk masjid/komuniti. Hadir ke masjid dapat bertemu ramai rakan Islam dari negara lain. Dapat sama-sama bentang plastik, tolong hidang makanan - insyaAllah Allah kurniakan kegembiraan di hati kita yang menjamu orang untuk berbuka. 
  5. Sambil tunggu boleh berbuka buat amalan lain. Kalau di rumah tentunya lepak golek atas katil. Kalau di Malaysia, tengok drama di TV atau Istana Takeshi (ini zaman dulu punya la!). Tapi di masjid, insyaAllah boleh fokus baca al-Quran, berdoa dan sebagainya. 
Kepada yang wanita, ada masjid di Manchester yang buat buka puasa untuk wanita (Victoria). Bolehlah pergi dan cuba merasai sendiri kelebihan-kelebihan yang saya sebutkan di atas. 

Di negara bukan Islam lain, kalau yang ada masjid berdekatan tu bolehlah cuba. 

Ya tau tau, tak perlu komen "Hang dok Manchester bolehlah banyak masjid!". Jangan emo plsss. 


Tolong cedok nasi untuk jemaah masjid Pakistan. Majlis berbuka pada hari ini adalah sponsor rakyat Malaysia (kami kumpul duit seorang GBP 10, belanja untuk berbuka di masjid ini adalah GBP 150 untuk 50-60 orang makan)


Makanan dah siap dihidang, tunggu orang sampai saja la - kenangan Islamik Akademi Manchester yang sekarang sudah ditutup dan bakal diruntuhkan



Walaupun dah kenyang terpaksa ambil makanan lebih, untuk elakkan pembaziran. Biarlah bosan buka puasa dan sahur makan benda sama (beriani kambing) - yang lebih utama adalah jangan membazir!




4. Semangat muhibah komuniti Malaysia

Bila di Malaysia, masing-masing ada keluarga. Tapi di luar negara, kawan-kawan Malaysia sekeliling ibarat keluarga sendiri. Maka sewaktu puasa (dan raya), keakraban silaturahim akan bertambah. Akan ada bertukar juadah, jemputan berbuka di rumah dan sebagainya.

Di Manchester, waktu puasa ni tak ramai student sebab ramai balik bercuti maka yang mana tinggal di Manchester akan lebih akrab sesama sendiri. Ada juga program tadarus dan sebagainya.


Majlis berbuka puasa/khatam Quran rakyat Malaysia di pejabat EM Manchester


5. Mengurangkan pembaziran wang

Sebab buka puasa banyak di masjid atau masak sendiri, maka tak lah membazir sangat nak beli banyak makanan di bazar atau bergedik-gedik buka puasa di hotel (walaupun tahu diri tu miskin). Tambahan kalau di UK, masak sendiri sangatlah menjimatkan.


Hari-hari makan makanan Pakistan atau Arab pun tak jemu. 



Kesimpulannya

  • Di luar negara dan di Malaysia - kedua-duanya adalah kelebihan berpuasa tersendiri. Setiap tempat ada kekurangan dan kelebihan (ini kesimpulan paling klise tapi tetap nak kena tulis). 
  • Paling penting adalah untuk tidak cemburu dengan orang-orang di Malaysia (satgi depa upload gambaq buka puasa confirm pakat meroyan ahaha). Sebaliknya hendaklah kita cari kelebihan yang kita ada di bumi orang. InsyaAllah ada, cuma kita kena cari dan hayati. 
  • Sepanjang berpuasa di UK, alhamdulilah lebih banyak kegembiraan berbanding rasa kedukaan (tak tahan puasa, rindu keluarga dan sebagainya). Hidup rasa bersemangat dan waktu untuk buat kerja lebih lama sebab tak perlu fikir soal makan pagi dan tengah hari. 
  • Walaupun post di atas ditulis berdasarkan kehidupan penulis di Manchester, tapi tidak mustahil untuk kelebihan yang disebutkan di atas untuk dirasai orang lain di serata dunia. 

Ramadan di negara majoriti orang bukan Islam ada kalanya lebih meriah berbanding puasa di negara orang majoriti Islam. 

Selamat menyambut bulan Ramadan, semoga amalan kita diterimaNya

(InsyaAllah lepas ni akan tulis kelebihan beraya di luar negara.)


Ini gambar takbir raya dari rumah ke rumah tahun lepas di Manchester. Saja letak haha. 

Monday 27 April 2015

6 Jawapan Kepada Soalan 'Mahasiswa Luar Negara Gembira Melancong...'

Pada mulanya saya sekadar bergurau-manja di Facebook - siapa mahu pandangan saya tentang isu ni sila like status ini. Nak buat ala-ala admin batak like gitu (bajet selebriti la konon), tapi akhirnya termakan diri sendiri setelah dapat like melebihi tahap biasa. Padan la muka, cari penyakit. 

Maka terpaksalah kemas kini blog yang dah sedia usang. Bagus juga sebab dapat kemas kini sidebar yang dah berhabuk-bersawang.

Akibat semalam (Ahad) banyak menghabiskan waktu dengan aktiviti kurang berfaedah (melepak kedai makan, berbasikal), maka terpaksa tulis ini selang-seli dengan kerja Phd di pejabat. Huhu. Kepada pelajar undergraduate yang bakal enak bercuti berbulan-bulan nanti, silalah manfaatkan cuti anda nanti. Jangan dah bila kerja atau sambung Phd, baru nak tergedik-gedik buat bermacam aktiviti.

Saya tak mahu tulis dalam bahasa jargon-margon yang memeningkan kepala, cukuplah sekadar analisis blog dan untuk kefahaman umum. Kalau anda tak faham juga tulisan ini, mungkin _____ (isi sendiri).

Saya merupakan bekas graduan University of Manchester (2009-2013) dalam bidang kejuruteraan mekanikal. Sekarang saya merupakan Phd researcher di universiti yang sama. Maka mungkin kebanyakan yang baca post ini adalah mereka yang boleh saya panggil adik-adik (bajet tua la syial). Saya juga pernah menguruskan persatuan pelajar di Manchester dan selalu berbincang hal pelajar luar negara dengan sahabat-sahabat seluruh dunia. InsyaAllah, post ini ditulis berdasarkan pengalaman ini.

Berapa panjang intro, bila nak mula ni woi.

Okay, okay jangan emo huhu. 

---------------------------

Saya pada mulanya seperti biasa bergembira-tomei-tomei bermain Facebook, sekali tengok ada semacam kemarahan timbul dalam kalangan sahabat yang juga pelajar luar negara. Hal ini timbul berdasarkan status/post Twitter ini:



Maka ramailah pelajar luar negara meluahkan keamukan dan ketidakpuasan hati:

"Mana ada! Cuba duduk kat tempat kitaorang baru la tau!"
"I memang happy go lucky, dah tu guane nak mase-mase (masam) muko plop!"
"Kitaorang pun belajar macam nak mampus. Nasib baik tak mampus betul je!"

Begitulah bunyi-bunyi amukan, lebih kurang.

Relax relax jangan emo. 

Saya rasa apa yang diujarkan oleh @tweetuniversiti ini tak salah pun.

Memang ada kebenaran.

Berdasarkan status Twitter ini, ia berbentuk soalan sebab itu adanya tanda soal di belakang. Namun bila tengok komen di Facebook dan juga Twitter, para pelajar luar negara tampaknya lebih kepada 'outrage' berbanding menjawab. Kalau status Twitter ini tidak berbentuk retorik/sinis, maknanya pelajar luar negara bertanggungjawab untuk jawab

"Kenapa kau orang nampak gembira melancong sana sini sedangkan kami (pelajar dalam negara) pening memikirkan masalah belajar?"

Ya,apa jawapan kepada soalan pengguna Twitter ini?

Itulah soalan yang harus dijawab berbanding bersikap defensive dan membambu si penulis Twitter dengan bermacam-macam dakwaan. Tak sepatutnya nak rasa marah - hanya perlu menjawab soalan itu dengan jawapan yang sebaik-baiknya. Rakan-rakan di Malaysia (atau lokasi lain seluruh dunia) tak akan pernah tahu cerita sebenar kita, yang menjadi sumber pengetahuan mereka hanyalah media-media sosial. Itulah rujukan cepat dan utama semua orang, termasuk kita sendiri bila nak melihat perkembangan rakan-rakan lain.

Zaman abang dulu pakai MIRC dik! Keh keh. 

Buktinya, cuba pilih akaun Instagram rakan luar negara secara random dan buat kajian. Kita dapati gambar-gambar yang ada adalah gambar makanan sedap-sedap yang dimasak sendiri, gambar golek atas salji, tonggek depan Eiffel tower dan lain-lain,  Secara umumnya, gambar semuanya pakat nampak seronok ala tomei-tomei belaka. 

Jadi, apakah jawapan kepada soalan status Twitter di atas?


Bagi memudahkan penerangan, saya membahagikan jawapan kepada enam bahagian.

---------------

Jawapan Pertama: Kepahitan jarang dimedia-sosialkan 


Tidak dinafikan bila sebut berkenaan luar negara, kita terbayangkan perkara yang seronok. Eh seronoknya sejuk tak payah pakai aircond, eh besnya negara luar kan public transport sangat bagus, orang baik- baik dan sebagainya. 

Memang, kalau tengok drama dan filem Melayu - latar luar negara diangkat begitu hebat sekali sampai semua orang tergila-gila nak ke sana.

Tapi secara realiti, tak semuanya indah. 

Apabila saya ke Sydney, Australia beberapa minggu lepas untuk urusan kerja - saya sempat 'berusrah' dengan pelajar di sana. Salah seorang pelajar wanita di sana menceritakan bagaimana mereka dimaki-hamun dalam keretapi oleh seorang lelaki anti Islam. Kalau tak salah saya, pernah juga mereka dijirus air semasa berjalan-jalan di bandar.

Sepanjang penglamana saya menguruskan persatuan pelajar di Manchester, pelbagai kisah 'menyayat hati' pernah dilaporkan kepada saya secara peribadi - ada kes cuba mencederakan diri kerana tertekan, kes kena cabul (seksual) oleh orang asing, kena mengorat oleh orang Pakistan sampai rumah kena 'mark', yang jumpa doktor sebab tekanan perasaan, yang tanya berapa harga tiket flight sebab nak lari balik rumah sebab homesick, kena rompak dengan ancaman pistol dan sebagainya. Ya, rakan-rakan Manchester yang membaca ini tentu juga terkejut sebab hal ini tak pernah diceritakan sangat. Pelajar-pelajar juga ada yang sampai kena minta teman untuk pulang ke rumah yang agak jauh - khuatir dengan kisah rogol, bunuh yang kerap diceritakan oleh Manchester Evening News.

Belum campur isu Islamphobia di negara kurang orang beragama Islam - rakan di Czech Republic jenuh berahsia untuk adakan sebuah masjid di bandarnya (nak makan ayam halal punya susah kena order). Di negara Arab pula, saya difahamkan kena ada 'penjaga' bila sekumpulan pelajar wanita berjalan pada waktu malam. Fuh, macam bahaya sungguh bunyinya kan? Memang bahaya pun.

Semasa saya menaip ini, rakan saya Hariz Said di Liverpool, UK baru menghantar emel kepada sebuah sekolah kerana pelajar mereka menyerang dia dan rakan dengan kata-kata berbaur perkauman. Hariz jenis suka kongsi kisah hidupnya tapi masih ramai sahabat di sana berdiam diri dengan kisah-kisah sedih yang menimpa mereka.

Kalau bab melancong pula, pernah sekumpulan anak buah saya (cewah ayat) yang wanita diganggu di Sepanyol - dipaksa memberi passport dan mujurlah ada seorang yang agak tegas jadi tiada apa yang berlaku. Kes kecurian dan kehilangan pun banyak - beg kena copet di Barcelona, kena tipu oleh orang tempatan di Turki dan sebagainya.

Cerita-cerita pahit ini tak dimasukkan pelajar luar negara dalam media sosial, apatah lagi gambar selfie dengan mata bengkak, ataupun selfie dengan perompak. Sebabnya:

  1. Khuatir keluarga/kawan di kampung susah hati dengan tahap keselamatan di luar negara - ada ibu bapa sanggup ada akaun Facebook semata-mata nak tengok kegiatan anaknya. Bayangkan kalau ada sesuatu yang tak gembira diceritakan, jenuh kerisauan datang membuak-buak. 
  2. Rasa tak berapa kena nak cerita benda kurang best kepada orang ramai. Bahkan bila persatuan pelajar minta derma kilat pun, nama pelajar ada kalanya tak didedahkan untuk menjaga privasi. 
Secara peribadi, saya sendiri terpaksa menceritakan hal-hal baik di Facebook sahaja agar ibu di Perlis tak salah faham. Pernah sekali letak gambar ala jiwang-sedih waktu first year, janggut panjang rambut panjang - terus emak telefon tanya saya ada masalah jiwa la apa la bla bla bla. Adeh, serabut. Jadi saya terpaksa kawal media sosial untuk gambarkan hal-hal yang comel-baik saja. 

P/S: Kalau buat muka masam terlampau sangat untuk Salam Perantauan (ucapan raya), confirm surat khabar tak publish. Maka terpaksalah buat muka ceria walaupun masing-masing kena pergi kelas waktu raya dan hanya makan ketupat nasi segera Adabi.

Screenshot oleh Hariz Said berkenaan laporannya. Weh hang letak kat Facebook satgi jenuh mak hang risau akan ketidaksejahteraan hang, baik delete cepat. Mak hang tak baca blog aku so takpa aku letak sini. 


Raya tahun 2009 - sampai di Manchester buat pertama kali sehari sebelum raya. Memang semangat raya ditenggelami nervous, nak makan lemang atau ketupat pulut memang jauh sekali. Tak boleh mengadu rindu Malaysia kat emak nanti dia risau anak dia tak gembira - jadi kita pun berlakon gembira yeahhh!


---------------

Jawapan Kedua: Melancong atau tak melancong?


Tidak dinafikan memang kebanyakan gambar pelajar sakan bergaya, contohnya di depan Sydney Opera House, atau pelajar melompat gaya kids about to get up (budak baru nak up) di depan stadium Old Trafford, buat mulut muncung itik bersama Tower Bridge London, sengih-sengih depan piramid makanan di Giza dan sebagainya.

Jadi ada yang mengatakan - mereka ini melancong dan membazir duit!

Tapi dalam sesetengah kes, tak ada kos melancong pun. 

Eh ye ke? Macam teepuu jew.

Contohnya untuk pelajar di Manchester, Old Trafford hanya 4 kilometer dari rumah dan boleh menaiki basikal saja ke sana (atau free bus kalau siapa ada annual bus rider). Pernah dahulu rakan-rakan saya di London duduk sangat hampir dengan stadium Emirates (Arsenal), tingkap dapur rumah sahabat saya di Cardiff pula siap boleh langut tengok bumbung stadium Millenium Cardiff (sangat dekat!), rakan-rakan di Sydney juga hanya naik bas 30 minit untuk sampai ke Opera House, pantai bersih Nice di selatan Perancis pula ibarat tempat lepak petang-petang untuk pelajar Malaysia di sana.

Pelajar dalam UK juga kalau nak move around, kosnya tak tinggi mana sebab public transport boleh tahan murah dan negara tak besar mana (tidaklah sebesar Amerika Syarikat atau Kanada).

Justeru kadang kala pelajar tak melancong pun. Benda dah ada depan mata, ada di sekitar rumah. Maka pada pandangan saya, tak salah nak bergembira-bergambar. 

Contoh analogi kes adalah begini, pelajar dari Libya di UUM atau UNIMAP Malaysia pun menaiki motosikal kapcai bersama sahabat ke sawah padi berdekatan.Waktu itu padi menguning dan cuaca langit cerah - mereka berselfie lalu memuat naik ke laman sosial. Tiba-tiba kawan di Libya tulis "Korang ni melancong gembira saja aku tengok, kami di sini terseksa!". Tentunya mereka pun terkulat-kulat tak faham apakah sebenarnya salah mereka - sawah padi je pun!

Maka ada kalanya pelajar tak lah 'melancong' sangat pun dan tidaklah memakai wang yang banyak. Tapi saya tak nafikan memang pelajar luar negara ADA yang melancong bagai nak rak - gunakan duit sendiri, duit kerja sampingan, lebihan elaun dan sebagainya. Saya ada tulis isu ini dalam blog ini juga (Aku Segan dengan Kawan-Kawan) dan artikel 'Erti Menjadi Pelajar Luar Negara' di Malaysian Insider (April 2014). Saya kurang setuju dengan mereka yang melancong bagai nak rak guna duit elaun (sampai ponteng kelas, malas buat benda lain yang manfaatkan negara) dan ini hanyalah pendapat peribadi. Saya bukan mufti nak bagi fatwa itu haram, ini halal dan sebagainya. Untuk ketepatan, sila rujuk naqib atau naqibah yang hampir dengan anda. 


P/S: Pelajar UK dapat elaun £880 sebulan (luar London) kerana ada peraturan tetap UKBA yang menetapkan jumlah minimum elaun untuk pelajar antarabangsa.



Pelajar Malaysia zaman saya dulu-dulu, rumah mereka beberapa minit berjalan kaki dari sini. Tapi tak ada lah kalau bola melambung keluar stadium boleh sampai masuk ke bilik tidur mereka. 



Stadium Manchester City - kalau saya keluar pintu pejabat sekarang dah berjalan selama 20 minit ke arah timur, dah sampai ke sini. Bukanlah melancong namanya, hanya jalan-jalan petang mencari erti hidup yang hilang. 


------------

Jawapan Ketiga: Harga ke Eropah ala-ala dinner restoran mahal 


Di Eropah atau khususnya UK, harga untuk ke melancong ke negara terdekat tidak mahal. Tiket flight kadang-kala sangat murah sekitar berbelas-belas Pound. Bahkan pernah ada kurang dari £10 Tiket bas kalau ke bandar-bandar berdekatan, return tak sampai £10. Makan dinner di Nandos pun dah dekat £10. Baik pi melancong daripada makan Nandos haha.

Nak dibandingkan dengan elaun yang dapat, memang pelajar ada kemampuan nak berjalan-jalan. 

Berkenaan isu wang, tidak dinafikan bahawa ini SANGAT bergantung kepada negara mana para pelajar berada. Sesetengah negara, elaun berlebihan maka lebihan ini boleh digunakan untuk tujuan lain. Ada negara, para pelajarnya tak cukup wang sampai terpaksa mencari kerja sampingan untuk wang lebih.

Ada seorang pelajar di Australia, semasa 'usrah' bertanya pendapat saya.:

"Kenapa pelajar UK nampak sungguh bergaya, beli barangan branded pakai lawa-lawa? Kitaorang di sini sewa rumah pun dah separuh duit elaun."

Jawapan saya dengan penuh berhemah sebagai 'abang usrah' kononnya:

"Di UK ada pelbagai musim berbanding dengan di Sydney - UK musim sejuk bawah paras kosong, Sydney katanya hanya sekitar 4-5 darjah Celcius waktu winter. Julat suhu di UK lebih besar berbanding Australia. Jadi pelajar UK terpaksa tukar-tukar jaket ikut musim, Mati la nak pakai jaket winter waktu spring. Selain tu, sesetengah barang branded macam sangat mampu berbanding elaun yang diberikan. Contohnya kasut Clark yang di Malaysia RM400-500, di UK cuma £30 iaitu 3.41% daripada elaun £880 (aku sanggup cari kalkulator nak kira benda ni). Jadi sebab itu di UK pelajarnya nampak macam 'kaya' sikit."

Maka kesimpulan kecil di sini adalah, setiap negara lanskap ekonominya pelbagai. Ada negara purchasing power nya tinggi - 100 nilai mata wang boleh beli bermacam-macam. Ada negara agak lemah ekonominya jadi pelajar kena berjimat sedikit. Kebanyakan pelajar yang nampak hebat, kaya dan melancong ala mak-pak datin tu, datang dari negara yang purchasing power tinggi. Sebab itu bila status Twitter atas viral, pelajar di negara-negara yang agak 'sempit' dari aspek kewangan akan melenting kerana mereka bersusah payah ikat perut (tahan lapar) dan sengkang mata kerja cleaner untuk dapatkan wang lebih.

Saya kurang setuju ada pelajar luar negara mengatakan "Di Malaysia hanya bayar GST 6%, di tempat kami kena 20% tau!" - saya kira anda perlu mengambil kira isu purchasing power dan kekuatan nilai mata wang di setiap negara dalam kes ni.

Di Malaysia, tiket bas mahal. Ke Perlis sahaja dah lebih RM50 - purchasing power berbanding dengan elaun yang diterima sangat rendah. Maka sebab itu tak ramai pelajar dalam negara melancong (kecuali balik kampung). Tapi tak dinafikan juga, tiket ke lokasi pelancongan berdekatan seperti Krabi dan Bali ada kalanya murah - mungkin pelajar dalam negara boleh mula simpan duit dan sambar tiket-tiket murah Air Asia untuk melancong.

Seperkara lagi, kebanyakan yang anda nampak melancong sana-sini tu adalah pelajar yang bujang dan undergraduate. Selalunya yang dah berkeluarga (Phd selalunya), mereka sering kali ada masalah kewangan sebab nak tampung keluarga. Kebanyakan mereka akan kerja part time dan masa lain terpaksa urus anak dan sebagainya. Maka golongan ini tidaklah selalu menggembirakan diri dengan melancong - hanya kadang-kala bila status kewangan mengizinkan.

Maknanya di sini, tak boleh pukul sama rata lanskap ekonomi di semua negara. Juga antara pelajar bujang dan yang dah berkeluarga.


Tak gembira melancong di sini, mai kena buat kerja. Sempat la sat rendam air laut Coogee tu pun sejuk tahap teh ais Malaysia.

-------------

Jawapan keempat: 'Kemampusan' belajar ada di mana-mana


Belajar di mana-mana pun susah. Ada sahabat yang pernah belajar di luar negara (UK) dan Malaysia mengatakan di UK super kali ganda payah. Tapi ada yang kata, sama saja tahap kesusahan - hal ini bergantung kepada course. Antara cabaran lain belajar di luar negara adalah tiadanya rakan sekelas sesama Malaysia untuk ulang kaji - nak kawan rapat dengan Mat Salleh ada banyak tak kena dari aspek budaya dan sebagainya (tapi ada juga pelajar yang mampu bergaul dengan baik). Peer pressure orang dari negara lain hebat sangat dan banyak lagi tekanan yang lain. Itulah cabaran belajar di luar negara.

Di Malaysia, tidak dinafikan memang ada kesusahan tersendiri. Yang saya difahamkan, jadual kadang-kala pack (sampai ada kelas malam, sedangkan di Manchester kelas akan tamat jam 6 petang paling lambat). Rumah jauh dan campur dengan traffic jammed lagi - masa belajar tak berapa ada. Penat dan sebagainya.

Kalau nak bandingkan kepayahan modul, rasanya sama sahaja. Pelajar kejuruteraan mekanikal di Manchester juga belajar numerical method yang menyerabutkan, di UNITEN juga belajar ilmu yang sama. Tidaklah ada pelajar kejuruteraan mekanikal negara lain sekadar belajar hanya F=ma dan belajar pertukangan tahap Kemahiran Hidup tingkatan 3 sahaja.

Pelajar di Manchester pun ada yang fail exam, ada yang berkampung di perpustakaan siang malam untuk belajar, menangis-nangis homesick dan sebagainya. Cumanya tak sampai hati nak selfie dengan buku bertimbun dan air liur basi (sebab tidur atas meja library)!


Makan luar selalu mahal, nak masak tak ada masa - maka kita makan ala kadar satu lauk begini pun dah layan. Kari tak payah nak fancy, campak saja apa yang ada. Yeha! Kedai mamak? Kirim salam saja la.


--------------

Jawapan kelima: Pelajar luar negara tak perlu pergi kenduri khatan anak saudara pada hujung minggu 


Fancy gila tajuk jawapan. Layan saja.

Apabila saya tamat pengajian kejuruteraan mekanikal di Manchester, saya berhajat sambung Phd jadi terfikir nak sambung di Malaysia atau kekal di Manchester. Ada seseorang memberi pandangan:

"Baik hang dok Manchester saja, balik Malaysia nanti banyak distraction. Tambah kalau hang kawin, lagi lah!"

Tak dinafikan bila belajar di luar negara (terutama untuk yang bujang dan undergraduate), akan ada banyak masa terluang. Kelas hanya dari jam 9 sehingga 5 petang dan weekend tidak ada sebarang aktiviti universiti. Tak ada kawad kaki wajib ka, tak ada taklimat wajib dan sebagainya. Bermakna, hujung minggu adalah masa untuk diri sendiri.

Disebabkan masa lapang ini, para pelajar boleh gunakan untuk pergi berjalan-jalan selain belajar. Hal ini ditambah lagi dengan fakta bahawa tiket-tiket bas, tren atau flight sangat affordable (di UK)

Saya dapat rasakan di Malaysia akan banyak komitmen untuk keluarga, ada satu hujung minggu yang kita lapang, tiba-tiba dapat SMS dari ibu ayah:

"Eh minggu ni kenduri khatan Adik Mail, hang jangan tak pi!"
"Hujung minggu ni balik la rumah tengok nenek...."

Bila habis komitmen keluarga, nah minggu depan ada 3 kenduri kahwin sahabat - di Klang, Tanjung Malim dan Kajang - masa hujung minggu digunakan untuk memenuhi jemputan keluarga/kawan.

Bila di luar negara, segala kegiatan ini tak dapat dilaksanakan atas faktor geografi (ramai yang meroyan sebab tak dapat balik kakak-abang kahwin dan sebagainya). Maka pelajar luar negara ada masa lebih disebabkan komitmen keluarga yang tak boleh dilunaskan. Jadi kerana itu nampak 'happy' dan boleh ada masa untuk melancong dan belajar.

Dari sudut yang lain, ada yang kematian ibu, ayah dan saudara terdekat semasa belajar di luar negara lalu terpaksa beli tiket saat akhir yang mahal. Bila sampai, tak sempat menatap wajah orang tersayang buat kali terakhir kerana telah dikebumikan. Sedih, itulah antara cabaran pelajar luar negara - kena bersedia untuk hal-hal mengejut sebegini.

------------

Jawapan keenam: Budaya Mat Salleh, petang study malam melingkup di kelab malam


Malam minggu kalau di Manchester kau akan nampak Mat Salleh berhuha-huha macam haram. Seolah-olah exam dah habis walhal minggu depan ada paper. Tapi sebenarnya, itu budaya kerja Mat Salleh. Petang belajar, malam bersuka ria. Esok sambung belajar balik. 

Waktu berhibur, berhibur sungguh-sungguh (melancong contohnya). Waktu belajar, belajar betul-betul (belajar sampai tahap nak mampus).

Sama juga sebagai pelajar Phd, rakan Mat Salleh kebanyakannya masuk pejabat jam 9 pagi dan balik 5 petang. Kami yang Malaysian ni banyak menyembang, makan biskut, buat air teh, singgah kedai makan bila balik dari surau dan sebagainya. Mat Salleh agak cekap dalam membahagikan masa kerja dan peribadi. 

Disebabkan budaya ini, pelajar di Manchester terbiasa untuk membahagikan secara tepat antara waktu bersuka ria (melancong) dan waktu belajar dengan cermat. Kerana itu ada waktu kita lihat pelajar ini berjalan punya sakan (relaks, no pressure) tapi ada kalanya senyap saja di Facebook sebab tengah bersilat-berkungfu di perpustakaan atau 'gua' masing-masing.


Saat rakan Mat Salleh fokus buat kerja sebab malam nanti nak berjimba di kelab malam, orang Melayu tak akan lekang dengan makanan - tin biskut (sebelah kiri gambar), pencuci pinggan (sebab selalu makan), biskut (berhampiran keyboard), juga gambar kucing di desktop yang selalu menghilangkan fokus.

Baik cukuplah kot panjang sangat nanti ada yang tertidur membacanya (ke dah ada yang tidur huhu). 

----------

Kesimpulan daripada apa yang ditulis di atas:

  • Pelajar luar negara tidak harus terlalu 'defensive' dalam hal ini. 
  • Hanya kegembiraan dikongsi di media sosial, sebab itu kita hanya dapat lihat pelajar luar negara bersuka-ria (melancong, makan) dan tiada gambar menangis huhuhu di depan Skype bila call family.
  • Setiap tempat ada kebaikan dan keburukan - ini kesimpulan paling klise tapi tetaplah kena tulis di sini. 
  • Kita akan sentiasa merasakan orang lain lebih bahagia daripada kita. Saya sendiri pun semasa menulis ini sangat cemburu dengan rakan-rakan penulis di Malaysia kerana dapat ke Pesta Buku di PWTC dan promosi buku masing-masing. Saya hanya mampu duduk depan komputer dan makan buah oren huhuhu. Kerjaya penulisanku semakin dihimpit kesibukan dan kedudukanku di Manchester yang jauh dari penulis-penulis lain di Malaysia. 
  • Ada perbezaan ketara komitmen masa dan kewangan antara mahasiswa yang bujang dan yang sudah berkeluarga apabila di luar negara. 
  • Isu ini tak perlu diperbesar sangat sebabnya masih banyak lagi isu rakyat yang lebih penting untuk diselesaikan oleh para mahasiswa. Isu ini terlalu kecil jadi saya anjurkan pelajar luar negara dan dalam negara silalah 'berdamai'. 
  • Secara peribadi, saya tak suka pelajar luar negara yang boros dan berbelanja melebihi keperluan yang anda. Melancong itu saya kira perlu sebab rugi kalau pelajar hanya datang belajar sedangkan ada ruang untuk mengembara, tapi janganlah pula melebih-lebih kalah mak datin. 
  • Melihat dari sudut positif, status Twitter di atas sebenarnya adalah pencetus pelajar luar negara untuk muhasabah kembali hidup di luar negara dan sedar bahawa kita telah guna banyak duit rakyat - jadi harus memikir cara untuk sumbangan semula kudrat kepada negara. 
  • Saya ucapkan terima kasih kepada penulis Twitter berkenaan kerana 'menegur' pelajar luar negara, walaupun dilakukan dengan cara sinis dan retorik. 
TAMBAHAN - kepada yang baca post ini selepas jam 3.07 petang, 29 April 2015 (waktu Malaysia) - saya masukkan gambar di bawah ini sebagai tambahan. 


Ada banyak lagi isu-isu lain nak dibincangkan berbanding isu ini - insyaAllah semoga tulisan ini mencerahkan. Kartun ini karya sahabat saya yang juga merupakan bekas rakan serumah saya di sini, Sabirin


Artikel ini sesuai dibaca dengan tulisan saya sebelum ini iaitu:

1) Erti Menjadi Pelajar Tajaan di Luar Negara - Malaysian Insider, April 2014
2) "Tuan, tahu tak saya dapat semua A" - Malaysian Insider, Mei 2014
3) Aku, Segan dengan Kawan-kawan - blog ini, September 2013
4) AWAS, pelingkup Easter break (kisah berkenaan kes-kes jenayah yang berlaku pada pelajar Malaysia semasa melancong)- blog ini, Mac 2012

Ragam hidup suka-duka di Manchester juga saya abadikan dalam buku travelog saya, Manchester Aku Mai.

Selamat maju jaya semua! Maaf salah silap.


(Saya menulis blog ini sambil membaca journal paper, harap tidak ada istilah engineering terlompat masuk ke sini huhu)

Maaf post berwarna-warni, abang memang suka kaler-kaler, ahaks.