Friday 6 January 2012

AWAS, 'Jenayah' di Perpustakaan!

Saya punya banyak artikel untuk dikarang - namun yang ini didahulukan atas sebab musim peperiksaan yang sedang hangat berlangsung. 

(Terfikir juga, ramai yang mengadakan Perhimpunan Musim Sejuk, atau Perhimpunan Musim Bunga disusuli dengan Perkhemahan Musim Panas. Tak mahukah buat Perhimpunan Musim Exam? Atau Perhimpunan Musim Durian, Musim Langsat, Musim Tengkujuh, Musim Orang Demam - oh ya tidak ada kaitan dengan tajuk. Abaikan! Tiada offence kepada sesiapa sekadar terbit di benak fikiran secara tiba-tiba)

Saya sebenarnya bukanlah seorang yang gemar belajar di perpustakaan - dahulu. Saya sering melabelkan orang-orang yang ke perpustakaan sebagai 'berlagak belajar' ataupun 'penipu' dan sebagainya. Saya begitu tebal dengan sentimen 'belajar di bilik lebih bermanfaat' atau 'tidak harus mengusung buku ke sana ke mari'. Malah pernah juga saya menganggap belajar di perpustakaan adalah tanda 'penakut, pengecut dengan godaan di bilik'.

Itu dahulu. Semasa zaman muda - seluar yankee dan cermin mata hitam (wah, over specified!). Namun sekarang saya sudah mula rajin ke perpustakaan. Belajar dengan gembira, membawa limau sebagai bekal lunch, dan mencuri-curi makan biskut chips coklat yang enak semasa menelaah.

Sebabnya? Begitu banyak jenayah yang berlaku di dalam bilik tidur sendiri yang menyebabkan saya keluar belajar di tempat lain. Para pembaca boleh mencari sendiri apa jenayah masing-masing namun ini masalah-masalah yang sering saya temui:

Encik Jacobian yang merungsingkan ramai orang
1) Belajar di hadapan laptop kemudian tertekan Youtube. Mulanya elok molek mencari berkenaan "What is Jacobian" namun akhirnya meleret ke video lain seperti Lembu Nak jaga, Tidak Tenang dan sebagainya. (Jacobian bukanlah jenama biskut)

2) Berehat sebentar - powernap orang cakap. Lima minit sudah memadai kerana otak tepu dengan rumus dan pengiraan. Akibatnya terlajak jadi 5 jam kemudian nak sambung semula otak pula tepu dengan mengantuk.

3) Pergi ke dapur untuk minum air. Namun akibat terserempak dengan daging burger dan kunyit maka dibuat pula burger masak kunyit yang mengambil masa sejam (ada kah resepi burger kunyit?).

4) Sedang belajar anda terserempak burung comel di luar tingkap. Mengambil SLR anda untuk menangkap gambarnya. Anda memakai jaket untuk keluar rumah untuk mendapat angle lebih menarik. Anda tersesat di luar rumah. Dan akhirnya berakhir dengan membeli Footlong di Subway berdekatan. 

5) Take five kononnya dengan meregangkan badan. Namun bila ada kawan serumah lain yang turut take five, maka berakhir dengan main futsal selama dua jam bersama sepuluh lagi kawan-kawan yang kebetulan sedang take five juga. Alahai! (Awat ampa tak buat kelab nama Take Five ja!)


Begitulah jenayah-jenayah di rumah. Disebabkan jenayah-jenayah ini maka ramai pelajar gemar untuk ke perpustakaan. Di Manchester sendiri pun, bersepah-sepah kanak-kanak comel ke John Ryland Library, atau Joule Library atau Jazeera (abaikan yang terakhir).

Namun, adakah pergi ke perpustakaan bermakna anda bebas daripada gejala-gejala negatif (atau saya katakan sebagai 'jenayah')?

Enak rasanya mendengar bait-bait "Saya ke perpustaakaan!". Kalau calon ibu bapa mertua mendengarnya pastinya terlonjak-lonjak kerana bakal menantu rajin menelaah. Pada bayangan mereka, wah - menantu yang rajin - cucu pasti mengikut jejak langkah. Superb dan perfect!

Muhung sangat aih ampa ni.

John Ryland University Library - Manchester
Setelah dilihat, diteliti dan dikaji-kaji - di perpustakaan juga ada 'jenayah-jenayah' tertentu! Mungkin ada antara kita sedari - atau mungkin ada yang larut dan berasa 'puas' belajar kerana telah datang ke library sedangkan kawan-kawan lain melingkup di rumah - menonton bola sepak di kaca TV atau setidak-tidaknya membakar roti coklat di dalam oven selama empat minit sebagai hidangan pagi (apa punya contoh ni?).

Berikut merupakan jenayah-jenayah yang saya dapat kenal pasti. Oh ya, mungkin berlaku pada saya, pada junior pada pelajar Phd dan sebagainya. Paling penting - ambil iktibar dan tak perlu meluruskan jari telunjuk kepada orang lain ya!

(Awat pengenalan post ni panjang sangat? Baru nak masuk point sebenaq. Cis)

Senarai Jenayah Perpustakaan

1) Kita membawa Ipod, Ipad atau Galaxy Tab ke tempat belajar dengan niat yang berbunga di hati - "Eee. I ni stress tau kalau tak ada hiburan. I cepat boring.". Baiklah. Namun kita menyemak gadget kita tersebut lebih kurang 5 minit sekali. Alasannya kita membaca nota kuliah elektronik tetapi hanya 1% manakala yang lain beralih kepada Twitter, Facebook, Livescore, Ebay, 4shared, google search on 'bagaimana kahwin awal' dan sebagainya.

Walaupun comel namun oren juga boleh menyebabkan masalah buang masa

2) Kita membawa limau dan buah-buahan lain sebagai lunch. Katanya kita mahu lunch di meja sahaja kerana tidak membuangkan masa. Disebabkan kita membawa lebih dari satu biji maka kita makan (katakan, pisang) setiap 5 minit sekali. Disebabkan makan maka kita perlu membasuh tangan. Jadi makan buah + basuh tangan di tandas = makan masa selama 5 minit. Kita lakukan setiap 5 minit kita belajar. Jadi dalam masa sejam kita hanya belajar 30 minit!

(Konsep makan buah untuk lunch adalah penipuan semata-mata kerana kita makan kerap sangat. Akhirnya waktu lunch kita membeli take away di luar juga.)

3) Di Manchester, waktu solat rapat antara Zohor, Asar dan Maghrib. Kalau jemaah di Mcdougall Prayer Hall, Zohor jam 1.15 pm, Asar 1.45 pm dan Maghrib 4.05 pm. Maka kita pun mengikut jemaah surau dengan tepat. Betul, memang besar berkat dari0Nya kalau bersolat jemaah di masjid. Masalahnya, adalah diri kita sendiri. Walaupun sebenarnya perjalanan ke sana, solat, wirid, baca Quran dan sebagainya hanya mengambil masa 30-45 minit. Namun ada hal lain menganggu di tengah jalan, seperti:

a) Eh, nak beli sandwich!
b) Sembang-sembang mengenai video terbaru Youtube dengan kawan di tengah jalan (baca: jalan perlahan yang amat)
c) Jalan lenggang kangkung kerana mahu melepaskan tekanan (sebenarnya cuma belajar sejam)
d) Tidur di dalam perjalanan (not applicable in this case)
e) Dah sampai balik meja belajar di perpustakaan, rasa penat kerana masjid/surau terlalu jauh. Kemudian menonton video di Youtube (melalui Ipad) dengan kata kunci "Cara Menghilangkan Penat"

Amaran keras: Dilarang tidak solat kerana sibuk belajar. Kita mempertuhankan buku atau Allah? Siapa pemilik semua ilmu ni?

4) Kita belajar bersama sahabat handai. Dengan harapan, kita tidak sunyi dan boleh bertanyakan soalan jika tersangkut belajar. Hakikatnya, kita mengajak sahabat bersembang hal lain dan lebih teruk ada yang bermain aci sembunyi di dalam perpustakaan (aku teka sahaja, ada ka?)

5) Kita mahu meregangkan badan maka kita pun berjalan-jalan di dalam perpustakaan. Kemudian terjumpa sahabat A yang lama tidak ditemui. Kemudian jalan lagi. Dan bertemu sahabat B dan C (pasangan baru berkahwin). Kemudian kita rasa down sebab belum berkahwin dan tidak mempunyai pasangan. Akhirnya kita balik tidur untuk menenangkan perasaan. Esoknya kita kelam kabut kerana barang-barang semuanya tertinggal di perpustakaan (lupa nak ambil semasa pulang kesedihan, apa punya loser la hang ni)

Cukuplah agaknya contoh-contoh jenayah. Anda boleh fikir dan tambah sendiri mengikut kesesuaian.

RINGKASAN AKTIVITI HARIAN SEORANG PENJENAYAH DI PERPUSTAKAAN

Berikut merupakan jadual waktu yang melibatkan seorang penjenayah (dicipta sendiri ya, kalau sesiapa terasa harap dimaafkan):
Di UK, banyak juga kedai Subway yang halal


8.00 am: Keluar rumah
8.15 am: Berhenti Subway (berhampiran Whitworh Park) untuk membeli breakfast
8.30 am: Tiba di perpustakaan dan mencari meja
8.45 am:
Menjumpai meja dan berkata "Okay, pukul 9 mula belajar!". Main Ipod dahulu
9.00 am:
Mula belajar
9.15 am:
Lapar dan segera makan Subway
9.30 am:
Sambung belajar
10.00 am:
Sahabat datang dan duduk di sebelah. Menunjuk telefon bimit yang baru dibeli
10.05 am - 11.00 am:
Mencuba telefon bimbit baru milik sahabat anda.
11.00 am - 11.45 am:
Belajar semula
11.45 am: Tak faham. Mencari computer cluster untuk mencari nota di internet
11.45 - 1.15 pm: Tersangkut depan komputer kerana pautan Ombak Rindu sudah muncul di laman sesawang artis
1.15 pm- 2.00 pm: Solat Zohor, Asar dan membaca Al-Quran
2.00 pm: Berlari semula ke perpustakaan kerana tahu sudah banyak membuang masa. Belajar kembali
3.00 pm:
Sahabat membawa makanan sempena hari jadi sahabat yang lain. Makan dan melepaskan tekanan
4.00 pm: Solat Maghrib di masjid. Sembang dengan seorang kawan Arab dalam Islamic Society
5.00 pm: Kembali ke perpustakaan dan belajar.
6.00 pm: Penat, tanya sahabat serumah 'Wei, dinner dah masak?'. Bermain Ipod untuk menghilangkan penat
7.00 pm: Pulang dengan jaya dan berkata "Wei aku 11 jam study wooo"
7.10 pm: Kawan anda berkata "Hang ni bodo sungguh la" setelah menyiasat jadual anda untuk hari ni
7.30 pm: Bertaubat tak mahu mengulangi
8.00 am (esok): Jadual sama diulangi

KESIMPULAN

Sama ada belajar di perpustakaan atau di rumah, semuanya bergantung kepada kita. Tidak guna kalau kita mendabik dada melepak di perpustakaan selama 12 jam namun hakikatnya kita membaca sedikit sedangkan yang lain melepak tak tentu hala. Kita terlalu mengejar kuantiti dan bukan kualiti. Kita mahu study smart dan bukan study hard!

Kita akan mudah perangkap dengan keseronokan berada di perpustakaan terlalu lama. Kita akan rasa seperti "Fuh, dah cukup belajar hari ni!". Akibatnya, balik rumah kita lempar terus buku dan membuat hal lain. Walhal, kualiti masa kita di perpustakaan tidaklah bagus mana. Semuanya disebabkan segala jenayah yang disebutkan di atas tadi. Akhirnya, kita gagal bersedia untuk peperiksaan dengan baik.

Hal ini sama juga dengan perasaan 'puas' setelah ke kelas tambahan atau tuisyen. Kita akan merasakan 'cukup' belajar padahal apa yang diajari guru tuisyen hanyalah secubit dua manakala ada selonggok lagi hal yang tidak kita faham. Justeru, harus bijak menilai diri dan jangan pernah rasa puas dalam belajar. 

Ingat, jangan kita terperangkap dengan jenayah-jenayah di perpustakaan! Tumpu, fokus dan jangan disebabkan kuantiti kita berasa terlalu selesa dan merasakan diri sudah cukup belajar untuk menempuh peperiksaan.

Selamat belajar dan semoga kita berada dalam redha dan rahmatNya.

Sekian.

Shahkang 
- yang sebenarnya sedang melakukan 'jenayah' komputer di perpustakaan John Ryland. Sesiapa sila datang menangkapnya dengan lekas. 

Sumber gambar
1-http://http.developer.nvidia.com/GPUGems/gpugems_ch42.html
2- http://manchesterhistory.net/manchester/tours/tour8/area8Bpage11.html
3-http://www.militarytocivilianfitness.com/nutrition/orange-you-glad-oranges-are-good-for-you/
4-http://www.subway.co.uk/menu/halal.aspx

4 comments: