Sunday 1 January 2012

BONEKA

Masa untuk mengkritik kelakuan diri sendiri. Siapa mahu sertai? Jangan ada yang mengamuk pula!


1. Artikel ini ditulis atas nama muhasabah. Perihalnya dicampuk aduk dan tidak dihala kepada mana-mana orang perseorangan atau pihak tertentu. Justeru, sebarang prasangka dan tuduhan sewajarnya tidak berlaku. Sila fokus kepada penyampaian serta intipati penghayatan dan bukan kes-kes atau keadaan yang terlibat. Jika ada kebetulan terkena saudara mara anda, atau kucing peliharaan anda - itu kebetulan

2. Apakah yang dimaksudkan dengan Boneka? Nah, segan sekali mencari maksudnya di mana-mana buku teks atau setidak-tidaknya di Kamus Dewan maya. Biarlah penceritaan ini sendiri menjelaskan maksud boneka dengan lebih terperinci. Bukan sekadar maksud semata-mata, tetapi istilah yang mengendong bersama seribu persoalan yang tanda tanya yang tidak pernah habis. 

3. Secara asasnya, kehidupan seekor Boneka sememangnya tersusun. Hal ini disebabkan Ketua Boneka akan menentukan hala tuju si Boneka - ke kiri, kanan, depan atau naik ke atas. Dan Boneka taat tanpa sebarang bantahan kerana ketuanya itu - sentiasa betul. Sentiasa. Sentiasa!


4. Boneka mengaku pada keadilan. Dia akan membaca ayat-ayat menyokong keadilan dan pada asalnya dia akan mencagak panji keadilan setegak mungkin. Sampailah saat kumpulan bonekanya membuat fasal. Tika itu dia akan menjadi senyap seperti tikus kenampakan kucing. Atau pegun seperti boneka-boneka lain di pasaraya (bahagian kanak-kanak, pastinya). Sampailah kesalahan kumpulan bonekanya sudah lenyap, dan timbul pula salah-salah di pihak yang lain - maka Boneka ini akan kembali semula di landasan menegakkan keadilan - di paling hadapan dan paling bersemangat! 

5. Apabila Boneka diangkat menjadi pemimpin (sebuah kumpulan manusia - sebesar negara mahupun sekecil kumpulan di tempat kerja), yang menjadi keutamaannya bukanlah ahli-ahli kumpulan sebaliknya barisan kepimpinan Boneka yang berselindung di balik pemimpin yang seorang ini. Boneka seperti bidak papan catur yang menjalankan arahan ketua Boneka. Boneka pun diangkat bukan atas persetujuan semua ahli kumpulan tapi sebaliknya melalui konspirasi si Ketua Boneka yang merancang stratergi begitu rapi agar boneka dapat diangkat untuk dua tujuan. Tujuan pertama, menggunakan Boneka untuk membolot apa sahaja peluang yang ada sebagai seorang pemimpin dan kedua, juga dan masih juga - membolot apa sahaja peluang yang ada sebagai seorang pemimpin. Apa sahaja peluang, asalkan menyebelahi pihak Boneka dan bukan pihak-pihak yang lain. 

6. Kesannya, kepimpinan kumpulan yang diketuai atau dianggotai oleh golongan Boneka akan mudah ranap. Ranap kerana kebangkitan ahli-ahli bukan boneka yang berasa tertindas. Tanggapan bertubi-tubi menjadi buruk kerana ramai tahu pemimpin mereka adalah geng Boneka meskipun dinafi berkali-kali oleh si Boneka berkenaan. 

7. Si Boneka hanya melakukan keputusan demi memuaskan nafsu-nafsu ketua kumpulannya. Kebanyakan keputusan akan memihak kepada kumpulannya walaupun ada satu dua keputusan tidak penting memihak kepada golongan bukan boneka. Dan alasan yang sering digunapakai adalah "Kan saya sudah berlaku adil tempoh hari?". Betul memang betul. Namun ayat lengkap bagi pernyataan tersebut adalah "Kan saya sudah berlaku adil tempoh hari? Tidak bolehkah pada hari ini saya mahu menindas ahli-ahli kumpulan yang lain? Saya adalah seorang pemimpin yang adil, bukan?". Ternyata, kata-kata tersebut sedikit menjengkelkan sekurang-kurang dari pandangan seorang ahli kumpulan. 

8. Pernah juga terjadi, Boneka cuba untuk berkeras dan membuat sesuatu keputusan demi keadilan sejagat. Namun keputusan tersebut ditukar-tukar pula atas arahan ketua Boneka yang merasakan keputusan tersebut tidak memihak kepada periuk nasi si ketua Boneka. 

9. Boneka juga akan melingkupkan tanggungjawab (sebagai pemimpin atau apa sahaja jawatan dalam kumpulan). Pabila serangkai tanggungjawab diberikan kepadanya, yang menjadi hala tuju adalah suara-suara ketua Boneka mereka berbanding manusia lain yang ternyata lebih ramai dan mempunyai hak yang lebih. Boneka kecut, kerana masa depannya bergantung kepada ketua Boneka. Ketua Boneka seperti mandur yang memegang rahsia besar Boneka lantas membuatkan Boneka kerdil untuk bersuara dan hanya mengikut kata-kata tanpa menimbang tara akan kebenarannya. 

10. Boneka juga cepat naik angin kalau perihal masyarakat Bonekanya dicucuk. Walhal sewaktu dia mencucuk kelompok lain, dia akan berkata "Salah kita mengkritik? Mengkritik tandanya menegur bukan menghukum!". Namun apabila kumpulan bonekanya didapati berada dalam keadaan bersalah, Boneka akan senyap seolah-olah dia adalah seekor boneka yang dijahit mulutnya atau dia akan menjadi boneka yang betul-betul boneka yakni keras seperti kayu besbol. Sampailah isu tersebut selesai, dia kembali menjadi boneka yang bisa bercakap-cakap. Lebih mengharubirukan, apabila ada pihak tertentu mengkritik manja kumpulan bonekanya - lalu dia akan bersilat, bercanggung dan bermantera untuk melawan kembali!

11. Tanyalah pada diri kita, sama ada kita seekor Boneka? Atau berkawan Boneka? Atau akan menjadi boneka? Rela menjadi Boneka? Atau dahulu Boneka dan sekarang menjadi sebenar-benar manusia? Atau hal Boneka ini suatu ilusi penulis? Atau boneka itu tidak hidup sifatnya? Atau menjadi boneka adalah sebaik-baik keputusan yang boleh dibuat?

12. Aku cuba untuk tidak menjadi boneka. Aku CUBA, bermakna aku masih belum berjaya.

13. Muhasabah malam ini. 

Sumber gambar:

No comments:

Post a Comment