Sunday 28 April 2013

Cerpen: Be'ah Mukakitab



Cerpen hasil tulisan saya ini ini telah disiarkan di Berita Minggu, 21 April 2013



BUKANLAH sesuatu yang aneh buat Be’ah untuk menopang dagu di hadapan Mukakitab berjam-jam lama. Usai Isyak santak kemunculan fajar merah di kaki langit, Be’ah acap kali menikmati simfoni malam bersama kemas kini mutakhir dari laman sosial maya Mukakitab.

Adapun Be’ah menghadapi kekacauan minda semenjak dua ini tatkala gambar dulang hantaran kerap muncul di Mukakitab. Sahabat seangkatan seorang demi seorang melangkah ke jinjang pelamin. Inai merah kesumba membalut jari dan sulaman manik busana pengantin berkilau-kilau ditempuh cahaya kamera. Be’ah sekadar mampu menelan liur.

"Catriona? Catriona Kabaret?" Keserabutan rasa memuncak setelah gambar Catriona berdampingan dengan jejaka janggut pandak dan berserban putih menikam saraf anak mata.

Catriona Kabaret selamat dinikahkan? Be’ah mengalih tetikus, akaun Mukakitab milik suami Catriona menjadi tatapan. “Beruntung Catriona! Suaminya warak sekali.” Himpunan ayat al-Quran dan potongan hadis sahih menjadi sajian kepada pengunjung laman.



Renggutan jiwa Be’ah singgah-menyinggah. Selepas Catriona, sahabat seangkatan lain turut mengikut jejak yang sama. Halaman Mukakitab masing-masing sebu dengan warna tema majlis perkahwinan dan kalungan tahniah daripada teman-teman.

Be’ah semakin tidak keruan. Memikirkan tampang muka yang dihinggap jerawat batu dan berona kulit langsat ranum, apakah ada jejaka sudi memandangnya walau sekilat? Jejaka pilihan bukan mahu semberono dipilih di kaki jalan, harus punya pegangan agama dan prinsip jati diri yang teguh. Tapi, bagaimana dan di mana boleh dicari? Be’ah dibelit gusar.

 
Ah sebentar, Abang Ghani dan Kak Rogayah! Kenapa tidak mohon bantuan mereka sahaja mencarikan pasangan? Wajah pasangan berusia 50-an yang aktif dalam gerak kerja dakwah itu muncul perlahan-lahan di layar minda yang kini disuluhmentol idea.

Ghani dan Rogayah tidak punya halangan untuk membantu, sementelahan perkara mulia di sisi agama yang ditagih Be’ah. Satu pertemuan suai kenal diaturkan di sebuah restoran di ibu kota bagi mempertemukan Be’ah dan calon pilihan yang mereka kenali.

“Boleh saya minta akaun Mukakitab?” Soalan permulaan Be’ah kepada calon suami mengisi kesunyian ruang utama restoran. Meski ditampar rasa hairan, si calon suami tetap memberikan nama akaun tanpa menyoal lebih lanjut.

“Maaf saya harus ke tandas sebentar.” Be’ah bingkas bangkit.

Sebaik pintu tandas dikunci, nama akaun yang baru diterima segera ditaip menerusi telefon bimbit pintarnya yang dilengkapi kemudahan internet 3G.

Halaman Mukakitab calon suami yang sedang menunggu di meja makan restoran terpampang kini. Dibuka di bahagian tulisan, kosong. Hanya ada coretan pendek berbunyi seperti ‘sudah tiba jam menyepak bola!’, ‘malam ini begitu sunyi’ dan ‘menonton program nyanyian di Saluran 1, hebat sungguh penyanyi kecil molek itu!’.

Be’ah menggerenyet bibir menandakan benci. Dia tidak terus duduk setelah kembali di meja pertemuan. Dia membisikkan sesuatu kepada Rogayah sebelum berlalu tanpa sebarang titipan selamat tinggal kepada hadirin yang lain.

“Kenapa Abang Ghani dan Kak Rogayah mencarikan aku manusia sedemikian? Nonsense!” Be’ah membentak sendiri walaupun pertolongan pasangan suami isteri itu masih tetap ditagih. Mereka satu-satunya harapan untuk dia bertemu bakal suami mithali.



Perjumpaan kali kedua diatur di lokasi serupa.

“Maaf, saya perlu bercakap telefon sebentar.” Be’ah mohon meninggalkan perjumpaan sejurus nama akaun Mukakitab calon suami berjaya diketahui.

Nyaris-nyaris Be’ah menghempas telefon bimbitnya ke lantai tandas. Dia lebih rela skrin itu retak lalu berkecai. Tidak sanggup dia melihat profil Mukakitab calon suami terbarunya ini yang penuh dengan gambar kartun Jepun dan kotak-kotak dialog yang tidak dia mengerti walau sepatah pun. Dia menyentuh segmen ‘Biodata’ dan kemudian ‘Cita-cita’ di skrin telefon. Tiada satu pun ciri-ciri suami soleh dipunyai oleh jejaka ini! Be’ah benar-benar dirasuk amuk.

“Tak mungkin kaki komik Jepun menjadi suamiku! Bagaimana mahu mewujudkan suasana Islamik semasa mendidik anak-anak kelak. Entah nanti anak-anak berperangai kartun!” Dia menolak daun pintu tandas, menuju semula ke ruang utama restoran. Wajah kelat Be’ah dari kejauhan sudah dapat ditafsir Ghani dan Rogayah. Be’ah membuat isyarat berbentuk ‘T’ dari jarak 20 meter dan berlalu meninggalkan restoran tanpa sebarang pesanan terakhir buat calon suaminya.

Adapun hal ini berlarutan sehingga berbelas-belas pertemuan. Aturcaranya tetap sama. Be’ah akan terlebih dahulu bersuara dan meminta akaun Mukakitab calon suami.Dengan sopan dia mohon meninggalkan perjumpaan sebentardan kemudian tiada lagi bayang tubuh gempalnya akan kelihatan.

“Aku mahukan teman hidup seperti kepunyaan Catriona Kabaret!” Keinginan terus menekan-nekan keras perasaan. Setiap waktu dia akan bertandang ke laman Mukakitab Catriona, memandang penuh minat foto-foto kebahagiaan Catriona dan suami. Mengecapi bulan madu di Istanbul. Suka sekali dia duduk di riba suami mendengarkan kisah pembukaan Constantinople oleh Al-Fatih. Debur Bosphorus menjadi teman sambil si suami membisikkan ayat-ayat suci. Takdir begitu kejam, tidak menyebelahiku. Be’ah merungut.

Halaman Mukakitab terus ditelaah saban malam. Dengan buakan semangat mencari pasangan, ketekunan sedia ada menokok lebih tinggi. Dia ligat mengetik butang kiri tetikus komputer, melompat dari satu halaman ke halaman lain.

Alangkah bahagia kalau punya pasangan hidup yang diredhai-Nya

Satu kata-kata hikmat yang dikongsi oleh seorang rakan muncul di skrin utama. Jon Alphabet, gambar profil berlatar belakangkan padang pasir dan langit lazuardi persih. Pemilik akaun segak berdiri dengan pakaian jubah coklat cair dan kopiah putih.

“Inilah, inilah orangnya!”



Be’ah menghubungi Ghani dan Rogayah segera bagi mempertemukan dia dan Jon Alphabet. Persetujuan dimeterai tanpa prosedur yang sulit. Jon Alphabet dan Be’ah bernikah dalam satu majlis ringkas dihadiri sanak-saudara dan teman rapat sebulan kemudian.

Perkahwinan membawa Be’ah menelusuri arus bahagia. Jon Alphabet punya lagak bagai suami Catriona yang begitu gah berdakwah dalam Mukakitab. Pengikutnya yang kian berlaksa-laksa di Mukakitab mengembangkan lagi rasa bangga Be’ah. Aku bersuamikan seorang pendakwah Mukakitab terkenal! Be’ah menempik sendiri dengan penuh kesukaan.

Pada suatu Subuh nan hening, Jon Alphabet menulis:

Alhamdulilah, tiba untuk solat jemaah Subuh di masjid! Rakan-rakan bagaimana?
10 871 pengguna klik suka, 450 orang menitip komen dan 103 kali dikongsi.

Be’ah menyungging senyum. Dia menggeliat dan menuju tandas untuk berwuduk. Subuh bakal mengetuk pintu angkasa pada bila-bila masa sahaja.

Dia memaling semula tubuh ke katil. Jon Alphabet masih dibaluti selimut.

“Barangkali dia sudah pulang dari solat jemaah. Aku yang ralit dan terlambat menyemak Mukakitab agaknya.” Jam dinding kamar disemak berulang kali.

Sayup-sayup kedengaran iqamat dari masjid berdekatan. Sangsi mula menghurungi logik tapi apabila memikirkan status Mukakitab di akaun Jon Alphabet, segala persoalan disingkirkan dari kotak pertanyaan. Barangkali dia ke masjid yang lain. Be’ah berpaut teguh pada dahan positif pokok akalnya.

“Kak Gayah bukan nak mengata, tapi tak molek kalau Jon berdampingan dengan isteri orang begitu.” Getaran suara Rogayah kelmarin masih berbekas di kepala.

Tap! Kotak pemberitahuan warna merah dengan nombor 1 menandakan ada satu kemas kini daripada Jon Alphabet.

Akan berceramah di hadapan 200 orang kakitangan kerajaan hari ini.

Halaman Mukakitab Jon Alphabet diteliti penuh gembira. Mustahil tuduhan Kak Rogayah berasas. Mungkin dia masih terasa hati dengan penolakanku terhadap berbelas-belas lamaran calon suami dengan aneh sebelum ini. Be’ah membuat penafsiran.

“Kami bersaksi bahawa Jon keluar kedai nombor ekor dengan kopiah putih!”

“Ramai sudah orang bercakap tentang Jon dan seorang wanita berambut perang keemasan berdua-duaan di taman sehingga waktu Subuh.”

Be’ah menulikan telinga. Mulut orang, hiduplah selama yohana masa pun tidak akan boleh ditutup. Apa jua hamburan kata, keyakinan Be’ah sekelumit pun tidak akan tergugat. Mahu sahaja dia mencetak hasil tulisan suaminya yang sarat motivasi di Mukakitab lalu ditempelkan pada muka-muka pembawa mulut itu.

Pada suatu rembang, Jon Alphabet ada menulis:

Akan bertolak ke Kota Kinabalu, program bersama pelajar universiti – daftar masuk di KLIA


Senyum Be’ah melebar tanpa disuruh. Kukuhkan peganganmu, duhai mujahid sayang biarpun ribuan fitnah bertempiaran ke sana ke mari. Be’ah mendesis harapan.

Pintu rumah dikuak pantas. Jon Alphabet terhuyung-hayang menerpa masuk. Matanya kuyu. Dua butang baju kemeja terbuka.

“Bukankah abang ke Kota Kinabalu?”

“Tidak. Kenapa tanya begitu?”

“Di laman Mukakitab abang,bukankah baru daftar masuk di KLIA?” Be’ah keliru sambil meluruskan telunjuk pada skrin telefon bimbit.

Jon Alphabet terkerising sebelum amplitud bahak tawa menjulang. “Oh, Mukakitab! Bukan saya lagi yang memegang akaun ini. Adik saya yang baru pulang dari Mesir itu menggunakan akaun ini sekarang.” Jon Alphabet membiarkan Be’ah terpelahang bersendirian, langsung berlalu ke kamar mandi.

Getaran tangan Be’ah kian ketara. Sedang nadi berdenyut pantas, dia cekatan menyeluk saku baju kemeja yang dicampakkan Jon Alphabet di atas sofa antik. Resit kedai nombor ekor didapati terlipat kemas. Bekas gincu turut ditemui berdekatan lengan. Bukan gincu biasa. Dia kenal pemilik gincu merah jambu buatan Eropah dan punya aroma mengghairahkan itu. Catriona Kabaret.

Be’ah terduduk, empangan tangis mulai retak dan pecah tidak sampai seminit bertahan. Renjatan kesedaran menyengat tubuh. Ya, Mukakitab bukan kitab kebenaran yang harus diikut. Kalimah taubat bergema berulang-kali di lohong perasaan Be’ah.



Gambar 1: Kredit kepada Puan Saadah yang menangkap gambar daripada akhbar asal

Gambar 2:  http://www.telegraph.co.uk/technology/facebook/9925072/Why-women-constantly-lie-about-life-on-Facebook.html
Gambar 3: http://www.thegilbertscott.co.uk/
Gambar 4: http://www.highdwallpapers.com/view-alone_desert_and_blue_sky-wide.html
Gambar 5: http://guidepal.com/kuala-lumpur/know-the-city/kuala-lumpur-international-airport-klia