Thursday 19 September 2013

Aku Segan Dengan Kawan-Kawan!

Masa untuk mengutuk diri sendiri. Bersedia. 

Selesai empat tahun berkuliah di Manchester, saya ingin membuat pengakuan bahawa saya sebenarnya berasa cukup segan dengan rakan-rakan yang menuntut di universiti tempatan. Tidak dinafikan juga, ada rakan-rakan universiti tempatan merasakan segan dengan penuntut luar negara, kononnya kami lebih fasih berbahasa Inggeris, lebih minda terbuka dan entah apa lagi.

Nampaknya kita sama-sama segan lah, ya?

Saya jelaskan hujah ini berdasarkan dua kata kunci utama: KEWANGAN dan PENGALAMAN BERAKTIVITI


1) Kewangan


Hal ini merupakan yang paling ketara. Kita di luar negara mendapat elaun yang cukup banyak malah melimpah ruah. Tambahan lagi setelah pihak kerajaan UK dikatakan meletakkan minima GBP 800.00 untuk elaun bulanan pelajar luar negara. Maka elaun sekarang dinaikkan kepada GBP 880.00.

Sebelum ini GBP 650.00 pun dah cukup banyak, inikan pula GBP 880.00!

Saya merasakan ini sesuatu yang cukup 'lemak' buat pelajar luar negara. Disogok dengan wang cukup banyak dan begitu selesa hidup sedangkan pada waktu sama rakan-rakan universiti tempatan berusaha secara berdikari untuk mengumpul wang bagi membeli sesuatu atau berkahwin. Yang grad oversea dengan berlagaknya membawa pulang wang selambak yang dikumpul untuk tujuan berkenaan. Tak ada pengalaman kesusahan mengumpul wang seperti mahasiswa tempatan.

Lebih bertambah segan apabila ada pelajar luar negara yang komplen berkenaan hidup susah, tak cukup duit dan sebagainya. Sudahlah tu bermewah-mewah dengan pelbagai gadget, sedangkan orang lain bersusah payah mengumpul wang nak hidup.

Hal ini juga menjelaskan kenapa pelajar luar negara yang biasa belajar di universiti tempatan (budak Masters selalunya) dilihat lebih berdikari dalam soal ini. Mereka akan cuba mencari kerja sampingan di samping berjimat cermat untuk masa hadapan. Sesuatu yang jarang diikut pelajar yang berasal daripada A-Level mahu pun IB (baca: yang tak biasa hidup di universiti tempatan).

Kebanyakan pelajar luar negara lain berfikir rileks dulu duit banyak. Hurray, tak perlu fikir soal jimat cermat yang penting kita boleh beli benda mahal dan melancong sakan bagi membuktikan kehebatan kita sebagai pelajar luar negara. Ops jangan lupa gambar salam perantauan.

Tak rasa segankah dengan orang lain? Lembik sungguh la makan duit rakyat pun nak bermegah-megah lagi. Kemudian duit lebih digunakan untuk kehidupan selesa di Malaysia. Orang lain susah.

Huhu.

Oh segannya. Rasa rugi juga kerana dimanja-manjakan sebegitu. Orang lain dapat bermacam-macam pengalaman, kita hanya dapat pengalaman menunggu duit masuk di laman online banking. Terlepas nikmat untuk menghadapi pengalaman sebegitu yang sememangnya mengajar kita menjadi manusia sebenar dan bukan sekadar manusia yang 'megah' dengan title pelajar luar negara semata-mata.


Contoh bilik di luar negara yang selesa. Maka tiadalah pengalaman hidup tidur atas tilam lembik di atas lantai yang mengajar erti kepayahan yang seterusnya membuatkan kita bersyukur dan lebih kuat menghadapi cabaran masa hadapan. Rugi sungguh pelajar luar negara.

2) Pengalaman beraktiviti


Saya dapat merasakan pelajar di luar negara kebanyakan kurang biasa dengan aktiviti-aktiviti setempat di Malaysia dan menyebabkan kebolehan untuk menguruskan sesuatu program itu kurang.

Kalau urus program pun, tak melibatkan ramai orang berbanding di Malaysia. Kalau setakat buat program bersama komuniti Melayu Manchester, audiensnya setakat pelajar luar negara yang corak pemikirannya lebih kurang sama sahaja. Kalau buat program musim sejuk yang menghimpunkan pelajar-pelajar seluruh UK, samalah juga. Audiensnya tidak begitu mencabar sebagaimana di Malaysia.

Kalau menjadi pengurus majlis konvokesyen di Malaysia misalnya, nah audiensnya berpuluh ribu orang dan hal-hal berkenaan politik sudah pasti perlu dipelajari. Program yang dibuat harus mengambil kira banyak kumpulan sasaran dengan interest masing-masing yang berbeza. Kalau kekal dengan prinsip sendiri, mungkin yang hadir hanya sekerat dua saja maka majlis tersebut gagal untuk mencapai matlamat.

Cukup mencabar, saya kira. 

Sebab itulah saya merasakan, pelajar luar negara akan terkepung dalam kelompok idealnya. Apabila pulang ke Malaysia, kita akan gagal jika tak pernah terfikir realiti sebenar umat universiti di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat - kaki motor, kaki bola, kaki awek dan sebagainya.

Bukanlah bermaksud tak boleh ada matlamat yang ideal tapi harus juga berfikir tentang kesesuaian dan kelangsungan idea itu dengan realiti masyarakat Malaysia pada masa kini. Harus seimbangkan kedua-duanya.

Kesimpulannya:


Pelajar luar negara haruslah melakukan kerja rumah tambahan bagi mengisi kelompongan ini. Haruslah punya kesedaran dalam berbelanja dan merasai sendiri betapa faktor kewangan semasa hidup di Malaysia cukup mencabar. Bukan sekadar komen "Apalah sangat minyak naik 20 sen?". Iyalah, 20 sen bagi anda hanya beberapa pence sahaja berbanding elaun beratus-ratus yang anda dapat.

Pengalaman beraktiviti dapat dikembangkan dengan menyertai banyak program-program melibatkan masyarakat di Malaysia bagi mempelajari dan mengembangkan jaringan perhubungan. Bukan hanya asyik bergaul dengan kawan-kawan luar negara kerana saya berpendapat pelajar di luar negara rata-ratanya berasal dari tempat yang sama: Kolej MARA, MRSM, SBP bla bla. Kebanyakan kawan terdiri daripada orang-orang baik yang mempunyai cara pemikiran yang sama dengan kita.

Keluar daripada comfort zone ini kalau betul-betul mahu berjuang membetulkan masyarakat!

Maka seharusnya ada kerja rumah tambahan bagi meluaskan jaringan kenalan dan pengalaman. Hal ini kerana, kalau kita berhasrat menjadi sebahagian daripada peneraju negara suatu masa nanti, keadaan masyarakat haruslah juga kita fahami sebelum membuat apa-apa tindakan.

Haruslah ada rasa segan dan malu dengan kawan-kawan seperjuangan di tanah air yang begitu berdikari dan seterusnya mendapat pengalaman yang berlipat kali ganda berharga untuk kehidupan berbanding pengalaman main salji dan bertonggek di hadapan Big Ben London!


Pengalaman di depan Big Ben, bukan sesuatu yang perlu dibanggakan sangat sebenarnya kerana ia kurang mengajar mengenai kehidupan.

Penulis adalah graduan universiti United Kingdom