Friday 15 August 2014

Kehidupan UK: Hostel Vs Rumah

Sudah menjadi kebiasaan soalan berkenaan mahu duduk di rumah sewa atau hostel universiti menjadi gangguan fikiran pelajar yang akan ke UK. Bila disebut hostel (atau hall, tapi bukan bermaksud dewan seperti dewan badminton), maka masing-masing terbayangkan katil dua tingkat dan pagi-pagi warden kejut Subuh. Rumah sewa pula, masing-masing terbayang adakah sama dengan rumah di kampung? Adakah pagi-pagi ada cucur disediakan atas meja atau boleh beli air tebu di pasar malam hadapan rumah?

Begitu banyak persoalan di hati (sila masukkan emoticon love).

Justeru saya mengambil peluang untuk menulis serba sedikit pengalaman singkat berkenaan hal ini. Ya blog ini kian usang kerana kononnya aku sibuk, walhal kesibukan aku hanyalah membeli ayam Gemini dan kadang-kala menyemak harga yogurt di Sainsbury (kadang-kadang murah).

Selama hampir 5 tahun di bumi Manchester, saya diberi peluang untuk menginap di kedua-duanya. Berikut butirannya:

1. Grosvenor Place - Hostel universiti (2009-2010) - degree
2. Rumah sewa di Rusholme 1 (2010-2011) - degree
3. Rumah sewa di Rusholme 2 (2011-2013) - degree
4. Whitworth Park (2013-2014)- Hostel universiti untuk pelajar postgrad (Phd/master)


Mungkin yang tidak mengenali saya tertanya awat mamat ni lama sangat kat UK, adakah dia tinggal melebihi had VISA dan sebagainya - saya menamatkan pengajian MEng Mechanical Engineering pada tahun 2013 (4 tahun) dan kini sedang terkial-kial dalam tahun pertama PhD dalam bidang yang sama. Ya adik-adik lepas dah habis belajar silalah pulang ke Malaysia, jangan lupa daratan macam aku. huhu.


Nampaknya ada pembaca mula mencebik kerana intro terlalu panjang. 


Baiklah saya akan jelaskan kehidupan hostel dan rumah sewa ini dengan membahagikannya kepada kebaikan dan kekurangan. Haruslah diingat ini adalah pengalaman peribadi penulis dan setiap orang pengalamannya berlainan.

Diharap tidak menjadi macai dengan komen-komen membosankan.

HOSTEL - KEBAIKAN


1. Pengalaman baru - bayangkan anda tinggal bersama dengan 8 atau 9 orang pelajar lain (bergantung kepada jenis hall, ada yang hanya 4 orang). Mempunyai pelbagai latar belakang - negara dan budaya. Berkongsi dapur dan tandas. Maka sewaktu memasak tentulah anda berbual-bual bermacam-macam isu. Ketika saya di Whitworth Park, teman satu flat semuanya ramah jadi seronok dapat bertukar fikiran dengan sahabat dari Kazakhstan, Bangladesh, India, Azerbaijan, Ireland dan UK. Jika anda memang ngam dengan mereka, boleh juga dibuat teman untuk main bola, tengok wayang dan seumpamanya. Sememangnya pengalaman ini tidak akan dapat di universiti dalam negara dan rugilah kalau anda sebagai pelajar luar negara tidak merebut peluang ini.

2. Privasi - ramai orang sukakan waktu sendiri. Tapi akak tahu, ramai perempuan tak berapa gemar berseorangan sebab mereka lekas sunyi dan akibatnya sering tidur rumah kawan perempuan lain  (awat aku jadi akak?). Bagi saya yang suka membaca dan menulis, duduk di hall memang mendatangkan ketenangan. Tidak ada hasutan kawan-kawan untuk menonton bola di TV atau membeli-belah di ASDA. Tidak ada kawan-kawan rempuh masuk bilik sebab ada video lawak di Youtube. Atau kawan-kawan patah hati yang memerlukan kaunseling cinta. Ya, senyap dan pengurusan kerja anda lebih tersusun.


3. Panas oh panas - ya sememangnya di Malaysia rasa panas adalah musuh no:1 negara (selain dadah). Tapi di UK, rasa panas sangatlah ditagih terutama pada musim sejuk, yang mana suhu boleh jatuh bawah daripada kosong darjah Celcius. Waktu ini orang-orang yang tinggal di hostel akan bergembira kerana heater boleh buka selalu kerana bil sudah termasuk. Bangunan hall juga selalunya well-insulated dan kadang-kala tak buka heater pun tak rasa sejuk. Sejuk, selesa. Bangun malam pun tak perlu berbungkus dalam duvet (selimut tebal dan jika anda berbungkus di dalamnya kelihatan seperti beluncas besar). Poinnya adalah - bil di hostel dah termasuk jadi tak rasa bersalah nak buka heater lama/sepanjang hari. Tapi ketahuilah anda bahawa bukak heater secara berlebihan akan mengakibatkan kesan rumah hijau, tapi tu dah masuk topik lain. Abaikan.

4. Tak pening fikir maintainance - jika ada apa jua kerosakan, anda boleh segera lapor kepada pihak pengurusan hall. Disebabkan mereka ada setiap hari bekerja jadi masalah selalu dapat selesai sekejap. Contohnya baru ini paip sinki bilik saya rosak jadi sehari saja dah selesai (lapor secara online menerusi sistem). Juga lapor kerusi tercabut roda pun cepat saja dah ganti (aku pun tak pasti sebab apa roda tu boleh tercabut, mungkin aku selalu meluncur dalam bilik).

(Bilik saya ada sinki, tak semua bilik ada. Kalau ada sinki mahal sikit sewanya. Yang ada bilik mandi (en suite) lagi mahal).

5. Lain-lain - shower best sebab panas dan air laju macam hotel, boleh guna kemudahan hall seperti skuasy, gym, games, tengok bola TV besar (semua ni ada di Whitworth Park, tempat lain tak pasti), internet di hall jenis cucuk pakai kabel jadi kelajuannya super, cuma tak boleh download P2P nanti kena banned.



Gambar 1: Ketika salji lebat, keadaan dalam bilik tak sejuk mana. Kalau di rumah tentunya bersilat kiri kanan untuk menjana haba, - gambar awal 2010/hujung 2009, ketika salji mencurah-curah dengan begitu rakus



Gambar 2: Bilik ketika di Grosvenor Place, abaikan cadar berbunga sebab tu mak bagi. Tapi OK la, cute juga


HOSTEL - KEBURUKAN


1. Mahal - Ini adalah perkara pertama orang akan sebut bila berkenaan hall. Juga penyebab mengapa 90.23% pelajar tahun pertama 2013 tidak mahu tinggal di hall (aku hentam percentage tu). Contohnya di Whitworth Park sekarang saya bayar GBP 99 per week, sedangkan rumah saya di Rusholme dahulu sekitar GBP 55 per week. Bila campur bil, sewa sebulan sewa  rumah lebih kurang GBP 300 manakala hall pula sekitar GBP 400. Maka di sini jelaskan hall agak mahal.

2. Makanan yang terhad - ya benar, kegemaran mereka yang duduk hall adalah melawat (kononnya) rumah kawan-kawan tapi sebenarnya nak tumpang makan sebab malas nak masak di hall. Haha. Taktik ini menjadi kadang-kala tapi jangan buat selalu. Seeloknya bawa buah tangan kepada tuan rumah. Bila tinggal di hall, anda masak untuk diri anda seorang jadi mungkin agak malas. Barang masakan juga limited sebab anda mungkin malas nak beli sebab hanya seorang nak pakai. Contohnya beli satu paket kunyit besar walhal nak pakai dua tiga cubit saja sekali masak. Hal-hal sebegini membuatkan anda malas masak. Tambahan lagi, Mat Salleh kadang-kala kurang selesa dengan bau masakan orang Melayu (aku rasa la). Jadi kadang-kala nak masak extreme sangat pun (sambal ka atau apa apa yang bau dia semacam sikit) kena tunggu waktu orang tak ramai (sebab nak menghormati).

Bab memasak, ada saja orang yang duduk hall tapi rajin masak (contohnya saudara Afirul Nazrin). Mungkin sebab aku yang malas memasak dan gemuk. Bahkan sewaktu menulis blog ini juga aku lapar dan menyesal tidak membeli sebarang biskut atau coklat di Sainsbury tadi. Yang ada hanya limau dan air mata kesedihan.

3. Halal-haram - ada yang sensitif bab ni. Harus diingat peti ais anda akan berkongsi dengan ramai orang. Jadi situlah ada jualah yang halal dan yang haram. Tapi perkara ni boleh diatas dengan kita beli container kedap udara sendiri dan simpan baik-baik. Tak ada masalah pun sebenarnya. Sila rujuk ustaz berdekatan anda untuk hal ini. Jangan tanya aku satgi sesat.

4. Kongsi dapur bermacam ragam - Ada juga kes makanan kena curi/pau dengan rakan flat sendiri. Mungkin budaya Mat Salleh ni tak kisah apa ada kat dapur dia bedal saja. Ini terjadi sewaktu saya degree. Sewaktu saya Phd nampaknya rakan flat lebih matang dan makanan saya tak pernah pula siapa ambil. Cuma kadang-kala periuk nasi saya digunakan oleh seorang sahabat lain, itu pun dia minta izin dan bersihkan sebersih-bersihnya ala iklan Axion sesudah pakai. Mat Salleh ni kadang-kala jenis tak basuh pinggan sangat. Mungkin sebab dia makan benda yang tak berbau seperti pasta, pizza maka tak basuh pun tak la bau sangat. Cuma kurang senanglah nampak pinggan tak berbasuh. Kebanyakan pelajar international lain akan rajin basuh pinggan. Perempuan Melayu apatah lagi.

4. Woi hingaq apa - semasa zaman saya di Grosvenor Hall (first year degree), memang selalu sangat rakan flat buat bising di dapur/ruang tamu. Mereka berparti (dengar lagu), main games dan sebagainya. Tapi itu terjadi semasa saya degree. Semasa saya buat Phd, rakan flat semua budak Masters dan Phd yang matang. Tak berparti sangat sebab sibuk. Maka flat kami lebih senyap dan sopan santun sikit. Pendek kata, budak degree ja dok hingaq parti2 mentang2 la banyak masa free. Tumbuk satgi baru tau (emo).

5. Sepi- seperti mana suasana ketika blog ini dtaip, suasana begitu sunyi. 1.16 pagi. hanya kipas berbunyi (musim panas kena ada kipas). Rakan-rakan flat pun dah tidur atau tak ada di bilik. Jadi siapa yang tidak ada tarbiah hidup bersendirian maka dia akan cepat meroyan dan melarikan diri tidur rumah orang lain akibat terlalu sunyi.

6. Sekuriti - disebabkan ini kawasan universiti dan banyak pagar/pintu maka bilik insyaAllah selamat jika dikunci. Ada CCTV yang memantau. Di Whitworth Park (Thorncliffe House) sebelum tiba di bilik ada 4 pintu perlu dilepasi - pintu pagar besi, pintu masuk ke koridor, pintu masuk ke flat dan pintu masuk ke bilik. 

7. Lain-lain - kadang-kala ada fire alarm pagi-pagi buta waktu sejuk, jenuh akak-akak kita nak sambar tudung tanpa make up. Bilik sesetengah hall agak sempit maka orang nak datang menginap agak susah. Sekuriti kuat sangat menyebabkan banyak kunci kena buka sebelum tiba di depan pintu bilik anda, kalau ada tetamu maka susah buat mereka keluar masuk. Selain itu ada hall kadang-kala bercampur lelaki perempuan (lain bilik, cuma kongsi dapur/tandas), jadi sila semak betul-betul. Sebab malas masak maka selalu beli luar jadi tak dapat jimat (memasak lebih jimat wang).

Sekarang kita beralih kepada rumah pula!

 

RUMAH - KEBAIKAN

 

1. Murah - ini adalah sebab utama orang mahu mencari rumah. Seperti mana yang dijelaskan di atas, setiap bulan dapat jimat dalam GBP 100. Maka GBP 100 ini boleh digunakan untuk beli benda lain - jaket Sport Direct, yogurt Muller dan ayam Gemini. Kalau setahun boleh jimat dekat GBP 1000 juga tu!

2. Banyak kawan - tentulah jika anda duduk sesama orang Malaysia maka adalah orang untuk anda bergurau senda, bertumbuk dan sebagainya terutamanya setelah penat di kuliah. Jika anda resah gelisah putus cinta, ada orang yang sudi mendengarnya, Jika anda mahu pinjam duit beli Faluda, dia juga ada. Pendek kata hidup anda tidak akan sunyi. Meriah. Dapat sama-sama tengok drama TV3 secara online atau bergaduh bila tengok AJL berkenaan siapa yang menang. Solat jemaah pun mudah dan ada lah kawan untuk ajak anda ke masjid. Kalau seorang diri mungkin kemalasan tu memuncak dan anda hanya akan solat di bilik berseorangan.

3. Senang nak masak - perkara paling seronok di rumah adalah adanya turn untuk memasak. Jika rumah anda 5 orang maka setiap orang ambil satu hari antara Isnin sehingga Jumaat. Jadi setelah kepenatan balik dari kelas nah masakan sudah tersedia. Tak susah-susah anda membaling dadu untuk buat keputusan hari ini nak beli makanan di Jazeera, Gemini atau Pepes. Semuanya dah tersedia di dapur. Balik, makan, tidur. Di samping itu, periuk belanga semua senang sebab dah sedia di dapur. Kalau di hall, periuk selalu simpan dalam almari (nak elak orang lain pakai kita punya dan masak oink oink). Selain itu, disebabkan semua satu rumah makan lebih kurang sama jenis (orang Melayu = kicap, telur, beras, rempah kari, dll) maka mudahlah nak pakai rempah dan buat masakkan yang komplikated. Nak beli barang secara pukal pun boleh sebab nanti ramai akan pakai.

4. Kawan boleh datang tumpang - disebabkan rumah ada banyak bilik dan ruang tamu maka kalau tetamu datang mudahlah untuk tumpang bermalam. Jika rakan serumah berbaik hati, biliknya juga boleh digunakan untuk tumpangkan tetamu (waktu dia tak ada). Jika ada keluarga sanak saudara datang pun akan menjadi mudah untuk menginap berbanding dengan hall.

5. Lain-lain - Boleh beli barang di carboot banyak sebab banyak ruang nak simpan, ada penyidai kain belakang rumah boleh sidai waktu musim panas, tak payah bayar nak pakai laundry (tapi bayar bil elektrik la), boleh bela kucing (kalau landlord tak kisah)


 Gambar 3: Suasana bilik.

RUMAH - KEKURANGAN



1. Bil yang tinggi - kadang-kala pada waktu winter, sejuk yang amat maka anda nak buka heater. Jadi ada rasa ragu-ragu sebab takut bil tinggi maka anda menangislah dalam kesejukan (ni hiperbola sangat, bil heater tak mahal mana kalau pakai secara berhemat dan guna heater rumah dan bukan portable heater). Tapi apa-apa pun, anda terpaksa berjimat cermat berbanding hall yang bil dah masuk sekali. Ada juga rumah yang bil included cuma tak banyak.


2. Suasana lebih sejuk - sesetengah rumah insulation tak berapa bagus jadi dalam rumah pun sejuk. Pernah dimaklumkan seorang sahabat bila musim sejuk cakap dalam rumah pun keluar asap! Wah memang sejuk sungguh la. Ini dapat dielakkan dengan buka heater dan semak rumah sebelum sewa (rumah tu tingkap double glazing dll).

3. Makan banyak - disebabkan banyak makan sebab ada orang masak hari-hari, maka anda jadi gemuk.

4. Masalah maintainance - sesetengah rumah yang lama ada masalah macam-macam dan kadang kala landlord ambil masa lama nak selesaikan. Kadang-kala boiler rosak, bocor dan sebagainya. Jadi terpaksalah bersabar dengan kerenah landlord. Ada yang cepat buat kerja, ada yang lambat.

5. Haiwan comel - bukan comel mana tapi rumah kadang-kala ada tikus (tikus rumah, bukan hamster). Kadang-kala juga ada labah-labah kecil yang comel. Aku tak suka labah-labah. Huhu.

6. Kena selesaikan isu rumah - kadang-kala serabut juga nak selesaikan isu rumah macam council tax, siapa nak urus bil elektrik, bil air, kemas rumah, sental tandas dan sebagainya. Jadi silalah rajin-rajin menguruskan rumah. Akak takpelah dah ada husband. <-- ? 

7. Lain-lain - tak dapat rasakan kehidupan universiti seperti di hall, sekuriti rumah tak sama macam di hall.

Maka begitulah tamatnya analisis.


Gambar 4: Bersembunyi dalam duvet sewaktu musim sejuk adalah rutin harian - gambar hiasan sebab dalam tu bantal bukan orang.


Jadi apa kesimpulannya?


Apabila ditimbang tara sememangnya kekurangan dan kelebihan kedua-dua ni lebih kurang. Tak banyak beza sangat pun. Susah nak buat keputusan mana yang lebih baik. Tapi kalau ditanya kepada saya secara peribadi, saya cenderung untuk mencadangkan pelajar tahun pertama untuk duduk hall universiti. Sebabnya:

  • Mudah urusan sebab dengan universiti, boleh buat secara online dan universiti akan bekalkan maklumat secukupnya kepada pelajar antarabangsa
  • Mencari pengalaman dengan berkenalan dengan orang baru dari negara lain + improve English
  • Nanti tahun kedua boleh cari rumah sendiri. Boleh view sendiri, cari ikut citarasa sendiri dan pilih kawan yang anda rasa boleh jadikan housemate. Kalau first year dah masuk rumah, mungkin rumah tu tak menepati kehendak anda sebab orang lain (senior) tolong carikan.
  • Bila first year nak masuk rumah, banyak nak kena uruskan bil dan sebagainya yang mana agak leceh sebab kena tunggu bank selesai daftar dan sebagainya.
  • Tak rugi gunakan sedikit wang lebih untuk dapatkan pengalaman berharga dengan duduk hall. InsyaAllah akan dikenang seumur hidup.

Tapi itu sekadar pandangan saya. Kepada mereka yang dah decide nak duduk rumah untuk sesi ini, tak apa tahun-tahun lain pun boleh lagi kalau nak duduk hall.

Maaf post panjang. Silalah kongsi kepada kawan-kawan untuk manfaat bersama.

Sekian
.
Shahkang

Whitworth Park
16/08/2014, 2.22 pagi




Thursday 15 May 2014

Jika Isteri Anda Seorang Guru - Situasi Hari Guru

Beberapa tahun lepas saya kerap menulis berkenaan siri 'Jika Isteri Anda Seorang Guru'. Berikut adalah kompilasi daripada status FB saya yang lepas berkenaan bagaimana keadaan anda di hari guru, jika isteri anda bekerja sebagai seorang guru. 

Aku baru sedaq aku suka merapu dalam FB dulu. Mujurlah sekarang deactivate kalau tidak memang gejala ini berterusan. 

(Ini ditulis beberapa tahun lepas)

Selamat hari guru kepada semua! 

Situasi 1: Ditulis pada 17 Mei 2013

Kalau isteri anda seorang guru: Hari guru.

 Hal di bawah mungkin terjadi. 

1. Disebabkan ada sambutan hari guru maka sekolah habis awal jadi anda dipaksa untuk menemannya di sekolah (atau anda dibenarkan bersiar-siar sekitar sekolah tapi lepas habis program hari guru kena tunjuk muka kalau dak makan nasi luaq la wei. 

2. Ketika acara hari guru sedang diadakan, anda bersiar-siar sekitar dewan dan lagu Kami Guru Malaysia dimainkan. Anda mengintai-intai ke pentas dewan. Guru muzik (yang hanya muncul di perhimpunan ketika lagu Negaraku untuk buat tangan-tangan kat depan tu) sedang mengendalikan lagu hari guru itu. Suara guru-guru bergema sekitar dewan. Anda mengeluarkan telefon bimbit dan menulis kepada isteri anda: "Eleh bukan nyanyi pun tu. dok eksyen bukak mulut ja." Dia membalas: "Beq pi la..." 

3. Setelah tamat acara di dewan, anda melepak di kantin tapi ditangkap oleh guru-guru untuk bantu meramaikan acara sukan guru lelaki iaitu boling buah kelapa. Sambil itu anda mengintai isteri anda yang sedang riuh bermain sukaneka lain bersama guru dan pelajar perempuan di gelanggang sebelah. 

4. Setelah tamat kesemuanya, anda akan menerima mesej daripadanya "Mai tolong amik hadiah bawak p kereta sat." dan mesej itu berulang 2-3 kali sebab hadiah banyak sangat. Anda paling gembira sebab boleh mengumpul cawan cenderahati dan pen mahal. 

Selamat hari guru. Sekian. 

(p/s: zaman saya berhari guru dulu mungkin lain dengan zaman sekarang)


Situasi 2: Ditulis 15 Mei 2012


Jika isteri anda adalah seorang guru dan esok adalah hari guru: disarankan untuk tidak terpedaya dengan ajakannya untuk menemani acara sukaneka dan sambutan hari guru di sekolah. 

Sebabnya: 

1) Anda akan dipaksa oleh isteri anda disertai sorakan pelajar2 untuk bermain sukaneka seperti boling buah kelapa, lari dalam guni bersama pasangan dan sebagainya. 

2) Anda akan dipaksa membawa hadiah yang berlungguk dan lebih mengharukan jika anda membawa motosikal ke sekolah (nak letak mana?)

3) Banyak jamuan yang diadakan setiap kelas dan akhirnya anda terpaksa habiskan makanan rapu yang isteri anda dapat seperti sumi, kek icing yang mempunyai bunga kertas (boleh dimakan) dan mungkin bihun coklat dengan hirisan telur yang menggulung. 

4) Anda akan dipaksa teman isteri untuk shopping kerana pulang awal dan sementara tunggu lunch maka anda diheret ke pusat beli belah berdekatan. 

5) Anda akan kepenatan diserbu pelajar kerana isteri anda cikgu yang popular di sekolah dan ramai pelajar mahu berkenalan dengan anda. 

Sekian amaran saya.

 Selamat hari guru :D

Situasi 3: Ditulis 13 Januari 2012


Kalau isteri anda seorang guru: 

Malam selepas hari guru akan banyak hadiah di atas meja - jam, pen (dalam bekas yang cantik sikit) atau frame gambar yang ada gambar kelas bersama. 

Ada juga frame yang ada gambar bini anda sedang memakai topi tukang kebun, berseluar trek, berkasut sukan (yang bersih sebab dia jarang main pun) dan memegang kadbod keras (ini waktu sukantara dia jadi penjaga masa). 

Ada suatu hadiah yang lain dari yang lain - di hadapannya ada tulis "Anugerah Cikgu Paling Sporting". Bila disiasat, ada banyak anugerah lain macam "Cikgu Paling Suka Senyum", "Cikgu Paling Berpengaruh". "Cikgu Paling Popular" dan sebagainya. 

Semuanya dicadangkan oleh pengawas tingkatan enam untuk memeriahkan perhimpunan sempena hari guru.

Monday 14 April 2014

Cerpen: Kain Batik Kain Satin


Cerpen ini telah disiarkan di Mingguan Wanita, Mac 2014. Terima kasih Fahd Razy atas kiriman gambar di atas melalui FB. 

Oleh: Shahkang

LANGIT gelap telah lama beransur pergi. Simbahan tengkujuh sudah tidak bernafsu seperti hari-hari sebelum. Bayang suria tidak juga muncul menampakkan wajah. Awan-gemawan putih bercampur ambal-ambal kelabu pucat masih kekal memayungi Kampung Medan Sepakat, sebuah desa kediaman pengusaha-pengusaha bendang di negeri Jelapang Padi ini.
Afza menghampiri muka jendela. Tubuhnya longlai bagai usai seharian turun ke sawah. Tembok harapannya untuk melihat air bah surut kini runtuh. Titis hujan yang tak berhenti-henti semalam bagai pedang turun dari langit membelah perasaannya menjadi kepingan bercetai-cetai.
Begitu juga lapangan hatinya yang dahulu hijau segar saat menanti hari bersejarah ini. Hari dia dan Danial bakal disatukan dengan ikatan yang sah. Sekarang lapangan indah itu musnah sama sekali, umpama bendang pusaka tiga relung tinggalan ayah yang sudah menjadi lautan air bah berwarna coklat kekuningan.
Hari ini sepatutnya menggembirakan hati mana-mana gadis sekalipun. Penantian sekian lama bakal bertemu noktah. Dia bakal memulakan hidup baru bersama pasangan pilihan sendiri.
“Terpaksa buang menu ayam masak merah dan kurma daging. Peti ais kedai Ah Peng tak dapat berfungsi sebab elektrik kampung kita terputus. Bahan mentah dah busuk. Tak ada alternatif lain.” Penerangan Pak Long memanggang hangus tinggalan hati Afza yang sudah sedia hancur. Resah bergalau dalam dirinya.
“Habis, macam mana Pak Long?” Afza gelabah, tidak tahu bagaimana untuk bertindak. 
“Pak Long akan cuba uruskan.” Ada sinar harapan terpancar daripada anak mata Pak Long.  
Jaminan Pak Long serba sedikit melonggarkan ikatan masalah yang begitu kukuh berpaut di perdu pohon minda Afza. Tetapi, bukan sekadar itu yang menjadi mauduk kebimbangan Afza. Masih banyak kerisauan perlu ditenangkan dan timbunan masalah untuk diselesaikan.
“Bagaimana agaknya reaksi Dato’ Fadhil dan Datin Nora dengan majlis sebegini? Serba tidak lengkap! Memang tidak kelihatan seperti majlis langsung – tiada hidangan ekslusif buat rombongan pengantin, bersila atas lantai macam lagak Sadiq Segaraga dalam filem Tiga Abdul, panas akibat ketiadaan bekalan elektrik ditambah dengan angin pula tiba-tiba memilih untuk pegun. Bagaimana?” Afza meneruskan temuduga hati. Soalan demi soalan tanpa sumber jawapan meyakinkan terus bertalu-talu merempuh tiang ketabahan.
Masih terasa kemanisan bandung bersoda di rengkungnya saat menyertai rombongan resepsi perkahwinan kakak Danial setahun lalu. Majlis di pihak lelaki itu berlangsung penuh gemilang dengan hiasan karpet merah untuk laluan VIP. Hadirin duduk di meja bulat, tanpa perlu beratur mendapatkan hidangan secara bufet. Semuanya disediakan pelayan terlatih bersama susunan set kutleri yang sempurna. Majlis diserikan dengan pengacara berbayar. Tidak lupa persembahan seorang artis remaja tempatan menokok keriangan suasana. Riak wajah hadirin menjelaskan rasa suka tidak terhingga.
Afza bergerak perlahan ke arah tangga lalu menjenguk ke bawah. Ruang bawah rumah kayu itu masih kekal dinaiki air paras pinggang. Pelamin putih dengan hiasan renda merah yang ditempah khas kini bertukar rupa. Walaupun dibina sedikit tinggi, namun lantai pelamin telah terpalit dengan selut dan percikan air acar. Sampah sarap yang terapung dari arah bendang menjadikan persekitaran singgahsana raja sehari itu sebagai tempat perhentian. Bau lumpur yang begitu menusuk hidung tidak mampu dibendung, tambahan lagi parit utama kampung hanya beberapa meter daripada tangga rumah.
 Kerusi sofa mewah tempat bersanding telah menjadi tempat ayam-ayam katik dan itik-itik nila bertenggek setelah reban hanyut diranduk arus kuat. Kadar air yang meluru masuk pantas semalam menyebabkan hanya jambangan bunga ros dan bunga telur hiasan sempat diselamatkan ke bahagian atas rumah. Tidak sempat buat Afza menghubungi pemberi sewa pelamin untuk mengalihkannya ke lokasi lebih tinggi. Barangan hantaran juga tidak terjejas kerana ditempatkan di bilik tidur Afza di tingkat atas sepanjang masa.  
Majlis pernikahanku terpaksa ditangguh?
Afza lebih rela memilih cadangan drastik itu daripada memaksa Danial dan keluarganya mencemar maruah untuk menaiki sampan, berkaki ayam dengan selut di betis, berpeluh-lenjan dalam teratak kayu tidak berelektrik ini dan tidak dapat menikmati nasi jagung terkenal Kampung Medan Sepakat. Ternyata berbeza dengan anak perempuan mereka yang disambut penuh gah pihak pengantin lelaki di samping kunjungan orang-orang ternama negara, tempoh hari.
Ah, hari ini sepatutnya penuh kenangan manis, bukan?
Serta-merta wajah Dato’ Fadhil dan Datin Nora kembali menyempit-nyempit di monitor ingatan. Pentas pelamin perkahwinan anak sulung pasangan ahli perniagaan itu turut muncul. Alunan muzik tradisional daripada kumpulan kebudayaan profesional kembali singgah di gegendang telinga. Lagu tema Bahasa Inggeris dalam rakaman video hari kenduri yang dihasilkan syarikat rakaman terkemuka di ibu kota (kerana sering diupah oleh para selebriti) juga masih terperangkap dalam lohong perdengaran.    
“Kalau kahwin dengan orang bandar bukankah mudah? Buat sahaja majlis di ballroom hotel. Beginilah kalau di kampung, penuh masalah. Kau tu kerjanya jurutera cari gali. Graduan luar negara. Ramai gadis kota yang boleh kau pilih dengan sekali petik jari sahaja. Kau berkehendakkan sangat gadis dari ceruk kampung. Sudahlah jauh, pemikiran keluarganya juga pasti tidak sama dengan kita. Kau degil sangat!” Afza tidak mengerti dari mana ucapan ini hadir. Suara yang terngiang-ngiang itu saling tak tumpah suara Datin Nora menitipkan nasihat buat anak lelaki tunggalnya, Danial.
Pak Long, sudah selesaikah hal juadah kenduri?
Telefon bimbit yang kehabisan bateri setelah tenaga elektrik Kampung Medan Sepakat terputus makin membuatkan mindanya bercelaru. Selang seminit Afza akan menjenguk ke daun pintu, kalau-kalau ada kelibat Pak Long meranduk banjir atau menyusuri kawasan petak sawah yang ditenggelami air dengan sampan.
“Za, bersiap-siaplah. Tok Kadi akan tiba setengah jam lagi.” Ibunya muncul dari arah dapur yang turut ditenggelami air paras lutut.
“Apa yang nak disiapkan mak? Baju pengantin tak dapat diambil dari butik di pekan. Baju kurung Za ada di bawah. Semua dah kena rendam selut! Dah masam!” Afza merajuk sambil melempar pandangan sayu jauh daripada muka ibunya.
Ibu Afza tidak membalas, begitu faham kedudukan emosi anak dara tunggalnya itu pada ketika ini. Dia menghulurkan kain batik dan baju kurung Kedah miliknya. Afza mengerutkan dahi serta-merta.
“Mak mahu Za pakai kain batik waktu akad nikah? Baju Kedah?” Afza memberontak. Ini bukan zaman Jeffydin mahu pun R Azmi. Dia bakal ditertawakan sahabat handai, apatah lagi jika gambarnya berpakaian klasik itu disebarkan rakan-rakan di media sosial. Pastinya akan menjadi lawak tahunan untuk diingati selama-lamanya.
“Habis, nak bernikah dengan baju tu?” Ibunya tersengih sambil menunjuk baju T lusuh lengan pendek yang sedang dipakai Afza. Afza memanjangkan bibir ke hadapan sambil menyambut pemberian ibunya. Dia terpaksa akur dengan arahan wanita kesayangannya itu.  
Afza berserah kepada takdir saat keadaan begitu menjerut perasaan. Setelah usaha dilakukan dengan sedaya mungkin, tawakal adalah jalan terakhir. Dia percaya, apa jua insiden dalam hidup pasti Allah sisipkan bersama gunung hikmah untuk diterokai. Jika bukan hari ini hikmah itu ditemui, pastinya di lain waktu. Atau hikmah tersebut tidak ditujukan buatnya tapi kepada orang-orang tersayang. Afza cuba meneguhkan pancang-pancang positif dalam diri.
“Tok Kadi dah sampai!” Satu suara memekik dari halaman rumah.
“Rombongan pengantin lelaki pun dah sampai!” Suara lain menambah.
Beberapa buah sampan yongyat menuju ke tangga rumah. Warna merah isi delima sebagai tema menghiasi dulang-dulang hantaran pihak lelaki.
Masanya sudah tiba. Kuatkan semangat, Afza. 
Afza bersimpuh di pojok ruang tamu, berkain batik dan berbaju kurung Kedah hasil cadangan ibu. Mujur ada tudung bawal bermanik yang bersesuaian dengan warna hijau polos. Sanak saudara mula memenuhi kawasan berlantai kayu itu. Rombongan pengantin lelaki dan kadi sedang dialu-alukan kedatangan oleh Pak Long.
Ruang tamu rumah yang tadi hanya menjadi tempat Afza mengelamun kini dipenuhi sanak saudara kedua-dua belah pihak. Majlis dimulakan oleh kadi dengan tazkirah ringkas buat pedoman hadirin.
Dia tidak sanggup mengangkat muka untuk memerhati reaksi Dato’ Fadhil dan Datin Nora. Lebih tidak sanggup untuk dia melihat air muka kedua-duanya apabila diberitahu juadah hari ini tidak dapat disediakan seperti kenduri-kenduri kahwin lain.
Apakah ini majlis perkahwinan paling hambar pernah dihadiri keluarga Dato’Fadhil?
Dengan sekali lafaz, dia kini halal buat Danial. Dia merafakkan syukur pernikahan tidak ditangguh dek bencana banjir. Namun gusar tetap bergelumang di atmanya dalam menebak penerimaan Dato’ Fadhil dan Datin Nora.
Pak Long mengarahkan bahagian tengah ruang tamu dikosongkan. Para tetamu duduk dalam bulatan besar dengan pengantin diapit orang tua masing-masing. Kain alas dihamparkan di atas lantai kayu. Satu per satu pinggan dan bekas plastik berisi hidangan dibawa dari arah dapur.
Mata Afza tidak berkesip seketika melihat tindakan sanak saudaranya. Puluhan pinggan berisi rencaman lauk pauk kini memenuhi kawasan tengah ruang tamu yang sudah berlapik itu.  
 “Mana datangnya makanan sebanyak ini?” Afza berbisik kepada ibunya di sebelah. Sejak dua hari lepas, dia dan ibu hanya menanak nasi menggunakan dapur kayu dan makan bersama ikan kering. Pengangkutan terhad ketika banjir menyebabkan bekalan makanan terputus.
“Ikan puyu dan keli banyak yang sesat waktu banjir begini. Mudah ditangkap. Orang-orang kampung masak beramai-ramai di pusat lindungan banjir tadi. Ada juga penduduk yang tak kena banjir hantar pucuk paku masak manis, kerabu mangga dan sup bayam. Mak Ngah kau yang buat puding jagung tu. Mak Su buat serawa pisang. Cukuplah untuk tampung hadirin hari ini.” Ibu Afza menerangkan satu demi satu asal usul menu hari ini. Afza kini mengerti mengapa terdapat lauk pelbagai jenis tapi dalam kuantiti yang sedikit.
Ekor mata Afza tidak terlepas menjeling Dato’ Fadhil dan Datin Nora. Mereka begitu asyik menikmati hidangan dalam pinggan masing-masing. Bahkan Dato’ Fadhil tidak segan silu menambah apabila dihulurkan bekas berisi ikan puyu goreng. Datin Nora berulang kali mencedok air asam sebagai penambah rasa hidangan. Mereka sungguh berselera.
“Mama, abah, maafkan Afza. Segala persiapan terganggu akibat banjir luar jangkaan. Tak pernah kampung kami dilanda banjir seteruk ini.” Afza meluahkan isi benak ketika rombongan keluarga mertuanya mahu beredar meninggalkan majlis. Dia sudah tidak mampu mengempang bening yang lama bergenang di juring mata.
Datin Nora menyapu air jernih yang meluncur deras di pipi berlesung pipit Afza dengan tisu. Dato’ Fadhil menggeleng-geleng kepala, tidak dapat menerima permohonan maaf Afza.
“Tak perlu cakap begitu. Majlis sederhana dalam keadaan bencana begini lebih membuatkan pengantin sedar bahawa alam rumah tangga penuh dengan liku cabaran. Bernikah dalam keadaan penuh megah kadang-kala membuatkan kita lupa hakikat perkahwinan bukan untuk bersuka-suka tanpa sebarang tanggungjawab. Bersyukurlah Allah memberi peluang kamu bernikah dalam keadaan begini. Penuh hikmah dan kenangan.” Dato’ Fadhil bersyarah panjang.
Tubir mata Afza tidak tiris lagi. Matanya tetap juga merah. Ternyata selama ini rantai-rantai syaitan telah mengikatnya agar terus bersangka buruk terhadap keluarga Dato’ Fadhil. Dia cepat membuat andaian berdasarkan tipikal keluarga orang kaya yang selalu dipaparkan dalam drama-drama televisyen. Ternyata, kaedah andaiannya itu tidak tepat. Keluarga Dato’ Fadhil mempunyai kesederhanaan tersendiri walaupun peniagaan keluarga mereka dikenali dalam dan luar negara.
“Buat apa kalau sambutan perkahwinan besar-besaran, penuh dengan kemegahan material dan populariti tapi ikatan cinta tak berkekalan, tak begitu?” Dato’ Fadhil tersenyum kecil, melirik anak mata ke arah Datin Nora sebelum melangkah masuk ke perut sampan yang dikemudi Pak Long.
Afza cuba meneka maksud kata-kata terakhir Dato’ Fadhil. Lantas dia terhimbau kata-kata Danial dalam perbualan telefon dua bulan lepas:
“Kak Long turun naik mahkamah syariah sekarang. Suaminya minta cerai dan mungkin ada kaitan dengan status perniagaan keluarga kami yang kian merosot. Susah juga kalau berkahwin dengan ahli keluarga kami semata-mata mahu mengejar harta. Waktu kahwin dahulu tak menang tangan melayan kami. Haih, entahlah. Macam-macam perangai manusia!” 
Afza mengamati kain batik saksi pernikahannya. Dia terbayangkan kain satin putih yang menjadi seri kakak iparnya setahun lalu, di majlis gemilang pihak lelaki dengan ditemani lapan orang pengapit perempuan berpakaian sedondon.
“Kesederhanaan mengajar erti perkahwinan sebenar.” Isi pertuturan Dato’ Fadhil mendap perlahan-lahan di tanah ingatan Afza.
Hari ini bukan sahaja membahagiakan, malah memberi pedoman bermakna buatku dan Danial memulakan kehidupan sebagai suami dan isteri. Afza mendesis sendiri. 
Memang benar. Setiap ujian ada hikmahnya!



Thursday 20 February 2014

Facebook Deactivated

Facebook saya, Shahkang Aizat dinyahaktif (deactivated) untuk memberi laluan kepada hal lain yang lebih penting. Tulisan saya akan dimuatkan di blog ini dari masa ke masa. Harap kawan-kawan yang baca dapat sebarkan.