Wednesday 4 January 2012

Bodohkah kita?

Terasa tekanan peperiksaan menembus jantung? Terasa mahu mengoyak-rabakkan lembar-lembar tutorial mahupun nota kuliah? Begitulah sindrom negatif menjelang peperiksaan yang lazim ditemui. Tidak pernah lekang. Tidak pernah lari daripada kehidupan seorang pelajar. 

Saya juga begitu. Hanyut dalam lautan rumus dan muntahan kata - biasa buat seorang pelajar. Navier Stoke yang menggigit, CDS approximation yang menjentik kasar, convection yang menumbuk-numbuk pangkal perasaan dan bermacam-macam. 

Woi, awat susah sangat ni!

Berpandukan kata di atas, kata-kata popular yang lain turut muncul memeriahkan suasana: 

"Ish apa benda yang dia cuba ajaq ni! Tak faham langsung!"


"Serius habaq hang, course aku paling payah kot. Aku baca apa pun tak faham!"

"Payah wei. Mcm mana nak ingat?"


Pernah mendengar? Saya juga. Kadang-kala ianya terbit sendiri dalam kotak perasaan – dan sukar sekali untuk melepaskannya keluar. Sukar, cukup sukar. Maka terperangkaplah bisikan ini lalu merencatkan mata untuk terus menelaah, melingkupkan tangan untuk terus membuat latihan dan sebagainya. 


Kita ini, bodoh kah? 


Kata-kata Sahabat 


Saya teringatkan suatu perkongsian daripada seorang sahabat - Khairul Anam (graduate Math tahun 2011 di Manchester). Hal ini pernah dicatatkan di status FB miliknya dan kata-kata berkenaan masih setia menginap di kamar ingatan. Kata-kata ini bukan miliknya seratus perartus, tetapi dipetik daripada pensyarahnya. Saya sebenarnya tidak ingat satu per satu perkataannya jadi saya olah serba sedikit tetapi masih dalam kerangka makna yang serupa: 

"Ketidakpandaian anda pada sesuatu bukanlah disebabkan anda bodoh. Cuma anda tidak biasa dengannya"

Anda faham? Terkesan dengan kata-kata ini? Bagi saya, cukup terkesan namun mungkin sebahagian kita tidak dapat menangkap makna kata-kata ini sekali lalu. 

Ramai beranggapan - ah aku bengong! Lalu akan menyebabkan kita berasa sangat lemah (down) kerana gagal pandai dalam sebahagian subjek. Kita berasa bidang yang dipilih merupakan suatu kesilapan. Persetujuan untuk ke luar negara dengan bidang tersendiri merupakan bala bencana. Bala! Ini takdir yang menyakitkan! Kita tidak putus-putus mencari suratan takdir di sebalik permasalahan yang berlaku. 


Benarkah kita bodoh dan bengap benar? Atau ada sesuatu yang lain di sebalik segalanya? 



Kisah Projek Saya 


Saya juga pernah mengalami sindrom ini semasa melaksanakan sebahagian daripada projek tahun ketiga saya. Saya berasa jelik dengan supervisor saya Dr Cotton – yang meminta saya untuk membaca terlalu banyak sehinggakan saya tak tahu pucuk pangkal apa yang sedang berlaku. Bermula dari pengenalan kepada shear flow, terus kepada Launder-Sharma turbulence model. Apakah yang sedang berlaku? 

“Sheikh, apa ni baca banyak sangat? Report macam mana?”


“Anta tak layak lagi buat report. Baca ja dulu. Jangan kalut sangat. Relax weh”



(bahasa Arab sengaja dibuat-buat, Dr Cotton seorang berbangsa Inggeris)

Akibatnya, saya mengambil masa lebih kurang dua bulan sebelum mengetahui apa sebenarnya projek yang saya buat. Bayangkan dua bulan tanpa punca, hanya membaca teori Turbulence model, derivation Navier Stoke. Tenggelam bersama buku-buku dan sehelai kertas kerja milik Prof Launder. 

Mengapa Dr Cotton membiarkan dua bulan, baru diperkenalkan tajuk sebenar projek ini? 

Jawapan mudah: untuk membiasakan dan memahamkan teori terlebih dahulu sebelum terjun ke kajian yang lebih mencabar. Harus diingat, bukanlah sekejap untuk membiasakan diri kita dengan sesuatu. Memang pada awalnya sedikit sukar nak memahami hala tuju projek tersebut – terutama bila terpaksa berhadapan dengan Navier Stoke yang panjang itu! Sekarang, alhamdulilah: ada peningkatan dari segi kefahaman. Navier Stoke yang dahulu sangat ditakuti yang dimuntahi semasa tahun kedua kini bukan lagi masalah yang besar. 


Oh ya, aku tak bodoh! Cuma kurang biasa bergaul dengan rumus yang bermacam-macam ini! 



(Sama juga dalam hal berdakwah – perlu berperingkat jika tak mahu tergeliat. Sudah pasti anda tidak wajar berbicara dengan hal-hal fekah yang rumit dengan orang yang tidak memahami Islam kerana mereka tidak biasa dengan hal asas: AKIDAH



Masa sekolah 


Falsafah ini senang dihadam jika kita menelusuri semula pengalaman semasa di sekolah rendah mahupun menengah. Saya rasa kita semua pernah merasai detik yang sama sewaktu di bangku sekolah. Ingat lagi keluhan kita semasa berhadapan payah dengan Math Tam? Atau simbol-simbol comel dalam subjek Kimia? 


Okay, sekejap! Mungkin ada yang dihantui kepayahan Math Tam dan Kimia sampai sekarang. Baiklah. Cuba saya ambil sesuatu yang lebih mudah iaitu asas dalam Matematik (tingkatan Satu) .


Apakah perasaan anda apabila adik atau anak saudara anda berkata kepada anda: 

“Apa susah ngat nak tolak tambah ni? Kenapa bila pindah ke bahagian lain kena ubah minus jadi plus? Ah!”

Kita mungkin tertawa. Sebabnya, hal tersebut begitu kacang bagi pandangan kita yang sudah lama dalam dunia akademik. 

Jadi, kita tak sepatutnya marah jika bijak pandai berkata kepada anda – 

“Ceh Navier-Stoke, senang gila kot.”  
Atau  
“Anatomi? Paling kacang"

Kita mungkin menyirap kerana tampaknya seperti kita diperbodoh-bodohkan. Hakikatnya, tiada siapa yang bodoh dalam hal ini. Cuma mereka sudah biasa manakala kita baru hendak mempersiap langkah mula. 


Situasi saya - SEKARANG 


Tidak tipu - banyak yang saya gagal untuk faham pada mulanya. Rumus berbelit-belit dan derivation yang begitu meloyakan. Saya percaya pada kata-pata pensyarah kepada Anam dan cuba menanam kepercayaan pada janji Allah yang bersama orang-orang yang sabar seperti maksud surat Al-Baqarah ayat ke-153: 

“Wahai sekalian orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai orang yang sabar”

Alhamdulilah, hampir sehari menelaah formula-formula tersebut - pencerahan mulai tampak jelas. Seperti ada sinar di hujung terowong panjang yang gelap dan dingin. Bukan bermaksud saya sudah pandai, tapi setidak-tidaknya saya lebih ‘biasa’ dengan hal-hal yang menyerabutkan tersebut. 

Ada beza antara pandai dan ‘biasa’ dan hal ‘biasa’ itu merupakan petanda positif yang anda akan menginjak menjadi pandai suatu hari nanti. 


(Sejujurnya, saya kurang gemar memakai istilah pandai. Suka memakai ‘biasa’) 



Kesimpulan 


Saya percaya kita semua bukanlah bodoh pun, cumanya kita tidak biasa dengan sesuatu. Lantaran itu, tidak harus kita mudah menyerah kalah dengan godaan syaitan yang mengatakan hal hal seperti: 

1) Aku memang tak layak ambil course ini!

2) Aku nak berusrah sajalah - ambil course ni bukan boleh bantu agama/bangsa/negara pun!

3) Aku rasa nak tukar course

4) Aku nak balik Malaysia

5) Tiket balik Malaysia murah ke dak?

Rasa malas tetapi ingin berjaya? Rasa mahukan semua benda senang – semudah memasukkan nilai ke dalam formula dan mendapat jawapan? Sukarlah kalau kita mahu berterusan dalam comfort zone dan tidak memahami hakikat dunia akademik yang sebenar. 

Jom berusaha ubah ‘ketidakbiasaan’ kita. Jangan harap Allah nak ubah nasib kita kalau kita sendiri tak mahu nak mengubah. Seperti surah Ar-Rad ayat ke-11: 

“Bagi setiap seorang ada malaikat penjaganya dari hadapan dan belakangnya, yang menjaganya dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan kepada sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolak, dan tidak ada pelindung bagi mereka selain daripada-Nya”

Kalau kita benar-benar amalkan agama secara kaffah (keseluruhan) - kita seharusnya tidak tunduk pada sedikit godaan 'susah' dalam belajar. Segala ibadat khusus akan berjaya menjadi nadi kepada seluruh kehidupan kita. Jika kita malas dalam menelaah – mungkin ibadat khusus kita kurang kualitinya. Mungkin, kita belum lagi berjaya beriman kepada hakikat segala perlakuan di dalam hidup hari-hari kita adalah suatu ibadat – yang nampak secara langsung mahupun tidak. 

Selain itu, jangan lupa berdoa agar Allah membuka hati kita untuk menerima ilmu dengan luas. Kuasa Allah tiada tandingan . kun fayakun. Kalau Allah mengkehendaki kita untuk susah faham terhadap sesuatu, maka susahlah. Kalau senang, senanglah jadinya. Maka, usahlah sombong benar dan tidak mahu berdoa kepadaNya. 

“Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk Neraka Jahannam dalam keadaan hina - Surah Al-Mu’min ayat 60”

Selamat mengulang kaji buat para sahabat yang akan mengambil peperiksaan. Semoga rahmat Tuhan bersama kalian. Doakan saya mudah menerima ilmu juga. 

Sekadar perkongsian pendek menanti Subuh pada hari Rabu yang dingin dan berangin ini. 


P/S: Kalau hari Rabu di Kangar ada pasar malam sekitar Stadium Utama. Tapi di Manchester ada Jazeera, atau setidaknya kedai roti Greggs atau buah-buhan musim sejuk. Maka tiada apa perlu digusarkan kerana saya sudah BIASA dengan makanan bukan buatan Malaysia di sini! 


Sama-sama sebarkan falsafah 'tidak bodoh-biasa' ini kepada rakan-rakan lain. Semoga bermanfaat :)


Sumber gambar
1 - http://www.methody.org/Methodist_College/files/5b/5bcf3899-20a5-4f01-9656-c29174b4ff32.jpg
2 - http://www.anxietyuk.org.uk/wp-content/custom/legacy-images/condition_yp_exam.jpg
3 - http://www.ciklaili.com/2011/05/jadual-waktu-peperiksaan-upsr-pmr-spm.html


1 comment: