Friday 17 February 2012

Mengejar Makna Ideal - Sempena NISE

Artikel ini ditulis bersempena dengan permintaan urusetia program Nisa’ Nasheed Extravaganza  (NISE) yang dianjurkan oleh LUMSOC, Leeds. Program NISE merupakan pertandingan nasyid antara Muslimah dan pada tahun ini temanya adalah ‘Ideal Muslimah Empowering Ummah’. Namun artikel ini ditulis untuk kesesuaian kedua-dua gender.Semoga bermanfaat insyaAllah. Saya banyak mencedok idea daripada Ustaz Pahrol Mohamad Juoi lewat bukunya Mukmin Profesional.

Sekadar cetusan pendek.


Mengejar Makna Ideal
Oleh Shahkang
http://www.shahkang.com

APAKAH yang dimaksudkan dengan ideal? Ideal menurut Kamus Dewan edisi keempat membawa maksud : (dianggap) sempurna atau paling sesuai, sesuai dengan yang dicita-citakan. Dengan erti kata lain, menjadi seorang Muslim dan Muslimah yang ideal ditafsir penulis sebagai menjadi seorang hamba Allah yang bertakwa dan sempurna dalam menjalani ibadat sepanjang kehidupan.

Maksud ideal yang tidak khusus mengharuskan kita untuk berhati-hati dalam mengupasnya. Seribu persoalan boleh ditanya semula kepada diri sendiri – ideal ini perlu dilihat dari sudut mana? Apakah kriteria-kriteria yang menjadi penentu kejayaan ’pangkat’ ideal tersebut?

Pastinya ideal tersebut mahu tidak mahu akan disandarkan pada ketaatan kepada Allah SWT. Hal ini kerana, Allah SWT berfirman dalam surah Al Zariyat ayat ke-52 berkenaan tujuan manusia dan jin diciptakan di muka bumi:

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah-Ku. (Surah Al-Zariyat ayat ke-56)

Pahrol Mohamad Juoi menjelaskan bahawa ibadat terbahagi kepada asas, sunat dan umum:

Ibadat asas ditafsir sebagai mempelajari, memahami serta meyakini dan mengamalkan Rukun Iman yang enam dan Rukun Islam yang lima manakala ibadat sunat adalah mengerjakan amalan-amalan sunat seperti bersolat sunat, berpuasa sunat dan sebagainya. Ibadah umum pula ialah seluruh perlakuan, tindakan dan aktiviti-aktiviti selain daripada ibadah asas dan sunat atau dengan kata lain fardu kifayah. (Pahrol Mohamad Juoi, 2010: 164-166)

Justeru, ideal yang mahu dikecapi tidak sepatutnya dikaburi dengan satu bahagian ibadat. Sebaliknya ideal seorang umat Islam adalah apabila dia berjaya melaksanakan ketiga-tiga elemen tersebut tanpa ada pengabaian terhadap mana-mana satu bahagian pun.

Mungkin ramai secara tidak sengaja telah mengecilkan skop ideal tersebut kepada hanya satu bahagian semata-mata. Atau dengan erti kata lain, memecahkan kesatuan ideal tersebut kepada set-set tertentu dan memilih bahagian mana yang bersesuaian. Yang giat beribadat asas dan sunat akan terus berkampung di masjid seharian semalaman manakala yang ghairah berjuang di pejabat dan pusat pengajian pula akan menghambakan dirinya pada urusan duniawi sehingga mengabaikan ibadat yang lain. Masing-masing kemudiannya berbangga – ya, saya sudah bersungguh-sungguh beribadah dan sememangnya untuk agama Allah!

Adakah begitu Islam yang ideal? Adakah Islam yang diyakini akan menguasai dunia dan dikatakan rahmat kepada seluruh alam membangunkan umatnya secara tidak seimbang? Pastinya tidak.

Seharusnya dalam usaha melangkah setapak ke tahap ideal, bukan satu faktor yang perlu diberi tumpuan. Bukan sekadar duniawi. Bukan sekadar ukhrawi. Umat Islam yang benar-benar mahu cemerlang dan berhajat menjadi ’sempurna’ harus bijak mencari keseimbangan. Tidak bermakna mengabaikan mana-mana satu namun yang penting tidak membiarkan mana-mana aspek untuk ketinggalan terlalu jauh ke belakang. Jika demikian yang berlaku, makna ideal tersebut tetap juga tercapai namun tidak dalam konteks Islam.

Hal ini dapat dianalogikan seperti seorang pelajar yang mendapat keputusan sangat cemerlang dalam subjek tertentu dan lingkup terus dalam yang lain (untuk kes sistem pembelajaran di Malaysia). Misalnya mendapat markah 90 untuk Bahasa Melayu namun mendapat 30 dalam Pendidikan Agama Islam dan 40 dalam Matematik. Jelas, ketidakseimbangan sebegitu tidak membawa pelajar berkenaan ke mana-mana. Ya, anda mungkin ideal dalam pembelajaran Bahasa Melayu kerana anda meletakkan usaha sepenuhnya namun kecatatan yang tercalit pada subjek lain secara tidak langsung meruntuhkan segala-galanya. Akhirnya, siapa yang sebenarnya rugi?

Penulis bukan bermaksud untuk mensederhanakan usaha murni yang sebelum ini menyala-nyala api semangatnya. Namun dalam kondisi yang terhad, keutamaan harus dipandu dengan cermat agar tidak ada hal-hal lain (yang sama tahap pentingnya) terbabas sedangkan hal lain maju tanpa sebarang halangan.

Jika diaplikasikan analogi ini dalam kehidupan seharian sebagai seorang Muslim, kejadian ini seperti kita hanya berusaha mendirikan solat siang dan malam namun pada masa yang sama, kita singkirkan terus akhlak-akhlak terpuji yang dianjurkan Rasulullah SAW. Solat fardhu berjemaah dan sunat merupakan ibadah yang dituntut namun bukankah masih ada elemen mustahak lain perlu dipupuk dan diberi perhatian? Adakah umat ideal akan tercapai jika kita berkalutan solat jemaah di masjid sedangkan bila tiba musim peperiksaan kita lesu dan tidak bermaya di hadapan nota-nota kuliah? Atau kita tekun menelaah pelajaran tetapi sedikit pun tidak memikirkan hal masyarakat sekeliling. Pastinya, situasi itu bukan ideal malah menimbulkan fitnah lantas merencatkan istilah kecemerlangan yang sewajarnya tersemat dalam dada umat Islam.

Pahrol Mohamad Juoi turut menjelaskan bahawa umat Islam adalah sinonim dengan istilah kecemerlangan:

Umat Islam sangat sinonim dengan kecemerlangan. Secara langsung, tidak kurang sepuluh kali dalam sehari kita diajak kepada kecemerlangan, yakni menerusi kalimah “hayya alal falah” (mari menuju kemenangan) dalam seruan azan iqamat. (Pahrol Mohamad Juoi, 2010: 46)

Lantaran itu, istilah ideal harus difikirkan dan diamati penuh teliti oleh sekalian umat Islam yang mahukan kecemerlangan di dunia mahupun di akhirat. Jangan kita terperangkap dalam kepompong ‘selesa’ yang akhirnya merugikan kita apabila berhadapan dengan Allah SWT kelak. Minda harus dibuka seluas-luasnya jika kita berazam mahu menjadi umat yang ideal di pentas dunia.

Ditulis 27 Januari 2012

RUJUKAN
Juoi, P. M. (2010). Mukmin Profesional: Celik Mata Hati. Petaling jaya: Fitrah Perkasa.

Maklumat lanjut NISE: 
http://lumsoc.com/nise/

Sumber gambar:  
http://intimagazine.files.wordpress.com/2010/10/muslimah.jpg