Tuesday 27 December 2011

Windermere: Memburu Diri

Alhamdulilah ini post pertama di blog baru (blog lama adalah http://www.norshah.com). Setelah sekian lama, saya tidak mengemas kini blog dengan meletakkan sejumlah gambar (picture blogging, mungkin itu istilahnya), kali ini muncul semula. . InsyaAllah.

Saya tidak ke mana-mana cuti ini. Itu hakikatnya yang tak boleh diubah. Saya tidak ke mana-mana winter gathering seperti JUMS, FUIYO, PUISI atau PMS. Hanya sewaktu tahun pertama saya berkunjung ke PMS dan semakin usia menginjak ke tapak lebih tinggi, semakin itu banyak menghabiskan masa dengan hal sendiri (menulis dan sebagainya)

Justeru, saya berfikir - saya perlu mencari diri. 2011 banyak mengandungi perencah yang pelbagai - masam manis pahit. Lantas memerlukan suatu perjalanan meditasi untuk merelakskan jiwa sebelum masuknya tahun baru. 

Lalu memilih - dalam banyak bandar yang enak untuk dilawati di muka bumi UK maka Windermere yang dipilih. Sebuah bandar kecil di daerah Cumbria. Lebih akrab dikenali sebagai Lake District. 

Banyak yang terkandung dalam daerah belantara bertasik ini - dari kisah William Woodworth (penyair romantik) di pekan kecil Grasmere, juga Samuel T Coleridge (penyair), kes tembak-bunuh yang berlaku setahun dua lepas dan bermacam-macam. 

Bukan daerah ini sahaja sebenarnya. Daerah atau bandar lain di bumi UK ini mempunyai keistimewaan sendiri. Cumanya kita sebagai umat yang mahgu menjadi bijak, hanya terpedaya dengan keindahan tanpa menelan nikmat pengetahuan yang ada di sesuatu tempat. Hanya menghirup pawana dingin, bau-bau daun luruh, salji yang menggigit tubuh - itu sahaja. (hal ini akan diterangkan lebih lanjut dalam post yang lain)

Jadi begitulah, Windermere - penuh keterujaan dan emosi. Seorang diri dan bersama peserta JUMS buat sementara (jumpa di stesen tren), saya menjejaki apa sahaja yang mahu diberikan alam untuk muhasabah. Muihasabah yang bakal menanggalkan segala masalah, kebosanan, kegagalan dan tekanan sepanjang 2011. 

Buat julung kali di halaman baru ini, biarlah gambar-gambar yang menceritakan : (habaq ja la hang malaih nak tulihhhhh)


Menukar tren di Oxhenholme Lake District. Selama sejam di stesen kecil yang hanya punya kafe seluas kamar saya. Dingin mencucuk. Lebih mendebarkan dengan pecutan Virgin Trains London - Glasgow yang tidak kerap berhenti di stesen ini. Deras mengalahkan ERL Ekspress yang selamba memecut di stesen pertengahan seperti Putrajaya dan Salak Tinggi. 

Saya sempat menukil kata di Facebook:


Aku stesen. Kanan ke Kendal, kiri ke Lancaster. Menanti tren berlalu. Tiada satu yang berhenti melainkan sekejap mengisi penumpang. Yang berlalu - ada deras seperti Virgins yang kalut berkejar dari Edin ke London. Ada perlahan -seperti pembawa simen yang gontai mengemudi rel


Aku masih stesen yang sepi. Menanti tren yang berhenti. Betul-betul berhenti
Di hatiku selamanya

Oxenholme Lake District train station


Penuh makna? Wallahualam

Saya berpisah dengan sahabat-sahabat yang ke JUMS - berpapasan seorang diri sepanjang jalan-jalan utama Windermere. Gerimis menabur namun bara semangat tidak langsung tercela panasnya. 

Saya mahu ke Grasmere (arah Keswick)! Mahu melihat tempat William Woodworth meski saya kurang arif dengan karyanya (terima kasih kepada Kak Nisah Haron yang memberitahu tentang penulis ini di FB). Melihat masa, jarak dan jadual bas, saya membatalkan hasrat ke sana. Mungkin sehari sebelum Krismas, jadi khidmat bas terhad. Tambahan, siang pendek dan menambah kesuraman jika ke kampung pedalaman seperti Grasmere. InsyaAllah akan hadir lagi di  sini musim panas. 

Bowness! Saya mahu melihat tasik namun jaraknya 1.5 batu bersamaan 2.4 KM. Saya gagahi jua berjalan kerana dengan mengembara sejauh itu akan turut sama membawa hati mengenali Pencipta. 

Tiba di Bowness disambut sebuah kedai buku. Menyemak beberapa buah buku Woodworth dan Coleridge. Namun akhirnya saya membeli beberapa buah buku di kedai lain (yang jauh lebih murah)

Petikan status FB saya (sesudah pulang):


Semalam di Windermere tak sempat membeli karya penulis agung dari sana iaitu William Wordworth dan Samuel T Coleridge. Tetapi terjumpa sebuah kedai buku murah di pekan Bowness. Novel klasik yang masih baru dijual dengan harga dua untuk 1.99 pound. Antara novel agung yang dibeli adalah Robinson Crusoe dan Sense and Sensibility. Lagi dua buah adalah novel Sherlock Holmes. Kesemuanya berharga 3.98 pound


Arnab! Rupanya di sini ada taman kanak-kanak mengenai Beatrix Potter (rasanya ia seperti kisah dongeng kanak-kanak yang melibatkan watak binatang). Kalau tak salah juga, saya pernah terjumpa bukunya di Renold Building. 

Setelah menuruni bukit sejauh 2.4 KM - tiba di tepian tasik Bowness. Terpaksa melahap pisang dan coklat kerana tenaga turun dengan mendadak. 

Segerombolan itik yang asyik mengikut.

Petikan Facebook saya ketika di sini:

itik diminta tidak mengikut saya. Tq. - di bay yang lupa nama


Indah. Cuma sedikit sejuk. 

Snow top mountain jauh di sana.

Pandangan dari udara - tasik ini merupakan tasik terbesar di England.. Tak tahu jika mahu dibandingkan dengan keluasan tasik Loch Ness (yang kononnya ada naga comel) di Scotland

Simpang tiga berbulatan di bandar Bowness. Entah mengapa saya suka keadaan di sini. Mungkin diseabkan musim rontok yang menanggalkan dedaun di pohon ini?

Pulang semula ke Windermere, mendaki bukit. 1/4 batu lagi mahu tiba! (2.4 KM pergi, 2.4 KM balik - boleh tahan penat)

Seperti biasa - menulis poskad. Di tengah-tengah bandar Windermere. Akan diingati sampai bila-bila kerusi di hadapan pejabat pos ini. 

Sekian dahulu - percubaan pertama untuk blog baru. Harapnya dapat kembali ke Windermere dengan masa yang lebih lama - bukan sehari seperti kali ini. Akan ke Grasmere, menikmati cruise di tasik dan bermacam-macam. 

Sunday 25 December 2011

Usah Pandang Tepi!

Prolog

Apabila tersepit ketika menulis sesuatu yang kreatif, saya akan beralih kepada pembacaan mahupun tulisan akademik/artikel. Seperti sekarang, bila cepu kepala pun sudah penuh dengan kepenatan dan kelaparan. Mahu pulang, lagi dahsyat muka tertidur atau bersepak-terajang dengan teman serumah. Jadi baiklah duduk sebentar di perpustakaan lantas menari-nari jari jemari di atas kekunci, menaip apa sahaja penyampaian yang termampu.


Pengenalan

Saya selalu melihat manusia. Itu memang adalah sikap seorang pengarang dan sikap saya sendiri. Melihat bukan usha, tetapi melihat dengan mata hati. Bukan bermaksud terpikat (aduh), tetapi maksudnya menafsir apa sahaja yang tersirat dari perlakuan.

Selalunya, apabila melihat kelebihan manusia saya akan lekas cemburu. Saya tak tahu apa reaksi sahabat sekalian melihat teman-teman yang memperolehi kelebihan berbanding kita. Acap kali pertanyaan berikut timbul: Adilkah Tuhan menjadikan dia lebih dan aku kurang? Kenapa dia hidup senang tak perlu bersusah payah? Kenapa – kenapa dan terus kenapa (bergantung kepada situasi yang akan kita ulas satu per satu di bawah).

Ah, kusut. Manusia memang kerap merungut. Itu memang sikap manusia, yang sukar sekali hendak bersyukur, seperti dalam ayat surah Al-aaraf ayat ke-10:

“Sesungguhnya Kami (Allah) telah menempatkan kamu sekelian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber/jalan) penghidupan. (Tetapi) amat sedikitlah kamu bersyukur”.

Jom kita lihat situasi demi situasi. Ini bukanlah semua situasi saya. Mungkin terilham daripada melihat papan tanda di jalan Oxford Road, melihat daun-daun berguguran di Whitwork Park, atau labah-labah kecil di dinding rumah (penulis sangat pelik, abaikan sumber inspirasi ini).


Kisah 1 – Cinta

Sering kali cinta menimbulkan rasa cemburu. Saya juga pernah tampil suatu masa dahulu dengan ayat ‘Cinta itu Membejatkan’. Ya, benar dari satu sudut tapi bukan dari semua hal. Tapi saya tetap percaya, setiap cinta yang terbina pasti ada ‘bejat’ atau masalah yang berlaku kepada orang lain. Contohnya kalau orang berkahwin, akan ada orang lain cemburu kerana tak dapat berkahwin (bejat kerana membuatkan dia sugul dan banyak berfikir). Atau mungkin bekas kekasih akan kecewa dan sebagainya. Tak apa lupakan hal remeh dan temeh tersebut.

Hakikatnya, cemburu selalu terjadi. Ada satu kisah, orang sangat ramai cemburu dengan si fulan. Kenapa? Wah si fulan dapat bernikah awal dan isterinya pula cantik molek dan solehah. Beranak pula, anak yang cerdik, pintar, cerdas (saya teringatkan cerita Pintar Pintas di TV 1). Ish, ideal sungguh cinta si fulan!

Lantaran itu, timbulah cemburu dalam kalangan orang bujang ini. Cemburu bukan biasa, cemburu sampai sugul makan nasi pun tidak berkuah (aku pun biasa buat sebab sedap juga), atau ‘koyak’ sampai dengar lagu-lagu cinta untuk mencari bahagia yang tersembunyi di balik jendela. Atau hilang mood untuk belajar dan berfikir ‘Kenapalah aku begitu loser tak dapat cinta sampai sekarang??!’

Maka hal ini akan mengundang sesuatu yang negatif, walhal melihat cinta orang lain sepatutnya membuatkan kita lebih positif dengan takdir Allah yang insyaAllah memberikan hamba-Nya jodoh yang terbaik dan cocok.

Muhasabah: Benarkah bahagia apabila punya isteri cantik solehah dan anak yang comel? Ops, bukan saya nak menafikan kebahagiaan. Tapi kita tidak pernah tahu menahu apa ujian yang Allah kurniakan kepada mereka. Mungkin, isterinya cantik malam-malam mengigau teruk sampai baling pinggan mangkuk dan akibatnya tak boleh tidur. Okay, mungkin pelik tapi percayalah, akal kita tak sampai pun nak menafsir apa bentuk masalah/ujian yang mereka terima.

Seseorang mungkin akan berkata “Apa lagi dia nak? Mesti gembira. Isteri cantik dan baik, anak comel. Hah, apa lagi?”.

Kerap kali kita bertemu ayat sebegitu.

Kita tak harus pun melihat kebahagiaan orang lain sehingga diri sendiri sugul (cemburu sampai rasa macam diri ini loser). Haruslah kita mencari apa kelebihan dan kenikmatan yang Allah beri pada saat bujang/saat Allah uji diri susah mencari jodoh. Mungkin orang berkahwin itu gembira dengan pasangan, tapi mungkin Allah uji dari aspek pengurusan masa. Tiada lagi main bola (minum air jus selepas main dengan enak), tiada lagi lepak sampai larut malam dan bersembang tentang kehidupan, tiada lagi – banyak!

Bukanlah maksud saya menyuruh orang tidak berkahwin atau mengtidakkan kebahagian lepas kahwin. Bukan. Cuma kalaulah kita sedang dalam keadaan diuji Allah untuk tidak dapat berkahwin lagi, apakah kita perlu menanggung cemburu yang ekstrim (sila highlight ekstrim di situ) dari pasangan lain? Tidakkah kita perlu bersyukur dan bersabar dengan apa yang telah Allah kurniakan sekarang.

Cari kenikmatan itu! Mesti ada!


Kisah 2 – Duit

Alahai, seronok benar melihat manusia lain mendapat wang. Ada dari kemenangan peraduan, atau pemberian sanak saudara atau apa sahaja.Tambah bila raya, sesiapa yang punya sanak saudara yang kaya akan melimpah-ruahlah wang bagaikan coklat mengalir di ladang gandum.

Kita tiada apa. Hanya sekeping not dan baki akaun online yang semakin susut. Ah, kena bayar! Adoi, hilang pula bus pass dan kena bayar denda. Huk, apasal mahal sangat makan di Domino – patut lah aku lupa pakai kupon. Adoi sayang ruginya duit aku. Bermacam-macam dugaan menimpa kita sebelum ini. Duit makin susut.

Kita pun merungut:

“Alahai kalau la ditakdirkan aku ada 500 pound extra macam dia, tentu aku dah beli Ipad, beli kuih -muih (erk?), beli Yogurt Muller (pun erk juga?) beli itu beli ini. Seronoknya!”

Biasa kan dengar keluhan sebegitu? Kalau bukan dari orang lain pun, ayat ini berguguran dari tangkai hati kita sendiri sebagai seorang manusia yang lemah.

Muhasabah: Apakah kita benar-benar kekeringan wang? Tidak, rasanya. Melainkan kita dari kaum keluarga yang susah. Kalau nak dicakapkan tentang pelajar yang berada di UK ini, duit sememangnya melimpah.Sebenarnya kita sendiri yang tak reti nak urus wang – tengok diri balik banyak mana sampah yang telah dibeli. Makan nasi beriani sampai 7-9 pound, kemudian beli gadget baru, kemudian beli pula alat senaman konon nak bagi kurus, beli alat muzik walaupun tak pandai main. Macam-macam.

Dan fikirlah, adakah mempunyai duit 500 pound extra itu menyebabkan kebahagiaan tidak berpihak kepada kita? Tidak semestinya. Dengan ada duit lebih, mungkin tanggungjawab untuk bersedekah/membantu orang itu lebih besar. Amanah makin banyak. Macam-macam hal lagi.

Syukurlah dengan duit yang ada. Kalau Allah bagi tak ada duit sampai kena minum air paip, lagi lah haru. Syukur saja! Carilah bahagia dengan duit yang ada itu.


Adilkah Allah?

Saya pernah berfikir bagaimana Allah menampakkan keadilan-Nya lantas saya cuba membandingkan nasib saya dan seorang sahabat lain. Sukar, sangat sukar untuk mencari hujah mengatakan “Ha, memang tak adil!”. Sukar. Kalau kita cuba analisis, kita akan bertemu dengan kenyataan seperti:

1) Aku ini tak ada duit. Insan bernama Taman Rashidah Utama itu banyak wang (abaikan nama insan itu). Eh kejap, dia banyak wang tapi keluarganya tak berapa nak ikut Islam. Keluarga aku patuh dengan baik. Syukur duit tak melalaikan kami semua.

2) Aku ini dah la belajar tak pandai. Seronoknya dia belajar pandai. Eh, sebentar. Dia ada penyakit migrain lah. Alhamdulilah aku tak ada.

3) Seronoknya dia belajar luar negara. Aku ni belajar di kolej tempatan sahaja. Eh kejap, dia belajar luar negara namun katanya hidup sengsara sebab belajar susah. Ulang berkali-kali dan siap kena repeat year lagi. Alhamdulilah, aku dimudahkan untuk lepas dan lagi dua bulan dah nak grad dan boleh cari kerja.

4) Kalau la aku dapat jadi popular dan kacak macam dia, kan senang. Ramai perempuan nak. Eh kejap, hari itu katanya dia tak dapat nak tumpu pelajaran sebab diganggu pelbagai gosip dan fitnah daripada kawan-kawan. Alhamdulilah aku tak ada sapa kacau dan masih terpelihara maruah.

5) Aku ini tak ada cinta. Seorang. Sunyi. Sepi. Sengsara. Kawan aku si Ali tu ada makwe malam-malam dok bersembang. Seronoknyanya boleh kongsi kisah hidup, ada orang tolong selesaikan masalah kita dan pelbagai lagi. Eh, tapi aku tak payah belapar makan Chipsmore (hm kenapa biskut ini?) hari-hari. Ali tu kena ikat perut sebab hari-hari kena beli top-up. Alhamdulilah.

Kalau…, ah macam-macam lagi! Penat nak menulis semua. Sudah la tengah kesunyian dan menakutkan di tingkat 3 perpustakaan ini (Tinggal saya dan seorang lain yang berdekatan. Sudah larut malam nampaknya!)

Nah, itu baru yang zahir. Kalau yang tersembunyi? Penyakit hati, penyakit organ dalaman, masalah hidup, beban tanggungjawab dan sebagainya. Ada kita tahu apa yang ujian sedang dialami manusia lain sampaikan kita nak mengatakan ‘Orang itu hidupnya baik dan hidup aku tidak’? Nampak sangat hanya mainan hati dan bisikan syaitan.

Ternyata, kita tak akan dapat rungkai keadilan Allah itu dengan akal yang kita yang dangkal dan cetek!


Penutup

Berhenti, buang dan nyahkan! Tidak perlu kita pandang ke tepi untuk melihat kenikmatan orang lain. Sebaliknya lihatlah ke hadapan dan manfaatkan nikmat-nikmat Allah yang melata di mana-mana. Kita harus bijak mencari peluang dengan situasi apa yang kita ada. Kalau kita ini tidak dikurniakan cinta, apakah itu penghalang kejayaan kita? Kalau kita mendapat tidak mendapat lambakan wang, apakah kebahagian akan tercantas? Kalau kita tidak dapat belajar luar negara seperti sahabat lain, apakah bermakna kita tidak berguna?

Peluang kebahagiaan itu di mana-mana. Hanya menanti kita sebagai seorang manusia untuk menjadi kreatif dan memanfaat apa sahaja bentuk nikmat. Usah merungut dan melihat kekurangan tetapi railah kelebihan yang ada walaupun sekelumit.

Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Lihatlah orang yang lebih bawah daripada kamu, jangan melihat orang yang tinggi daripada kamu, kerana dengan demikian kamu tidak akan lupa segala nikmat Allah kepadamu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Kata-kata yang sama juga diutarakan oleh ibu saya dan guru Fizik saya di KMB, Puan Adilah. Dewasa ini juga ada gambar-gambar di Facebook yang mengusung erti syukur betul-betul ke hadapan pintu hari kita. Contohnya gambar seorang yang kanak-kanak cacat mengepit sudu pada kakinya untuk menyuap seorang kanak-kanak lain yang sempurna. Jelas dan cukuplah, untuk membuatkan kita mendaki ke puncak kesyukuran.

Syukur, cari peluang untuk raih kebahagiaan dan kejayaan dengan apa yang telah Allah beri! Nikmat Allah itu, sangat banyak. Semaklah tafsir surah Ar-Rahman kalau tak percaya.

Apa-apa pun, terasa berat tanggungjawab dan risau. Semoga diri sendiri dapat sentiasa diingati. Teringat firman Allah dalam surah As-Saaf ayat kedua:
“Wahai orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!”
Sama-sama memperingati.


Shahkang
John Ryland Uni Library, Manchester
9.48 malam
12 Oktober 2011

Tak Kisah Kalau Dibuang

Menesuluri kisah Pramoedya Ananta Toer, seorang penulis Indonesia ; membuatkan saya berkelana dalam pemikiran. Hanyut dalam arus muhasabah yang menghala ke arah pencarian diri.Pramoedya – dengar namanya sewaktu ke Palembang oleh teman-teman sepenulis. Pabila kami merayau ke Gramedia (toko buku), setiap seorang penulis akan mencari karya Pramoedya. Kecuali saya, yang melihat buku Pramoedya terlalu tebal dan mula membuat perhitungan berkenaan cara membawanya pulang ke Malaysia.

Siapa Pramoedya? Lebih enak jikalau saya lampirkan terus sumber penceritaan kisah hidupnya dari Wikipedia.
Pramoedya Ananta Toer (EYD: Pramudya Ananta Tur) (6 February 1925 – 30 April 2006) was an Indonesian author of novels, short stories, essays, polemic and histories of his homeland and its people. His works span the colonial period, Indonesia’s struggle for independence, its occupation by Japan during the Second World War, as well as the post-colonial authoritarian regimes of Sukarno and Suharto, and are infused with personal and national history. 
Pramoedya’s writings sometimes fell out of favor with the colonial and later the authoritarian native governments in power. Pramoedya faced censorship in Indonesia during the pre-reformation era despite the fact that he was well known outside Indonesia. During the changeover to the Suharto regime Pramoedya was caught up in the shifting tides of political change and power struggles in Indonesia. He was seen as a holdover from the previous regime (even though he had struggled with the former regime as well) and was banished for years to Buru islandwhere political prisoners were kept. It was there that he composed his most famous work, the Buru Quartet. Not permitted access to writing materials, he recited the story orally to other prisoners before it was written down and smuggled out. 
Sumber – http://en.wikipedia.org/wiki/Pramoedya_Ananta_Toer
Oh ya, sebelum mengulas lanjut – apa maksud buang di sini? Bukanlah bermakna dilempar ke tepi seperti seekor binatang jalang. Buang lebih kepada apa sahaja yang mengundang duka dan nestapa. Sepertinya kegagalan bercinta, disisihkan masyarakat, dianggap sebagai pembawa tahyul dan sebagainya. Itulah maksudnya buang - sekurang-kurangnya dari pandangan seorang Shahkang.

Dibuang ke Pulau Buru – sampaikan terpaksa menyampaikan karya menggunakan mulut (oral) sebelum ditulis kemudiannya. Ada juga yang saya dengar, Pramoedya tidak dibenarkan mendekati langsung sebarang pen dan kertas untuk menukil karya.

Penulis tidak peduli. Sama ada dibuang atau dijunjung. Karena cinta pada sebaris aksara lebih mahsyur dari segala-galanya. Cinta pada selaras kata yang menjulang Yang Esa ternyata mengatasi apa jua cabaran. Cinta pada setiap siaran idea di akhbar mahupun majalah meletus, lebih dahsyat daripada pandangan seorang wanita. Biar ditinggalkan kekasih dan diperap jauh ke pojok belantara oleh sesiapa sekalipun – cinta itu kekal harum, menggamit nafsu sebagaimana narwastu syurga.

Syed Qutb juga menulis Tafsir Fil Zilal ketika di dalam penjara. Meski diperlakukan demikian namun masih – karya agung dapat dicipta dan digunakan sampai sekarang. Ternyata, ‘kebuangannya’ tidak mencantas sedikit pun cinta dan semangat untuk terus menitip kata di atas halaman putih. Seperti juga Syed Qutb yang punya kegagalan sendiri dalam cintanya dengan wanita – mana mungkin menghalang Tarsif Fil Zilal daripada terus dikarang!

Tidak percaya Syed Qutb juga pernah alami masalah ‘dibuang’? Saya cuba sertakan bersama tulisan mengenai Syed Qutb oleh Anis Matta:

Begitu Sayyid Quthub menyaksikan mimpinya hancur berkeping-keping, sembariberkata, “Apakah kehidupan memang tidak menyediakan gadis impianku, atauperkawinan pada dasarnya tidak sesuai dengan kondisiku?” Setelah itu ia berlari meraihtakdirnya;dipenjara 15 tahun, menulis Fi Dzilalil Qur’an, dan mati di tiang gantungan!Sendiri! Hanya sendiri!

(Serial Cinta Tarbawi – Anis Matta)   
Sumber: http://www.scribd.com/doc/6692282/Kumpulan-Tulisan-Anis-Mata-Lc

Kadang kala teringat kata-kata Tun mahathir dalam satu videonya. “Nak buang saya buanglah. Saya tak kisah kena buang.”

Sebagai penulis, saya juga tidak kisah kalau dibuang. Asalkan kebenaran terus dipancang!

(Semoga saya dan kita semua dapat teguhkan diri dan menepis segala kebuangan/sampah sarap perasaan yang ada! Amin.)


Shahkang
Manchester, UK