Sunday 13 October 2013

Jangan Sombong, si Bodoh!

Apabila saya menyampaikan perkongsian di sekolah-sekolah, mahupun sembang-sembang bersama teman, saya selalu menegaskan bahawa kita manusia adalah bodoh.

Kalau kita belajar setinggi mana pun, masih jua kita adalah seorang yang bodoh.

Kenapa?

Hal ini kerana kita tidak akan mampu untuk mendalami semua jenis ilmu Allah di muka bumi ini. Dalam masa kita hebat dalam bidang tertentu, pastinya dalam masa sama akan ada manusia lain yang hebat dalam bidang-bidang lain.

Manusia ini adalah manusia yang mungkin tidak pernah terlintas langsung dalam cepu akal kita.

Kalau setakat kita graduan dalam bidang kejuruteraan mekanikal, kita akan mengatakan:

"Dia yang belajar perubatan itu tentu lebih pandai daripadaku dalam bidang anatomi manusia." 
"Dia, dia si arkitek yang baru graduasi itu. Tentunya dia lebih arif daripadaku dalam bidang susunan dan reka bentuk sesebuah rumah."

Ya, itu apa yang kita selalu dengar.

Jawapan tipikal. Skema jawapan SPM.

Tapi seharusnya kita tidak meletakkan konotasi 'pandai' hanya dengan segulung sijil universiti. Pandai bersifat subjektif dan tidak hanya hadir dalam bentuk pendidikan formal.

Kalau pandai hanya diklasifikasi berdasarkan gulungan ijazah, mengapa kita dengar ada manusia-manusia hebat yang gagal di universiti tapi masih mampu menerajui dunia. Saya kira banyak orang-orang sebegitu (malas nak search punya pasal)

Mengapa?


Sebabnya kita terlalu taksub dengan universiti. Terlalu taksub dengan mendapatkan ijazah di universiti dan 'bermegah sombong' sewaktu graduasi seolah-olah kitalah manusia terpandai dan terhebat. Akibatnya, kita lupa untuk mencari ilmu-ilmu di luarnya yang sama mustahak.

Ilmu common sense. 

Ilmu mengenal alam. 

Mengenal manusia!


Kepandaian yang sebenarnya adalah daripada pengalaman yang mengajar!

Contohnya:

1. Meskipun kita graduan dalam bidang kejuruteraan mekanikal, tapi belum tentu kita cekap dalam bidang pembikinan cendol. Ternyata Mak Yah rumah berdekatan batas bendang itu lebih bijak dan tahu selok belok mencampurkan gula dan seterusnya membuat benda hijau-hijau yang aku pun tak tahu apa nama dia tu.

Cuba suruh kita buat, nah jenuh. Silap haribulan jadi bubur nasi ikan kering. Mana mai ikan kering aku pun tak tau

Cuba buat tengok, ada belajar dalam kuliah? Tak tahu la kan jawabnya. 
.

2. Meskipun kita graduan dalam bidang kejuruteraan mekanikal, kita balik di lapangan terbang dengan gah dari luar negara kononnya. Tapi ketahuilah pakcik guard yang kita tak nampak (sebab terkejar-kejar nak beli biskut Famous Amos) lebih arif bab menjaga keselamatan orang ramai jika ada manusia menyerang atau haiwan comel yang bergaduh.

Cuma kita jadi pak guard, silap haribulan nampak pak Arab berbadan besar pun kita dah cabut lari sebab kita tak arif dalam bab keberanian. Pak guard wins!

3. Meskipun kita graduan dalam bidang kejuruteraan mekanikal, kita kerja di KLCC kemudian bila lalu depan makcik cleaner kita rasa bangga kononnya. Sebab makcik cleaner pakai baju macam mak kita masuk dapur tapi kita pakai baju kot dengan tie MRSM (ops!), tapi ketahuilah makcik itu lebih hebat pengalaman dan kepandaian dalam mencuci tandas di samping pengalaman menjaga 10 orang anak dalam keadaan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, malam + pagi esoknya (nak kata betapa susahnya).

Nak suruh kita kerja membersih kemudian balik kena fikir 9 orang anak di bawah tanggungan? Rasanya kita pun boleh jadi pening sebab tak pandai dan tak diajar pun benda ni dalam dewan kuliah!

4. Meskipun kita graduan dalam bidang kejuruteraan mekanikal, pandang pakcik aiskrim pun kita rasa sombong sebab kononnya pakcik aiskrim tak tahu bab kalkulus. Tapi hey, jangan lupa! Pakcik aiskrim pandai menggamit kanak-kanak beli aiskrim dengan gaya pujukan super mengancam.

Kalau kita naik moto jual aiskrim, boleh laku? Kalau setakat nak sebut rumus-rumus memang budak-budak dengan ibu bapanya pun boleh lari!

Kita setakat beli aiskrim di The Store (dalam tupperware, ada tiga warna) bolehlah. Nak menjual bukan sebarangan orang boleh buat!



5. Meskipun kita graduan dalam bidang kejuruteraan mekanikal, kita mengamuk bila kakak jurutol lambat. Katanya nak ke meeting projek berjuta-juta. Maka kita pun merasakan kakak tol tu lembab dan sebagainya.

Tapi kita tak reti pun jadi jurutol sebab tak sabar dengan kerenah pemandu yang beribu-ribu (tambah-tambah tol Sungai Besi). Maknanya kakak jurutol tu lebih pandai dari kita aspek kesabaran dan dia lebih banyak belajar mengenai sikap rakyat Malaysia. Kita duduk dalam ofis apa tau?

Maka apa kesimpulan daripada kelima-lima kisah di atas?

Jangan sombong la, bodoh!


Tak seharusnya kita mendabik dada bersombong dengan apa yang kita buat. PhD atau masters berapa banyak kali pun masih banyak perkara yang kita tak tahu dalam dunia ini. Kalau rasa kita dah buat kerja kelima-lima tugas di atas, masih ada 1008970 (anggaran konon) tugas lagi belum kita sentuh dan kita fahami dalam dunia ini.

Setiap orang ada kepandaian dan ilmu tersendiri yang tidak dipunyai oleh orang lain!

Kepada yang tak berpeluang mendapat ijazah, gunakanlah pengalaman hidup anda sebagai satu kepandaian dalam hidup. Anda berhak untuk menjadi pandai dengan apa jua ilmu dan pengalaman hidup yang kita perolehi, sama ada ia dihargai oleh orang atau tidak. Yang penting, Allah redha.

Setiap manusia berhak untuk ada lingkungan pandainya sendiri!

Tak seharusnya kita mentakrif pandai hanya dari segi siapa dapat gaji lebih banyak dan siapa dapat pakai kot nampak handsome dan lebih dipuja oleh gadis-gadis pejabat.

Kepandaian adalah sesuatu yang subjektif. Ilmu yang membawa kita menghayati kehidupan dan membawa kita lebih dekat denganNya adalah ilmu-ilmu yang membuatkan kita pandai. Ilmu ini termasuklah semua pengalaman yang kita alami dalam hidup.

Teringat kisah orang kaya naik bot. Tak tahu nak cerita macam mana tapi orang kaya tu kutuk pembawa bot, kata si pembawa bot ni tak pandai sebab hanya bawa bot hari-hari. Tapi bila bot tu karam, baru la orang kaya tu ketahuan sebab dia tak pandai berenang dan pembawa bot memang cekap berenang, pembawa bot tu hanya gelakkan saja. Sekarang tengah kecemasan ni siapa pandai siapa bodoh?! - diambil dari kisah teladan entah mana saya dengar, saya ubah sikit.

Sekian.

(Kejuruteraan mekanikal sebagai contoh, gantilah dengan course masing-masing)



Sumber gambar:
1. http://che-mid.blogspot.com/2013/04/penangan-cendol-tepi-longkang.html
2. http://ohpemandu.com/2012/09/jual-aiskrim-guna-superbike/