Friday 20 January 2012

Rezeki Tahun Baru

Sijil penghargaan - trofi kemenangan - cek dan buku program

Alhamdulilah, setinggi-tinggi syukur ke hadrat Ilahi kerana saya diberi peluang untuk menjadi salah seorang pemenang bagi salah satu hadiah sastera yang tidak kurang hebatnya di Malaysia: Hadiah Sastera Berunsur Islam (HSBI) ke-13.

Cerpen saya bertajuk 'Sang Penghukum' telah mendapat hadiah sagu hati.

Dalam buku aturcara majlis penyampaian, 20 Januari 2012 - terima kasih kepada kak Raihani yang mengambil gambar ini

Majlis penyampaian telah berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) padi tadi (Jumaat 20 Januari 2012) dan saya telah diwakili oleh bapa saya, Shuaib Hashim (terima kasih kepada abah yang turun jauh dari Perlis ke KL).

Keputusan penuh adalah seperti di bawah (dipetik dari laman Facebook Tunas Cipta):

Tahniah kepada semua pemenang Hadiah Sastera Berunsur Islam ke-13
Kategori Cerpen:
Pertama:-Zulkifli Hamisan @ Khair (TaubatAl-Munawwarah)
Kedua:-Abd. Razak Adam (Jalan)
Ketiga:-Amin Minhad (Kenapa Air Laut Masin)
... Sagu hati:-Hafizah Iszahanid (Nama Saya Ling Mei Ling), Norshah Aizat Shuaib (Sang Penghukum), dan Saifullizan Yahaya (Menanti Tamu Istimewa)

Kategori Lirik Lagu:
Pertama:-Marini Azahri (Cahaya dari Timur)
Kedua:-Siti Raihani Mohamed Saaid (Puisi di Perhentian)
Ketiga:-Fauziah Abd. Ralip (Muhammad Pembawa Rahmat)
Sagu hati:-Esa Md. Salleh (Tidakkah Kau Ingat), Muhammad Zaid Md. Saleh (Cinta dari Langit), dan Ruzaini Yahya (Mencari Cinta-Mu)
Juga ada gambar yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia di segmen gambar terkini - cikgu Amin Had, Abdrul Razak Adam, kak Raihani dan saudari Marini (klik link untuk gambar):

20 JAN. 2012: Pemenang tempat kedua dan ketiga hadiah sastera berunsur Islam kategori cerpen, Abdul Razak Adam dan Amin Minhad (kiri) bersama pemenang tempat pertama dan kedua hadiah sastera kategori lirik lagu, Marini Azahri dan Siti Raihani Mohamed Saaid (kanan) pada majlis penyampaian hadiah sastera berunsur islam di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka. - Utusan/MOHD NAJIB MOHD NOR
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?pg=special/galeri/galeri_terkini.htm

Apa bezanya cerpen ini dengan cerpen saya yang lain?

Pertama kali, saya menukil cerpen menggunakan latar Manchester secara penuh. Sebelum ini cerpen saya Putrajaya: Aku dan Seorang Bugoslavsky turut menampilkan latar Manchester meskinpun tidak terlalu dominan dan meluas.Cerpen Sang Penghukum hanya menampilkan latar bilik perbincangan di perpustakaan John Ryland, Manchester. Itu sahaja! Dan panjangnya 18 muka surat dan sekitar 3800 patah perkataan (cerpen terpanjang pernah saya tulis). 

Ditulis dengan kalut kerana tarikh tutup penyertaan adalah pada hari raya kelima September lepas. Jadi memang berhempas pulas dan terpaksa mengorban sedikit masa berhari raya (masih ingat pulang lekas dari kampung dan terus melekap di monitor laptop!)

Oh ya, cerpen tersebut tak dapat disiarkan di blog buat masa ini. Copyrightnya masih pada DBP dan kalau tak salah saya, mereka mungkin akan terbitkan antologi pemenang seperti tahun-tahun sebelum ini (tapi dengar cerita HSBI edisi ke-12 tidak ada antologi). Harapnya pihak penganjur akan terbitkan, insyaAllah. Hal ini disebabkan saya punya harapan dan teguran yang kuat menerusi cerpen tersebut. Sayang kalau tak dapat disampaikan kepada para pembaca.

Titik Tolak Kemenangan

Azam saya tahun 2012 adalah untuk menggegarkan UK dengan dakwah sastera bersama kawan-kawan Grup Karyawan Luar Negara (GKLN). Harapnya dengan kurniaan yang kecil ini, akan lebih membara semangat untuk menulis dengan lebih prolifik, membaca puisi di seluruh UK dan apa sahaja kegiatan dakwah seni yang boleh dilakukan. InsyaAllah. Sekarang ini pun dalam perancangan untuk menjalani penggambaran drama pendek, video puisi, antologi cerpen GKLN 2012 dan sebagainya. Tambahan tidak lagi berada dalam persatuan pelajar, masa terluang memang sangat ideal untuk ditumpahkan menjadi idea-idea yang berguna.(Rasa segan sebenarnya sebab tak prolifik dalam menulis dan agak malas)

Saya turut berharap persatuan-persatuan pelajar di UK dan Ireland dapat juga beri kerjasama kepada kami ahli GKLN (yang tak ramai sangat dalam 10 orang sahaja di UK/Ire) untuk mengembangkan lagi arena sastera di sini.

Sekarang sedang peperiksaan (masih ada tiga kertas maut belum ditempuh!). Semoga kemenangan ini akan menambah mood dan semangat untuk berjaya dalam bidang kejuruteraan juga.

Tahniah kepada pemenang-pemenang yang kebanyakannya daripada kenalan saya juga. Semoga dapat bertemu Julai nanti insyaAllah. 

Berikut merupakan sebahagian daripada gambar yang sempat dirakam sahabat handai dan ayah saya semasa majlis penyampaian pada pagi tadi (diambil dari FB abang saya):

Suasana majlis di pagi jumaat - dewan banquet Dewan Bahasa dan Pustaka

Penyampaian hadiah

Laporan panel hakim, kalau tak salah saya.

Di pentas utama

Ayah saya (kanan) bersama penulis mapan, Amin Minhad
Gambar  pemenang bersama VIP

Ya, sekarang saya harus belajar untuk peperiksaan dan kemudian menulis sepuas-puasnya!


=

2 comments: