Monday, 14 April 2014

Cerpen: Kain Batik Kain Satin


Cerpen ini telah disiarkan di Mingguan Wanita, Mac 2014. Terima kasih Fahd Razy atas kiriman gambar di atas melalui FB. 

Oleh: Shahkang

LANGIT gelap telah lama beransur pergi. Simbahan tengkujuh sudah tidak bernafsu seperti hari-hari sebelum. Bayang suria tidak juga muncul menampakkan wajah. Awan-gemawan putih bercampur ambal-ambal kelabu pucat masih kekal memayungi Kampung Medan Sepakat, sebuah desa kediaman pengusaha-pengusaha bendang di negeri Jelapang Padi ini.
Afza menghampiri muka jendela. Tubuhnya longlai bagai usai seharian turun ke sawah. Tembok harapannya untuk melihat air bah surut kini runtuh. Titis hujan yang tak berhenti-henti semalam bagai pedang turun dari langit membelah perasaannya menjadi kepingan bercetai-cetai.
Begitu juga lapangan hatinya yang dahulu hijau segar saat menanti hari bersejarah ini. Hari dia dan Danial bakal disatukan dengan ikatan yang sah. Sekarang lapangan indah itu musnah sama sekali, umpama bendang pusaka tiga relung tinggalan ayah yang sudah menjadi lautan air bah berwarna coklat kekuningan.
Hari ini sepatutnya menggembirakan hati mana-mana gadis sekalipun. Penantian sekian lama bakal bertemu noktah. Dia bakal memulakan hidup baru bersama pasangan pilihan sendiri.
“Terpaksa buang menu ayam masak merah dan kurma daging. Peti ais kedai Ah Peng tak dapat berfungsi sebab elektrik kampung kita terputus. Bahan mentah dah busuk. Tak ada alternatif lain.” Penerangan Pak Long memanggang hangus tinggalan hati Afza yang sudah sedia hancur. Resah bergalau dalam dirinya.
“Habis, macam mana Pak Long?” Afza gelabah, tidak tahu bagaimana untuk bertindak. 
“Pak Long akan cuba uruskan.” Ada sinar harapan terpancar daripada anak mata Pak Long.  
Jaminan Pak Long serba sedikit melonggarkan ikatan masalah yang begitu kukuh berpaut di perdu pohon minda Afza. Tetapi, bukan sekadar itu yang menjadi mauduk kebimbangan Afza. Masih banyak kerisauan perlu ditenangkan dan timbunan masalah untuk diselesaikan.
“Bagaimana agaknya reaksi Dato’ Fadhil dan Datin Nora dengan majlis sebegini? Serba tidak lengkap! Memang tidak kelihatan seperti majlis langsung – tiada hidangan ekslusif buat rombongan pengantin, bersila atas lantai macam lagak Sadiq Segaraga dalam filem Tiga Abdul, panas akibat ketiadaan bekalan elektrik ditambah dengan angin pula tiba-tiba memilih untuk pegun. Bagaimana?” Afza meneruskan temuduga hati. Soalan demi soalan tanpa sumber jawapan meyakinkan terus bertalu-talu merempuh tiang ketabahan.
Masih terasa kemanisan bandung bersoda di rengkungnya saat menyertai rombongan resepsi perkahwinan kakak Danial setahun lalu. Majlis di pihak lelaki itu berlangsung penuh gemilang dengan hiasan karpet merah untuk laluan VIP. Hadirin duduk di meja bulat, tanpa perlu beratur mendapatkan hidangan secara bufet. Semuanya disediakan pelayan terlatih bersama susunan set kutleri yang sempurna. Majlis diserikan dengan pengacara berbayar. Tidak lupa persembahan seorang artis remaja tempatan menokok keriangan suasana. Riak wajah hadirin menjelaskan rasa suka tidak terhingga.
Afza bergerak perlahan ke arah tangga lalu menjenguk ke bawah. Ruang bawah rumah kayu itu masih kekal dinaiki air paras pinggang. Pelamin putih dengan hiasan renda merah yang ditempah khas kini bertukar rupa. Walaupun dibina sedikit tinggi, namun lantai pelamin telah terpalit dengan selut dan percikan air acar. Sampah sarap yang terapung dari arah bendang menjadikan persekitaran singgahsana raja sehari itu sebagai tempat perhentian. Bau lumpur yang begitu menusuk hidung tidak mampu dibendung, tambahan lagi parit utama kampung hanya beberapa meter daripada tangga rumah.
 Kerusi sofa mewah tempat bersanding telah menjadi tempat ayam-ayam katik dan itik-itik nila bertenggek setelah reban hanyut diranduk arus kuat. Kadar air yang meluru masuk pantas semalam menyebabkan hanya jambangan bunga ros dan bunga telur hiasan sempat diselamatkan ke bahagian atas rumah. Tidak sempat buat Afza menghubungi pemberi sewa pelamin untuk mengalihkannya ke lokasi lebih tinggi. Barangan hantaran juga tidak terjejas kerana ditempatkan di bilik tidur Afza di tingkat atas sepanjang masa.  
Majlis pernikahanku terpaksa ditangguh?
Afza lebih rela memilih cadangan drastik itu daripada memaksa Danial dan keluarganya mencemar maruah untuk menaiki sampan, berkaki ayam dengan selut di betis, berpeluh-lenjan dalam teratak kayu tidak berelektrik ini dan tidak dapat menikmati nasi jagung terkenal Kampung Medan Sepakat. Ternyata berbeza dengan anak perempuan mereka yang disambut penuh gah pihak pengantin lelaki di samping kunjungan orang-orang ternama negara, tempoh hari.
Ah, hari ini sepatutnya penuh kenangan manis, bukan?
Serta-merta wajah Dato’ Fadhil dan Datin Nora kembali menyempit-nyempit di monitor ingatan. Pentas pelamin perkahwinan anak sulung pasangan ahli perniagaan itu turut muncul. Alunan muzik tradisional daripada kumpulan kebudayaan profesional kembali singgah di gegendang telinga. Lagu tema Bahasa Inggeris dalam rakaman video hari kenduri yang dihasilkan syarikat rakaman terkemuka di ibu kota (kerana sering diupah oleh para selebriti) juga masih terperangkap dalam lohong perdengaran.    
“Kalau kahwin dengan orang bandar bukankah mudah? Buat sahaja majlis di ballroom hotel. Beginilah kalau di kampung, penuh masalah. Kau tu kerjanya jurutera cari gali. Graduan luar negara. Ramai gadis kota yang boleh kau pilih dengan sekali petik jari sahaja. Kau berkehendakkan sangat gadis dari ceruk kampung. Sudahlah jauh, pemikiran keluarganya juga pasti tidak sama dengan kita. Kau degil sangat!” Afza tidak mengerti dari mana ucapan ini hadir. Suara yang terngiang-ngiang itu saling tak tumpah suara Datin Nora menitipkan nasihat buat anak lelaki tunggalnya, Danial.
Pak Long, sudah selesaikah hal juadah kenduri?
Telefon bimbit yang kehabisan bateri setelah tenaga elektrik Kampung Medan Sepakat terputus makin membuatkan mindanya bercelaru. Selang seminit Afza akan menjenguk ke daun pintu, kalau-kalau ada kelibat Pak Long meranduk banjir atau menyusuri kawasan petak sawah yang ditenggelami air dengan sampan.
“Za, bersiap-siaplah. Tok Kadi akan tiba setengah jam lagi.” Ibunya muncul dari arah dapur yang turut ditenggelami air paras lutut.
“Apa yang nak disiapkan mak? Baju pengantin tak dapat diambil dari butik di pekan. Baju kurung Za ada di bawah. Semua dah kena rendam selut! Dah masam!” Afza merajuk sambil melempar pandangan sayu jauh daripada muka ibunya.
Ibu Afza tidak membalas, begitu faham kedudukan emosi anak dara tunggalnya itu pada ketika ini. Dia menghulurkan kain batik dan baju kurung Kedah miliknya. Afza mengerutkan dahi serta-merta.
“Mak mahu Za pakai kain batik waktu akad nikah? Baju Kedah?” Afza memberontak. Ini bukan zaman Jeffydin mahu pun R Azmi. Dia bakal ditertawakan sahabat handai, apatah lagi jika gambarnya berpakaian klasik itu disebarkan rakan-rakan di media sosial. Pastinya akan menjadi lawak tahunan untuk diingati selama-lamanya.
“Habis, nak bernikah dengan baju tu?” Ibunya tersengih sambil menunjuk baju T lusuh lengan pendek yang sedang dipakai Afza. Afza memanjangkan bibir ke hadapan sambil menyambut pemberian ibunya. Dia terpaksa akur dengan arahan wanita kesayangannya itu.  
Afza berserah kepada takdir saat keadaan begitu menjerut perasaan. Setelah usaha dilakukan dengan sedaya mungkin, tawakal adalah jalan terakhir. Dia percaya, apa jua insiden dalam hidup pasti Allah sisipkan bersama gunung hikmah untuk diterokai. Jika bukan hari ini hikmah itu ditemui, pastinya di lain waktu. Atau hikmah tersebut tidak ditujukan buatnya tapi kepada orang-orang tersayang. Afza cuba meneguhkan pancang-pancang positif dalam diri.
“Tok Kadi dah sampai!” Satu suara memekik dari halaman rumah.
“Rombongan pengantin lelaki pun dah sampai!” Suara lain menambah.
Beberapa buah sampan yongyat menuju ke tangga rumah. Warna merah isi delima sebagai tema menghiasi dulang-dulang hantaran pihak lelaki.
Masanya sudah tiba. Kuatkan semangat, Afza. 
Afza bersimpuh di pojok ruang tamu, berkain batik dan berbaju kurung Kedah hasil cadangan ibu. Mujur ada tudung bawal bermanik yang bersesuaian dengan warna hijau polos. Sanak saudara mula memenuhi kawasan berlantai kayu itu. Rombongan pengantin lelaki dan kadi sedang dialu-alukan kedatangan oleh Pak Long.
Ruang tamu rumah yang tadi hanya menjadi tempat Afza mengelamun kini dipenuhi sanak saudara kedua-dua belah pihak. Majlis dimulakan oleh kadi dengan tazkirah ringkas buat pedoman hadirin.
Dia tidak sanggup mengangkat muka untuk memerhati reaksi Dato’ Fadhil dan Datin Nora. Lebih tidak sanggup untuk dia melihat air muka kedua-duanya apabila diberitahu juadah hari ini tidak dapat disediakan seperti kenduri-kenduri kahwin lain.
Apakah ini majlis perkahwinan paling hambar pernah dihadiri keluarga Dato’Fadhil?
Dengan sekali lafaz, dia kini halal buat Danial. Dia merafakkan syukur pernikahan tidak ditangguh dek bencana banjir. Namun gusar tetap bergelumang di atmanya dalam menebak penerimaan Dato’ Fadhil dan Datin Nora.
Pak Long mengarahkan bahagian tengah ruang tamu dikosongkan. Para tetamu duduk dalam bulatan besar dengan pengantin diapit orang tua masing-masing. Kain alas dihamparkan di atas lantai kayu. Satu per satu pinggan dan bekas plastik berisi hidangan dibawa dari arah dapur.
Mata Afza tidak berkesip seketika melihat tindakan sanak saudaranya. Puluhan pinggan berisi rencaman lauk pauk kini memenuhi kawasan tengah ruang tamu yang sudah berlapik itu.  
 “Mana datangnya makanan sebanyak ini?” Afza berbisik kepada ibunya di sebelah. Sejak dua hari lepas, dia dan ibu hanya menanak nasi menggunakan dapur kayu dan makan bersama ikan kering. Pengangkutan terhad ketika banjir menyebabkan bekalan makanan terputus.
“Ikan puyu dan keli banyak yang sesat waktu banjir begini. Mudah ditangkap. Orang-orang kampung masak beramai-ramai di pusat lindungan banjir tadi. Ada juga penduduk yang tak kena banjir hantar pucuk paku masak manis, kerabu mangga dan sup bayam. Mak Ngah kau yang buat puding jagung tu. Mak Su buat serawa pisang. Cukuplah untuk tampung hadirin hari ini.” Ibu Afza menerangkan satu demi satu asal usul menu hari ini. Afza kini mengerti mengapa terdapat lauk pelbagai jenis tapi dalam kuantiti yang sedikit.
Ekor mata Afza tidak terlepas menjeling Dato’ Fadhil dan Datin Nora. Mereka begitu asyik menikmati hidangan dalam pinggan masing-masing. Bahkan Dato’ Fadhil tidak segan silu menambah apabila dihulurkan bekas berisi ikan puyu goreng. Datin Nora berulang kali mencedok air asam sebagai penambah rasa hidangan. Mereka sungguh berselera.
“Mama, abah, maafkan Afza. Segala persiapan terganggu akibat banjir luar jangkaan. Tak pernah kampung kami dilanda banjir seteruk ini.” Afza meluahkan isi benak ketika rombongan keluarga mertuanya mahu beredar meninggalkan majlis. Dia sudah tidak mampu mengempang bening yang lama bergenang di juring mata.
Datin Nora menyapu air jernih yang meluncur deras di pipi berlesung pipit Afza dengan tisu. Dato’ Fadhil menggeleng-geleng kepala, tidak dapat menerima permohonan maaf Afza.
“Tak perlu cakap begitu. Majlis sederhana dalam keadaan bencana begini lebih membuatkan pengantin sedar bahawa alam rumah tangga penuh dengan liku cabaran. Bernikah dalam keadaan penuh megah kadang-kala membuatkan kita lupa hakikat perkahwinan bukan untuk bersuka-suka tanpa sebarang tanggungjawab. Bersyukurlah Allah memberi peluang kamu bernikah dalam keadaan begini. Penuh hikmah dan kenangan.” Dato’ Fadhil bersyarah panjang.
Tubir mata Afza tidak tiris lagi. Matanya tetap juga merah. Ternyata selama ini rantai-rantai syaitan telah mengikatnya agar terus bersangka buruk terhadap keluarga Dato’ Fadhil. Dia cepat membuat andaian berdasarkan tipikal keluarga orang kaya yang selalu dipaparkan dalam drama-drama televisyen. Ternyata, kaedah andaiannya itu tidak tepat. Keluarga Dato’ Fadhil mempunyai kesederhanaan tersendiri walaupun peniagaan keluarga mereka dikenali dalam dan luar negara.
“Buat apa kalau sambutan perkahwinan besar-besaran, penuh dengan kemegahan material dan populariti tapi ikatan cinta tak berkekalan, tak begitu?” Dato’ Fadhil tersenyum kecil, melirik anak mata ke arah Datin Nora sebelum melangkah masuk ke perut sampan yang dikemudi Pak Long.
Afza cuba meneka maksud kata-kata terakhir Dato’ Fadhil. Lantas dia terhimbau kata-kata Danial dalam perbualan telefon dua bulan lepas:
“Kak Long turun naik mahkamah syariah sekarang. Suaminya minta cerai dan mungkin ada kaitan dengan status perniagaan keluarga kami yang kian merosot. Susah juga kalau berkahwin dengan ahli keluarga kami semata-mata mahu mengejar harta. Waktu kahwin dahulu tak menang tangan melayan kami. Haih, entahlah. Macam-macam perangai manusia!” 
Afza mengamati kain batik saksi pernikahannya. Dia terbayangkan kain satin putih yang menjadi seri kakak iparnya setahun lalu, di majlis gemilang pihak lelaki dengan ditemani lapan orang pengapit perempuan berpakaian sedondon.
“Kesederhanaan mengajar erti perkahwinan sebenar.” Isi pertuturan Dato’ Fadhil mendap perlahan-lahan di tanah ingatan Afza.
Hari ini bukan sahaja membahagiakan, malah memberi pedoman bermakna buatku dan Danial memulakan kehidupan sebagai suami dan isteri. Afza mendesis sendiri. 
Memang benar. Setiap ujian ada hikmahnya!



Thursday, 20 February 2014

Facebook Deactivated

Facebook saya, Shahkang Aizat dinyahaktif (deactivated) untuk memberi laluan kepada hal lain yang lebih penting. Tulisan saya akan dimuatkan di blog ini dari masa ke masa. Harap kawan-kawan yang baca dapat sebarkan.

Sunday, 13 October 2013

Jangan Sombong, si Bodoh!

Apabila saya menyampaikan perkongsian di sekolah-sekolah, mahupun sembang-sembang bersama teman, saya selalu menegaskan bahawa kita manusia adalah bodoh.

Kalau kita belajar setinggi mana pun, masih jua kita adalah seorang yang bodoh.

Kenapa?

Hal ini kerana kita tidak akan mampu untuk mendalami semua jenis ilmu Allah di muka bumi ini. Dalam masa kita hebat dalam bidang tertentu, pastinya dalam masa sama akan ada manusia lain yang hebat dalam bidang-bidang lain.

Manusia ini adalah manusia yang mungkin tidak pernah terlintas langsung dalam cepu akal kita.

Kalau setakat kita graduan dalam bidang kejuruteraan mekanikal, kita akan mengatakan:

"Dia yang belajar perubatan itu tentu lebih pandai daripadaku dalam bidang anatomi manusia." 
"Dia, dia si arkitek yang baru graduasi itu. Tentunya dia lebih arif daripadaku dalam bidang susunan dan reka bentuk sesebuah rumah."

Ya, itu apa yang kita selalu dengar.

Jawapan tipikal. Skema jawapan SPM.

Tapi seharusnya kita tidak meletakkan konotasi 'pandai' hanya dengan segulung sijil universiti. Pandai bersifat subjektif dan tidak hanya hadir dalam bentuk pendidikan formal.

Kalau pandai hanya diklasifikasi berdasarkan gulungan ijazah, mengapa kita dengar ada manusia-manusia hebat yang gagal di universiti tapi masih mampu menerajui dunia. Saya kira banyak orang-orang sebegitu (malas nak search punya pasal)

Mengapa?


Sebabnya kita terlalu taksub dengan universiti. Terlalu taksub dengan mendapatkan ijazah di universiti dan 'bermegah sombong' sewaktu graduasi seolah-olah kitalah manusia terpandai dan terhebat. Akibatnya, kita lupa untuk mencari ilmu-ilmu di luarnya yang sama mustahak.

Ilmu common sense. 

Ilmu mengenal alam. 

Mengenal manusia!


Kepandaian yang sebenarnya adalah daripada pengalaman yang mengajar!

Contohnya:

1. Meskipun kita graduan dalam bidang kejuruteraan mekanikal, tapi belum tentu kita cekap dalam bidang pembikinan cendol. Ternyata Mak Yah rumah berdekatan batas bendang itu lebih bijak dan tahu selok belok mencampurkan gula dan seterusnya membuat benda hijau-hijau yang aku pun tak tahu apa nama dia tu.

Cuba suruh kita buat, nah jenuh. Silap haribulan jadi bubur nasi ikan kering. Mana mai ikan kering aku pun tak tau

Cuba buat tengok, ada belajar dalam kuliah? Tak tahu la kan jawabnya. 
.

2. Meskipun kita graduan dalam bidang kejuruteraan mekanikal, kita balik di lapangan terbang dengan gah dari luar negara kononnya. Tapi ketahuilah pakcik guard yang kita tak nampak (sebab terkejar-kejar nak beli biskut Famous Amos) lebih arif bab menjaga keselamatan orang ramai jika ada manusia menyerang atau haiwan comel yang bergaduh.

Cuma kita jadi pak guard, silap haribulan nampak pak Arab berbadan besar pun kita dah cabut lari sebab kita tak arif dalam bab keberanian. Pak guard wins!

3. Meskipun kita graduan dalam bidang kejuruteraan mekanikal, kita kerja di KLCC kemudian bila lalu depan makcik cleaner kita rasa bangga kononnya. Sebab makcik cleaner pakai baju macam mak kita masuk dapur tapi kita pakai baju kot dengan tie MRSM (ops!), tapi ketahuilah makcik itu lebih hebat pengalaman dan kepandaian dalam mencuci tandas di samping pengalaman menjaga 10 orang anak dalam keadaan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, malam + pagi esoknya (nak kata betapa susahnya).

Nak suruh kita kerja membersih kemudian balik kena fikir 9 orang anak di bawah tanggungan? Rasanya kita pun boleh jadi pening sebab tak pandai dan tak diajar pun benda ni dalam dewan kuliah!

4. Meskipun kita graduan dalam bidang kejuruteraan mekanikal, pandang pakcik aiskrim pun kita rasa sombong sebab kononnya pakcik aiskrim tak tahu bab kalkulus. Tapi hey, jangan lupa! Pakcik aiskrim pandai menggamit kanak-kanak beli aiskrim dengan gaya pujukan super mengancam.

Kalau kita naik moto jual aiskrim, boleh laku? Kalau setakat nak sebut rumus-rumus memang budak-budak dengan ibu bapanya pun boleh lari!

Kita setakat beli aiskrim di The Store (dalam tupperware, ada tiga warna) bolehlah. Nak menjual bukan sebarangan orang boleh buat!



5. Meskipun kita graduan dalam bidang kejuruteraan mekanikal, kita mengamuk bila kakak jurutol lambat. Katanya nak ke meeting projek berjuta-juta. Maka kita pun merasakan kakak tol tu lembab dan sebagainya.

Tapi kita tak reti pun jadi jurutol sebab tak sabar dengan kerenah pemandu yang beribu-ribu (tambah-tambah tol Sungai Besi). Maknanya kakak jurutol tu lebih pandai dari kita aspek kesabaran dan dia lebih banyak belajar mengenai sikap rakyat Malaysia. Kita duduk dalam ofis apa tau?

Maka apa kesimpulan daripada kelima-lima kisah di atas?

Jangan sombong la, bodoh!


Tak seharusnya kita mendabik dada bersombong dengan apa yang kita buat. PhD atau masters berapa banyak kali pun masih banyak perkara yang kita tak tahu dalam dunia ini. Kalau rasa kita dah buat kerja kelima-lima tugas di atas, masih ada 1008970 (anggaran konon) tugas lagi belum kita sentuh dan kita fahami dalam dunia ini.

Setiap orang ada kepandaian dan ilmu tersendiri yang tidak dipunyai oleh orang lain!

Kepada yang tak berpeluang mendapat ijazah, gunakanlah pengalaman hidup anda sebagai satu kepandaian dalam hidup. Anda berhak untuk menjadi pandai dengan apa jua ilmu dan pengalaman hidup yang kita perolehi, sama ada ia dihargai oleh orang atau tidak. Yang penting, Allah redha.

Setiap manusia berhak untuk ada lingkungan pandainya sendiri!

Tak seharusnya kita mentakrif pandai hanya dari segi siapa dapat gaji lebih banyak dan siapa dapat pakai kot nampak handsome dan lebih dipuja oleh gadis-gadis pejabat.

Kepandaian adalah sesuatu yang subjektif. Ilmu yang membawa kita menghayati kehidupan dan membawa kita lebih dekat denganNya adalah ilmu-ilmu yang membuatkan kita pandai. Ilmu ini termasuklah semua pengalaman yang kita alami dalam hidup.

Teringat kisah orang kaya naik bot. Tak tahu nak cerita macam mana tapi orang kaya tu kutuk pembawa bot, kata si pembawa bot ni tak pandai sebab hanya bawa bot hari-hari. Tapi bila bot tu karam, baru la orang kaya tu ketahuan sebab dia tak pandai berenang dan pembawa bot memang cekap berenang, pembawa bot tu hanya gelakkan saja. Sekarang tengah kecemasan ni siapa pandai siapa bodoh?! - diambil dari kisah teladan entah mana saya dengar, saya ubah sikit.

Sekian.

(Kejuruteraan mekanikal sebagai contoh, gantilah dengan course masing-masing)



Sumber gambar:
1. http://che-mid.blogspot.com/2013/04/penangan-cendol-tepi-longkang.html
2. http://ohpemandu.com/2012/09/jual-aiskrim-guna-superbike/

Thursday, 19 September 2013

Aku Segan Dengan Kawan-Kawan!

Masa untuk mengutuk diri sendiri. Bersedia. 

Selesai empat tahun berkuliah di Manchester, saya ingin membuat pengakuan bahawa saya sebenarnya berasa cukup segan dengan rakan-rakan yang menuntut di universiti tempatan. Tidak dinafikan juga, ada rakan-rakan universiti tempatan merasakan segan dengan penuntut luar negara, kononnya kami lebih fasih berbahasa Inggeris, lebih minda terbuka dan entah apa lagi.

Nampaknya kita sama-sama segan lah, ya?

Saya jelaskan hujah ini berdasarkan dua kata kunci utama: KEWANGAN dan PENGALAMAN BERAKTIVITI


1) Kewangan


Hal ini merupakan yang paling ketara. Kita di luar negara mendapat elaun yang cukup banyak malah melimpah ruah. Tambahan lagi setelah pihak kerajaan UK dikatakan meletakkan minima GBP 800.00 untuk elaun bulanan pelajar luar negara. Maka elaun sekarang dinaikkan kepada GBP 880.00.

Sebelum ini GBP 650.00 pun dah cukup banyak, inikan pula GBP 880.00!

Saya merasakan ini sesuatu yang cukup 'lemak' buat pelajar luar negara. Disogok dengan wang cukup banyak dan begitu selesa hidup sedangkan pada waktu sama rakan-rakan universiti tempatan berusaha secara berdikari untuk mengumpul wang bagi membeli sesuatu atau berkahwin. Yang grad oversea dengan berlagaknya membawa pulang wang selambak yang dikumpul untuk tujuan berkenaan. Tak ada pengalaman kesusahan mengumpul wang seperti mahasiswa tempatan.

Lebih bertambah segan apabila ada pelajar luar negara yang komplen berkenaan hidup susah, tak cukup duit dan sebagainya. Sudahlah tu bermewah-mewah dengan pelbagai gadget, sedangkan orang lain bersusah payah mengumpul wang nak hidup.

Hal ini juga menjelaskan kenapa pelajar luar negara yang biasa belajar di universiti tempatan (budak Masters selalunya) dilihat lebih berdikari dalam soal ini. Mereka akan cuba mencari kerja sampingan di samping berjimat cermat untuk masa hadapan. Sesuatu yang jarang diikut pelajar yang berasal daripada A-Level mahu pun IB (baca: yang tak biasa hidup di universiti tempatan).

Kebanyakan pelajar luar negara lain berfikir rileks dulu duit banyak. Hurray, tak perlu fikir soal jimat cermat yang penting kita boleh beli benda mahal dan melancong sakan bagi membuktikan kehebatan kita sebagai pelajar luar negara. Ops jangan lupa gambar salam perantauan.

Tak rasa segankah dengan orang lain? Lembik sungguh la makan duit rakyat pun nak bermegah-megah lagi. Kemudian duit lebih digunakan untuk kehidupan selesa di Malaysia. Orang lain susah.

Huhu.

Oh segannya. Rasa rugi juga kerana dimanja-manjakan sebegitu. Orang lain dapat bermacam-macam pengalaman, kita hanya dapat pengalaman menunggu duit masuk di laman online banking. Terlepas nikmat untuk menghadapi pengalaman sebegitu yang sememangnya mengajar kita menjadi manusia sebenar dan bukan sekadar manusia yang 'megah' dengan title pelajar luar negara semata-mata.


Contoh bilik di luar negara yang selesa. Maka tiadalah pengalaman hidup tidur atas tilam lembik di atas lantai yang mengajar erti kepayahan yang seterusnya membuatkan kita bersyukur dan lebih kuat menghadapi cabaran masa hadapan. Rugi sungguh pelajar luar negara.

2) Pengalaman beraktiviti


Saya dapat merasakan pelajar di luar negara kebanyakan kurang biasa dengan aktiviti-aktiviti setempat di Malaysia dan menyebabkan kebolehan untuk menguruskan sesuatu program itu kurang.

Kalau urus program pun, tak melibatkan ramai orang berbanding di Malaysia. Kalau setakat buat program bersama komuniti Melayu Manchester, audiensnya setakat pelajar luar negara yang corak pemikirannya lebih kurang sama sahaja. Kalau buat program musim sejuk yang menghimpunkan pelajar-pelajar seluruh UK, samalah juga. Audiensnya tidak begitu mencabar sebagaimana di Malaysia.

Kalau menjadi pengurus majlis konvokesyen di Malaysia misalnya, nah audiensnya berpuluh ribu orang dan hal-hal berkenaan politik sudah pasti perlu dipelajari. Program yang dibuat harus mengambil kira banyak kumpulan sasaran dengan interest masing-masing yang berbeza. Kalau kekal dengan prinsip sendiri, mungkin yang hadir hanya sekerat dua saja maka majlis tersebut gagal untuk mencapai matlamat.

Cukup mencabar, saya kira. 

Sebab itulah saya merasakan, pelajar luar negara akan terkepung dalam kelompok idealnya. Apabila pulang ke Malaysia, kita akan gagal jika tak pernah terfikir realiti sebenar umat universiti di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat - kaki motor, kaki bola, kaki awek dan sebagainya.

Bukanlah bermaksud tak boleh ada matlamat yang ideal tapi harus juga berfikir tentang kesesuaian dan kelangsungan idea itu dengan realiti masyarakat Malaysia pada masa kini. Harus seimbangkan kedua-duanya.

Kesimpulannya:


Pelajar luar negara haruslah melakukan kerja rumah tambahan bagi mengisi kelompongan ini. Haruslah punya kesedaran dalam berbelanja dan merasai sendiri betapa faktor kewangan semasa hidup di Malaysia cukup mencabar. Bukan sekadar komen "Apalah sangat minyak naik 20 sen?". Iyalah, 20 sen bagi anda hanya beberapa pence sahaja berbanding elaun beratus-ratus yang anda dapat.

Pengalaman beraktiviti dapat dikembangkan dengan menyertai banyak program-program melibatkan masyarakat di Malaysia bagi mempelajari dan mengembangkan jaringan perhubungan. Bukan hanya asyik bergaul dengan kawan-kawan luar negara kerana saya berpendapat pelajar di luar negara rata-ratanya berasal dari tempat yang sama: Kolej MARA, MRSM, SBP bla bla. Kebanyakan kawan terdiri daripada orang-orang baik yang mempunyai cara pemikiran yang sama dengan kita.

Keluar daripada comfort zone ini kalau betul-betul mahu berjuang membetulkan masyarakat!

Maka seharusnya ada kerja rumah tambahan bagi meluaskan jaringan kenalan dan pengalaman. Hal ini kerana, kalau kita berhasrat menjadi sebahagian daripada peneraju negara suatu masa nanti, keadaan masyarakat haruslah juga kita fahami sebelum membuat apa-apa tindakan.

Haruslah ada rasa segan dan malu dengan kawan-kawan seperjuangan di tanah air yang begitu berdikari dan seterusnya mendapat pengalaman yang berlipat kali ganda berharga untuk kehidupan berbanding pengalaman main salji dan bertonggek di hadapan Big Ben London!


Pengalaman di depan Big Ben, bukan sesuatu yang perlu dibanggakan sangat sebenarnya kerana ia kurang mengajar mengenai kehidupan.

Penulis adalah graduan universiti United Kingdom

Tuesday, 6 August 2013

Remli & Albert Kawabekwa - Episod 4

Albert Kawabekwa bawa kereta macam pelesit. Simpang masuk ke masjid yang berderet-deret kereta dipotong barisannya ikut suka hatinya.

Hon berbunyi dah macam lagu raya Ahmad Jais dah. Macam DJ Dave pun ada.

"Kau ni tak baik ambil hak orang lain. Kita lambat jadi beraturlah di belakang." Remli menumpang kereta Albert buat kali pertama menegur.

"Mana boleh aku nak kejar jemaah tarawikh ni. Malam Lailatulqadar malam seribu bulan woo!" Albert tak peduli. Pahala 10 malam terakhir jangan dilupa. Stereng dikawalnya penuh cermat dengan lajunya..

Kereta muncung Albert menuju pantas masuk ke perkarangan masjid. Sampai nak terlanggar Cik Bedah Kuih Lopes dan anaknya, Patrick Muwamba.

"What the....." kata Patrick dengan hati yang terluka.

Kerera diparkir dengan lekas. "Jom jom Remli. Cepat!"

"Mana boleh parkir sini! Halang lalulintas ni!" Remli tak puas hati.

"Kau memang tak faham betapa berharganya setiap detik malam 10 akhir Ramadan bagi aku. Dah dah jom! Nanti kita masbuk solat Isyak tu!" Albert mencabut sepatu, berlari pantas mengajar jemaah Isyak sudah bermula.

Pahalal beb, siapa tak mahu! Kau ni Remli memang jahil sungguh la!

Remli terfikir-fikir:

"Macam mana kalau malam 1000 bulan ni orang yang teraniaya mendoakan kelaknatan kami. 1000 bulan lamanya kena laknat tu!"

Tamat

Kesimpulan:

Teringat tazkirah imam Jordan di Masjid Putra semalam, bunyi lebih kurang begini- buat baik jangan fikir yang besar-besar saja, buat juga yang kebaikan yang kecil. Sebabnya kita tak tahu mana satu kebaikan bawa kita ke syurga. Dalam Episod 4 ini, berbuat baik yang kecil-kecil itu adalah seperti menghormati orang lain, berlaku adil kepada pengguna jalan raya dan sebagainya.

Jangan fikir yang besar-besar sahaja dong!


Selamat menikmati saki baki waktu Ramadan.

Tips Beraya di Rumah Bakal Pasangan Hidup

(bahasa yang digunakan dalam post ini ada yang tidak sesuai digunakan untuk tulisan rasmi. Harap maklum)

Panjangnya tajuk blogpost kali ni. Macam tajuk dalam buku teks sekolah.

Musim Aidilfitri menjelma lagi. Wow! Kanak-kanak bergembira dapat duit raya, main mercun (merosakkan duit) dan sebagainya. Orang-orang tua seronok sakan anak-anak pulang ke kampung.

Anak muda? Beraya rumah kawan-kawan adalah sesuatu yang wajib!

Dalam banyak-banyak anak muda, akan ada yang bakal beraya di rumah bakal pasangan hidup mereka.


Atau dengan kata lain, ini adalah langkah awal untuk berkenal-kenalan dengan keluarga pasangan. First time nak jumpa, cuak bro!

Maka hal ini akan menimbulkan banyak kekalutan, keresahan yang lantas menyebabkan pertemuan tu jadi macam...:

"Alamak, nak cakap apa ni?" 
"Malu wei huhu." 
"Wei kena soalan killerrrrr.."

Jangan gusar jangan khuatir (bukan buasir). Di sini saya akan menerangkan serba sedikit tips bagi menyempurnakan lawatan anda tanpa sebarang luka-luka atau kecederaan serius (maknanya kecederaan ringan akan ada la? Huhu).

Saya pernah menulis status yang berbunyi serupa tahun lepas - sila rujuk link ini, jadi post ini akan turut sama mengulas hal-hal yang berlaku dalam post tersebut.

(Post ini ditulis dari kaca mata seorang lelaki. Tapi insyaAllah perempuan pun boleh pakai)


Langkah 1 - Minta kebenaran untuk ke rumah


Tak semua orang berpeluang untuk beraya di rumah pasangan masing-masing. Ada yang baru sahaja berkenalan jadi ada sesetengah pasangan yang 'awkward' bila pasangannya yang datang ke rumah. Kata-kata seperti "Ish awai sangat la nak mai kenai dengan mak ayah aku.." atau "Tak payah la mak ayah aku macam belum bersedia untuk mengetahui tentang kita (ayat novel)"

Dan ada juga pasangan yang tak mahu bagi pasangan mai rumah (atas sebab baru berkenalan/masih belum sesuai), maka akan ada beberapa hint yang seolah-olah mengatakan kepada anda - "Ala, tayah mai la!".

Jadi tengok baik-baik! Dapatkan lampu hijau untuk ke rumah kalau tak mau kena hambat.


Langkah 2: Cari rumah


Anda mungkin berjanji dengan pasangan anda, jam berapa anda akan tiba dan sebagainya.

Maka akan serabut dan memalukan kalau sesat dan terkial-kial mencari arah.

Sebelum pergi, sila semak Google Map kedudukan rumah pasangan anda.

Jangan nanti bila dah sampai tengah bandar (contoh: Alor Setar), baru nak call:

"Ni, saya dok ada di tengah pekan Loqstaq ni. Rumah tang mana? Ni yang ada pokok besaq depan ni ka?"

Apa hang ingat Loqstaq tu besaq kuman ka woi?

Jangan satgi sampai pi rumah orang lain dan tertukar pasangan. Kalau jadi macam tu memang kesulitan amat dikesali.


Langkah 3: Cari teman/wingman


Wingman sangat penting untuk menenangkan anda dan memberikan idea untuk anda bersembang. Hal ini juga untuk mengelakkan isu terberak (takut sangat) ketika bertemu.

Wingman hendaklah memahami yang anda sebenarnya mempunyai hubungan dengan gadis tersebut. Ini untuk mengelakkan atau mengurangkan kebarangkalian yang awek anda akan dirampas oleh kawan sendiri (penting, sila catat ke dalam diari).

Wingman hendaklah yang jenis tak takut dan pemalu. Susah kalau nanti anda pemalu, wingman pun jenis senyap maka memang perbualan itu akan karam ke lautan dan akhirnya semua orang di rumah itu hanya membuka saluran 104 Astro untuk menonton artis melompat-lompat sempena hari raya.


Langkah 4: Ke rumah


Perjalanan ke rumah pasangan anda memang digeruni untuk kali pertama. 


Perasaannya seolah-olah ketika anda bersunat dahulu. Bila dah sampai depan klinik/hospital/pak mudim mai rumah anda akan cakap - alamak dah sampai masa dah ka? Adoi. Huhu.

Maka hati anda akan berdegup kencang sepanjang perjalanan.

Bertambah degup bila membuat selekoh masuk ke taman perumahan tempat tinggal gadis itu.

Rasa nak pengsan bila dah jumpa nombor rumah gadis itu.

Mungkin mati bila enjin kereta dah dimatikan dan anda perlu melangkah keluar.

Ok. Exaggerate. 

Apa yang perlu anda buat hanyalah membayangkan perjalanan itu satu perjalanan yang biasa. You are what you think! Maka fikirkan anda sedang memandu ke pantai pelancongan atau untuk mengambil adik dari pusat tuisyen nescaya kegugupan anda hilang. - catat woi tips penting ni




Langkah 5: Masuk Rumah




Detik paling mencemaskan sebab anda tidak tahu bagaimana penerimaan awal ibu bapa gadis itu terhadap anda. Ada yang ramah, ada yang tak ramah, ada yang macam dingin, ada yang tak pasti apa perasaannya. Macam-macam.

Selalunya si gadis itu akan menyambut di pintu (ya la satgi silap rumah jenuh ampa nak lari tak cukup tanah!). Kemudian gadis itu akan memperkenalkannya kepada ibu dan ayahnya.

Selalunya ibunya sibuk di dapur tapi keluar ke depan sekejap menjenguk anda cakap hai hai. Ayahnya adalah teraju utama.

Langkah 6: Sembang-sembang Sebelum Makan


Waktu paling memerlukan skill bercakap sebab waktu ini makanan sedang disiap-siapkan di dapur.

Maka anda, wingman dan ayah si gadis akan berada di ruang tamu untuk berbual-bual. 

Nak cakap apa? Ya inilah soalan paling selalu ditanya.

Macam-macam boleh, antara yang popular untuk orang-orang utara (sebab saya orang utara):

a) Cuaca: pakcik hangat noo la ni. ish ish
b) Kerja: pakcik dok buat apa la ni?
c) Tempat tinggal: Ih Loqstaq/Kangaq la ni jammed teruk noo. 

Anda mungkin merasakan, eh sikitnya? Ya memang. Anda perlu bijak untuk mengolah keadaan dan jangan diam. Selalunya orang tua ni, kita yang kena spark interest dia baru dia mau sembang. Jadi teruskan bertanya dan curious dengan apa jua yang sesuai

Tapi..Tapi!!


Jangan curious dengan benda yang tak sesuai dan tanya soalan yang janggal. Contohnya:

a) Pakcik minat bola pasukan apa? (Tak tahu pun pakcik tu minat bola atau tidak!)
b) Rumah ni pakcik beli bapa ribu? Nak jual tak (macam cerita Do Re Mi)
c) Benda-benda berbaur perbalahan dan politik (tanpa mengetahui pakcik tu sokong mana)
d) Pakcik minat AF dak? Sapa patut menang Lisa Surirumah ka Tasha Shelly?
e) Apa pendapat pakcik tentang isu US di Iraq?

Soalan-soalan di atas boleh ditanya kalau ada mukadimah yang baik. Contonya nombor 1, boleh ditanya kalau pakcik tersebut memang minat bola. Contoh pakcik tu dulu yang tanya: "Awak dok study di UK, tak pi tengok bola ka?". Maka dengan mukadimah ini soalan a) boleh digunakan. Sama juga dengan b,c,d,e. Jangan ampa dok pi mula2 teruih tanya tu memang nak kena tibai ah. 

Langkah 7: Makan-Makan


Ya masa untuk makan-makan sudah tiba. Maka ayat yang si ayah akan sebut adalah "Ha siap dah hidang. Mai. Sila-sila." Dia akan bangun dan jemput anda dan wingman ke meja makan lalu berkata "Ni Rogayah (merujuk kepada gadis pujaan anda, bukan nama sebenar), pi ambik sudu tambah. Tak cukup ni."

Inilah masa anda, wingman, ibu dan ayah, serta gadis itu akan duduk semeja untuk makan. Perbualan diteruskan.

Poin tambahan di sini adalah bercakap soal makanan. Antaranya:

1) Kuih raya ni buat sendiri ka?
2) Ih lama saya tak makan deriyan kena dengan pulut ni. Dulu masa tokwan saya ada lagi, selalu la. 
Jangan cakap benda-benda macam ni:

1) Wui gila sedap gila pakcik makcik. Ih ih (nak puji tapi over)
2) Awat pedas semacam kari ni? Makcik guna serbuk cili cap apa?
3) Rasanya kedai Bang Mat depan tu sedap lagi
4) Saya tamau makan kuih ni sebab haram tak sedap. Serius makcik tak tipu. Saya jujur. Saya pemuda jujur. (nak tunjuk kata seorang yang jujur)

Makan biar sopan, jangan la teruk sangat makan sampai comot muka. 


Sunday, 4 August 2013

Remli & Albert Kawabekwa: Episod 3

Remli kebosanan. Esok raya. Maka hari ini ditabalkan sebagai hari teman orang rumah beli barangan @ pecutan terakhir membeli-belah. Sementara menunggu isterinya memilih serba mak-moyang barang di Tisco (rangkaian pasaraya besar), maka berpergianlah ia ke rumah Albert Kawabekwa untuk melawat sahabatnya itu.

(Teruk benor si isteri membeli lama nak mampus tapi itulah hakikatnya. Jangan marah cik kak. Aman (peace!))

"Kau dah baca Quran page berapa?" Albert menyoal sambil memalaskan diri atas kerusi malas yang sedia malas. Naskhah kecil Al-Quran tak lekang dari tangan sejak tadi.

"Sekarang di muka surat 400. Kenapa? Ada apa-apa ayat nak taddabur kah?" Remli menyoal penuh minat.

"Ish kau ni banyak lagi tu nak khatam. Hari ini dah hari last Ramadan." Albert tak berpuas hati. Woi apa ni akhi? Kata semangat nak dakwah tapi baca Quran pun semput. Apa cerita ni?

Remli senyap. Muka rasa macam kena paku kat dinding.

"Kau tunggu sekejap aku nak habiskan 2 muka terakhir ni." Albert semangat memberitahu. Nak habis dah yeay! Nak habis dah yeay!

Remli duduk diam melangut. Zikir perlahan-lahan. Nak bising tak ada guna, rumah orang.

"Okay habis." Albert melompat dari kerusi malas. Ambil bangku plastik (yang selalu orang letak kat kedai makan). Lalu memanjatnya. Quran disimpan di bahagian almari paling atas.

"Tingginya simpan, Bird (Albert)" Remli sekadar bertanya. Nak sembunyi bom ka apa ni?

"Ramadan tahun depan lambat lagi. Simpan kat tempat lain nanti hilang. Sini selamat. Nanti tahun depan ambillah balik." Albert bentang cadangan macam ahli parlimen. Kemas dan teratur.

"Oh. Kau guna Quran lain untuk baca Quran lepas ni?"

Kesunyian yang jangkal (awkward silence bak kata orang Padang Siding).

"Quran ni memang boleh dibaca waktu bukan Ramadan kah. Bukan Ramadan saja ke boleh baca Quran? Kau jangan ajar aku jadi sesat bro."

Remli rasa mahu menghempuk kepala ke daun keladi.

Albert muka singa, tak suka orang buat fatwa sesat. Geli-geleman katanya.

Remli juga rasa tak perlu nak menerangkan bahawa muka surat 400 yang sedang dibacanya itu adalah untuk kali ketiga. Pertama kali khatam pada 13 Ramadan. Kali kedua 22 Ramadan.

Albert, hang memang dasar angry bird berwarna merah!

Saturday, 3 August 2013

Remli & Albert Kawabekwa: Episod 2

Tersebutlah kisah, Remli dan Albert Kawabekwa adalah teman pejabat. Albert bertemu Ramli sewaktu solat Subuh berjemaah di masjid, sesudah sahur.

"Kau tak datang iktikaf di masjid tadi?" Albert menyoal.

"Oh tak, aku di rumah tadi."

"Ish-ish apa nak jadi dengan hang ni Remli. Mana akidah hang letak? Kepala lutut ka?" Albert cantas percakapan Remli. Macam cantas dahan pokok rambutan yang halang sinaran lampu jalan.

"Kenapa?" Remli sungguh pelik. Kepelikannya ibarat beli kotak jus oren Piil Fresh tapi yang ada di dalamnya adalah cendol Mak Ngah Jempool yang keenakannya sukar ditandingi.

"Ini kan sepuluh malam terakhir Ramadan. Cuba la hang mai beriktikaf di mesjid (orang utara sebut masjid macam ni). Kalau duit ringgit taboq depan mata mau hang ligan pi kutip. Ini pahala Allah nak bagi boleh buat pandang sebelah mata ja. Ish-ish." Albert sangat-sangat tidak berpuas hati dengan manusia berjanggut sejemput bernama Remli.

Tak ke masjid iktikaf? Come on lah...

Maka esoknya berpergianlah mereka berdua ke pejabat seperti hari-hari selalu. Ya lah tak akan hari Isnin nak pi Mid Velli woi.

Di bilek mesyuarat (ejaan zaman P Ramlee):

"Mana Albert ni Rem...." Chin Chong membuat hingar. Tertekan mesyuarat tak dapat dimulakan tanpa Albert. Penting. Sepenting meletakkan aiskrim kotak dalam peti ais sejuk beku rumah anda sesudah dibeli di The Store Kangar.

"Tak tahulah." Remli pun pening. Bukan sekali dua

SMS masuk, Remli 'gores dan menang' telefonnya untuk membaca SMS tersebut.


"Aku masuk kerja tengah hari, hari ini. Baru nak masuk tidur ni. Penat iktikaf semalam. Daaa~~~" - Albert Kawabekwa

Aduh aduh aduh!

"Dia tidur lagi?" Chin Chong dah dapat mengagak. Predictable sangat katanya.

Remli tak dapat nak buat apa-apa selain mengangguk perlahan.

Chin Chong mengeluh. Dikoyaknya sehelai kertas A4 bertaip dan dilempar ke muka Remli. Macam tepung tawar pengantin pula. Chin Chong kemudian 'menchaukan' diri dan menghempas kuat pintu.

Remli tengok kertas yang Chin Chong koyakkan itu. "Pendaftaran Mualaf Baru" tajuknya. Aiseh, Chin Chong hari tu beriya-iya nak kenal dengan Islam. Tapi kenapa hari ini dia tukar fikiran pula ni?

Adoi adoi adoi. Sebab perangai Albert Kawabekwa? Damn. Sayang. Sebab perangai culas seorang dua umat Islam, orang pakat lari.

Remli bingkas bangun untuk mengejar Chin Chong. Penjelasan harus segera diberi!

Ada satu lagi SMS masuk. Nama SAYANG tertera di skrin.

"Afiq dah makin kebah demamnya. Malam ini abang bolehlah ke masjid iktikaf. Kasihan abang kena iktikaf di rumah semalam. Terima kasih tolong jagakan Afiq semalam masa saya on-call. Hari ini tak on-call lagi dah."

Remli terbayangkan wajah isterinya dengan pakaian seorang doktor.

Remli teringatkan juga teguran Albert Kawabekwa di masjid waktu solat Subuh tadi.

Albert. Oh Albert!

TAMAT

Thursday, 1 August 2013

Remli & Albert Kawabekwa: Episod 1

"Akhi, tolong ambilkan air tu boleh?" kata Remli

"Awak panggil apa tadi?" balas Albert Kawabekwa

"Akhi, kenapa?" Remli berasa pelik.

"Akhi panggilan untuk perempuanlah anta. Untuk lelaki kena panggil akha. Sama macam anta-enti."

"Ooo..so anta ni akha Albert la?"

"Ya lah. Ana kalau saya untuk lelaki. Ani untuk saya kalau perempuan. Faham? Lain kali tak faham bahasa Arab tak usahlah nak pakai. Tanyalah ahli macam saya dulu. Ish ish." Albert tak berpuas hati dengan kebodohan Remli.

"Baiklah. Ana mohon share. jzkk. brb. gtg. lol. asl plzzz." Remli seperti robot yang telah diprogramkan suaranya.

Kesimpulan: Tak reti sesuatu jangan ajar orang lain nanti sesat.

Monday, 29 July 2013

Namanya Jastin Bibiaq



Alhamdulilah cerpen saya Namanya Jastiq Bibiaq disiarkan di Mingguan Malaysia 28 Julai 2013. Terima kasih kepada kawan-kawan yang sudi membaca dan memberikan komen.

Sila klik sini untuk ke portal Utusan:

http://www.utusan.com.my/utusan/Sastera/20130728/sa_01/Namanya-Jastin-Bibiaq