Tuesday 13 October 2015

Cerpen: Kahwinlah Cikgu


Cerpen ini telah disiarkan di majalah Mingguan Wanita keluaran 25 September - 1 Oktober 2015.

Terima kasih kepada Cikgu Helmi Ahmad atas kiriman gambar di atas. 

“KAHWINLAH, cikgu. Umur tu bukan makin menurun.”

Adeeb Azif melemparkan mata kail bertali tangsi ke muka tali air, perlahan-lahan umpan anak tebuan tenggelam lalu hilang dari pandangan. Dia melabuhkan punggung atas kerusi plastik genit sambil memeriksa umpan sekali-sekala, khuatir disambar puyu atau haruan tanpa dia sempat bertindak. 
Aktiviti luar seperti memancing sedikit sebanyak meleraikan keletihan menguruskan kelas tambahan pelajar tingkatan lima. Awal pagi dimulakan dengan Matematik Tambahan. Usai makan tengah hari, kelas ulang kaji subjek Fizik pula mengisi jadual rehat pada hujung minggu. Malam nanti sesudah Isyak, dia akan bertemu calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di balai raya kampung untuk menerangkan hal-hal permohonan biasiswa kerajaan untuk ke peringtkat matrikulasi dan pra-universiti. 

“Kalau ada orang rumah bukankah senang? Tak pening kepala fikir siapa nak siang puyu dan haruan tu. Ada orang tolong masak gulai masak lemak atau paling tidak pun goreng kunyit.” Muncung Pakcik Zakaria mengarah ke arah baldi merah bertutupkan tudung periuk yang mengandungi hasil tangkapan petang ini.

“Ada-ada sajalah Pak Ya ni.” Adeeb ketawa kecil. Bukanlah hidupnya terlalu sempit sehingga harus mengail untuk mengisi setiap waktu makan. Dia sudah tidak betah dengan gurauan sedemikian. Buat jejaka yang kian menjengah ke umur lewat 20-an, usikan seputar hal perkahwinan adalah lumrah. Bukan salah Pakcik Zakaria. Sememangnya buat masyarakat Melayu, umur lingkungan 20-an atau lebih tepat lagi 25 tahun ke atas tidak akan terlepas dari gurauan isu berkaitan perkahwinan.

“Bukannya apa, baya-baya cikgu ni banyak dah berumahtangga. Macam Cikgu Razalini. Eh, apa khabar dia di Kuala Lumpur sekarang, ya?”

“Entah. Dah lama kami tak berhubung.” Perasaan Adeeb bertukar dingin kala mendengar nama bekas teman serumahnya itu. Razalini. Sama-sama lulus dari universiti luar negara dan maktab guru tempatan, mereka ditakdirkan mendapat tugasan pertama sebagai guru tetap di daerah pedalaman, tepatnya di kampung ini – Kampung Medan Sepakat.

Nama Razalini membuatkan fikirannya melayang-layang, berkelintar di celah-celah batas pemisah petak bendang. Lalu fikiran itu berhenti di pintu pagar sekolah tempat dia mencurahkan bakti: SMK Kampung Medan Sepakat, satu-satunya sekolah menengah untuk anak-anak di desa tidak ternama ini. Di sinilah banyak memori bersama terpahat, juga saksi kata-kata Razalini yang kini tenggelam dalam lautan kenangan.

Tentunya hujung minggu Razalini tidak seperti dahulu. Hujung minggu di Kuala Lumpur mustahil bertemankan bau lumpur bendang, gigitan nyamuk hutan dan matahari rembang yang menemani keseronokan mengail puyu. Kuala Lumpur menawarkan puluhan kompleks beli belah, panggung wayang dan restoran mahal. Tentunya kehidupan di Kuala Lumpur lebih menggamit minat sesiapa jua jika hendak dibandingkan dengan Kampung Medan Sepakat yang hanya ada kedai runcit Han Wei dan sebuah gelanggang sepak takraw ini.

“Cikgu!”

Adeeb tersentak dari lamunan. Tali pancingnya telah digetus sesuatu kurang dua saat yang lalu. Cekatan dia merentap batang kail rotan yang dipegangnya. Kelekaan mengakibatkan umpan disambar ikan tanpa sempat dia bertindak. Dia mengeluh kecil, bukan rezekinya kali ini.

“Itulah cikgu, banyak berangan sangat. Terlepas lagi.” Pakcik Zakaria sekadar menggeleng.

Adeeb tersenyum hambar.

“Macam itu juga jodoh, kalau lambat bertindak nanti melepas.” Pakcik Zakaria menyediakan lelucon. Air muka Adeeb tidak berubah sebagai tanda kurang peduli dengan gurauan tersebut.

“Cikgu ingat nak masak apa puyu ni? Atau nak minta tolong Kak Kiah jadikan pekasam? Kena dengan nasi putih panas, memang terliur habis cikgu! Nak buat gulai pun boleh, nanti minta tolong Mak Non kau gilingkan rempah.”

Soalan tersebut dibiarkan berlalu. Adeeb melemparkan semula mata kail berisi umpan ke muka tali air. Wajah petak dan rambut sisir tepi milik Razalini tidak lekang dari ruang ingatan Adeeb. Satu per satu helaian memori lama diselak semula.

* * * *

Bilik kakitangan dan guru lengang setelah loceng tamat sekolah berbunyi. Hanya suara dua orang guru muda mencabar kesunyian ruang.

“Cabaran utama fasa perkahwinan adalah pengurusan masa. Aku pasti kau sedia maklum perbezaan komitmen seorang lelaki sebelum dan selepas kahwin.” Suara Adeeb mendatar. Sukar Razalini menafsir mauduk kata-kata teman serumahnya. Berisi dwi-maksud, boleh jadi nasihat, amaran atau kedua-duanya.

“Mustahil aku tak tahu. Topik perbincangan hangat sejak dahulu. Sejak di bangku universiti lagi. Krisis kehilangan aktivis sesudah pulang ke tanah air dan melangkah ke alam percintaan atau perkahwinan bukan perkara biasa. Gejala zaman-berzaman.”
“Sudah kau bersedia? Menggalas tanggungjawab seorang pendidik, aktivis masyarakat dan menguruskan keluarga secara serentak. Kau pasti sekarang adalah masa terbaik? Beberapa bulan sebelum pelajar menduduki peperiksaan terbesar dalam hidup mereka? Saat siang malam kau terpaksa digunakan sepenuhnya untuk sekolah kita?”

Razalini kelu memikirkan tugas besar menanti. Tentunya bukan mudah buat Razalini mencari jawapan soalan sebesar itu.

“Aku tak mahu bersangka buruk denganmu. Tapi berkahwin saat kudrat kau sangat diperlukan untuk kampung ini, aku dapat rasakan kau tak mampu. Aku cuba menjadi realistik. Bolehkah Khairiah memahami tugas sibuk yang menantimu nanti?”

Razalini bungkam memikirkan Khairiah, seorang anak perempuan ahli politik terkenal tanah air yang bakal dinikahinya. Seorang gadis kota yang dibesarkan dalam persekitaran kota metropolitan.

“Kau tak boleh skeptikal dengan cinta dan perkahwinan terus-menerus begini. Kau terlalu pesimis, dari dulu sampai sekarang!” Razalini cuba mencabar. Dia tahu ini misi sukar. Misi melonggarkan pancang keazaman Adeeb yang komited dengan tugasnya sebagai seorang pendidik dan penggerak masyarakat di Kampung Medan Sepakat. Bahkan hal-hal peribadi turut dikorbankan Adeeb semata-mata mahu menumpukan perhatian pada lambakan amanah di atas bahu.

Adeeb, anak muda berprinsip unik tetapi aneh. Satu dalam sejuta, mungkin.

“Kau tak menjawab soalanku tadi.” Adeeb masih menanti. Dia mencapai sebatang pen dan selembar kertas latihan aneka pilihan pelajar lalu mula menanda.

“Kau benci perkahwinan, sesuatu yang dianjurkan dalam agama kita?”

Adeeb menjegilkan mata. “Aku tak pernah sesekali menentang institusi perkahwinan. Aku tak pernah menghalang!”

Perdebatan kali ini tamat tanpa sebarang persepakatan, seperti selalu. Razalini meluru pantas keluar bilik guru, membiarkan Adeeb seorang diri termenung. Punat pen merah ditekan lalu dimasukkan ke saku baju kemeja, Adeeb tidak ingin terus menanda dalam keadaan jiwa bercelaru.

Kau terlalu skeptikal, Adeeb! Suara Razalini masih kekal bergema.

Adeeb pernah dihambur bermacam-macam tuduhan atas pendirian yang janggal dan tegas dalam soal percintaan. Dia bagaikan seorang yang pernah gagal dalam percintaan lalu trauma untuk bercinta lagi. Dia juga pernah digelar anti sunnah kerana seakan-akan menolak institusi perkahwinan. Adeeb sekadar mampu beristighfar dengan tuduhan tanpa asas ini. Sememangnya orang Melayu tidak dapat lari dari sikap suka membuat andaian melulu berdasarkan bukti-bukti tidak tepat.

* * * *

“Kau mahu berpindah? Apa jadi dengan rancangan kau membawa Khairiah ke mari?” Detak jantung Adeeb umpama mahu berhenti saat Razalini menunjukkan surat permohonan untuk menukar tempat berkhidmat serta-merta. Perkataan ‘LULUS’ disertai tandatangan pegawai pendidikan daerah membuatkan Adeeb diterkam rasa resah. Kalau diikutkan memang sukar seorang guru yang belum sampai tempoh setahun berkhidmat untuk menukar tempat bertugas. Apabila teringatkan kedudukan bapa mertua Razalini yang berpengaruh dalam dunia politik, Adeeb positif bahawa pertukaran cepat Razalini dari Medan Sepakat ke Kuala Lumpur telah mendapat campur tangan orang-orang tertentu.

“Kau harus faham, Khairiah ada perniagaannya sendiri di Kuala Lumpur. Dia sibuk dan tidak boleh meninggalkan urusannya begitu sahaja. Nak berjauhan dan bertemu seminggu dua sekali, dia tak sanggup. Dia mendesak aku untuk bertukar ke Kuala Lumpur. Lagipun, bukan mudah gadis bandar sepertinya untuk hidup di ceruk pedalaman sebegini.”

Adeeb tidak mampu mencerna alasan-alasan Razalini yang singgah di gegendang telinga. Kekesalan jelas terpampang pada kerutan dahi.

“Tenaga kau sangat diperlukan di sini. Peperiksaan SPM kurang dua bulan lagi. Pelajar tingkatan lima memerlukan kudrat muda berkebolehan seperti kau untuk memahamkan mereka ilmu-ilmu terutamanya untuk subjek Fizik. Kehilangan kau secara mengejut tentunya meranapkan semangat mereka untuk menghadapi peperiksaan.”

Razalini menggaru-garu leher, tidak senang mendengar.

“Masih kau ingat bulan pertama kita di sini. Kadar ponteng menurun. Pelajar ternanti-nanti untuk menghadiri kelas kau setiap waktu. Mereka teruja, mudah faham dengan teknik pengajaran kau yang unik. Bukan sahaja dalam Fizik, malah dalam Kimia dan Matematik Moden pun.” Adeeb mengingatkan Razalini.

Teknik Razalini ternyata berbeza dengan guru-guru sebelumnya. Pembahagian kumpulan dengan konsep mentor-mentee mencetus minat para pelajar untuk sama membantu dalam pelajaran. Razalini tidak hanya mencetak nota daripada buku rujukan, malah menaip nota sendiri agar mudah difahami pelajar-pelajar yang lemah. Pendekatan interaktif menerusi pelbagai eksperimen dalam memperkenalkan konsep-konsep fizik dan kimia turut mencetus rasa ingin tahu pelajar di samping menambah kefahaman dengan lebih mendalam.

Semua ini akan berakhir dengan pemergian Razalini.

“Kau tak ingat?” Adeeb mendesak lewat soalan retoriknya.

“Masakan aku lupa semua itu.”

“Habis, kau nak tinggalkan mereka semata-mata untuk keperluan peribadi kau? Kau sendiri berjanji tidak akan lupa tanggungjawab sebagai seorang pendidik di sini saat sudah bergelar suami. Tapi sekarang?”
Razalini sekadar menunduk, tidak punya jawapan utuh untuk justifikasi tindakannya. Dia terperangkap antara desakan hal peribadi dan amanahnya di Kampung Medan Sepakat. Mahu tidak mahu, dia terpaksa membuat pilihan.

Seperti yang dijangkakan Adeeb, pemergian Razalini secara mengejut beberapa hari kemudian ditangisi pelajar-pelajar tingkatan lima beraliran sains tulen. Masing-masing hilang punca, gundah-gelana memikirkan tiada lagi seorang pendidik yang telah berjaya membuahkan rasa minat mereka pada subjek-subjek sukar SPM. Ketakutan terhadap subjek-subjek itu yang membunuh minat sejak masuk ke tingkatan empat bertandang kembali. Tembok keyakinan nan selama ini dibina penuh sabar oleh Cikgu Razalini kini runtuh serta-merta. Mereka bukan sekadar hilang seorang tenaga pengajar, tapi juga hilang seseorang yang acap kali menyuntik semangat motivasi agar tidak cepat mengaku kalah.

“Tak apa guru besar, saya akan mengambil alih kelas Fizik dan Kimia untuk pelajar tingkatan lima. Berkenaan Matematik Moden, saya boleh buat kelas tambahan waktu malam.” Adeeb tidak sampai hati melihat wajah anak desa yang penuh dengan kedukaan. Anak-anak yang mahu mengubah nasib keluarga. Setiap wajah mereka memancarkan harapan ibu dan ayah yang rata-ratanya bekerja sebagai pesawah kecil atau menyara hidup dengan mencari hasil hutan.

“Apabila terperangkap dalam dua kemahuan, pilihlah yang perlu diberi keutamaan dan lebih mustahak. Hal ini diulas panjang dalam perbincangan fiqh aulawiyat oleh Yusuf Qaradawi. ” Adeeb teringat kata-kata Razalini sewaktu mereka mula mengangkat sumpah untuk bertugas sebagai seorang guru.

Adeeb akur, bukanlah hak dia menghukum Razalini seorang yang mementingkan diri sendiri. Namun, dia tetap tidak dapat berselindung dari perasaan kecewa yang menggunung tinggi. Sememangnya apabila usia meningkat dan tanggungjawab kian bertokok, cabaran terhadap pengurusan masa dan komitmen hidup turut bertambah. Itu memang lumrah seorang manusia.

Kerana itu, dia memilih untuk kekal bersendirian walau jauh di benak hatinya, dia tetap punya naluri untuk berpasangan seperti orang kebanyakan. Sehebat mana dia berprinsip pun, dia masih seorang manusia biasa.

* * * *

“Habis, cikgu nak membujang sampai ke tua demi mendidik anak bangsa?” Pakcik Zakaria keliru. Pertama kali dia bertemu dengan seorang anak muda berprinsip luar kebiasaan.

Adeeb tidak pasti apa jawapan tepat. Pertanyaan sama acap kali berlegar-legar dalam kepalanya, mencari kepastian. Dia begitu buntu memikirkan hala tujunya setelah melihat betapa percintaan bagaikan perangkap untuk mengalihkan tumpuan hidupnya daripada amanah untuk anak bangsa. Bahkan sahabat seperjuangan sendiri yang pernah sama-sama meniup semboyan sama telah tewas dengan perangkap komitmen kehidupan peribadi.

Adeeb benar-benar sangsi. Mungkinkah kelak nasibnya akan sama jua?

“Berkahwin ni macam memancing jugalah, cikgu. Pertama kali perlukan kesabaran. Kedua kena faham kaedah yang betul. Kalau memancing semberono, memang tak akan dapat hasil. Sama juga, kahwin ikut suka demi nafsu semata-mata dan tak ada kefahaman agama, itu yang merosakkan nama perkahwinan dan percintaan itu sendiri. ”

Adeeb mengangguk, setuju dengan analogi Pakcik Zakaria. “Betul tu Pak Ya. Perkahwinan dan cinta itu tak pernah salah. Dalam sejarah Islam sendiri pun, perkahwinan Rasulullah SAW tidak sesekali melunturkan semangat baginda untuk terus menyampaikan risalah dakwah. Yang menjadi masalah adalah segelintir masyarakat sekarang yang menjadikan perkahwinan itu penuh dengan suka-suka dan kemewahan semata-mata. Lihat sahaja persiapan gah untuk satu-satu majlis perkahwinan.”

Pakcik Zakaria terangguk-angguk dengan celoteh Adeeb sambil dia berhati-hati memasukkan umpan anak lebah separa beku pada mata kail.

“Akibatnya, fungsi sebenar perkahwinan gagal. Perkahwinan cuma menjadi tempat penyatuan hati manusia secara lahiriah tanpa melihat apa fungsinya dalam membangkitkan jiwa. Perkahwinan yang sepatutnya menghidupkan semangat kini menjadi satu lohong hitam yang menyedut lalu melenyapkan jiwa-jiwa yang sebelum ini berkobar-kobar untuk berkhidmat kepada masyarakat. Sayang sekali.” Adeeb menambah.

“Jadi, cikgu setuju tak dengan cadangan saya? Fikir dulu, ya? Janganlah terus menolak. Cubalah solat istikarah minta petunjuk. Ambil sedikit masa sebelum buat keputusan pun tak apa.” Pakcik Zakaria cuba meyakinkan Adeeb. Dia yakin Maizatul Munirah, gadis kerani sekolah yang bergiat aktif dalam persatuan belia kampung itu cocok untuk membantu Adeeb dalam tugas-tugas sebagai pengajar dan pemimpin belia di Kampung Medan Sepakat. Mereka berdua begitu sepadan, bukan sekadar pada pandangannya tapi juga dari kaca mata penduduk kampung yang lain.

“InsyaAllah, saya cuba.” Adeeb memberanikan diri, cuba membuang tanggapan buruk yang selama ini membelenggu hidupnya. Ya, dia bertanggungjawab untuk masuk dalam insitusi perkahwinan itu sendiri bagi mengubah persepsi.

“Percintaan dan perkahwinan itu tak pernah salah, yang menjadi masalah adalah sikap kita yang tidak memandang cinta dengan kaca mata keimanan.” Adeeb berbisik sendiri.

No comments:

Post a Comment