Monday, 6 May 2013

Kembara Oxford

(petikan status FB saya - Shahkang Aizat)


Selepas melaksanakan undi pos di London pada 28 April 2013, saya pulang ke Manchester tapi singgah sebentar di Oxford selama kira-kira 6 jam.

Kebetulan, hari ini ada Literaty Tour (Kembara Sastera) sekitar bandar Oxford dengan bayaran GBP 7.50. Tak selalu dianjurkan pihak city council. Hanya dalam sebulan sekali. Memang kebetulan sangat hari saya ke sini secara tak sengajanya ada kembara  sastera.

Meskipun saya tak tahu apa sangat berkenaan sastera Inggeris dan penulis-penulisnya, saya tetap menyertai kembara selama 2 jam itu.

Kami bergerak dari satu kolej ke kolej lain. Memasuki Cathedral dan melihat sendiri kehidupan college pelajar Oxford (begitu unik daripada universiti lain, sangat seperti sekolah asrama penuh dengan adanya tutor (macam cikgu homeroom?) dan kehidupan dalam kolej (asrama) yang begitu sibuk).

Tour guide kami menceritakan pelbagai khazanah penulis yang ada di Oxford. Di sinilah tempat penulis itu belajar, penulis ini mendapat idea, penulis A menulis novel dan sebagainya. Saya hanya kenal seorang iaitu Martin Amis yang pernah belajar di Exeter College. Martin merupakan pensyarah University of Manchester dahulu dan saya sempat bertemunya sekali dua di majlis umum.

Ya, saya memang tak mengenali pun penulis-penulis yang disebut. CS Lewis, Henry James dan sebagainya.

Apa yang saya mahukan adalah pengalaman dan melihat sendiri betapa penghayatan masyarakat Inggeris terhadap penulis-penulisnya. Mereka begitu teruja untuk melihat di mana penulis-penulis hebat mereka pernah belajar dan mendapat ilham. Salah seorang ahli rombongan memang peminat sastera Inggeris, hampir kesemua karya yang disebut oleh tour guide pernah dibacanya!

Semasa rombongan berjalan saya asyik terfikir, adakah acara seumpama ini di Malaysia?

Bayangkan satu kembara 2 jam sekitar KL, untuk menerangkan tempat tinggal penulis-penulis hebat atau ikon-ikon seni yang menjadi ilham para penulis yang ditulis dalam karya-karya kreatif.

"Di Dataran Merdeka inilah Pak Samad pernah menganjurkan bengkel puisi untuk anak-anak muda."

"Banyak idea karya kreatif dicetuskan oleh peristiwa kemerdekaan di Dataran Merdeka. Antara cerpen Fahd Razy bla bla bla."

"Di Central Market ini berlangsungnya...."

"KL Sentral - tempat penulis muda selalu berborak dan mencari idea. Kerana di sini adalah tempat tumpuan utama manusia bla bla"

"Anda nampak sistem LRT Putra itu? Itulah sistem LRT yang sering digunapakai oleh Pak Samad untuk berkelana. Dia memang seorang yang akrab dengan masyarakat dan boleh dijumpa di mana-mana. Saya sendiri pernah bertemunya ....."

(Dialog di atas sekadar contoh)

Ah saya begitu kuat berangan!. Tapi saya memang teringin untuk melihat kembara seumpama ini diadakan (Mungkin sudah diadakan tapi saya tak pernah tahu??)

Sempat seorang ahli rombongan daripada California, US bertanya tentang saya. Saya menceritakan saya pelajar di Manchester dan penulis dalam masa sama.

"Saya memang tak tahu menahu tentang sastera Inggeris. Saya menyertai kembara ini sekadar nak tengok kaedah kembara ini dilaksanakan agar saya dapat bawa pulang idea ini ke Malaysia. Mungkin suatu hari nanti kami dapat adakan kembara sebegini juga." Begitulah lebih kurang maksud kata-kata saya. 

"Ya, saya pasti boleh." Kata wanita yang saya kira lewat 60-an itu. Dia begitu peramah. Tipikal orang US agaknya. 

2 jam tamat. Saya meninggalkan rombongan dengan satu harapan.

InsyaAllah. 

Berikut merupakan beberapa gambar pilihan semasa saya di Oxford:


Kedai buku Blackwell yang popular serata UK. Bangunannya agak klasik

Di dalam kawasan yang dikatakan tempat bermulanya Oxford University. Masih terdapat papan tanda fakulti dalam bahasa Latin. Saya difahamkan suatu masa dahulu, semua buku yang diterbitkan di UK pernah dimuatkan di sini (sekarang tak pasti macam mana). 

Hanya pelajar dibenarkan masuk ke Radcliffe Camera ini. 

Teringat kamus Oxford Fajar yang selalu digunakan ketika sekolah. Tapi tak pasti ada kaitan dengan penerbit ini atau tidak. 

Market dalam bangunan

Rumah style English lama di tengah pusat bandar Oxford. 

Cathedral dalam sebuah kolej. Kebanyakan kolej ada cathedral sendiri, menunjukkan betapa universiti agung ini tetap mementingkan agama dalam kesibukan mengejar hal-hal akademik

Quad dalam sesebuah kolej. Akan ada padang rumput yang bersih dan cantik di tengah-tengahnya. Sekelilingnya adalah Cathedral, dewan makan dan bilik penginapan pelajar. 

Tour guide kami memberi penerangan terakhir, di hadapan kolej yang pernah didiami Bill Clinton. 

Pelajar sains tulen pastinya mengenali Boyle dan Hooke!

Sunday, 28 April 2013

Cerpen: Be'ah Mukakitab



Cerpen hasil tulisan saya ini ini telah disiarkan di Berita Minggu, 21 April 2013



BUKANLAH sesuatu yang aneh buat Be’ah untuk menopang dagu di hadapan Mukakitab berjam-jam lama. Usai Isyak santak kemunculan fajar merah di kaki langit, Be’ah acap kali menikmati simfoni malam bersama kemas kini mutakhir dari laman sosial maya Mukakitab.

Adapun Be’ah menghadapi kekacauan minda semenjak dua ini tatkala gambar dulang hantaran kerap muncul di Mukakitab. Sahabat seangkatan seorang demi seorang melangkah ke jinjang pelamin. Inai merah kesumba membalut jari dan sulaman manik busana pengantin berkilau-kilau ditempuh cahaya kamera. Be’ah sekadar mampu menelan liur.

"Catriona? Catriona Kabaret?" Keserabutan rasa memuncak setelah gambar Catriona berdampingan dengan jejaka janggut pandak dan berserban putih menikam saraf anak mata.

Catriona Kabaret selamat dinikahkan? Be’ah mengalih tetikus, akaun Mukakitab milik suami Catriona menjadi tatapan. “Beruntung Catriona! Suaminya warak sekali.” Himpunan ayat al-Quran dan potongan hadis sahih menjadi sajian kepada pengunjung laman.



Renggutan jiwa Be’ah singgah-menyinggah. Selepas Catriona, sahabat seangkatan lain turut mengikut jejak yang sama. Halaman Mukakitab masing-masing sebu dengan warna tema majlis perkahwinan dan kalungan tahniah daripada teman-teman.

Be’ah semakin tidak keruan. Memikirkan tampang muka yang dihinggap jerawat batu dan berona kulit langsat ranum, apakah ada jejaka sudi memandangnya walau sekilat? Jejaka pilihan bukan mahu semberono dipilih di kaki jalan, harus punya pegangan agama dan prinsip jati diri yang teguh. Tapi, bagaimana dan di mana boleh dicari? Be’ah dibelit gusar.

 
Ah sebentar, Abang Ghani dan Kak Rogayah! Kenapa tidak mohon bantuan mereka sahaja mencarikan pasangan? Wajah pasangan berusia 50-an yang aktif dalam gerak kerja dakwah itu muncul perlahan-lahan di layar minda yang kini disuluhmentol idea.

Ghani dan Rogayah tidak punya halangan untuk membantu, sementelahan perkara mulia di sisi agama yang ditagih Be’ah. Satu pertemuan suai kenal diaturkan di sebuah restoran di ibu kota bagi mempertemukan Be’ah dan calon pilihan yang mereka kenali.

“Boleh saya minta akaun Mukakitab?” Soalan permulaan Be’ah kepada calon suami mengisi kesunyian ruang utama restoran. Meski ditampar rasa hairan, si calon suami tetap memberikan nama akaun tanpa menyoal lebih lanjut.

“Maaf saya harus ke tandas sebentar.” Be’ah bingkas bangkit.

Sebaik pintu tandas dikunci, nama akaun yang baru diterima segera ditaip menerusi telefon bimbit pintarnya yang dilengkapi kemudahan internet 3G.

Halaman Mukakitab calon suami yang sedang menunggu di meja makan restoran terpampang kini. Dibuka di bahagian tulisan, kosong. Hanya ada coretan pendek berbunyi seperti ‘sudah tiba jam menyepak bola!’, ‘malam ini begitu sunyi’ dan ‘menonton program nyanyian di Saluran 1, hebat sungguh penyanyi kecil molek itu!’.

Be’ah menggerenyet bibir menandakan benci. Dia tidak terus duduk setelah kembali di meja pertemuan. Dia membisikkan sesuatu kepada Rogayah sebelum berlalu tanpa sebarang titipan selamat tinggal kepada hadirin yang lain.

“Kenapa Abang Ghani dan Kak Rogayah mencarikan aku manusia sedemikian? Nonsense!” Be’ah membentak sendiri walaupun pertolongan pasangan suami isteri itu masih tetap ditagih. Mereka satu-satunya harapan untuk dia bertemu bakal suami mithali.



Perjumpaan kali kedua diatur di lokasi serupa.

“Maaf, saya perlu bercakap telefon sebentar.” Be’ah mohon meninggalkan perjumpaan sejurus nama akaun Mukakitab calon suami berjaya diketahui.

Nyaris-nyaris Be’ah menghempas telefon bimbitnya ke lantai tandas. Dia lebih rela skrin itu retak lalu berkecai. Tidak sanggup dia melihat profil Mukakitab calon suami terbarunya ini yang penuh dengan gambar kartun Jepun dan kotak-kotak dialog yang tidak dia mengerti walau sepatah pun. Dia menyentuh segmen ‘Biodata’ dan kemudian ‘Cita-cita’ di skrin telefon. Tiada satu pun ciri-ciri suami soleh dipunyai oleh jejaka ini! Be’ah benar-benar dirasuk amuk.

“Tak mungkin kaki komik Jepun menjadi suamiku! Bagaimana mahu mewujudkan suasana Islamik semasa mendidik anak-anak kelak. Entah nanti anak-anak berperangai kartun!” Dia menolak daun pintu tandas, menuju semula ke ruang utama restoran. Wajah kelat Be’ah dari kejauhan sudah dapat ditafsir Ghani dan Rogayah. Be’ah membuat isyarat berbentuk ‘T’ dari jarak 20 meter dan berlalu meninggalkan restoran tanpa sebarang pesanan terakhir buat calon suaminya.

Adapun hal ini berlarutan sehingga berbelas-belas pertemuan. Aturcaranya tetap sama. Be’ah akan terlebih dahulu bersuara dan meminta akaun Mukakitab calon suami.Dengan sopan dia mohon meninggalkan perjumpaan sebentardan kemudian tiada lagi bayang tubuh gempalnya akan kelihatan.

“Aku mahukan teman hidup seperti kepunyaan Catriona Kabaret!” Keinginan terus menekan-nekan keras perasaan. Setiap waktu dia akan bertandang ke laman Mukakitab Catriona, memandang penuh minat foto-foto kebahagiaan Catriona dan suami. Mengecapi bulan madu di Istanbul. Suka sekali dia duduk di riba suami mendengarkan kisah pembukaan Constantinople oleh Al-Fatih. Debur Bosphorus menjadi teman sambil si suami membisikkan ayat-ayat suci. Takdir begitu kejam, tidak menyebelahiku. Be’ah merungut.

Halaman Mukakitab terus ditelaah saban malam. Dengan buakan semangat mencari pasangan, ketekunan sedia ada menokok lebih tinggi. Dia ligat mengetik butang kiri tetikus komputer, melompat dari satu halaman ke halaman lain.

Alangkah bahagia kalau punya pasangan hidup yang diredhai-Nya

Satu kata-kata hikmat yang dikongsi oleh seorang rakan muncul di skrin utama. Jon Alphabet, gambar profil berlatar belakangkan padang pasir dan langit lazuardi persih. Pemilik akaun segak berdiri dengan pakaian jubah coklat cair dan kopiah putih.

“Inilah, inilah orangnya!”



Be’ah menghubungi Ghani dan Rogayah segera bagi mempertemukan dia dan Jon Alphabet. Persetujuan dimeterai tanpa prosedur yang sulit. Jon Alphabet dan Be’ah bernikah dalam satu majlis ringkas dihadiri sanak-saudara dan teman rapat sebulan kemudian.

Perkahwinan membawa Be’ah menelusuri arus bahagia. Jon Alphabet punya lagak bagai suami Catriona yang begitu gah berdakwah dalam Mukakitab. Pengikutnya yang kian berlaksa-laksa di Mukakitab mengembangkan lagi rasa bangga Be’ah. Aku bersuamikan seorang pendakwah Mukakitab terkenal! Be’ah menempik sendiri dengan penuh kesukaan.

Pada suatu Subuh nan hening, Jon Alphabet menulis:

Alhamdulilah, tiba untuk solat jemaah Subuh di masjid! Rakan-rakan bagaimana?
10 871 pengguna klik suka, 450 orang menitip komen dan 103 kali dikongsi.

Be’ah menyungging senyum. Dia menggeliat dan menuju tandas untuk berwuduk. Subuh bakal mengetuk pintu angkasa pada bila-bila masa sahaja.

Dia memaling semula tubuh ke katil. Jon Alphabet masih dibaluti selimut.

“Barangkali dia sudah pulang dari solat jemaah. Aku yang ralit dan terlambat menyemak Mukakitab agaknya.” Jam dinding kamar disemak berulang kali.

Sayup-sayup kedengaran iqamat dari masjid berdekatan. Sangsi mula menghurungi logik tapi apabila memikirkan status Mukakitab di akaun Jon Alphabet, segala persoalan disingkirkan dari kotak pertanyaan. Barangkali dia ke masjid yang lain. Be’ah berpaut teguh pada dahan positif pokok akalnya.

“Kak Gayah bukan nak mengata, tapi tak molek kalau Jon berdampingan dengan isteri orang begitu.” Getaran suara Rogayah kelmarin masih berbekas di kepala.

Tap! Kotak pemberitahuan warna merah dengan nombor 1 menandakan ada satu kemas kini daripada Jon Alphabet.

Akan berceramah di hadapan 200 orang kakitangan kerajaan hari ini.

Halaman Mukakitab Jon Alphabet diteliti penuh gembira. Mustahil tuduhan Kak Rogayah berasas. Mungkin dia masih terasa hati dengan penolakanku terhadap berbelas-belas lamaran calon suami dengan aneh sebelum ini. Be’ah membuat penafsiran.

“Kami bersaksi bahawa Jon keluar kedai nombor ekor dengan kopiah putih!”

“Ramai sudah orang bercakap tentang Jon dan seorang wanita berambut perang keemasan berdua-duaan di taman sehingga waktu Subuh.”

Be’ah menulikan telinga. Mulut orang, hiduplah selama yohana masa pun tidak akan boleh ditutup. Apa jua hamburan kata, keyakinan Be’ah sekelumit pun tidak akan tergugat. Mahu sahaja dia mencetak hasil tulisan suaminya yang sarat motivasi di Mukakitab lalu ditempelkan pada muka-muka pembawa mulut itu.

Pada suatu rembang, Jon Alphabet ada menulis:

Akan bertolak ke Kota Kinabalu, program bersama pelajar universiti – daftar masuk di KLIA


Senyum Be’ah melebar tanpa disuruh. Kukuhkan peganganmu, duhai mujahid sayang biarpun ribuan fitnah bertempiaran ke sana ke mari. Be’ah mendesis harapan.

Pintu rumah dikuak pantas. Jon Alphabet terhuyung-hayang menerpa masuk. Matanya kuyu. Dua butang baju kemeja terbuka.

“Bukankah abang ke Kota Kinabalu?”

“Tidak. Kenapa tanya begitu?”

“Di laman Mukakitab abang,bukankah baru daftar masuk di KLIA?” Be’ah keliru sambil meluruskan telunjuk pada skrin telefon bimbit.

Jon Alphabet terkerising sebelum amplitud bahak tawa menjulang. “Oh, Mukakitab! Bukan saya lagi yang memegang akaun ini. Adik saya yang baru pulang dari Mesir itu menggunakan akaun ini sekarang.” Jon Alphabet membiarkan Be’ah terpelahang bersendirian, langsung berlalu ke kamar mandi.

Getaran tangan Be’ah kian ketara. Sedang nadi berdenyut pantas, dia cekatan menyeluk saku baju kemeja yang dicampakkan Jon Alphabet di atas sofa antik. Resit kedai nombor ekor didapati terlipat kemas. Bekas gincu turut ditemui berdekatan lengan. Bukan gincu biasa. Dia kenal pemilik gincu merah jambu buatan Eropah dan punya aroma mengghairahkan itu. Catriona Kabaret.

Be’ah terduduk, empangan tangis mulai retak dan pecah tidak sampai seminit bertahan. Renjatan kesedaran menyengat tubuh. Ya, Mukakitab bukan kitab kebenaran yang harus diikut. Kalimah taubat bergema berulang-kali di lohong perasaan Be’ah.



Gambar 1: Kredit kepada Puan Saadah yang menangkap gambar daripada akhbar asal

Gambar 2:  http://www.telegraph.co.uk/technology/facebook/9925072/Why-women-constantly-lie-about-life-on-Facebook.html
Gambar 3: http://www.thegilbertscott.co.uk/
Gambar 4: http://www.highdwallpapers.com/view-alone_desert_and_blue_sky-wide.html
Gambar 5: http://guidepal.com/kuala-lumpur/know-the-city/kuala-lumpur-international-airport-klia

Sunday, 9 December 2012

Cerpen: Pulut Serunding Buat Nazihah

Cerpen ini disiarkan di Berita Minggu, 4 Disember 2012. 

BUTIR-BUTIR manik jernih meluncur di kedua-dua belah pipinya. Tikaman cahaya suria mengunjungi bumi Manchester saat musim panas melepasi angka 20 darjah Celcius menzahirkan lagi garis basah di wajahnya yang dilitupi kemas oleh selendang pashmina buatan Turki. Awan bergerak gontai seakan-akan memahami jiwanya yang berkubang dengan rencaman kerisauan dan kebingungan.

Nazihah menyeranggung di kawasan berumput hadapan Whitworth Hall, lokasi majlis graduasi para pelajar University of Manchester. Di sekelilingnya teman sekelas kecoh taru dengan membaling topi graduasi dan galak ketawa sambil bergambar dengan kenalan dan keluarga.


“Zihah, aku tiada di Manchester sampai Ahad depan. Ke Edinburgh dan Inverness bersama keluargaku.” Rusaliha, teman serumah menjelaskan perancangan. Bunga senyuman mekar pada wajah bulat Rusaliha yang didandani selendang satin jingga. Nazihah sekadar mengangguk sambil berusaha menyembunyikan tampang kelat.

“Mengapa aku begitu kejam?” Rangkaian persoalan menyebu panti akal Nazihah. Sorotan katanya bernada tinggi tidak berhenti bergema di lohong pendengaran, menyiat saraf pendengaran menjadi daging bercetai-cetai. Sakit, benar-benar sakit dengan sikapnya sendiri!

“Tak perlulah, mak. Bukannya penting pun!” Masih belum lekang ayat sendiri di dinding ingatan. Nazihah berusaha mencagak pendirian. Di hujung talian, senyap menyelubungi, seolah-olah memberi laluan buat Nazihah memanahkan kata-kata dengan busur emosi.

“Tapi..” Suara ibu Nazihah mendatar lalu tersekat, ada sesuatu yang menyepit pita di kerongkong. Cuak bagai seorang tertuduh berbicara di hadapan hakim dan pendakwa raya.

“Tak usahlah, mak!” Suara Nazihah semakin melengking tinggi. Dia sedaya upaya mengawal pertuturan agar tidak menyakiti hati sesiapa. Namun, pendiriannya tetap utuh. Datanglah badai sekuat angin yang melanda pantai barat England ketika musim panas sekalipun, tidak akan sesekali berubah - ibu dan ayah tidak perlu menggagahkan kudrat tua untuk menghadiri majlis graduasi di Manchester.

Telefon pintar berteknologi kaca sentuh dihempas ke duvet sesudah panggilan ditamatkan. Nazihah menghembus nafas panjang. Nubari meracau, dicucuk-cucuk oleh hasrat kedua-dua orang tuanya.

“Perlukah sampai nak menjual lembu kambing dan tanah sekangkang kera arwah Pak Long untuk ke sini? Bukankah lebih baik gunakan untuk biayai Adik Chik di kolej swasta?”

Buat apa menghabiskan dekat puluhan ribu Ringgit hanya untuk suatu majlis penyerahan scroll yang ringkas? Bukannya lama, cuma sekitar satu jam. Pesta graduasi di Manchester tidak semeriah pesta konvokesyen di universiti-universiti Malaysia. Tiada apa yang istimewa melainkan detik sepantas mengunyah sebiji buah Melaka. Nazihah terus mencari logika di sebalik tembok pendirian.

Manchester bukan Alor Setar mahu pun Kangar. Apatah lagi mahu menyamai pekan nelayan Sungai Berembang. Di sini tidak ada ruang habuan bercucuk tanam kalau dilanda kebosanan. Bukannya boleh bermotosikal tanpa helmet menyaksikan nelayan pulang waktu petang. Tambahan untuk tinggal di rumah pelajar undergraduate di kotaraya Manchester, bukan ada apa-apa kemewahan melainkan ruang cukup-cukup untuk hidup.

Nazihah terbayangkan keadaan ibu dan ayahnya ketika pertama kali dibawa ke rumah Abang Long di Kuala Lumpur. Tidak senang duduk. Berdiri juga serba tidak kena. Di Malaysia pun terkebil-kebil jadinya apatah lagi mahu bersempit-sempit di bilik berlantai sejuk di daerah sibuk Rusholme ini?

Perjalanan juga bukan sekejap. Kalau menaiki penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke London menelan masa lebih 12 jam. Kalau memilih untuk transit di tanah Arab seperti Doha dan Dubai akan menjadi lebih lama malahan kadang-kala lebih sehari. Lutut mak belum pulih sepenuhnya selepas pembedahan, bukannya boleh duduk berjam-jam. Ayah pula kerap ke tandas dek penyakit kencing manis.

Nazihah larut dalam pencarian terhadap kemungkinan yang bakal berlaku. Kekalutan ibu dan ayah untuk menyesuaikan diri di bumi Inggeris dihitung satu per satu. Bukankah memerah tenaga mahu ke Manchester sesuatu yang menyusahkan buat mereka?

“Tapi Zihah, mak dan ayah benar-benar mahu hadir ke majlis graduasi kau. Bukan senang nak melihat anak desa sepertimu merangkul gelajar first class honour, terutama untuk bidang bukan calang-calang seperti fizik.” Abang Teh mengemukakan pandangan.

Nazihah malas berbicara. Sekadar berkata tidak berulang kali lantas membuatkan hujah abangnya mati modar dipancung bilah-bilah kata yang cukup tajam.

“Ini Nurul Nazihah, pelajar tahun ketiga Fizik di Manchester? Saya Encik Khairul pegawai jabatan kebajikan pelajar Malaysia di London.” Panggilan mengejut Encik Khairul lewat malam semalam masih menghantui, menyusup-nyusup di lohong perdengaran lalu terus mencanak naik sampai ke otak.

“Be..Betulkah Encik Khairul?” Seluruh tubuh Nazihah menggeletar tanpa disuruh.

“Awak tak perlu bergegas ke mari. Tiada gunanya. Kami di London akan bantu apa yang boleh. Cuma saya nak minta jangan matikan telefon bimbit kalau-kalau ada panggilan daripada jabatan imigresen Heathrow untuk sebarang siasatan.”

Detak jantung Nazihah bagai direnggut voltan elektrik berkuasa tinggi mendengar perkhabaran dari Encik Khairul. Ibu dan ayah ditahan di lapangan terbang antarabangsa Heahtrow! Lebih menokok kesangsian, Encik Khairul sendiri masih belum pasti punca penahanan.


Berdudu-dudu air persoalan membanjiri kamar akalnya. Ibu dan ayah tetap hadir ke sini? Agaknya mereka cuba berurusan dengan anak angkat Pak Long yang menetap di Reading.

Kelepir jari-jemarinya kian ketara. Monitor ingatan memancarkan semula adegan dalam Nothing To Declare, satu rancangan televisyen memperikan kisah benar penumpang-penumbang ditahan di lapangan terbang sekitar England untuk siasatan pelbagai kes. Soalan pegawai sememangnya bertali-arus. Bolehkah ibu dan ayah menjawab? Bahasa Inggeris pelat Malaysia pun sukar difahami apatah lagi dengan pelat British. Bagaimana pula kalau tiba waktu ibu menelan ubat darah tinggi? Bagaimana kalau ayah lemah kerana kandungan glukosa dalam badan rendah? Tahukah mereka berkomunikasi meminta itu ini?

Bagaimana pula kalau…? Ya Allah!

“Zihah, boleh tolong ambilkan gambar?” Imbasan layar kenangan Nazihah menyirna. Nazihah melangut. Nabiha – gadis genit dari Kuala Lipis yang juga teman serumah terpacak di hadapan sambil tangan menghulurkan kamera digital. Berkalutan Nazihah menyeka bening yang bergenang di tubir mata. Garis basah turut lekas direlas bagi menghilangkan bukti. Dia tidak mahu sesiapa pun tahu kesengsaraannya, terutama di hari penuh bersejarah buat para graduan fizik di sebuah universiti tersohor United Kingdom ini.

Nabiha mengalih kerusi roda ibunya, menghala ke arah Nazihah yang sudah bersedia dengan kamera. Nabiha memimpin pula ayahnya yang bertongkat perlahan-lahan dan cermat, mengambil tempat dalam satu barisan mengiring. Bangunan Whitworth Hall berusia lebih 110 tahun gah berdiri menjadi latar belakang ditemani langit lazuardi musim panas.

 “Ibu dan ayah teringin benar nak lihat kau di atas pentas mahsyur itu!” Wajah berjambang Abang Teh kembali berkunjung ke lawang minda Nazihah. Bayangan kerusi roda dan tongkat kedua-dua orang tua Nabiha saling bertukar ganti menjadi tetamu ruang fikiran.

Nazihah memanggung kepala. Kawasan persekitaran Whitworth Hall sebagai lokasi graduasi sudah pun lengang. Nabiha sekeluarga lenyap dari pandangan. Mungkin sedang menikmati makanan Afghanistan yang terkenal di Curry Mile. Atau menaiki bas 20 minit untuk melawat ke stadium Old Trafford, gelanggang pasukan handalan dunia Manchester United. Atau bersiap-siap menaiki tren ke London sebelum menukar kepada tren laju ke Paris di seberang laut. Nazihah sekadar meneka. Tidak ada apa boleh menghiburkan keluarga selain menghabiskan masa bersama untuk melancong. Inilah waktunya. Jika selepas ini dia melangkah pulang dan bekerja sebagai seorang saintis di ibu kota, mana mungkin punya masa terluang seperti hidup seorang pelajar.

Lebih mustahak, kebanggaan dan kepuasan hati melihat anak kesayangan menggapai kejayaan di tanah asing.

Oh, mengapalah aku begitu tidak memahami!


Telefon bimbit Encik Khairul dihubungi berkali-kali – tidak dijawab. Adakah ibu dan ayah dihantar pulang ke Malaysia oleh pihak imigresen Heathrow? Atau ditahan di sel sementara sebelum proses pembebasan. Sihat atau sebaliknya? Ah! Selirat di akar kewarasan makin bertambah.

Hanya deraman enjin bas yang beroperasi di Oxford Road menemani keheningan suasana. Nazihah mengungsi sekujur tubuh longlainya ke masjid universiti di bangunan Mcdougall. Dia mahu mengasingkan diri untuk mententeramkan gejolak perasaan. Telefon bimbit dikerling selang beberapa saat – menanti apa jua berita terkini daripada Encik Khairul meskipun dia sudah menukar profil telefon kepada ‘loud’.

Hon membingitkan telinga secara tiba-tiba menyergah. Nazihah mengalih pandangan 180 darjah. Sebuah jip hitam berhenti sepuluh meter di belakang dengan logo jata kebangsaan bersebelahan nombor plat. Encik Khairul muncul dari pintu pemandu, sedikit tersengih. Nazihah membeliakkan mata, terpempan yang amat tatkala melihat dua wajah pikun dikenali keluar dari pintu belakang kenderaan.

Naziha menonong pantas ke arah ibu dan ayahnya. Dirangkul kedua-dua tubuh berjaket tebal itu sepuas-puasnya. Cecair bening menuruni pipinya dengan lebih laju. Dikucup tangan mereka selama mungkin, membiarkan bening keinsafan membasahi tangan yang telah membesarkannya selama 24 tahun. Ucapan maaf tidak putus-putus dilafazkan.

“Maafkan mak juga, Zihah. Tak kesampaian kau nak makan pulut serunding daging dari kampung.”

Rasa lega Nazihah berbancuhan dengan keliru.



“Tadi mereka ditahan di Heathrow kerana membawa bahan berunsurkan daging. Biasalah kastam di situ memang tegas. Tapi disebabkan tak boleh cakap Bahasa Inggeris maka dihubunginya kami di kedutaan untuk membantu. Alhamdulilah tak ada apa-apa cuma serunding tersebut terpaksa dirampas. Saya pula kebetulan ada hal dengan persatuan pelajar di Leeds, jadi terus singgah di sini. Nabiha yang beritahu kamu ada di kawasan universiti.” Encik Khairul mengulas panjang.

Mata Nazihah bertambah kemerahan-merahan. Air matanya begitu tunak mengalir seakan-akan tiada penamat.

“Maafkan mak, Zihah.” Kesayuan semakin hebat menyelar perasaan Nazihah.

Sumber gambar

Friday, 17 August 2012

Bercinta di Hari Raya

Disalin daripada status FB saya pada 17 Ogos 2012 bersamaan 28 Ramadan.


Selalunya pada hari raya, anak-anak muda (lelaki) akan menggunakan peluang ini untuk berkenalan dengan keluarga gadis yang dia idami / yang dia mahu kahwini.

Berikut merupakan isu/tips biasa yang dilakukan, atau yang terjadi (disusun mengikut kronologi):

1) Kecuakan yang amat melanda bila memandu ke rumah perempuan tersebut. Rasa macam nak patah balik saja. Akan dapat SMS dari si dia "dah ada kat mana? Nanti simpang stesen minyak ambil kanan tau"

2. Kecuakan bertambah bila parkir kereta beberapa meter dari rumahnya. Rasa berat nak melangkah kaki. Namun ditenangkan rakan 'pembantu' anda.

3. Bila tengok rumahnya, terbayang dalam hati "Oh, bakal rumahku jua nanti."

4. Bila salam dengan ayahnya, saat paling berdebar sebab pertama kali jumpa.

5. Si dia akan berada di dapur untuk uruskan hal makanan bersama ibu. Anda dilayan oleh bapanya. Soalan biasa yang ditanya contohnya - ayah kerja apa? bila habis belajar? dll. Rakan pembantu anda juga akan disoal walaupun ayah si dia tahu anda yang merupakan kekasih anaknya.

Anda pula akan mengeluarkan skrip yang sudah dihafal untuk ditanya kepada ayahnya seperti "Pakcik sihat?", "Cuaca panas betul ya sekarang?" dan sebagainya untuk melancarkan dialog.

6. Bila anda tengok si dia, anda akan berkata dalam hati "Wah lawanya dia dengan baju kurung/ baju raya". Hati anda berbunga-bunga dan tak sanggup nak tengok lama-lama.

7. Makanan akan dihidangkan di meja makan utama. Saat makan, si dia, ibunya dan bapanya akan berada bersama-sama.

8. Anda memang tak sedar apa yang anda makan sebab terlalu cuak dan gementar.

9. Anda akan kerap kali buat benda yang sama tanpa disedari - contoh macam buka bekas kuih berulang kali, minum air sedikit demi sedikit dan bermacam-macam.

10. Anda dilema, rasa macam nak balik awal tapi macam seronok juga dapat beramah mesra dengan keluarganya.

11. Apabila mahu pulang, ibu bapa si dia akan berkata "Kirim salam kat mak dan ayah ya"

12. Waktu pulang tu - sedih bercampur lega.

13. Sesi muhasabah akan berlangsung dengan rakan pembantu di dalam kereta. Selalunya akan muncul dialog seperti "Haha aku nampak kau cuak gila tadi!"

14. Semasa pulang akan ada SMS dari si dia "Dah sampai rumah ke? Drive leklok tau. Anyway mak ayah seronok sangat tadi dapat jumpa awak :)"

15. Anda akan belanja rakan pembantu anda hadiah kerana sudi teman.

Sekian dari saya, Dr Cinta. XOXO

Kepada yang berpeluang untuk bertunang/berkahwin/merisik sewaktu hari raya ini, saya Shahkang (DR kaunseling cinta) mengucapkan, selamat beramal....~~

Tuesday, 31 July 2012

Seksi Sungguh, aih!


Saya tak tahu kenapa memerlukan masa begitu lama untuk mula menulis artikel pendek (cuba menulis pendek, tulis panjang bukan ampa baca pun) ini. Gemuk dan malas sepanjang cuti summer? Begitulah kemungkinan mengapa saya hanya mula menulis ini pada tanggal 12 Ramadan, sedangkan pernah bercadang menyiapkannya sebelum Ramadan menjelang lagi. Ya, haruslah diubah sikap ini kalau mahu menjadi penulis yang prolifik.

Adapun saya pernah berbincang dengan seorang sahabat, di ruang tamu rumah saya di Manchester. Dia memperikan suatu kisah yang membuatkan saya berfikir agak lama (sehingga ke hari ini). Katanya, kisah ini disampaikan oleh seorang sheikh ketika dia menyertai satu camp yang dianjurkan oleh persatuan pelajar Islam di United Kingdom.

 Memandangkan tak ramai orang Malaysia yang menyertainya, saya kira mungkin kisah ini belum pernah dibaca oleh sebahagian besar sahabat saya di UK dan juga sahabat di tempat lain. Maka saya fikir, elok juga saya tulis mengenainya buat tatapan bersama. Saya menceritakan semula kisah ini jadi mungkin ada kesilapan di mana-mana atau sebarang tokoh tambah, namun saya harap mesej utamanya dapat dihadam jelas para pembaca.

 Ceritanya, lebih kurang begini.

“Seorang sheikh telah menaiki sebuah pesawat komersial. Ditakdirkan di sebelahnya ada seorang wanita yang berpakaian sedikit tidak senonoh (BACA :seksi). Sheikh ini berasa tidak selesa dengan penampilan wanita tersebut namun apakan daya kerana tempat duduk di dalam pesawat sukar untuk ditukar, ditambah lagi dengan kapasiti yang penuh. Sheikh ini juga mempunyai perasaan  kurang senang dengan wanita ini dan hatinya mula menaruh pelbagai syak wasangka terhadap wanita yang berpakaian tidak senonoh sedemikian rupa.  
Kabin pesawat - gambar hiasan
Ketika dalam penerbangan, waktu solat pun tiba. Si sheikh ini mengambil masa lama berfikir – sama ada mahu solat di atas pesawat atau mahu solat di destinasi. Perjalanan yang tidak terlalu lama membolehkan sheikh untuk solat di destinasi dengan lebih selesa berbanding di dalam pesawat yang sempit.


Tiba-tiba, wanita di sebelahnya bingkas bangun dan mengeluarkan bagasi bimbitnya di ruang atas tempat menyimpan barang. Dikeluarkannya tudung/jubah/telekung dan terus bersolat di ruang terhad pesawat itu. 
 
Si sheikh ini berasa agak kaget dengan situasi itu. Tidak disangka wanita yang disyak-wasangkakannya sebentar tadi mendahuluinya dalam bersolat, sedangkan dia teragak-agak untuk solat sekarang atau sebentar lagi. Walhal wanita tersebut tak perlu berfikir panjang untuk melakukan solat. seperti dirinya. Sejurus wanita tersebut menamatkan solat, sheikh tadi memberitahu apa tanggapan awalnya kepada wanita itu dan memohon maaf atas keterlanjuran sikapnya.”


Begitulah ceritanya. Ringkas dan padat.

 Saya tahu ada pembaca yang tidak terkesan apa-apa apabila membaca kisah tersebut. Tetapi bagi saya, saya telah diheret ke kandang muhasabah untuk jangka masa yang agak lama. Situasi ini saya uliti dan menghasilkan pemikiran/idea untuk direnung sejenak bersama:

1. Saya juga pernah mengalami situasi yang hampir serupa dengan kisah ini. Ketika itu saya merupakan penganjur satu program dan waktu Asar sudah masuk. Disebabkan keadaan kurang selesa untuk bersolat di tempat program (di UK solatnya di tepi koridor sahaja), saya sangsi sama ada mahu solat di situ (lapik kain) atau buat sahaja di rumah.

Kemudian saya didatangi oleh seseorang yang tidak begitu saya kenali. Saya pernah tahu namanya tapi tidak kenal rapat, malah dia sendiri tidak tahu nama saya (mungkin). Perwatakannya – memang seorang yang tidak menutup aurat atau bahasa kasarnya agak seksi. Dia bertanyakan kepada saya sama ada sudah masuk waktu Asar atau belum dan berkata (kepada kawannya):

“Eh dah masuk Asar. Solat dululah!”

Tidak saya sangka-sangka, orang yang pernah saya pandang senget (kerana penampilannya) begitu tertib menjaga waktu solat. Sedangkan saya (yang kononnya bagus?), masih membuang masa.

 2. Kedua-dua kisah saya dan sheikh ini membuatkan saya tertanya kepada diri sendiri – apakah selama ini kita berlaku adil kepada semua manusia ATAU ada persepsi awal yang menyebabkan kita tidak berlaku adil.Situasi yang agak kompleks bunyinya. Tapi acap kali kita (kalau bukan anda pun, saya sendiri) yang terperangkap dengan persepsi lain dalam membuat satu keputusan yang lain.

Contohnya:

“Ala dia ni tak pakai tudung. Confirm tak mau ikut pi ceramah agama. Tak perlu ajaklah.”
“Dia bukan ikut usrah. Mesti susah kalau nak diajak bersembang pasal hukum-hakam.”
“Orang ni selalu main game. Nak ke dia ikut kalau ajak solat jemaah? Mesti tak. Gamerz memang selalu macam tu.”

3. Contoh yang saya nyatakan dalam poin (2) mungkin mirip kepada masalah peribadi atau masalah kecil. Tapi cuba pula kita lihat dari aspek politik. Mungkinkah kenyataan-kenyataan di bawah pernah dikeluarkan oleh kita semua?

“Dia orang UMNO, mesti taksub kepada kerajaan!”
“Orang PAS memang macam tu. Ulama dia buat sahaja yang betul. Ulama parti lain salah!”
“Parti A pemimpinnya kuat rasuah. Siapa yang ahli partinya mesti kuat rasuah punyalah!”
“Yang join BERSIH tu semua otak kayu. Diperkudakan pembangkang!
”“Kenapa tak join demonstrasi kitaorang? Korang ini memang tak mahukan perubahan lah!”

4. Kedua-dua contoh dalam (2) dan (3) saya kira merupakan satu penyakit yang kerap kali melanda kita, terutama masyarakat Melayu Islam. Saya panggil ia sebagai penyakit ‘generalisasi’ yang pernah saya tulis sebelum ini dalam tajuk “Jangan Diperkuda Sikap Generalisasi – sempena BERSIH 3.0” – rujuk laman web http://www.shahkang.com atau senarai notes saya di Facebook.


5. Mengapakah kita sering menjadi seorang penghukum, seolah-olah kita tahu segala-galanya yang dibuat oleh individu lain? Sedangkan kita hanya tahu satu dua bab mengenainya (penampilan fizikalnya, persatuan/parti mana dia anggotai dan sebagainya)?


6. Bukanlah bermaksud saya hendak mengatakan “Tak perlu pun mengenakan tudung, yang penting aku solat dan dalaman aku baik. Orang lain yang pakai tudung tu bukannya baik sangat pun. Hipokrit.”. 

Hujah ini kerap kali saya dengari tapi itu bukanlah maksud post ini. Tidak menutup aurat itu tetap satu dosa. TETAP!

Namun bukanlah bermaksud jika seseorang itu tidak menutup aurat maka kita (manusia lain) boleh semberono mengatakan hal lain (seperti puasa, sedekah dan sebagainya) juga dia abaikan. Kita bukannya seorang penghukum. Malahan kita sendiri belum tahu nasib kita di hadapan Allah, akhirat kelak.



 Sama juga dengan kes-kes yang lain. Apabila seseorang menyertai parti/persatuan yang kita rasa banyak ‘jahil’ dan ‘salah’, tidak semestinya dia juga jahil (BACA: Bangang) dalam bab yang lain. Apabila seseorang pernah terlibat dengan rasuah, tidak semestinya dia akan mengulangi kesalahannya. Apabila rata-rata ahli persatuan/parti ABC jenis cepat melenting dan menuduh orang lain, tidak semestinya kesemua ahli mempunyai sikap yang sama.

Siapa kita, untuk menjadi dalang dan mengetahui segala macam benda?

7. Mesej utama yang saya ingin kongsi adalah – jangan cepat serbu tembok apabila melihat sesuatu hal atau keburukan tentang seseorang. Boleh diaplikasikan di merata-rata tempat terutamanya di wall Facebook (apabila mahu share sesuatu yang belum pasti dan sebagainya) dan yang lebih utama dalam kehidupan seharian kita sebagai seorang yang beragama Islam.


8. Kita bertanggungjawab dengan apa yang kita sampaikan kepada orang lain. Kita juga bertanggungjawab dengan persepsi yang kita buat kepada orang lain, yang kemudiannya kita sampaikan atau sebarkan. Berhati-hati.

 Begitulah serba sedikit kupasan saya mengenai situasi yang diceritakan oleh sahabat saya itu. Maaf jika ada kesilapan penafsiran atau ulasan di mana-mana tempat. Sekadar coretan ringkas.

 Dibolehkan share jika anda rasa hasil tulisan ini boleh memberi manfaat kepada orang lain.

Selamat beribadah di bulan Ramadan.

Shahkang
Kangar, Perlis
12 Ramadhan / 1 Ogos 2012

Sumber gambar:
1) http://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/6/63/Malaysia_Airlines_747-400_Economy_cabin1.jpg
2) http://berita-harian-online.com/alasan-perempuan-tak-pakai-tudung/

Monday, 30 July 2012

Kalau Isteri Anda Seorang Guru - Ramadhan

Jika isteri anda seorang guru, pastinya pada bulan Ramadan ini anda akan alami satu, dua situasi yang mungkin tak dialami jika isteri anda berprofesion lain.

TUJUH situasi yang mungkin anda alami:

1. Isteri anda akan pulang ke rumah sesudah jam 5.00 petang. Pulang lewat kerana ada mesyuarat untuk menganjurkan sambutan buka puasa besar-besaran peringkat sekolah. Isteri anda adalah guru Bahasa Melayu dan kali ini Jabatan Bahasa yang ditugaskan untuk menjadi penganjur majlis besar-besaran yang dibanggakan pengetua itu.

2. Semasa pulang, di atas tempat duduk penumpang ada bungkusan lauk pauk yang pelbagai jenis. Ada sambal belacan, pajeri nenas dan ikan keli goreng (akibat tak muat dalam plastik maka ekor ikan keli terjengul keluar). Semuanya dibeli daripada makcik kantin (makcik kantin tak buka kaunter jualan macam biasa, tapi dia jual lauk-pauk untuk cikgu-cikgu yang bertugas sampai ke petang). Bila tak habis dia bawa ke bazaar Ramadhan untuk ditumpangkan kepada gerai sahabatnya yang bernama Mak Esah (Mak Esah adalah penjual lauk pauk terkenal di bandar tempat tinggal anda).

3. Apabila anda pulang ke rumah, di atas meja ada banyak bungkusan lutsinar yang di dalamnya mengandungi sampel kuih raya seperti semprit, Mazola, makmur dan sebagainya. Ada juga kuih yang agak moden seperti brownies, Almond London dan cornflakes. Selalunya guru yang mengadakan jualan ialah guru yang mengajar subjek Ekonomi Rumah Tangga (ERT) atau Kemahiran Hidup. Ada juga cikgu-cikgu subjek lain cuba mencabar namun selalunya cikgu ERT menang kerana mereka mahir memasak.

4. Bila pulang ke rumah, ada bungkusan lain selain daripada makanan iaitu tudung baru. Hal ini kerana isteri anda telah dihasut oleh Puan Noraini (guru pakar SPM Bahasa Inggeris) untuk membeli tudung pashmina yang hanya dijual ketika bulan Ramadhan. Keesokannya ada lagi tudung baru disebabkan dia nak menjaga hati Puan Kamisah (Penolong Kanan 1) yang kebetulan buat bisnes yang sama. Kadang kala ada guru yang mempromosi brooch. (p/s: guru boleh menjual di sekolah kah?)

5. Anda terpaksa mengikut isteri anda bertarawikh di surau sekolah. Hal ini kerana warden bertugas jatuh sakit dan tiada pengganti. Disebabkan rumah anda paling hampir dengan sekolah, isteri anda diminta untuk pantau pelajar puteri solat tarawikh di surau dan kemudiannya prep (prep dilanjutkan sehingga jam 11 malam kerana bulan puasa). Disebabkan bosan menunggu semasa waktu prep, anda bersembang dengan pengawal di pondok. Kemudian dimarahi oleh isteri anda kerana anda disyaki cuba mengorat seorang dua pelajar puteri yang ke pondok pengawal untuk ambil kad matriks/kad pelajar yang tertinggal =.= .

6. Anda buka puasa seorang diri sewaktu hujung minggu kerana isteri anda terlibat dengan Nadwah Islamiah peringkat negeri sebagai guru iringan pasukan nasyid Muslimah (Nadwah diadakan selama 3 hari di sekolah terpilih dalam negeri anda). Mungkin juga dia berbuka puasa bersama Jabatan Pelajaran Negeri dan menjemput anda bersama, cumanya anda malas kerana mahu menonton Shin Chan pada jam 7.30 malam.

7. Apabila raya semakin dekat, anda hidup bahagia kerana isteri bercuti awal (ikut cuti sekolah yang kadang kala lama). Buka puasa yang enak disertai dengan kuih raya (dia rajin buat kuih raya di waktu siang kemudian memaksa anda menjadi 'tester')

Rasanya itu sahaja. Mungkin para pembaca sekalian ada idea untuk ditambah? Mungkin anda punya ibu atau kakak yang bekerja sebagai seorang guru - pastinya ada idea-idea tambah.

Situasi di atas hanya bayangan pengarang. Sudah pasti tidak menepati kehidupan semua orang =).

Majulah profesion guru demi masa depan! --> slogan tak catchy 

Sekian

Shahkang

Tuesday, 22 May 2012

Tak Mahu Mengantuk Semasa Belajar?

Saya tahu kenapa begitu liat menulis post ini meskipun tidak panjang mana. Memang dasar pemalas agaknya. Saya seharusnya menulis post ini Jumaat malam yang lepas namun terp[aksa ditunda kerana ada peperiksaan hari Isnin - dan sekarang hati mulai damai dengan adanya sembilan hari cuti sebelum kertas terakhir pada 30 Mei. Alhamdulilah.

Okay, apa yang nak diceritakan kali ini? Hm..Ada dua pengalaman yang mahu saya kongsikan iaitu Qiyam di Ardwick dan khutbah Jumaat di Mcdougall. Harapnya dapat menyegarkan kembali semangat dan nafsu kita semua untuk mendalami ilmu. InsyaAllah.


Qiyam di Ardwick

Jumaat lepas entah macam mana tergerak hati saya untuk menyertai Qiyam di sebuah masjid, dianjurkan oleh British Muslims di Ardwick. Memang pernah mendengar program ini sebelumnya cuma tak pernah terdetik untuk. Oh ya, walaupun namanya Qiyam tetapi program hanya berlangsung dari jam 9.15 malam sehingga 11.30 malam. Jadi tidak tidur di masjid seperti mana kebanyakan kita memahami maksud Qiyam di masjid.

Terkepit dengan peperiksaan - sesudah hari Khamis lepas, kemudian Isnin pula. Hm tak apa saya juga kepenatan belajar terlalu banyak - jadi mahu menambah ilmu di samping bersama sahabat-sahabat dari Malaysia lain untuk ke program yang diadakan sekali dalam sebulan itu.

Sesudah solat Maghrib dan Isyak, diadakan pengisian pendek selama sejam. Penyampainya seorang doktor NHS, saya lupa namanya. Berpakaian kot kemas, agaknya masih kepenatan bekerja seharian di hospital. 

Maaf atas introduction yang terlalu panjang. Apa yang mahu saya sampaikan adalah intipati pengisiannya yang saya rasa berkesan, sekurang-kurangnya untuk saya.

"Siapa di sini yang tidak pernah mendengar kisah Perang Badar?"

Semua senyap.

"Nampaknya semua tahu kisahnya. Apa tuntutan yang Rasulullah SAW kepada para tebusan?"

Ada yang cuba menjawab. Saya tahu serba sedikit tetapi tidak begitu terperinci.

"Tebusan diminta untuk mengajarkan anak orang Islam sebanyak 10 orang. Jika berjaya kemudian dia akan dilepaskan secara percuma. Di sini kita dapat lihat betapa Rasulullah mementingkan ilmu. Kenapa Rasulullah mahu melepaskan orang yang beniat membunuhnya? Bayangkan bila-bila masa sahaja tebusan tersebut boleh datang semula, mungkin setahun akan datang untuk membunuh baginda semula. Tetapi mengapa baginda melakukan demikian?"
 Hening menyelubungi masjid kecil, yang ruang solatnya saya kira hanya sebesar dua gelanggang badminton.

"Contohilah Rasulullah. Apabila nyawa diletakkan di sebelah tangan dan ilmu di sebelah lagi - dia mengutamakan ilmu."

 Saya menghadam bicara tersebut penuh berselera.

"Jadi selepas ini, kalau kita semua berasa malas untuk belajar dan mendalami ilmu - ingatlah betapa Rasulullah mementingkan ilmu dalam situasi Perang Badar. Ingat juga lima ayat pertama yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW, semuanya berkait rapat dengan ilmu."
Tafsir surah Al-Alaq:

1. Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).
2. Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku.
3. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah.
4. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan.
5. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.  


Saya larut dalam arus muhasabah yang deras.

"Jadi harapnya selepas pengisian malam ini, kamu semua tak akan tidur dan akan terus bersemangat belajar untuk peperiksaan!" Kata penyampai dengan nada sedikit berseloroh namun ketegasan tetap terselit sedikit.

Khutbah Jumaat 

Saya menyertai solat jumaat di Mcdougall untuk sesi yang kedua (2.00 petang)- tak mahu menganggu sesi pertama yang saya kira akan penuh dengan pelajar-pelajar yang punya peperiksaan petang.

Khutbah disampaikan oleh seorang pelajar PhD yang tidak ading lagi. Memandangkan sekarang musim peperiksaan, maka tidak terkejut untuk dia menyampaikan khutbah dengan tema 'ilmu'.

Dalam ratusan katanya, saya terkesan dengan sesuatu:

"Kita mengambil mudah dalam pelajaran. Meniru sana sini, belajar ala kadar hanya dengan soalan-soalan past year dan mengharapkan untuk berjaya. Tidak berminat untuk mendalami ilmu dan segala pembelajaran hanya sekadar untuk mendapat segulung ijazah. Who are tricking? Allah?"

(Begitulah ayatnya lebih kurang, saya menambah sedikit dan menyesuaikan dengan artikel pendek ini. Harap maksudnya tidak tersasar)

Jiwa saya tersedak mendengarnya.

Kesimpulan umum

Berdasarkan kedua-dua pengalaman yang saya alami dalam satu hari yang sama (Jumaat, 18 Mei 2012), saya dapat rumuskan beberapa perkara

1) Kepentingan ilmu - ramai dari kita beranggapan bahawa kepentingan ilmu dalam Islam hanya dalam bab-bab agama (Fardhu Ain) atau hanya bab-bab lain (Fardhu Kifayah - Sains, Sastera dll). Nah mungkin ada melenting dan tidak bersetuju. Tapi tepuk dada tanya diri sendiri - mengapa kerap kali kita tertidur atau ponteng kelas akademik di universiti, namun apabila tiba program usrah dan daurah - kita begitu cergas (atau sebaliknya). Itu menunjukkan suatu ketidakseimbangan dan secara tidak langsung menampakkan kemunduran Islam di mata masyarakat dunia (atau jika di luar negara, bakal timbul persepsi buruk jika kita tidak bersemangat terutama untuk kerja berkumpulan).

2) Bawa semula kegemilangan - kemahsyuran Islam suatu masa dahulu adalah pada ilmunya. Baghdad pernah menjadi pusat ilmu terkenal dunia malahan putera-putera raja dari negara Eropah dihantar untuk belajar di Bahghdad. Ketika itu belajar di Baghdad serupa gahnya pandangan rakyat Malaysia terhadap orang yang belajar di  negara-negara barat. Mengapa terjadi sedemikian? Semuanya kerana umat Islam pada waktu itu tahu menghargai ilmu. Bagaimana dengan sekarang? Adakah sikap kita yang segan-segan dan mahu-senang itu mampu membawa status umat ke takah lebih tinggi? Hmm....

3) Niat itu mustahak -  berpandukan apa yang saya perolehi melalui khutbah Jumaat tersebut - ramai dari kita yang mengambil sikap lepas tangan dalam pelajaran. Malas, suka meniru, tidak bersemangat dan mahukan yang senang-senang sahaja - apa sebenarnya niat kita dalam mendalami ilmu? Lebih malang ada yang bersuka hati dapat meniru dalam peperiksaan - tak kisah asalkan aku mendapat markah tinggi. Caranya bermaruah atau tidak itu hal lain - yang penting aku membaca Al-Quran, solat lima waktu dan mengikuti kelas ilmu agama atau usrah. Ah, adakah hanya itu sahaja tafsiran Islam kita?

Pendek kata, tanyalah diri kita niat utama kita mendalami ilmu - adakah semata-mata kerana mahu mendapatkan first class dan bermegah dengan pangkat Dr (PhD)? Jika ya, memang wajar kita mahukan yang senang, menipu dan sebagainya. Memang wajar. Kalau mahukan keredhaan Allah dan inginkan kegemilangan umat Islam yang mendampingi ilmu - fikirkan semula!. 

Sekadar perkongsian. Jika ada apa-apa kesalahan fakta dengan artikel di atas, mohon diberitahu. Saya hanya menyampaikan apa yang saya terima dalam kedua-dua majlis ilmu. Mungkin ada kelemahan saya dalam menyampaikannya semula menerusi penulisan artikel ini.

Boleh share jika anda rasa bermanfaat untuk sekalian umat Islam. InsyaAllah.

Allah Maha Mengetahui.

Shahkang
Manchester, UK


Monday, 7 May 2012

Kata-Kata Seorang Pensyarah Saya


"Main muzik melalaikan lah! Baik tumpu sahaja bidang perubatan anda!"
"Adoi. Kenapa kena belajar Malay A1 dan TOK dalam IB?
"Kau jadi penulis buat apa? Kau bukan pelajar kejuruteraan? Relevan kah?"

Sebagai permulaan, saya terbitkan semula ungkapan-ungkapan begini. Sering kali didengari dan apa yang akan saya tulis berkait rapat dengannya walaupun mungkin tidak secara terus. 

Minggu lepas saya mendapat peluang untuk menghadiri temuduga Unikl bagi mendapat tajaan untuk peringkat PhD. Ya masih terlalu awal buat masa dan agak keliru juga kenapa nama saya dimasukkan dalam senarai. Tak apa, saya pergi juga ke temuduga itu untuk pengalaman dan mencari ilmu baru. 

Saya menyemak CV - ada satu bahagian saya letakkan sub tajuk yang khas 'Literature'. Kemudian saya berfikir, ah - adakah penglibatan aktif saya dalam dunia sastera ini relevan untuk dijadikan suatu kelebihan buat saya? Apa kaitan penulisan kreatif dengan menjadi seorang jurutera? Apakah pihak yang menemuduga akan teruja dan tertanya-tanya apabila melihat senarai aktiviti sastera, karya yang disiarkan dan hadiah yang pernah saya menangi. 

Keliru. Saya teringatkan seseorang. Pensyarah Management 3 saya iaitu Dr Paul Chan. Saya agak rapat dengannya meskipun hanya berbalas kata sekali dua dalam kelas. Saya kerap menghubunginya melalui emel dan menyibukkan diri dengan discussion blog di Blackboard. 

Terlintas di cepu ingatan - apa kata saya hubunginnya dan bertanya tentang hal ini? Dia memang kerap sekali menyemak CV pelajar dan selalunya komennya keras-keras belaka. Terkenal dengan seorang pensyarah yang sangat tegas dalam memberikan markah, dia memang seorang yang bersifat terbuka dan lantang. 

Ah, apalah agaknya katanya nanti.? Saya membayangkan:

"Sastera? Mengarut lah hang ni. Pengurusan syarikat mana nak layan sastera. Tambahan sastera Melayu pula!"
"Totally no-no!"

Seram sejuk juga membayangkan apa komennya. Jadi memberanikan diri juga untuk menghantar emel yang berbunyi lebih kurang begini:

Emel kepada Dr Chan yang saya ringkaskan dan dibahasa-Melayukan:

"Bagaimana saya boleh menggunakan kekuatan saya dalam sastera Melayu untuk temuduga? Adakah relevan untuk meletakkan sastera Melayu dalam CV saya untuk permohonan sebagai seorang jurutera? Apa kaitan sastera dengan kejuruteraan kerana saya ada mendengar di Harvard, pelajar jurusan sains tulen diwajibkan untuk mengambil sastera. Apa komen Dr dalam hal ini?"

Hantar! Kemudian dapat auto-reply yang mengatakan dia tidak berada di office. Temuduga itu esok! Tak apalah, bukan saya dambakan sangat untuk menggunakan pendapatnya untuk temuduga esok. Saya lebih mengharapkan pandangannya berkenaan apa fungsi subjek seni seperti sastera dan muzik terhadap pelajar jurusan sains tulen. Itu lebih utama, lebih-lebih lagi daripada seorang pensyarah bidang kejuruteraan sepertinya. 

Kemudian saya mendapat balas, beberapa hari kemudian:

Hi Norshah, Thanks for this message and sorry for late reply as I was travelling away on business since Monday. 
Anyway, some prestigious American Universities and even Asian Universities make it mandatory for Scientists and Engineers to take up Arts and Humanities. This makes for a more rounded individual and avoids over-specialisation. The degree is meant to provide you with both breadth and depth of academic studies anyway. 
So, yes, I would mention your award-winning pieces as a means of demonstrating there is a more interesting side to you than purely the Scientific background. 
Hope this helps.

Kata-katanya membawa saya berfikir dengan lebih jauh. Tak sangka dia membalas dengan nada positif mengatakan penglibatan saya dalam sastera merupakan sesuatu yang bermanfaat. Bukan sekadar mengarut - menulis sampah-sarap dan sebagainya. Sesuatu yang berguna rupanya. 

Daripada kata-katanya, saya meminta izin untuk mengambil ini untuk ditulis sesuatu. Dia begitu gembira apabila saya mahu berkongsi pandangan ini dengan para penulis sastera dan juga junior-junior saya di IB KMB/KMS. Mungkin dia sendiri bingung kerana ramai pelajar tidak menyukai subjek ajarannya - Management 3 yang melibatkan tulisan esei dan sudah pasti tidak ada satu calculation pun!

Jadi, apa yang mahu saya sampaikan?

1. Saya mahu menjelaskan bahawa ajaran subjek Malay A1, TOK dan sebagainya semasa menjadi pelajar IB bukanlah sia-sia dan tidak bermanfaat. Program IB sudah pun melaksanakan suatu pendekatan yang menyeluruh kepada seorang pelajar. Ya, saya sendiri bengang dengan TOK! Saya sangat bencikan esei TOK yang bercorak bukan engineering (ia melibatkan falsafah atau dengan kata lain bercorak sains sosial). Malah saya pernah mengisytiharkan bahawa assignment IB paling menyusahkan hidup adalah esei TOK (Miss Tik jangan marah ya). 
Namun sesudah tiba di bumi UK, saya. dapat rasakan kepentingan seorang jurutera/doktor untuk mengenali TOK. Ada elemen-elemen dalam TOK yang menjadikan seorang pelajar lebih bersifat kritis dan bukan semata-mata dungu dan tunduk pada teori saintifik. Apabila mula mengenali dakwah dan berhubung dengan manusia luar negara serta mengambil tahu politik Malaysia - TOK adalah kata kunci. Sudah pasti isu-isu ini tidak mampu diterjemah oleh teori-teori engineering seperi Navier Stokes mahupun teofi Castigliano!

2. Kepada mereka yang bergiat cergas dalam dunia seni di samping - muzik, nyanyian, penulisan, lukisan dan drama. Apa yang anda lakukan bukanlah sesuatu yang tidak bermanfaat. Kegiatan seni membuatkan anda menjadi manusia yang seimbang. Seharusnya itu merupakan suatu kredit berharga. Justeru jangan pernah bosan untuk mendalami seni dan menggunakannya untuk memanfaatkan kehidupan. Jangan merasakan seni itu sesuatu yang membuang masa. Apa yang harus dilakukan adalah mencari bagaimana seni itu boleh digunakan dalam kerjaya anda sebagai seorang manusia dan apa-apa sahaja. 

Saya memang sudah lama untuk bertanyakan hal 'Sastera dan Kejuruteraan' dengan Dr Paul Chan. Saya dapat rasakan dia mungkin punya sesuatu falsafah tersendiri untuk dikongsikan. Ternyata bukan sesuatu yang silap kerana pandangannya seperti selaras dengan pengalaman saya yang lain sebelum ini : 

1. Sewaktu kunjungan Prof Tariq Ramadhan ke University of Manchester - dia menyatakan ada empat jenis ilmu yang harus dikuasai umat Islam untuk maju. Dua daripada ilmu tersebut adalah Art dan Literature. Saya menjadi bingung namun tak sempat saya bertanyakan soalan kepadanya. Bagaimana Art dan Literature boleh memacu perkembangan ummah dan menjadikan umat Islam bertamadun? Saya kira jawapan daripada pensyarah saya itu ada kaitannya dengan apa yang dikatakan Prof Tariq Ramadhan. 
2. Ketika di Palembang untuk program Pertemuan Penyair Nusantara ke-5 - Sasterawan Negara Prof Muhammad Haji Salleh menyampaikan pembentangan utama program. Kata-katanya:
"Di Harvard, pelajar-pelajar dalam bidang sains seperti Biologi juga mengambil mata pelajaran sastera sebagai salah satu komponen"
Teruja dengan kenyataannya, saya bertemu Prof secara peribadi selepas majlis untuk bertanyakan lebih lanjut. 
"Apa pendapat awak?" Dia bertanya saya kembali
"Hmm mungkin menjadikan seseorang itu seimbang?" Saya membalas ringkas.
"Ya benar. Pelajar-pelajar sains tulen bukan sahaja harus mempertajamkan hal-hal saintifik tapi perlukan juga suntikan dari aspek emosi dan dalaman. Bayangkan kalau menjadi seorang jurutera tapi tidak punya perasaan dan hanya tahu bekerja seperti robot, bagaimana? Jadi kena seimbangkan." katanya
(saya mengolah sendiri ayat-ayat di atas untuk difahamkan pembaca. Saya sudah ingat-ingat lupa perbualan dengannya yang berlangsung tahun lepas) 

Kesimpulannya kepada pelajar-pelajar juruan sains tulen seperti perubatan, kejuruteraan - , jangan fikir segala subjek-subjek berbentuk sains sosial itu sesuatu beban yang tidak bermanfaat. Ya memang membosankan untuk mengenali Plato, teori Utilitarian, Jane Austen atau George Orwell. Hal ini kerana kita dibiasakan dengan fakta, dengan nombor serta simbol berbelit-belit Calculus dan lain-lain. Tidak mustahil untuk kita berasa bosan!

Namun percayalah, subjek tersebut punya fungsi tersendiri dalam menjadikan seorang manusia dan bukan robot yang hanya tahu membaham teori!

Shahkang
Manchester, UK

Mohon sahabat penulis dan guru dapat beri pandangan juga dalam hal ini di bahagian komen. Mungkin ada pautan yang boleh dikongsikan. Sila share jika rasa bermanfaat. 


=)

<photo id="1" />