Monday 7 May 2012

Kata-Kata Seorang Pensyarah Saya


"Main muzik melalaikan lah! Baik tumpu sahaja bidang perubatan anda!"
"Adoi. Kenapa kena belajar Malay A1 dan TOK dalam IB?
"Kau jadi penulis buat apa? Kau bukan pelajar kejuruteraan? Relevan kah?"

Sebagai permulaan, saya terbitkan semula ungkapan-ungkapan begini. Sering kali didengari dan apa yang akan saya tulis berkait rapat dengannya walaupun mungkin tidak secara terus. 

Minggu lepas saya mendapat peluang untuk menghadiri temuduga Unikl bagi mendapat tajaan untuk peringkat PhD. Ya masih terlalu awal buat masa dan agak keliru juga kenapa nama saya dimasukkan dalam senarai. Tak apa, saya pergi juga ke temuduga itu untuk pengalaman dan mencari ilmu baru. 

Saya menyemak CV - ada satu bahagian saya letakkan sub tajuk yang khas 'Literature'. Kemudian saya berfikir, ah - adakah penglibatan aktif saya dalam dunia sastera ini relevan untuk dijadikan suatu kelebihan buat saya? Apa kaitan penulisan kreatif dengan menjadi seorang jurutera? Apakah pihak yang menemuduga akan teruja dan tertanya-tanya apabila melihat senarai aktiviti sastera, karya yang disiarkan dan hadiah yang pernah saya menangi. 

Keliru. Saya teringatkan seseorang. Pensyarah Management 3 saya iaitu Dr Paul Chan. Saya agak rapat dengannya meskipun hanya berbalas kata sekali dua dalam kelas. Saya kerap menghubunginya melalui emel dan menyibukkan diri dengan discussion blog di Blackboard. 

Terlintas di cepu ingatan - apa kata saya hubunginnya dan bertanya tentang hal ini? Dia memang kerap sekali menyemak CV pelajar dan selalunya komennya keras-keras belaka. Terkenal dengan seorang pensyarah yang sangat tegas dalam memberikan markah, dia memang seorang yang bersifat terbuka dan lantang. 

Ah, apalah agaknya katanya nanti.? Saya membayangkan:

"Sastera? Mengarut lah hang ni. Pengurusan syarikat mana nak layan sastera. Tambahan sastera Melayu pula!"
"Totally no-no!"

Seram sejuk juga membayangkan apa komennya. Jadi memberanikan diri juga untuk menghantar emel yang berbunyi lebih kurang begini:

Emel kepada Dr Chan yang saya ringkaskan dan dibahasa-Melayukan:

"Bagaimana saya boleh menggunakan kekuatan saya dalam sastera Melayu untuk temuduga? Adakah relevan untuk meletakkan sastera Melayu dalam CV saya untuk permohonan sebagai seorang jurutera? Apa kaitan sastera dengan kejuruteraan kerana saya ada mendengar di Harvard, pelajar jurusan sains tulen diwajibkan untuk mengambil sastera. Apa komen Dr dalam hal ini?"

Hantar! Kemudian dapat auto-reply yang mengatakan dia tidak berada di office. Temuduga itu esok! Tak apalah, bukan saya dambakan sangat untuk menggunakan pendapatnya untuk temuduga esok. Saya lebih mengharapkan pandangannya berkenaan apa fungsi subjek seni seperti sastera dan muzik terhadap pelajar jurusan sains tulen. Itu lebih utama, lebih-lebih lagi daripada seorang pensyarah bidang kejuruteraan sepertinya. 

Kemudian saya mendapat balas, beberapa hari kemudian:

Hi Norshah, Thanks for this message and sorry for late reply as I was travelling away on business since Monday. 
Anyway, some prestigious American Universities and even Asian Universities make it mandatory for Scientists and Engineers to take up Arts and Humanities. This makes for a more rounded individual and avoids over-specialisation. The degree is meant to provide you with both breadth and depth of academic studies anyway. 
So, yes, I would mention your award-winning pieces as a means of demonstrating there is a more interesting side to you than purely the Scientific background. 
Hope this helps.

Kata-katanya membawa saya berfikir dengan lebih jauh. Tak sangka dia membalas dengan nada positif mengatakan penglibatan saya dalam sastera merupakan sesuatu yang bermanfaat. Bukan sekadar mengarut - menulis sampah-sarap dan sebagainya. Sesuatu yang berguna rupanya. 

Daripada kata-katanya, saya meminta izin untuk mengambil ini untuk ditulis sesuatu. Dia begitu gembira apabila saya mahu berkongsi pandangan ini dengan para penulis sastera dan juga junior-junior saya di IB KMB/KMS. Mungkin dia sendiri bingung kerana ramai pelajar tidak menyukai subjek ajarannya - Management 3 yang melibatkan tulisan esei dan sudah pasti tidak ada satu calculation pun!

Jadi, apa yang mahu saya sampaikan?

1. Saya mahu menjelaskan bahawa ajaran subjek Malay A1, TOK dan sebagainya semasa menjadi pelajar IB bukanlah sia-sia dan tidak bermanfaat. Program IB sudah pun melaksanakan suatu pendekatan yang menyeluruh kepada seorang pelajar. Ya, saya sendiri bengang dengan TOK! Saya sangat bencikan esei TOK yang bercorak bukan engineering (ia melibatkan falsafah atau dengan kata lain bercorak sains sosial). Malah saya pernah mengisytiharkan bahawa assignment IB paling menyusahkan hidup adalah esei TOK (Miss Tik jangan marah ya). 
Namun sesudah tiba di bumi UK, saya. dapat rasakan kepentingan seorang jurutera/doktor untuk mengenali TOK. Ada elemen-elemen dalam TOK yang menjadikan seorang pelajar lebih bersifat kritis dan bukan semata-mata dungu dan tunduk pada teori saintifik. Apabila mula mengenali dakwah dan berhubung dengan manusia luar negara serta mengambil tahu politik Malaysia - TOK adalah kata kunci. Sudah pasti isu-isu ini tidak mampu diterjemah oleh teori-teori engineering seperi Navier Stokes mahupun teofi Castigliano!

2. Kepada mereka yang bergiat cergas dalam dunia seni di samping - muzik, nyanyian, penulisan, lukisan dan drama. Apa yang anda lakukan bukanlah sesuatu yang tidak bermanfaat. Kegiatan seni membuatkan anda menjadi manusia yang seimbang. Seharusnya itu merupakan suatu kredit berharga. Justeru jangan pernah bosan untuk mendalami seni dan menggunakannya untuk memanfaatkan kehidupan. Jangan merasakan seni itu sesuatu yang membuang masa. Apa yang harus dilakukan adalah mencari bagaimana seni itu boleh digunakan dalam kerjaya anda sebagai seorang manusia dan apa-apa sahaja. 

Saya memang sudah lama untuk bertanyakan hal 'Sastera dan Kejuruteraan' dengan Dr Paul Chan. Saya dapat rasakan dia mungkin punya sesuatu falsafah tersendiri untuk dikongsikan. Ternyata bukan sesuatu yang silap kerana pandangannya seperti selaras dengan pengalaman saya yang lain sebelum ini : 

1. Sewaktu kunjungan Prof Tariq Ramadhan ke University of Manchester - dia menyatakan ada empat jenis ilmu yang harus dikuasai umat Islam untuk maju. Dua daripada ilmu tersebut adalah Art dan Literature. Saya menjadi bingung namun tak sempat saya bertanyakan soalan kepadanya. Bagaimana Art dan Literature boleh memacu perkembangan ummah dan menjadikan umat Islam bertamadun? Saya kira jawapan daripada pensyarah saya itu ada kaitannya dengan apa yang dikatakan Prof Tariq Ramadhan. 
2. Ketika di Palembang untuk program Pertemuan Penyair Nusantara ke-5 - Sasterawan Negara Prof Muhammad Haji Salleh menyampaikan pembentangan utama program. Kata-katanya:
"Di Harvard, pelajar-pelajar dalam bidang sains seperti Biologi juga mengambil mata pelajaran sastera sebagai salah satu komponen"
Teruja dengan kenyataannya, saya bertemu Prof secara peribadi selepas majlis untuk bertanyakan lebih lanjut. 
"Apa pendapat awak?" Dia bertanya saya kembali
"Hmm mungkin menjadikan seseorang itu seimbang?" Saya membalas ringkas.
"Ya benar. Pelajar-pelajar sains tulen bukan sahaja harus mempertajamkan hal-hal saintifik tapi perlukan juga suntikan dari aspek emosi dan dalaman. Bayangkan kalau menjadi seorang jurutera tapi tidak punya perasaan dan hanya tahu bekerja seperti robot, bagaimana? Jadi kena seimbangkan." katanya
(saya mengolah sendiri ayat-ayat di atas untuk difahamkan pembaca. Saya sudah ingat-ingat lupa perbualan dengannya yang berlangsung tahun lepas) 

Kesimpulannya kepada pelajar-pelajar juruan sains tulen seperti perubatan, kejuruteraan - , jangan fikir segala subjek-subjek berbentuk sains sosial itu sesuatu beban yang tidak bermanfaat. Ya memang membosankan untuk mengenali Plato, teori Utilitarian, Jane Austen atau George Orwell. Hal ini kerana kita dibiasakan dengan fakta, dengan nombor serta simbol berbelit-belit Calculus dan lain-lain. Tidak mustahil untuk kita berasa bosan!

Namun percayalah, subjek tersebut punya fungsi tersendiri dalam menjadikan seorang manusia dan bukan robot yang hanya tahu membaham teori!

Shahkang
Manchester, UK

Mohon sahabat penulis dan guru dapat beri pandangan juga dalam hal ini di bahagian komen. Mungkin ada pautan yang boleh dikongsikan. Sila share jika rasa bermanfaat. 


=)

<photo id="1" />

5 comments:

  1. salam. sy Rin, penganggur dan bakal menghadiri interview MARA Jumaat ni (11hb). doakan saya! *baru baca entry di norshah.com*

    sangat tertarik dgn topik ni kerana sy merupakan pelajar dlm aliran sains yg mengambil Literature in English sebagai subjek tambahan. Alhamdulillah sy berjaya score LIE C+ dan 9A utk subjek lain.

    pada awalnya, rakan2 mempersoalkan sy knp tidak memilih akaun sbg subjek tambahan. alasan sy, sy tidak boleh involved dlm banyak sgt calculation dan perlukan sastera sbg medium utk subjek yg "lebih menenangkan".

    apa yg sy belajar ialah bukan soal gred ataupun exam-orientation, tapi lebih kpd nilai yg kita dapat waktu belajar sastera (BM/BI). ap yg sy dapat simpulkan, silibus dlm LIE ialah pencernaan nilai/moral dlm sesuatu karya dan dihubungkaitkan dgn kehidupan. apa yg membezakan karya dlm KOMSAS dan LIE ialah karya penulis asing dan budaya masyarakat dunia. dr situ kita dapat bandingkan pemikiran dan doktrin yg dibawa sasterawan Malaysia dan negara lain.

    apa yg sy dpt katakan, teknik berimaginasi yg acap kali diremehkan oleh sesetengah pihak sbg "berangan-angan" sebenarnya diaplikasikan dlm menyelesaikan masalah saintifik -lebih tepat dan fleksibel.

    terima kasih krna membuka kembali minda sy dan menaikkan semangat utk terus berkarya!

    :)

    ReplyDelete
  2. Salam, Shahkang.

    Boleh tahu, berkenaan empat jenis ilmu yang perlu dikuasai untuk maju, yang diperkatakan oleh Prof. Tariq Ramadan, apakah dua ilmu lain yang beliau sebutkan dalam ucapannya selain Art dan Literature?

    Terima kasih, ya.

    ReplyDelete
  3. Saudari Arr, jangan pernah berputus asa asalkan kita mampu menunjukkan yang kita berjaya dalam bidang yang dipilih, tiada siapa mampu berkata apa-apa. insyaAllah. memang benar apa yang dikatakan saudari berkenaan dengan kepentingan sastera - yakni membawa nilai dan menjadi seorang manusia yang beraliran sains tulen benar-benar menjadi manusia. teruskan berkarya!

    saudari Shafira, saya ada mencatatnya tetapi lupa. tak pasti sama ada wujud empat istilah ini dalam bukunya atau tidak. dia hanya berucap ketika di Manchester dan saya hadiri majlis tersebut. kalau tak salah saya, lagi dua subjek adalah sejarah dan sejarah agama lain. insyaAllah betul.

    ReplyDelete
  4. alhamdulillah..tulisan ini membahagiakan hati saya.

    cukup risau saya selaku pelajar jurusan kejuruteraan yang cukup meminati bidang "art and literature". saya rasa tak normal bila saya merasakan diri saya seolah-solah terlalu meminati art&lit, sedang kawan2 saya sering saja dengan buku-buku akademik mereka...

    teruskan menulis..

    ReplyDelete
  5. Salam,
    memang sesungguhnya apabila kita menghayati sastera itu, kita semakin mengenali jati diri dan budaya sendiri. dasar pendidikan di negara kita menyebabkan pelajar memandang sastera sebagai subjek kelas kedua sedangkan di tangan pelajar-pelajar sains ini, jika dibierikan peluang, mereka akan melonjakkan sastera itu sendiri.

    ReplyDelete