Tuesday 27 December 2011

Windermere: Memburu Diri

Alhamdulilah ini post pertama di blog baru (blog lama adalah http://www.norshah.com). Setelah sekian lama, saya tidak mengemas kini blog dengan meletakkan sejumlah gambar (picture blogging, mungkin itu istilahnya), kali ini muncul semula. . InsyaAllah.

Saya tidak ke mana-mana cuti ini. Itu hakikatnya yang tak boleh diubah. Saya tidak ke mana-mana winter gathering seperti JUMS, FUIYO, PUISI atau PMS. Hanya sewaktu tahun pertama saya berkunjung ke PMS dan semakin usia menginjak ke tapak lebih tinggi, semakin itu banyak menghabiskan masa dengan hal sendiri (menulis dan sebagainya)

Justeru, saya berfikir - saya perlu mencari diri. 2011 banyak mengandungi perencah yang pelbagai - masam manis pahit. Lantas memerlukan suatu perjalanan meditasi untuk merelakskan jiwa sebelum masuknya tahun baru. 

Lalu memilih - dalam banyak bandar yang enak untuk dilawati di muka bumi UK maka Windermere yang dipilih. Sebuah bandar kecil di daerah Cumbria. Lebih akrab dikenali sebagai Lake District. 

Banyak yang terkandung dalam daerah belantara bertasik ini - dari kisah William Woodworth (penyair romantik) di pekan kecil Grasmere, juga Samuel T Coleridge (penyair), kes tembak-bunuh yang berlaku setahun dua lepas dan bermacam-macam. 

Bukan daerah ini sahaja sebenarnya. Daerah atau bandar lain di bumi UK ini mempunyai keistimewaan sendiri. Cumanya kita sebagai umat yang mahgu menjadi bijak, hanya terpedaya dengan keindahan tanpa menelan nikmat pengetahuan yang ada di sesuatu tempat. Hanya menghirup pawana dingin, bau-bau daun luruh, salji yang menggigit tubuh - itu sahaja. (hal ini akan diterangkan lebih lanjut dalam post yang lain)

Jadi begitulah, Windermere - penuh keterujaan dan emosi. Seorang diri dan bersama peserta JUMS buat sementara (jumpa di stesen tren), saya menjejaki apa sahaja yang mahu diberikan alam untuk muhasabah. Muihasabah yang bakal menanggalkan segala masalah, kebosanan, kegagalan dan tekanan sepanjang 2011. 

Buat julung kali di halaman baru ini, biarlah gambar-gambar yang menceritakan : (habaq ja la hang malaih nak tulihhhhh)


Menukar tren di Oxhenholme Lake District. Selama sejam di stesen kecil yang hanya punya kafe seluas kamar saya. Dingin mencucuk. Lebih mendebarkan dengan pecutan Virgin Trains London - Glasgow yang tidak kerap berhenti di stesen ini. Deras mengalahkan ERL Ekspress yang selamba memecut di stesen pertengahan seperti Putrajaya dan Salak Tinggi. 

Saya sempat menukil kata di Facebook:


Aku stesen. Kanan ke Kendal, kiri ke Lancaster. Menanti tren berlalu. Tiada satu yang berhenti melainkan sekejap mengisi penumpang. Yang berlalu - ada deras seperti Virgins yang kalut berkejar dari Edin ke London. Ada perlahan -seperti pembawa simen yang gontai mengemudi rel


Aku masih stesen yang sepi. Menanti tren yang berhenti. Betul-betul berhenti
Di hatiku selamanya

Oxenholme Lake District train station


Penuh makna? Wallahualam

Saya berpisah dengan sahabat-sahabat yang ke JUMS - berpapasan seorang diri sepanjang jalan-jalan utama Windermere. Gerimis menabur namun bara semangat tidak langsung tercela panasnya. 

Saya mahu ke Grasmere (arah Keswick)! Mahu melihat tempat William Woodworth meski saya kurang arif dengan karyanya (terima kasih kepada Kak Nisah Haron yang memberitahu tentang penulis ini di FB). Melihat masa, jarak dan jadual bas, saya membatalkan hasrat ke sana. Mungkin sehari sebelum Krismas, jadi khidmat bas terhad. Tambahan, siang pendek dan menambah kesuraman jika ke kampung pedalaman seperti Grasmere. InsyaAllah akan hadir lagi di  sini musim panas. 

Bowness! Saya mahu melihat tasik namun jaraknya 1.5 batu bersamaan 2.4 KM. Saya gagahi jua berjalan kerana dengan mengembara sejauh itu akan turut sama membawa hati mengenali Pencipta. 

Tiba di Bowness disambut sebuah kedai buku. Menyemak beberapa buah buku Woodworth dan Coleridge. Namun akhirnya saya membeli beberapa buah buku di kedai lain (yang jauh lebih murah)

Petikan status FB saya (sesudah pulang):


Semalam di Windermere tak sempat membeli karya penulis agung dari sana iaitu William Wordworth dan Samuel T Coleridge. Tetapi terjumpa sebuah kedai buku murah di pekan Bowness. Novel klasik yang masih baru dijual dengan harga dua untuk 1.99 pound. Antara novel agung yang dibeli adalah Robinson Crusoe dan Sense and Sensibility. Lagi dua buah adalah novel Sherlock Holmes. Kesemuanya berharga 3.98 pound


Arnab! Rupanya di sini ada taman kanak-kanak mengenai Beatrix Potter (rasanya ia seperti kisah dongeng kanak-kanak yang melibatkan watak binatang). Kalau tak salah juga, saya pernah terjumpa bukunya di Renold Building. 

Setelah menuruni bukit sejauh 2.4 KM - tiba di tepian tasik Bowness. Terpaksa melahap pisang dan coklat kerana tenaga turun dengan mendadak. 

Segerombolan itik yang asyik mengikut.

Petikan Facebook saya ketika di sini:

itik diminta tidak mengikut saya. Tq. - di bay yang lupa nama


Indah. Cuma sedikit sejuk. 

Snow top mountain jauh di sana.

Pandangan dari udara - tasik ini merupakan tasik terbesar di England.. Tak tahu jika mahu dibandingkan dengan keluasan tasik Loch Ness (yang kononnya ada naga comel) di Scotland

Simpang tiga berbulatan di bandar Bowness. Entah mengapa saya suka keadaan di sini. Mungkin diseabkan musim rontok yang menanggalkan dedaun di pohon ini?

Pulang semula ke Windermere, mendaki bukit. 1/4 batu lagi mahu tiba! (2.4 KM pergi, 2.4 KM balik - boleh tahan penat)

Seperti biasa - menulis poskad. Di tengah-tengah bandar Windermere. Akan diingati sampai bila-bila kerusi di hadapan pejabat pos ini. 

Sekian dahulu - percubaan pertama untuk blog baru. Harapnya dapat kembali ke Windermere dengan masa yang lebih lama - bukan sehari seperti kali ini. Akan ke Grasmere, menikmati cruise di tasik dan bermacam-macam. 

1 comment:

  1. Assalamualaikum Shah,
    Entri yang menggamit kenangan sewaktu di Daerah Cumbria ini. Saya sendiri tidak dapat berlama-lama di Windermere dan Bowness. Terima kasih kerana menulisnya.

    Oh, kalau boleh blog ini tak ada gambar latar belakang ini lebih baik, imej di belakang blog ini sedikit mengganggu tulisan yang dipaparkan. Mungkin yang kosong di belakangnya, lebih baik? Sekadar pandangan. Terus menulis catatan perjalanan, ya!

    ReplyDelete