Sunday 25 December 2011

Usah Pandang Tepi!

Prolog

Apabila tersepit ketika menulis sesuatu yang kreatif, saya akan beralih kepada pembacaan mahupun tulisan akademik/artikel. Seperti sekarang, bila cepu kepala pun sudah penuh dengan kepenatan dan kelaparan. Mahu pulang, lagi dahsyat muka tertidur atau bersepak-terajang dengan teman serumah. Jadi baiklah duduk sebentar di perpustakaan lantas menari-nari jari jemari di atas kekunci, menaip apa sahaja penyampaian yang termampu.


Pengenalan

Saya selalu melihat manusia. Itu memang adalah sikap seorang pengarang dan sikap saya sendiri. Melihat bukan usha, tetapi melihat dengan mata hati. Bukan bermaksud terpikat (aduh), tetapi maksudnya menafsir apa sahaja yang tersirat dari perlakuan.

Selalunya, apabila melihat kelebihan manusia saya akan lekas cemburu. Saya tak tahu apa reaksi sahabat sekalian melihat teman-teman yang memperolehi kelebihan berbanding kita. Acap kali pertanyaan berikut timbul: Adilkah Tuhan menjadikan dia lebih dan aku kurang? Kenapa dia hidup senang tak perlu bersusah payah? Kenapa – kenapa dan terus kenapa (bergantung kepada situasi yang akan kita ulas satu per satu di bawah).

Ah, kusut. Manusia memang kerap merungut. Itu memang sikap manusia, yang sukar sekali hendak bersyukur, seperti dalam ayat surah Al-aaraf ayat ke-10:

“Sesungguhnya Kami (Allah) telah menempatkan kamu sekelian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber/jalan) penghidupan. (Tetapi) amat sedikitlah kamu bersyukur”.

Jom kita lihat situasi demi situasi. Ini bukanlah semua situasi saya. Mungkin terilham daripada melihat papan tanda di jalan Oxford Road, melihat daun-daun berguguran di Whitwork Park, atau labah-labah kecil di dinding rumah (penulis sangat pelik, abaikan sumber inspirasi ini).


Kisah 1 – Cinta

Sering kali cinta menimbulkan rasa cemburu. Saya juga pernah tampil suatu masa dahulu dengan ayat ‘Cinta itu Membejatkan’. Ya, benar dari satu sudut tapi bukan dari semua hal. Tapi saya tetap percaya, setiap cinta yang terbina pasti ada ‘bejat’ atau masalah yang berlaku kepada orang lain. Contohnya kalau orang berkahwin, akan ada orang lain cemburu kerana tak dapat berkahwin (bejat kerana membuatkan dia sugul dan banyak berfikir). Atau mungkin bekas kekasih akan kecewa dan sebagainya. Tak apa lupakan hal remeh dan temeh tersebut.

Hakikatnya, cemburu selalu terjadi. Ada satu kisah, orang sangat ramai cemburu dengan si fulan. Kenapa? Wah si fulan dapat bernikah awal dan isterinya pula cantik molek dan solehah. Beranak pula, anak yang cerdik, pintar, cerdas (saya teringatkan cerita Pintar Pintas di TV 1). Ish, ideal sungguh cinta si fulan!

Lantaran itu, timbulah cemburu dalam kalangan orang bujang ini. Cemburu bukan biasa, cemburu sampai sugul makan nasi pun tidak berkuah (aku pun biasa buat sebab sedap juga), atau ‘koyak’ sampai dengar lagu-lagu cinta untuk mencari bahagia yang tersembunyi di balik jendela. Atau hilang mood untuk belajar dan berfikir ‘Kenapalah aku begitu loser tak dapat cinta sampai sekarang??!’

Maka hal ini akan mengundang sesuatu yang negatif, walhal melihat cinta orang lain sepatutnya membuatkan kita lebih positif dengan takdir Allah yang insyaAllah memberikan hamba-Nya jodoh yang terbaik dan cocok.

Muhasabah: Benarkah bahagia apabila punya isteri cantik solehah dan anak yang comel? Ops, bukan saya nak menafikan kebahagiaan. Tapi kita tidak pernah tahu menahu apa ujian yang Allah kurniakan kepada mereka. Mungkin, isterinya cantik malam-malam mengigau teruk sampai baling pinggan mangkuk dan akibatnya tak boleh tidur. Okay, mungkin pelik tapi percayalah, akal kita tak sampai pun nak menafsir apa bentuk masalah/ujian yang mereka terima.

Seseorang mungkin akan berkata “Apa lagi dia nak? Mesti gembira. Isteri cantik dan baik, anak comel. Hah, apa lagi?”.

Kerap kali kita bertemu ayat sebegitu.

Kita tak harus pun melihat kebahagiaan orang lain sehingga diri sendiri sugul (cemburu sampai rasa macam diri ini loser). Haruslah kita mencari apa kelebihan dan kenikmatan yang Allah beri pada saat bujang/saat Allah uji diri susah mencari jodoh. Mungkin orang berkahwin itu gembira dengan pasangan, tapi mungkin Allah uji dari aspek pengurusan masa. Tiada lagi main bola (minum air jus selepas main dengan enak), tiada lagi lepak sampai larut malam dan bersembang tentang kehidupan, tiada lagi – banyak!

Bukanlah maksud saya menyuruh orang tidak berkahwin atau mengtidakkan kebahagian lepas kahwin. Bukan. Cuma kalaulah kita sedang dalam keadaan diuji Allah untuk tidak dapat berkahwin lagi, apakah kita perlu menanggung cemburu yang ekstrim (sila highlight ekstrim di situ) dari pasangan lain? Tidakkah kita perlu bersyukur dan bersabar dengan apa yang telah Allah kurniakan sekarang.

Cari kenikmatan itu! Mesti ada!


Kisah 2 – Duit

Alahai, seronok benar melihat manusia lain mendapat wang. Ada dari kemenangan peraduan, atau pemberian sanak saudara atau apa sahaja.Tambah bila raya, sesiapa yang punya sanak saudara yang kaya akan melimpah-ruahlah wang bagaikan coklat mengalir di ladang gandum.

Kita tiada apa. Hanya sekeping not dan baki akaun online yang semakin susut. Ah, kena bayar! Adoi, hilang pula bus pass dan kena bayar denda. Huk, apasal mahal sangat makan di Domino – patut lah aku lupa pakai kupon. Adoi sayang ruginya duit aku. Bermacam-macam dugaan menimpa kita sebelum ini. Duit makin susut.

Kita pun merungut:

“Alahai kalau la ditakdirkan aku ada 500 pound extra macam dia, tentu aku dah beli Ipad, beli kuih -muih (erk?), beli Yogurt Muller (pun erk juga?) beli itu beli ini. Seronoknya!”

Biasa kan dengar keluhan sebegitu? Kalau bukan dari orang lain pun, ayat ini berguguran dari tangkai hati kita sendiri sebagai seorang manusia yang lemah.

Muhasabah: Apakah kita benar-benar kekeringan wang? Tidak, rasanya. Melainkan kita dari kaum keluarga yang susah. Kalau nak dicakapkan tentang pelajar yang berada di UK ini, duit sememangnya melimpah.Sebenarnya kita sendiri yang tak reti nak urus wang – tengok diri balik banyak mana sampah yang telah dibeli. Makan nasi beriani sampai 7-9 pound, kemudian beli gadget baru, kemudian beli pula alat senaman konon nak bagi kurus, beli alat muzik walaupun tak pandai main. Macam-macam.

Dan fikirlah, adakah mempunyai duit 500 pound extra itu menyebabkan kebahagiaan tidak berpihak kepada kita? Tidak semestinya. Dengan ada duit lebih, mungkin tanggungjawab untuk bersedekah/membantu orang itu lebih besar. Amanah makin banyak. Macam-macam hal lagi.

Syukurlah dengan duit yang ada. Kalau Allah bagi tak ada duit sampai kena minum air paip, lagi lah haru. Syukur saja! Carilah bahagia dengan duit yang ada itu.


Adilkah Allah?

Saya pernah berfikir bagaimana Allah menampakkan keadilan-Nya lantas saya cuba membandingkan nasib saya dan seorang sahabat lain. Sukar, sangat sukar untuk mencari hujah mengatakan “Ha, memang tak adil!”. Sukar. Kalau kita cuba analisis, kita akan bertemu dengan kenyataan seperti:

1) Aku ini tak ada duit. Insan bernama Taman Rashidah Utama itu banyak wang (abaikan nama insan itu). Eh kejap, dia banyak wang tapi keluarganya tak berapa nak ikut Islam. Keluarga aku patuh dengan baik. Syukur duit tak melalaikan kami semua.

2) Aku ini dah la belajar tak pandai. Seronoknya dia belajar pandai. Eh, sebentar. Dia ada penyakit migrain lah. Alhamdulilah aku tak ada.

3) Seronoknya dia belajar luar negara. Aku ni belajar di kolej tempatan sahaja. Eh kejap, dia belajar luar negara namun katanya hidup sengsara sebab belajar susah. Ulang berkali-kali dan siap kena repeat year lagi. Alhamdulilah, aku dimudahkan untuk lepas dan lagi dua bulan dah nak grad dan boleh cari kerja.

4) Kalau la aku dapat jadi popular dan kacak macam dia, kan senang. Ramai perempuan nak. Eh kejap, hari itu katanya dia tak dapat nak tumpu pelajaran sebab diganggu pelbagai gosip dan fitnah daripada kawan-kawan. Alhamdulilah aku tak ada sapa kacau dan masih terpelihara maruah.

5) Aku ini tak ada cinta. Seorang. Sunyi. Sepi. Sengsara. Kawan aku si Ali tu ada makwe malam-malam dok bersembang. Seronoknyanya boleh kongsi kisah hidup, ada orang tolong selesaikan masalah kita dan pelbagai lagi. Eh, tapi aku tak payah belapar makan Chipsmore (hm kenapa biskut ini?) hari-hari. Ali tu kena ikat perut sebab hari-hari kena beli top-up. Alhamdulilah.

Kalau…, ah macam-macam lagi! Penat nak menulis semua. Sudah la tengah kesunyian dan menakutkan di tingkat 3 perpustakaan ini (Tinggal saya dan seorang lain yang berdekatan. Sudah larut malam nampaknya!)

Nah, itu baru yang zahir. Kalau yang tersembunyi? Penyakit hati, penyakit organ dalaman, masalah hidup, beban tanggungjawab dan sebagainya. Ada kita tahu apa yang ujian sedang dialami manusia lain sampaikan kita nak mengatakan ‘Orang itu hidupnya baik dan hidup aku tidak’? Nampak sangat hanya mainan hati dan bisikan syaitan.

Ternyata, kita tak akan dapat rungkai keadilan Allah itu dengan akal yang kita yang dangkal dan cetek!


Penutup

Berhenti, buang dan nyahkan! Tidak perlu kita pandang ke tepi untuk melihat kenikmatan orang lain. Sebaliknya lihatlah ke hadapan dan manfaatkan nikmat-nikmat Allah yang melata di mana-mana. Kita harus bijak mencari peluang dengan situasi apa yang kita ada. Kalau kita ini tidak dikurniakan cinta, apakah itu penghalang kejayaan kita? Kalau kita mendapat tidak mendapat lambakan wang, apakah kebahagian akan tercantas? Kalau kita tidak dapat belajar luar negara seperti sahabat lain, apakah bermakna kita tidak berguna?

Peluang kebahagiaan itu di mana-mana. Hanya menanti kita sebagai seorang manusia untuk menjadi kreatif dan memanfaat apa sahaja bentuk nikmat. Usah merungut dan melihat kekurangan tetapi railah kelebihan yang ada walaupun sekelumit.

Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Lihatlah orang yang lebih bawah daripada kamu, jangan melihat orang yang tinggi daripada kamu, kerana dengan demikian kamu tidak akan lupa segala nikmat Allah kepadamu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Kata-kata yang sama juga diutarakan oleh ibu saya dan guru Fizik saya di KMB, Puan Adilah. Dewasa ini juga ada gambar-gambar di Facebook yang mengusung erti syukur betul-betul ke hadapan pintu hari kita. Contohnya gambar seorang yang kanak-kanak cacat mengepit sudu pada kakinya untuk menyuap seorang kanak-kanak lain yang sempurna. Jelas dan cukuplah, untuk membuatkan kita mendaki ke puncak kesyukuran.

Syukur, cari peluang untuk raih kebahagiaan dan kejayaan dengan apa yang telah Allah beri! Nikmat Allah itu, sangat banyak. Semaklah tafsir surah Ar-Rahman kalau tak percaya.

Apa-apa pun, terasa berat tanggungjawab dan risau. Semoga diri sendiri dapat sentiasa diingati. Teringat firman Allah dalam surah As-Saaf ayat kedua:
“Wahai orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!”
Sama-sama memperingati.


Shahkang
John Ryland Uni Library, Manchester
9.48 malam
12 Oktober 2011

No comments:

Post a Comment