Tuesday, 6 August 2013

Remli & Albert Kawabekwa - Episod 4

Albert Kawabekwa bawa kereta macam pelesit. Simpang masuk ke masjid yang berderet-deret kereta dipotong barisannya ikut suka hatinya.

Hon berbunyi dah macam lagu raya Ahmad Jais dah. Macam DJ Dave pun ada.

"Kau ni tak baik ambil hak orang lain. Kita lambat jadi beraturlah di belakang." Remli menumpang kereta Albert buat kali pertama menegur.

"Mana boleh aku nak kejar jemaah tarawikh ni. Malam Lailatulqadar malam seribu bulan woo!" Albert tak peduli. Pahala 10 malam terakhir jangan dilupa. Stereng dikawalnya penuh cermat dengan lajunya..

Kereta muncung Albert menuju pantas masuk ke perkarangan masjid. Sampai nak terlanggar Cik Bedah Kuih Lopes dan anaknya, Patrick Muwamba.

"What the....." kata Patrick dengan hati yang terluka.

Kerera diparkir dengan lekas. "Jom jom Remli. Cepat!"

"Mana boleh parkir sini! Halang lalulintas ni!" Remli tak puas hati.

"Kau memang tak faham betapa berharganya setiap detik malam 10 akhir Ramadan bagi aku. Dah dah jom! Nanti kita masbuk solat Isyak tu!" Albert mencabut sepatu, berlari pantas mengajar jemaah Isyak sudah bermula.

Pahalal beb, siapa tak mahu! Kau ni Remli memang jahil sungguh la!

Remli terfikir-fikir:

"Macam mana kalau malam 1000 bulan ni orang yang teraniaya mendoakan kelaknatan kami. 1000 bulan lamanya kena laknat tu!"

Tamat

Kesimpulan:

Teringat tazkirah imam Jordan di Masjid Putra semalam, bunyi lebih kurang begini- buat baik jangan fikir yang besar-besar saja, buat juga yang kebaikan yang kecil. Sebabnya kita tak tahu mana satu kebaikan bawa kita ke syurga. Dalam Episod 4 ini, berbuat baik yang kecil-kecil itu adalah seperti menghormati orang lain, berlaku adil kepada pengguna jalan raya dan sebagainya.

Jangan fikir yang besar-besar sahaja dong!


Selamat menikmati saki baki waktu Ramadan.

Tips Beraya di Rumah Bakal Pasangan Hidup

(bahasa yang digunakan dalam post ini ada yang tidak sesuai digunakan untuk tulisan rasmi. Harap maklum)

Panjangnya tajuk blogpost kali ni. Macam tajuk dalam buku teks sekolah.

Musim Aidilfitri menjelma lagi. Wow! Kanak-kanak bergembira dapat duit raya, main mercun (merosakkan duit) dan sebagainya. Orang-orang tua seronok sakan anak-anak pulang ke kampung.

Anak muda? Beraya rumah kawan-kawan adalah sesuatu yang wajib!

Dalam banyak-banyak anak muda, akan ada yang bakal beraya di rumah bakal pasangan hidup mereka.


Atau dengan kata lain, ini adalah langkah awal untuk berkenal-kenalan dengan keluarga pasangan. First time nak jumpa, cuak bro!

Maka hal ini akan menimbulkan banyak kekalutan, keresahan yang lantas menyebabkan pertemuan tu jadi macam...:

"Alamak, nak cakap apa ni?" 
"Malu wei huhu." 
"Wei kena soalan killerrrrr.."

Jangan gusar jangan khuatir (bukan buasir). Di sini saya akan menerangkan serba sedikit tips bagi menyempurnakan lawatan anda tanpa sebarang luka-luka atau kecederaan serius (maknanya kecederaan ringan akan ada la? Huhu).

Saya pernah menulis status yang berbunyi serupa tahun lepas - sila rujuk link ini, jadi post ini akan turut sama mengulas hal-hal yang berlaku dalam post tersebut.

(Post ini ditulis dari kaca mata seorang lelaki. Tapi insyaAllah perempuan pun boleh pakai)


Langkah 1 - Minta kebenaran untuk ke rumah


Tak semua orang berpeluang untuk beraya di rumah pasangan masing-masing. Ada yang baru sahaja berkenalan jadi ada sesetengah pasangan yang 'awkward' bila pasangannya yang datang ke rumah. Kata-kata seperti "Ish awai sangat la nak mai kenai dengan mak ayah aku.." atau "Tak payah la mak ayah aku macam belum bersedia untuk mengetahui tentang kita (ayat novel)"

Dan ada juga pasangan yang tak mahu bagi pasangan mai rumah (atas sebab baru berkenalan/masih belum sesuai), maka akan ada beberapa hint yang seolah-olah mengatakan kepada anda - "Ala, tayah mai la!".

Jadi tengok baik-baik! Dapatkan lampu hijau untuk ke rumah kalau tak mau kena hambat.


Langkah 2: Cari rumah


Anda mungkin berjanji dengan pasangan anda, jam berapa anda akan tiba dan sebagainya.

Maka akan serabut dan memalukan kalau sesat dan terkial-kial mencari arah.

Sebelum pergi, sila semak Google Map kedudukan rumah pasangan anda.

Jangan nanti bila dah sampai tengah bandar (contoh: Alor Setar), baru nak call:

"Ni, saya dok ada di tengah pekan Loqstaq ni. Rumah tang mana? Ni yang ada pokok besaq depan ni ka?"

Apa hang ingat Loqstaq tu besaq kuman ka woi?

Jangan satgi sampai pi rumah orang lain dan tertukar pasangan. Kalau jadi macam tu memang kesulitan amat dikesali.


Langkah 3: Cari teman/wingman


Wingman sangat penting untuk menenangkan anda dan memberikan idea untuk anda bersembang. Hal ini juga untuk mengelakkan isu terberak (takut sangat) ketika bertemu.

Wingman hendaklah memahami yang anda sebenarnya mempunyai hubungan dengan gadis tersebut. Ini untuk mengelakkan atau mengurangkan kebarangkalian yang awek anda akan dirampas oleh kawan sendiri (penting, sila catat ke dalam diari).

Wingman hendaklah yang jenis tak takut dan pemalu. Susah kalau nanti anda pemalu, wingman pun jenis senyap maka memang perbualan itu akan karam ke lautan dan akhirnya semua orang di rumah itu hanya membuka saluran 104 Astro untuk menonton artis melompat-lompat sempena hari raya.


Langkah 4: Ke rumah


Perjalanan ke rumah pasangan anda memang digeruni untuk kali pertama. 


Perasaannya seolah-olah ketika anda bersunat dahulu. Bila dah sampai depan klinik/hospital/pak mudim mai rumah anda akan cakap - alamak dah sampai masa dah ka? Adoi. Huhu.

Maka hati anda akan berdegup kencang sepanjang perjalanan.

Bertambah degup bila membuat selekoh masuk ke taman perumahan tempat tinggal gadis itu.

Rasa nak pengsan bila dah jumpa nombor rumah gadis itu.

Mungkin mati bila enjin kereta dah dimatikan dan anda perlu melangkah keluar.

Ok. Exaggerate. 

Apa yang perlu anda buat hanyalah membayangkan perjalanan itu satu perjalanan yang biasa. You are what you think! Maka fikirkan anda sedang memandu ke pantai pelancongan atau untuk mengambil adik dari pusat tuisyen nescaya kegugupan anda hilang. - catat woi tips penting ni




Langkah 5: Masuk Rumah




Detik paling mencemaskan sebab anda tidak tahu bagaimana penerimaan awal ibu bapa gadis itu terhadap anda. Ada yang ramah, ada yang tak ramah, ada yang macam dingin, ada yang tak pasti apa perasaannya. Macam-macam.

Selalunya si gadis itu akan menyambut di pintu (ya la satgi silap rumah jenuh ampa nak lari tak cukup tanah!). Kemudian gadis itu akan memperkenalkannya kepada ibu dan ayahnya.

Selalunya ibunya sibuk di dapur tapi keluar ke depan sekejap menjenguk anda cakap hai hai. Ayahnya adalah teraju utama.

Langkah 6: Sembang-sembang Sebelum Makan


Waktu paling memerlukan skill bercakap sebab waktu ini makanan sedang disiap-siapkan di dapur.

Maka anda, wingman dan ayah si gadis akan berada di ruang tamu untuk berbual-bual. 

Nak cakap apa? Ya inilah soalan paling selalu ditanya.

Macam-macam boleh, antara yang popular untuk orang-orang utara (sebab saya orang utara):

a) Cuaca: pakcik hangat noo la ni. ish ish
b) Kerja: pakcik dok buat apa la ni?
c) Tempat tinggal: Ih Loqstaq/Kangaq la ni jammed teruk noo. 

Anda mungkin merasakan, eh sikitnya? Ya memang. Anda perlu bijak untuk mengolah keadaan dan jangan diam. Selalunya orang tua ni, kita yang kena spark interest dia baru dia mau sembang. Jadi teruskan bertanya dan curious dengan apa jua yang sesuai

Tapi..Tapi!!


Jangan curious dengan benda yang tak sesuai dan tanya soalan yang janggal. Contohnya:

a) Pakcik minat bola pasukan apa? (Tak tahu pun pakcik tu minat bola atau tidak!)
b) Rumah ni pakcik beli bapa ribu? Nak jual tak (macam cerita Do Re Mi)
c) Benda-benda berbaur perbalahan dan politik (tanpa mengetahui pakcik tu sokong mana)
d) Pakcik minat AF dak? Sapa patut menang Lisa Surirumah ka Tasha Shelly?
e) Apa pendapat pakcik tentang isu US di Iraq?

Soalan-soalan di atas boleh ditanya kalau ada mukadimah yang baik. Contonya nombor 1, boleh ditanya kalau pakcik tersebut memang minat bola. Contoh pakcik tu dulu yang tanya: "Awak dok study di UK, tak pi tengok bola ka?". Maka dengan mukadimah ini soalan a) boleh digunakan. Sama juga dengan b,c,d,e. Jangan ampa dok pi mula2 teruih tanya tu memang nak kena tibai ah. 

Langkah 7: Makan-Makan


Ya masa untuk makan-makan sudah tiba. Maka ayat yang si ayah akan sebut adalah "Ha siap dah hidang. Mai. Sila-sila." Dia akan bangun dan jemput anda dan wingman ke meja makan lalu berkata "Ni Rogayah (merujuk kepada gadis pujaan anda, bukan nama sebenar), pi ambik sudu tambah. Tak cukup ni."

Inilah masa anda, wingman, ibu dan ayah, serta gadis itu akan duduk semeja untuk makan. Perbualan diteruskan.

Poin tambahan di sini adalah bercakap soal makanan. Antaranya:

1) Kuih raya ni buat sendiri ka?
2) Ih lama saya tak makan deriyan kena dengan pulut ni. Dulu masa tokwan saya ada lagi, selalu la. 
Jangan cakap benda-benda macam ni:

1) Wui gila sedap gila pakcik makcik. Ih ih (nak puji tapi over)
2) Awat pedas semacam kari ni? Makcik guna serbuk cili cap apa?
3) Rasanya kedai Bang Mat depan tu sedap lagi
4) Saya tamau makan kuih ni sebab haram tak sedap. Serius makcik tak tipu. Saya jujur. Saya pemuda jujur. (nak tunjuk kata seorang yang jujur)

Makan biar sopan, jangan la teruk sangat makan sampai comot muka. 


Sunday, 4 August 2013

Remli & Albert Kawabekwa: Episod 3

Remli kebosanan. Esok raya. Maka hari ini ditabalkan sebagai hari teman orang rumah beli barangan @ pecutan terakhir membeli-belah. Sementara menunggu isterinya memilih serba mak-moyang barang di Tisco (rangkaian pasaraya besar), maka berpergianlah ia ke rumah Albert Kawabekwa untuk melawat sahabatnya itu.

(Teruk benor si isteri membeli lama nak mampus tapi itulah hakikatnya. Jangan marah cik kak. Aman (peace!))

"Kau dah baca Quran page berapa?" Albert menyoal sambil memalaskan diri atas kerusi malas yang sedia malas. Naskhah kecil Al-Quran tak lekang dari tangan sejak tadi.

"Sekarang di muka surat 400. Kenapa? Ada apa-apa ayat nak taddabur kah?" Remli menyoal penuh minat.

"Ish kau ni banyak lagi tu nak khatam. Hari ini dah hari last Ramadan." Albert tak berpuas hati. Woi apa ni akhi? Kata semangat nak dakwah tapi baca Quran pun semput. Apa cerita ni?

Remli senyap. Muka rasa macam kena paku kat dinding.

"Kau tunggu sekejap aku nak habiskan 2 muka terakhir ni." Albert semangat memberitahu. Nak habis dah yeay! Nak habis dah yeay!

Remli duduk diam melangut. Zikir perlahan-lahan. Nak bising tak ada guna, rumah orang.

"Okay habis." Albert melompat dari kerusi malas. Ambil bangku plastik (yang selalu orang letak kat kedai makan). Lalu memanjatnya. Quran disimpan di bahagian almari paling atas.

"Tingginya simpan, Bird (Albert)" Remli sekadar bertanya. Nak sembunyi bom ka apa ni?

"Ramadan tahun depan lambat lagi. Simpan kat tempat lain nanti hilang. Sini selamat. Nanti tahun depan ambillah balik." Albert bentang cadangan macam ahli parlimen. Kemas dan teratur.

"Oh. Kau guna Quran lain untuk baca Quran lepas ni?"

Kesunyian yang jangkal (awkward silence bak kata orang Padang Siding).

"Quran ni memang boleh dibaca waktu bukan Ramadan kah. Bukan Ramadan saja ke boleh baca Quran? Kau jangan ajar aku jadi sesat bro."

Remli rasa mahu menghempuk kepala ke daun keladi.

Albert muka singa, tak suka orang buat fatwa sesat. Geli-geleman katanya.

Remli juga rasa tak perlu nak menerangkan bahawa muka surat 400 yang sedang dibacanya itu adalah untuk kali ketiga. Pertama kali khatam pada 13 Ramadan. Kali kedua 22 Ramadan.

Albert, hang memang dasar angry bird berwarna merah!

Saturday, 3 August 2013

Remli & Albert Kawabekwa: Episod 2

Tersebutlah kisah, Remli dan Albert Kawabekwa adalah teman pejabat. Albert bertemu Ramli sewaktu solat Subuh berjemaah di masjid, sesudah sahur.

"Kau tak datang iktikaf di masjid tadi?" Albert menyoal.

"Oh tak, aku di rumah tadi."

"Ish-ish apa nak jadi dengan hang ni Remli. Mana akidah hang letak? Kepala lutut ka?" Albert cantas percakapan Remli. Macam cantas dahan pokok rambutan yang halang sinaran lampu jalan.

"Kenapa?" Remli sungguh pelik. Kepelikannya ibarat beli kotak jus oren Piil Fresh tapi yang ada di dalamnya adalah cendol Mak Ngah Jempool yang keenakannya sukar ditandingi.

"Ini kan sepuluh malam terakhir Ramadan. Cuba la hang mai beriktikaf di mesjid (orang utara sebut masjid macam ni). Kalau duit ringgit taboq depan mata mau hang ligan pi kutip. Ini pahala Allah nak bagi boleh buat pandang sebelah mata ja. Ish-ish." Albert sangat-sangat tidak berpuas hati dengan manusia berjanggut sejemput bernama Remli.

Tak ke masjid iktikaf? Come on lah...

Maka esoknya berpergianlah mereka berdua ke pejabat seperti hari-hari selalu. Ya lah tak akan hari Isnin nak pi Mid Velli woi.

Di bilek mesyuarat (ejaan zaman P Ramlee):

"Mana Albert ni Rem...." Chin Chong membuat hingar. Tertekan mesyuarat tak dapat dimulakan tanpa Albert. Penting. Sepenting meletakkan aiskrim kotak dalam peti ais sejuk beku rumah anda sesudah dibeli di The Store Kangar.

"Tak tahulah." Remli pun pening. Bukan sekali dua

SMS masuk, Remli 'gores dan menang' telefonnya untuk membaca SMS tersebut.


"Aku masuk kerja tengah hari, hari ini. Baru nak masuk tidur ni. Penat iktikaf semalam. Daaa~~~" - Albert Kawabekwa

Aduh aduh aduh!

"Dia tidur lagi?" Chin Chong dah dapat mengagak. Predictable sangat katanya.

Remli tak dapat nak buat apa-apa selain mengangguk perlahan.

Chin Chong mengeluh. Dikoyaknya sehelai kertas A4 bertaip dan dilempar ke muka Remli. Macam tepung tawar pengantin pula. Chin Chong kemudian 'menchaukan' diri dan menghempas kuat pintu.

Remli tengok kertas yang Chin Chong koyakkan itu. "Pendaftaran Mualaf Baru" tajuknya. Aiseh, Chin Chong hari tu beriya-iya nak kenal dengan Islam. Tapi kenapa hari ini dia tukar fikiran pula ni?

Adoi adoi adoi. Sebab perangai Albert Kawabekwa? Damn. Sayang. Sebab perangai culas seorang dua umat Islam, orang pakat lari.

Remli bingkas bangun untuk mengejar Chin Chong. Penjelasan harus segera diberi!

Ada satu lagi SMS masuk. Nama SAYANG tertera di skrin.

"Afiq dah makin kebah demamnya. Malam ini abang bolehlah ke masjid iktikaf. Kasihan abang kena iktikaf di rumah semalam. Terima kasih tolong jagakan Afiq semalam masa saya on-call. Hari ini tak on-call lagi dah."

Remli terbayangkan wajah isterinya dengan pakaian seorang doktor.

Remli teringatkan juga teguran Albert Kawabekwa di masjid waktu solat Subuh tadi.

Albert. Oh Albert!

TAMAT

Thursday, 1 August 2013

Remli & Albert Kawabekwa: Episod 1

"Akhi, tolong ambilkan air tu boleh?" kata Remli

"Awak panggil apa tadi?" balas Albert Kawabekwa

"Akhi, kenapa?" Remli berasa pelik.

"Akhi panggilan untuk perempuanlah anta. Untuk lelaki kena panggil akha. Sama macam anta-enti."

"Ooo..so anta ni akha Albert la?"

"Ya lah. Ana kalau saya untuk lelaki. Ani untuk saya kalau perempuan. Faham? Lain kali tak faham bahasa Arab tak usahlah nak pakai. Tanyalah ahli macam saya dulu. Ish ish." Albert tak berpuas hati dengan kebodohan Remli.

"Baiklah. Ana mohon share. jzkk. brb. gtg. lol. asl plzzz." Remli seperti robot yang telah diprogramkan suaranya.

Kesimpulan: Tak reti sesuatu jangan ajar orang lain nanti sesat.

Monday, 29 July 2013

Namanya Jastin Bibiaq



Alhamdulilah cerpen saya Namanya Jastiq Bibiaq disiarkan di Mingguan Malaysia 28 Julai 2013. Terima kasih kepada kawan-kawan yang sudi membaca dan memberikan komen.

Sila klik sini untuk ke portal Utusan:

http://www.utusan.com.my/utusan/Sastera/20130728/sa_01/Namanya-Jastin-Bibiaq


Monday, 22 July 2013

Novel Tarbiah: Ultimate Frisbee


Novel tarbiah:Ultimate Frisbee, bakal diterbitkan Galeri Ilmu Sdn Bhd tidak lama lagi

  • Ultimate Frisbee adalah nama jenis permainan.
  • Novel ini ditulis dalam Bahasa Melayu. 
  • Genre Novel ini adalah novel motivasi/tarbiah remaja. 

Sedikit sinopsis/teaser:


“Perjalanan beribu batu bermula dengan langkah yang pertama”. Dia kerap diingatkan dengan pepatah ini oleh Cikgu Basil.

Fadhly, pelajar cemerlang Maktab Sains Langkawi (MSL) begitu teruja untuk pulang semula ke sekolah setelah tamat cuti penggal. Suntikan semangat dan ajaran Haziq, abang saudaranya menjadi bekal untuk dia memperkenalkan sukan Ultimate Frisbee di MSL.

Tetapi bukan mudah untuk menaikkan reputasi sukan baru dalam persekitaran MSL yang sudah popular dengan sukan-sukan lain seperti bola sepak dan hoki. Tambahan lagi oleh seorang pelajar yang dilabel sebagai ‘Ulat Buku MSL’ dan terkenal dengan sikap tidak aktif bersukan sebelum ini.

Dari aksara dan nombor dalam buku teks ke aksi lasak di tengah padang? Bukan senang mengubah persepsi manusia terutamanya Hazman, musuh tradisi yang juga rakan setingkatan.

Langkah pertama adalah menubuhkan Kelab Ultimate Frisbee MSL.

Langkah kedua? Bagaimana?

Apakah Ultimate Frisbee dapat diterima oleh warga MSL?

Bagaimana formula Fadhly mengekalkan kecemerlangan dalam masa sibuk menguruskan kelab barunya?

Fadhly, pengemudi arus pembaharuan dalam arena sukan MSL dengan azam dan falsafahnya tersendiri!



Berikut merupakan testimoni daripada pembaca-pembaca awal:

Pembaca 1 

Donny Anak Man
Pelajar Sarjana Sains Sukan,
Ketua Pasukan Ultimate Frisbee 
AUR (All Ultimate Roar) UiTM Shah Alam.
Novel ini sesuai dibaca oleh segenap lapisan masyarakat. Walaupun berbeza agama dan bangsa, penulis mengajar saya sedikit sebanyak mengenai kehidupan dan pegangan masyarakat Islam melalui sukan. Novel ini sangat menarik dan diibaratkan sebagai buku yang paling bermotivasi serta baik juga untuk diambil sebagai ikutan dalam kehidupan. 
Bagi saya novel ini bukan hanya sekadar novel yang biasa-biasa ,tetapi novel ini adalah sangat luarbiasa kerana novel ini terdapat banyak sangat input-input yang bermanfaat untuk dijadikan sebagai pendorong semangat untuk saya terus maju dalam sukan ultimate frisbee . Gaya pengolahan ceritanya menarik dan setiap peristiwa yang ada dalam novel ini mesti akan dikaitkan sekali dengan kisah-kisah yang pernah saya alami demi memperkenalkan lagi sukan Ultimate Frisbee ini di Malaysia.
Novel ini tidak lah terlalu serius sangat terdapat juga unsur-unsur pengajaran dan pembelajaran yang mana bagi saya ia sangat menarik malah tidak membosankan bagi sesiapa yang membacanya . Ini mungkin juga pengalaman-pengalaman yang pernah dilalui penulis sendiri , lalu dijadikan ke dalam satu bentuk penceritaan yang lebih menarik untuk dikongsikan kepada semua masyarakat khususnya kepada para remaja yang mula mencintai sukan Ultimate Frisbee. Rasanya tak rugi membaca novel ini ,baca novel ini pun dah cukup untuk diri saya kembali bermotivasi. 
Novel ini telah meletakkan satu fenomena baru dalam dunia riadah apabila mengangkat sukan sebagai satu ibadah serta dengan hanya kita bersukan , diharapkan ia menjadi satu pengajaran kepada masyarakat umum khususnya . Selain itu ia berjaya mengajak saya memahami konsep keseimbangan antara pendidikan,sukan dan agama yang mana bagi saya cukup menarik , dengan mengutamakan apa yang paling utama dalam kehidupan ini.Bagi saya inilah satu-satunya novel remaja yang bercirikan motivasi yang cukup kreatif dan menarik. 
Pembaca 2: 

Norkadijah Md Isa 
Penolong Akauntan dan Pentadbiran, 
Jurulatih Ultimate Frisbee 
AUR (All Ultimate Roar) UiTM Shah Alam.
Pada pemerhatian saya, saudara penulis merupakan seorang penulis yang menulis dengan minda dan mata hati yang terbuka di mana setiap ayat yang disampaikan padat dengan isi dan maklumat yang boleh digunapakai pada masa dulu, kini dan akan datang. Bagi saya semua ini adalah ilmu kerana sifatnya yang menjangkaui zaman. 
Jaguh Frisbee ini yang menceritakan pengalaman dan kesusahan seorang pelajar untuk memperkenalkan sukan ini pada masyarakat kita hari ini yang mana boleh digunakan untuk rujukan pada semua orang bukan hanya untuk zaman ini malah untuk zaman yang akan datang. Saya yakin beliau merupakan seorang penulis yang hebat. 
Dikala penulis lain menulis kisah-kisah yang memaparkan peristiwa sukan masa kini, konflik dan isu semasa yang mana ia merupakan maklumat yang akan luput beliau pula menulis dengan input visi yang amat jauh bahkan secara tidak langsung mengajar pembaca cara-cara bermain sukan ultimate frisbee bukan hanya untuk membantu generasi masa kini malahan masa akan datang.
Novel ini merupakan contoh hebat mengenai penyampaian ilmu sukan Ultimate Frisbee yang padat dengan isi-isi yang saya maksudkan ini. Topik Mentaliti kelompok, Iklim, Sifat dan Sikap adalah antara topik-topik yang akan wujud dan diperkatakan melangkaui zaman ini. Saya cukup yakin yang buku ini akan bertahan untuk satu jangkamasa yang lama.  
Beliau juga merupakan seorang penulis yang mempunyai penelitian fikiran yang tajam telah menghasilkan idea-idea dan kaedah-kaedah yang sukar disangkal oleh akal fikiran namun dalam penulisan yang serba ringkas dan santai. Malahan input-input ini jarang didapati dalam buku-buku motivasi yang lain. Saya harap beliau akan terus menerus menulis buku-buku yang lebih mantap dan menguji minda pembacanya di masa-masa yang akan datang.

Harapan saya, semoga para pembaca mendapat intipati yang cuba disampaikan. Kebanyakan isi-isinya adalah falsafah hidup saya sendiri yang cuba diamalkan dalam hidup (ya CUBA, kerana bukan setiap masa saya berjaya!). Kebanyakannya saya cuba sampaikan jika dijemput menyampaikan perkongsian di sekolah-sekolah atau kalau melepak dengan rakan-rakan sekalipun.

Terima kasih kepada semua yang membantu untuk pembikinan novel ini. Pihak GISB, rakan-rakan media yang menyediakan gambar untuk dimuatkan dalam lampiran (Hafiz, Raden, Acap dll). Juga pasukan Frisbee Manchester/Sheffield yang banyak memberikan tunjuk ajar.

Alhamdulilah.

Selamat membaca :)

13 Ramadan 1434H


Kenangan Manchester Malaysian Games 2013


Monday, 6 May 2013

Kembara Oxford

(petikan status FB saya - Shahkang Aizat)


Selepas melaksanakan undi pos di London pada 28 April 2013, saya pulang ke Manchester tapi singgah sebentar di Oxford selama kira-kira 6 jam.

Kebetulan, hari ini ada Literaty Tour (Kembara Sastera) sekitar bandar Oxford dengan bayaran GBP 7.50. Tak selalu dianjurkan pihak city council. Hanya dalam sebulan sekali. Memang kebetulan sangat hari saya ke sini secara tak sengajanya ada kembara  sastera.

Meskipun saya tak tahu apa sangat berkenaan sastera Inggeris dan penulis-penulisnya, saya tetap menyertai kembara selama 2 jam itu.

Kami bergerak dari satu kolej ke kolej lain. Memasuki Cathedral dan melihat sendiri kehidupan college pelajar Oxford (begitu unik daripada universiti lain, sangat seperti sekolah asrama penuh dengan adanya tutor (macam cikgu homeroom?) dan kehidupan dalam kolej (asrama) yang begitu sibuk).

Tour guide kami menceritakan pelbagai khazanah penulis yang ada di Oxford. Di sinilah tempat penulis itu belajar, penulis ini mendapat idea, penulis A menulis novel dan sebagainya. Saya hanya kenal seorang iaitu Martin Amis yang pernah belajar di Exeter College. Martin merupakan pensyarah University of Manchester dahulu dan saya sempat bertemunya sekali dua di majlis umum.

Ya, saya memang tak mengenali pun penulis-penulis yang disebut. CS Lewis, Henry James dan sebagainya.

Apa yang saya mahukan adalah pengalaman dan melihat sendiri betapa penghayatan masyarakat Inggeris terhadap penulis-penulisnya. Mereka begitu teruja untuk melihat di mana penulis-penulis hebat mereka pernah belajar dan mendapat ilham. Salah seorang ahli rombongan memang peminat sastera Inggeris, hampir kesemua karya yang disebut oleh tour guide pernah dibacanya!

Semasa rombongan berjalan saya asyik terfikir, adakah acara seumpama ini di Malaysia?

Bayangkan satu kembara 2 jam sekitar KL, untuk menerangkan tempat tinggal penulis-penulis hebat atau ikon-ikon seni yang menjadi ilham para penulis yang ditulis dalam karya-karya kreatif.

"Di Dataran Merdeka inilah Pak Samad pernah menganjurkan bengkel puisi untuk anak-anak muda."

"Banyak idea karya kreatif dicetuskan oleh peristiwa kemerdekaan di Dataran Merdeka. Antara cerpen Fahd Razy bla bla bla."

"Di Central Market ini berlangsungnya...."

"KL Sentral - tempat penulis muda selalu berborak dan mencari idea. Kerana di sini adalah tempat tumpuan utama manusia bla bla"

"Anda nampak sistem LRT Putra itu? Itulah sistem LRT yang sering digunapakai oleh Pak Samad untuk berkelana. Dia memang seorang yang akrab dengan masyarakat dan boleh dijumpa di mana-mana. Saya sendiri pernah bertemunya ....."

(Dialog di atas sekadar contoh)

Ah saya begitu kuat berangan!. Tapi saya memang teringin untuk melihat kembara seumpama ini diadakan (Mungkin sudah diadakan tapi saya tak pernah tahu??)

Sempat seorang ahli rombongan daripada California, US bertanya tentang saya. Saya menceritakan saya pelajar di Manchester dan penulis dalam masa sama.

"Saya memang tak tahu menahu tentang sastera Inggeris. Saya menyertai kembara ini sekadar nak tengok kaedah kembara ini dilaksanakan agar saya dapat bawa pulang idea ini ke Malaysia. Mungkin suatu hari nanti kami dapat adakan kembara sebegini juga." Begitulah lebih kurang maksud kata-kata saya. 

"Ya, saya pasti boleh." Kata wanita yang saya kira lewat 60-an itu. Dia begitu peramah. Tipikal orang US agaknya. 

2 jam tamat. Saya meninggalkan rombongan dengan satu harapan.

InsyaAllah. 

Berikut merupakan beberapa gambar pilihan semasa saya di Oxford:


Kedai buku Blackwell yang popular serata UK. Bangunannya agak klasik

Di dalam kawasan yang dikatakan tempat bermulanya Oxford University. Masih terdapat papan tanda fakulti dalam bahasa Latin. Saya difahamkan suatu masa dahulu, semua buku yang diterbitkan di UK pernah dimuatkan di sini (sekarang tak pasti macam mana). 

Hanya pelajar dibenarkan masuk ke Radcliffe Camera ini. 

Teringat kamus Oxford Fajar yang selalu digunakan ketika sekolah. Tapi tak pasti ada kaitan dengan penerbit ini atau tidak. 

Market dalam bangunan

Rumah style English lama di tengah pusat bandar Oxford. 

Cathedral dalam sebuah kolej. Kebanyakan kolej ada cathedral sendiri, menunjukkan betapa universiti agung ini tetap mementingkan agama dalam kesibukan mengejar hal-hal akademik

Quad dalam sesebuah kolej. Akan ada padang rumput yang bersih dan cantik di tengah-tengahnya. Sekelilingnya adalah Cathedral, dewan makan dan bilik penginapan pelajar. 

Tour guide kami memberi penerangan terakhir, di hadapan kolej yang pernah didiami Bill Clinton. 

Pelajar sains tulen pastinya mengenali Boyle dan Hooke!

Sunday, 28 April 2013

Cerpen: Be'ah Mukakitab



Cerpen hasil tulisan saya ini ini telah disiarkan di Berita Minggu, 21 April 2013



BUKANLAH sesuatu yang aneh buat Be’ah untuk menopang dagu di hadapan Mukakitab berjam-jam lama. Usai Isyak santak kemunculan fajar merah di kaki langit, Be’ah acap kali menikmati simfoni malam bersama kemas kini mutakhir dari laman sosial maya Mukakitab.

Adapun Be’ah menghadapi kekacauan minda semenjak dua ini tatkala gambar dulang hantaran kerap muncul di Mukakitab. Sahabat seangkatan seorang demi seorang melangkah ke jinjang pelamin. Inai merah kesumba membalut jari dan sulaman manik busana pengantin berkilau-kilau ditempuh cahaya kamera. Be’ah sekadar mampu menelan liur.

"Catriona? Catriona Kabaret?" Keserabutan rasa memuncak setelah gambar Catriona berdampingan dengan jejaka janggut pandak dan berserban putih menikam saraf anak mata.

Catriona Kabaret selamat dinikahkan? Be’ah mengalih tetikus, akaun Mukakitab milik suami Catriona menjadi tatapan. “Beruntung Catriona! Suaminya warak sekali.” Himpunan ayat al-Quran dan potongan hadis sahih menjadi sajian kepada pengunjung laman.



Renggutan jiwa Be’ah singgah-menyinggah. Selepas Catriona, sahabat seangkatan lain turut mengikut jejak yang sama. Halaman Mukakitab masing-masing sebu dengan warna tema majlis perkahwinan dan kalungan tahniah daripada teman-teman.

Be’ah semakin tidak keruan. Memikirkan tampang muka yang dihinggap jerawat batu dan berona kulit langsat ranum, apakah ada jejaka sudi memandangnya walau sekilat? Jejaka pilihan bukan mahu semberono dipilih di kaki jalan, harus punya pegangan agama dan prinsip jati diri yang teguh. Tapi, bagaimana dan di mana boleh dicari? Be’ah dibelit gusar.

 
Ah sebentar, Abang Ghani dan Kak Rogayah! Kenapa tidak mohon bantuan mereka sahaja mencarikan pasangan? Wajah pasangan berusia 50-an yang aktif dalam gerak kerja dakwah itu muncul perlahan-lahan di layar minda yang kini disuluhmentol idea.

Ghani dan Rogayah tidak punya halangan untuk membantu, sementelahan perkara mulia di sisi agama yang ditagih Be’ah. Satu pertemuan suai kenal diaturkan di sebuah restoran di ibu kota bagi mempertemukan Be’ah dan calon pilihan yang mereka kenali.

“Boleh saya minta akaun Mukakitab?” Soalan permulaan Be’ah kepada calon suami mengisi kesunyian ruang utama restoran. Meski ditampar rasa hairan, si calon suami tetap memberikan nama akaun tanpa menyoal lebih lanjut.

“Maaf saya harus ke tandas sebentar.” Be’ah bingkas bangkit.

Sebaik pintu tandas dikunci, nama akaun yang baru diterima segera ditaip menerusi telefon bimbit pintarnya yang dilengkapi kemudahan internet 3G.

Halaman Mukakitab calon suami yang sedang menunggu di meja makan restoran terpampang kini. Dibuka di bahagian tulisan, kosong. Hanya ada coretan pendek berbunyi seperti ‘sudah tiba jam menyepak bola!’, ‘malam ini begitu sunyi’ dan ‘menonton program nyanyian di Saluran 1, hebat sungguh penyanyi kecil molek itu!’.

Be’ah menggerenyet bibir menandakan benci. Dia tidak terus duduk setelah kembali di meja pertemuan. Dia membisikkan sesuatu kepada Rogayah sebelum berlalu tanpa sebarang titipan selamat tinggal kepada hadirin yang lain.

“Kenapa Abang Ghani dan Kak Rogayah mencarikan aku manusia sedemikian? Nonsense!” Be’ah membentak sendiri walaupun pertolongan pasangan suami isteri itu masih tetap ditagih. Mereka satu-satunya harapan untuk dia bertemu bakal suami mithali.



Perjumpaan kali kedua diatur di lokasi serupa.

“Maaf, saya perlu bercakap telefon sebentar.” Be’ah mohon meninggalkan perjumpaan sejurus nama akaun Mukakitab calon suami berjaya diketahui.

Nyaris-nyaris Be’ah menghempas telefon bimbitnya ke lantai tandas. Dia lebih rela skrin itu retak lalu berkecai. Tidak sanggup dia melihat profil Mukakitab calon suami terbarunya ini yang penuh dengan gambar kartun Jepun dan kotak-kotak dialog yang tidak dia mengerti walau sepatah pun. Dia menyentuh segmen ‘Biodata’ dan kemudian ‘Cita-cita’ di skrin telefon. Tiada satu pun ciri-ciri suami soleh dipunyai oleh jejaka ini! Be’ah benar-benar dirasuk amuk.

“Tak mungkin kaki komik Jepun menjadi suamiku! Bagaimana mahu mewujudkan suasana Islamik semasa mendidik anak-anak kelak. Entah nanti anak-anak berperangai kartun!” Dia menolak daun pintu tandas, menuju semula ke ruang utama restoran. Wajah kelat Be’ah dari kejauhan sudah dapat ditafsir Ghani dan Rogayah. Be’ah membuat isyarat berbentuk ‘T’ dari jarak 20 meter dan berlalu meninggalkan restoran tanpa sebarang pesanan terakhir buat calon suaminya.

Adapun hal ini berlarutan sehingga berbelas-belas pertemuan. Aturcaranya tetap sama. Be’ah akan terlebih dahulu bersuara dan meminta akaun Mukakitab calon suami.Dengan sopan dia mohon meninggalkan perjumpaan sebentardan kemudian tiada lagi bayang tubuh gempalnya akan kelihatan.

“Aku mahukan teman hidup seperti kepunyaan Catriona Kabaret!” Keinginan terus menekan-nekan keras perasaan. Setiap waktu dia akan bertandang ke laman Mukakitab Catriona, memandang penuh minat foto-foto kebahagiaan Catriona dan suami. Mengecapi bulan madu di Istanbul. Suka sekali dia duduk di riba suami mendengarkan kisah pembukaan Constantinople oleh Al-Fatih. Debur Bosphorus menjadi teman sambil si suami membisikkan ayat-ayat suci. Takdir begitu kejam, tidak menyebelahiku. Be’ah merungut.

Halaman Mukakitab terus ditelaah saban malam. Dengan buakan semangat mencari pasangan, ketekunan sedia ada menokok lebih tinggi. Dia ligat mengetik butang kiri tetikus komputer, melompat dari satu halaman ke halaman lain.

Alangkah bahagia kalau punya pasangan hidup yang diredhai-Nya

Satu kata-kata hikmat yang dikongsi oleh seorang rakan muncul di skrin utama. Jon Alphabet, gambar profil berlatar belakangkan padang pasir dan langit lazuardi persih. Pemilik akaun segak berdiri dengan pakaian jubah coklat cair dan kopiah putih.

“Inilah, inilah orangnya!”



Be’ah menghubungi Ghani dan Rogayah segera bagi mempertemukan dia dan Jon Alphabet. Persetujuan dimeterai tanpa prosedur yang sulit. Jon Alphabet dan Be’ah bernikah dalam satu majlis ringkas dihadiri sanak-saudara dan teman rapat sebulan kemudian.

Perkahwinan membawa Be’ah menelusuri arus bahagia. Jon Alphabet punya lagak bagai suami Catriona yang begitu gah berdakwah dalam Mukakitab. Pengikutnya yang kian berlaksa-laksa di Mukakitab mengembangkan lagi rasa bangga Be’ah. Aku bersuamikan seorang pendakwah Mukakitab terkenal! Be’ah menempik sendiri dengan penuh kesukaan.

Pada suatu Subuh nan hening, Jon Alphabet menulis:

Alhamdulilah, tiba untuk solat jemaah Subuh di masjid! Rakan-rakan bagaimana?
10 871 pengguna klik suka, 450 orang menitip komen dan 103 kali dikongsi.

Be’ah menyungging senyum. Dia menggeliat dan menuju tandas untuk berwuduk. Subuh bakal mengetuk pintu angkasa pada bila-bila masa sahaja.

Dia memaling semula tubuh ke katil. Jon Alphabet masih dibaluti selimut.

“Barangkali dia sudah pulang dari solat jemaah. Aku yang ralit dan terlambat menyemak Mukakitab agaknya.” Jam dinding kamar disemak berulang kali.

Sayup-sayup kedengaran iqamat dari masjid berdekatan. Sangsi mula menghurungi logik tapi apabila memikirkan status Mukakitab di akaun Jon Alphabet, segala persoalan disingkirkan dari kotak pertanyaan. Barangkali dia ke masjid yang lain. Be’ah berpaut teguh pada dahan positif pokok akalnya.

“Kak Gayah bukan nak mengata, tapi tak molek kalau Jon berdampingan dengan isteri orang begitu.” Getaran suara Rogayah kelmarin masih berbekas di kepala.

Tap! Kotak pemberitahuan warna merah dengan nombor 1 menandakan ada satu kemas kini daripada Jon Alphabet.

Akan berceramah di hadapan 200 orang kakitangan kerajaan hari ini.

Halaman Mukakitab Jon Alphabet diteliti penuh gembira. Mustahil tuduhan Kak Rogayah berasas. Mungkin dia masih terasa hati dengan penolakanku terhadap berbelas-belas lamaran calon suami dengan aneh sebelum ini. Be’ah membuat penafsiran.

“Kami bersaksi bahawa Jon keluar kedai nombor ekor dengan kopiah putih!”

“Ramai sudah orang bercakap tentang Jon dan seorang wanita berambut perang keemasan berdua-duaan di taman sehingga waktu Subuh.”

Be’ah menulikan telinga. Mulut orang, hiduplah selama yohana masa pun tidak akan boleh ditutup. Apa jua hamburan kata, keyakinan Be’ah sekelumit pun tidak akan tergugat. Mahu sahaja dia mencetak hasil tulisan suaminya yang sarat motivasi di Mukakitab lalu ditempelkan pada muka-muka pembawa mulut itu.

Pada suatu rembang, Jon Alphabet ada menulis:

Akan bertolak ke Kota Kinabalu, program bersama pelajar universiti – daftar masuk di KLIA


Senyum Be’ah melebar tanpa disuruh. Kukuhkan peganganmu, duhai mujahid sayang biarpun ribuan fitnah bertempiaran ke sana ke mari. Be’ah mendesis harapan.

Pintu rumah dikuak pantas. Jon Alphabet terhuyung-hayang menerpa masuk. Matanya kuyu. Dua butang baju kemeja terbuka.

“Bukankah abang ke Kota Kinabalu?”

“Tidak. Kenapa tanya begitu?”

“Di laman Mukakitab abang,bukankah baru daftar masuk di KLIA?” Be’ah keliru sambil meluruskan telunjuk pada skrin telefon bimbit.

Jon Alphabet terkerising sebelum amplitud bahak tawa menjulang. “Oh, Mukakitab! Bukan saya lagi yang memegang akaun ini. Adik saya yang baru pulang dari Mesir itu menggunakan akaun ini sekarang.” Jon Alphabet membiarkan Be’ah terpelahang bersendirian, langsung berlalu ke kamar mandi.

Getaran tangan Be’ah kian ketara. Sedang nadi berdenyut pantas, dia cekatan menyeluk saku baju kemeja yang dicampakkan Jon Alphabet di atas sofa antik. Resit kedai nombor ekor didapati terlipat kemas. Bekas gincu turut ditemui berdekatan lengan. Bukan gincu biasa. Dia kenal pemilik gincu merah jambu buatan Eropah dan punya aroma mengghairahkan itu. Catriona Kabaret.

Be’ah terduduk, empangan tangis mulai retak dan pecah tidak sampai seminit bertahan. Renjatan kesedaran menyengat tubuh. Ya, Mukakitab bukan kitab kebenaran yang harus diikut. Kalimah taubat bergema berulang-kali di lohong perasaan Be’ah.



Gambar 1: Kredit kepada Puan Saadah yang menangkap gambar daripada akhbar asal

Gambar 2:  http://www.telegraph.co.uk/technology/facebook/9925072/Why-women-constantly-lie-about-life-on-Facebook.html
Gambar 3: http://www.thegilbertscott.co.uk/
Gambar 4: http://www.highdwallpapers.com/view-alone_desert_and_blue_sky-wide.html
Gambar 5: http://guidepal.com/kuala-lumpur/know-the-city/kuala-lumpur-international-airport-klia

Sunday, 9 December 2012

Cerpen: Pulut Serunding Buat Nazihah

Cerpen ini disiarkan di Berita Minggu, 4 Disember 2012. 

BUTIR-BUTIR manik jernih meluncur di kedua-dua belah pipinya. Tikaman cahaya suria mengunjungi bumi Manchester saat musim panas melepasi angka 20 darjah Celcius menzahirkan lagi garis basah di wajahnya yang dilitupi kemas oleh selendang pashmina buatan Turki. Awan bergerak gontai seakan-akan memahami jiwanya yang berkubang dengan rencaman kerisauan dan kebingungan.

Nazihah menyeranggung di kawasan berumput hadapan Whitworth Hall, lokasi majlis graduasi para pelajar University of Manchester. Di sekelilingnya teman sekelas kecoh taru dengan membaling topi graduasi dan galak ketawa sambil bergambar dengan kenalan dan keluarga.


“Zihah, aku tiada di Manchester sampai Ahad depan. Ke Edinburgh dan Inverness bersama keluargaku.” Rusaliha, teman serumah menjelaskan perancangan. Bunga senyuman mekar pada wajah bulat Rusaliha yang didandani selendang satin jingga. Nazihah sekadar mengangguk sambil berusaha menyembunyikan tampang kelat.

“Mengapa aku begitu kejam?” Rangkaian persoalan menyebu panti akal Nazihah. Sorotan katanya bernada tinggi tidak berhenti bergema di lohong pendengaran, menyiat saraf pendengaran menjadi daging bercetai-cetai. Sakit, benar-benar sakit dengan sikapnya sendiri!

“Tak perlulah, mak. Bukannya penting pun!” Masih belum lekang ayat sendiri di dinding ingatan. Nazihah berusaha mencagak pendirian. Di hujung talian, senyap menyelubungi, seolah-olah memberi laluan buat Nazihah memanahkan kata-kata dengan busur emosi.

“Tapi..” Suara ibu Nazihah mendatar lalu tersekat, ada sesuatu yang menyepit pita di kerongkong. Cuak bagai seorang tertuduh berbicara di hadapan hakim dan pendakwa raya.

“Tak usahlah, mak!” Suara Nazihah semakin melengking tinggi. Dia sedaya upaya mengawal pertuturan agar tidak menyakiti hati sesiapa. Namun, pendiriannya tetap utuh. Datanglah badai sekuat angin yang melanda pantai barat England ketika musim panas sekalipun, tidak akan sesekali berubah - ibu dan ayah tidak perlu menggagahkan kudrat tua untuk menghadiri majlis graduasi di Manchester.

Telefon pintar berteknologi kaca sentuh dihempas ke duvet sesudah panggilan ditamatkan. Nazihah menghembus nafas panjang. Nubari meracau, dicucuk-cucuk oleh hasrat kedua-dua orang tuanya.

“Perlukah sampai nak menjual lembu kambing dan tanah sekangkang kera arwah Pak Long untuk ke sini? Bukankah lebih baik gunakan untuk biayai Adik Chik di kolej swasta?”

Buat apa menghabiskan dekat puluhan ribu Ringgit hanya untuk suatu majlis penyerahan scroll yang ringkas? Bukannya lama, cuma sekitar satu jam. Pesta graduasi di Manchester tidak semeriah pesta konvokesyen di universiti-universiti Malaysia. Tiada apa yang istimewa melainkan detik sepantas mengunyah sebiji buah Melaka. Nazihah terus mencari logika di sebalik tembok pendirian.

Manchester bukan Alor Setar mahu pun Kangar. Apatah lagi mahu menyamai pekan nelayan Sungai Berembang. Di sini tidak ada ruang habuan bercucuk tanam kalau dilanda kebosanan. Bukannya boleh bermotosikal tanpa helmet menyaksikan nelayan pulang waktu petang. Tambahan untuk tinggal di rumah pelajar undergraduate di kotaraya Manchester, bukan ada apa-apa kemewahan melainkan ruang cukup-cukup untuk hidup.

Nazihah terbayangkan keadaan ibu dan ayahnya ketika pertama kali dibawa ke rumah Abang Long di Kuala Lumpur. Tidak senang duduk. Berdiri juga serba tidak kena. Di Malaysia pun terkebil-kebil jadinya apatah lagi mahu bersempit-sempit di bilik berlantai sejuk di daerah sibuk Rusholme ini?

Perjalanan juga bukan sekejap. Kalau menaiki penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke London menelan masa lebih 12 jam. Kalau memilih untuk transit di tanah Arab seperti Doha dan Dubai akan menjadi lebih lama malahan kadang-kala lebih sehari. Lutut mak belum pulih sepenuhnya selepas pembedahan, bukannya boleh duduk berjam-jam. Ayah pula kerap ke tandas dek penyakit kencing manis.

Nazihah larut dalam pencarian terhadap kemungkinan yang bakal berlaku. Kekalutan ibu dan ayah untuk menyesuaikan diri di bumi Inggeris dihitung satu per satu. Bukankah memerah tenaga mahu ke Manchester sesuatu yang menyusahkan buat mereka?

“Tapi Zihah, mak dan ayah benar-benar mahu hadir ke majlis graduasi kau. Bukan senang nak melihat anak desa sepertimu merangkul gelajar first class honour, terutama untuk bidang bukan calang-calang seperti fizik.” Abang Teh mengemukakan pandangan.

Nazihah malas berbicara. Sekadar berkata tidak berulang kali lantas membuatkan hujah abangnya mati modar dipancung bilah-bilah kata yang cukup tajam.

“Ini Nurul Nazihah, pelajar tahun ketiga Fizik di Manchester? Saya Encik Khairul pegawai jabatan kebajikan pelajar Malaysia di London.” Panggilan mengejut Encik Khairul lewat malam semalam masih menghantui, menyusup-nyusup di lohong perdengaran lalu terus mencanak naik sampai ke otak.

“Be..Betulkah Encik Khairul?” Seluruh tubuh Nazihah menggeletar tanpa disuruh.

“Awak tak perlu bergegas ke mari. Tiada gunanya. Kami di London akan bantu apa yang boleh. Cuma saya nak minta jangan matikan telefon bimbit kalau-kalau ada panggilan daripada jabatan imigresen Heathrow untuk sebarang siasatan.”

Detak jantung Nazihah bagai direnggut voltan elektrik berkuasa tinggi mendengar perkhabaran dari Encik Khairul. Ibu dan ayah ditahan di lapangan terbang antarabangsa Heahtrow! Lebih menokok kesangsian, Encik Khairul sendiri masih belum pasti punca penahanan.


Berdudu-dudu air persoalan membanjiri kamar akalnya. Ibu dan ayah tetap hadir ke sini? Agaknya mereka cuba berurusan dengan anak angkat Pak Long yang menetap di Reading.

Kelepir jari-jemarinya kian ketara. Monitor ingatan memancarkan semula adegan dalam Nothing To Declare, satu rancangan televisyen memperikan kisah benar penumpang-penumbang ditahan di lapangan terbang sekitar England untuk siasatan pelbagai kes. Soalan pegawai sememangnya bertali-arus. Bolehkah ibu dan ayah menjawab? Bahasa Inggeris pelat Malaysia pun sukar difahami apatah lagi dengan pelat British. Bagaimana pula kalau tiba waktu ibu menelan ubat darah tinggi? Bagaimana kalau ayah lemah kerana kandungan glukosa dalam badan rendah? Tahukah mereka berkomunikasi meminta itu ini?

Bagaimana pula kalau…? Ya Allah!

“Zihah, boleh tolong ambilkan gambar?” Imbasan layar kenangan Nazihah menyirna. Nazihah melangut. Nabiha – gadis genit dari Kuala Lipis yang juga teman serumah terpacak di hadapan sambil tangan menghulurkan kamera digital. Berkalutan Nazihah menyeka bening yang bergenang di tubir mata. Garis basah turut lekas direlas bagi menghilangkan bukti. Dia tidak mahu sesiapa pun tahu kesengsaraannya, terutama di hari penuh bersejarah buat para graduan fizik di sebuah universiti tersohor United Kingdom ini.

Nabiha mengalih kerusi roda ibunya, menghala ke arah Nazihah yang sudah bersedia dengan kamera. Nabiha memimpin pula ayahnya yang bertongkat perlahan-lahan dan cermat, mengambil tempat dalam satu barisan mengiring. Bangunan Whitworth Hall berusia lebih 110 tahun gah berdiri menjadi latar belakang ditemani langit lazuardi musim panas.

 “Ibu dan ayah teringin benar nak lihat kau di atas pentas mahsyur itu!” Wajah berjambang Abang Teh kembali berkunjung ke lawang minda Nazihah. Bayangan kerusi roda dan tongkat kedua-dua orang tua Nabiha saling bertukar ganti menjadi tetamu ruang fikiran.

Nazihah memanggung kepala. Kawasan persekitaran Whitworth Hall sebagai lokasi graduasi sudah pun lengang. Nabiha sekeluarga lenyap dari pandangan. Mungkin sedang menikmati makanan Afghanistan yang terkenal di Curry Mile. Atau menaiki bas 20 minit untuk melawat ke stadium Old Trafford, gelanggang pasukan handalan dunia Manchester United. Atau bersiap-siap menaiki tren ke London sebelum menukar kepada tren laju ke Paris di seberang laut. Nazihah sekadar meneka. Tidak ada apa boleh menghiburkan keluarga selain menghabiskan masa bersama untuk melancong. Inilah waktunya. Jika selepas ini dia melangkah pulang dan bekerja sebagai seorang saintis di ibu kota, mana mungkin punya masa terluang seperti hidup seorang pelajar.

Lebih mustahak, kebanggaan dan kepuasan hati melihat anak kesayangan menggapai kejayaan di tanah asing.

Oh, mengapalah aku begitu tidak memahami!


Telefon bimbit Encik Khairul dihubungi berkali-kali – tidak dijawab. Adakah ibu dan ayah dihantar pulang ke Malaysia oleh pihak imigresen Heathrow? Atau ditahan di sel sementara sebelum proses pembebasan. Sihat atau sebaliknya? Ah! Selirat di akar kewarasan makin bertambah.

Hanya deraman enjin bas yang beroperasi di Oxford Road menemani keheningan suasana. Nazihah mengungsi sekujur tubuh longlainya ke masjid universiti di bangunan Mcdougall. Dia mahu mengasingkan diri untuk mententeramkan gejolak perasaan. Telefon bimbit dikerling selang beberapa saat – menanti apa jua berita terkini daripada Encik Khairul meskipun dia sudah menukar profil telefon kepada ‘loud’.

Hon membingitkan telinga secara tiba-tiba menyergah. Nazihah mengalih pandangan 180 darjah. Sebuah jip hitam berhenti sepuluh meter di belakang dengan logo jata kebangsaan bersebelahan nombor plat. Encik Khairul muncul dari pintu pemandu, sedikit tersengih. Nazihah membeliakkan mata, terpempan yang amat tatkala melihat dua wajah pikun dikenali keluar dari pintu belakang kenderaan.

Naziha menonong pantas ke arah ibu dan ayahnya. Dirangkul kedua-dua tubuh berjaket tebal itu sepuas-puasnya. Cecair bening menuruni pipinya dengan lebih laju. Dikucup tangan mereka selama mungkin, membiarkan bening keinsafan membasahi tangan yang telah membesarkannya selama 24 tahun. Ucapan maaf tidak putus-putus dilafazkan.

“Maafkan mak juga, Zihah. Tak kesampaian kau nak makan pulut serunding daging dari kampung.”

Rasa lega Nazihah berbancuhan dengan keliru.



“Tadi mereka ditahan di Heathrow kerana membawa bahan berunsurkan daging. Biasalah kastam di situ memang tegas. Tapi disebabkan tak boleh cakap Bahasa Inggeris maka dihubunginya kami di kedutaan untuk membantu. Alhamdulilah tak ada apa-apa cuma serunding tersebut terpaksa dirampas. Saya pula kebetulan ada hal dengan persatuan pelajar di Leeds, jadi terus singgah di sini. Nabiha yang beritahu kamu ada di kawasan universiti.” Encik Khairul mengulas panjang.

Mata Nazihah bertambah kemerahan-merahan. Air matanya begitu tunak mengalir seakan-akan tiada penamat.

“Maafkan mak, Zihah.” Kesayuan semakin hebat menyelar perasaan Nazihah.

Sumber gambar