Thursday 16 July 2015

Skema Jawapan "Bila nak kahwin?"

Tengah stress kat office baik aku tulis benda mengarut - itulah tema hari ini. 

Tentunya waktu raya anda bakal dikunjungi makcik-makcik mulut laser, yang kerja mereka duduk di dapur dan menganalisis kemewahan-kemiskinan hidup anda berdasarkan jumlah fridge magnet luar negara yang ada di peti ais rumah anda.

Atau pakcik-pakcik nakal yang tugasnya mengusik anak muda.

Atau rakan-rakan kita yang dari zaman main senapang ceri sehinggalah ke kereta Dash Yonkuro asyik mengusik kita.

Soalan yang tidak dapat dielakkan oleh anak muda berumur lingkungan 20-30 tahun adalah

"Bila nak kahwin?????????"

(Walaupun serabut, tanda soal kena bubuh banyak, kasi hiperbola sikit).

Maka di sini ada beberapa cadangan skema jawapan untuk digunakan menjawab dan menepis soalan sedemikian.


Jenis respon: Soal kembali


Jawapan kepada: Orang yang bertanya berumur dari kita (pangkat abang/kakak) yang sudah berkahwin

Respon: 

"Tanya kita bila nak kahwin, akak tu bila lagi nak bermadu?"
"Tanya kita bila nak kahwin, abang bila pula nak kahwin dua?"

Kesan positif: Orang tersebut akan terkedu dan lidah bagai diikat daun palas

Kesan negatif: Anda akan dihumban ke dalam kawah rendang atau bermandikan cecair-pepejal kenyal si dodol atas tuduhan cuba menganggu ketenteraman awam.


Jenis respon: Mengorat


Jawapan kepada: Orang sama umur dan masih single

Respon anda:

"Aku sebenarnya lama dah minat hang. Kalau hang nak, jom kahwin sekarang."

Kesan positif: Orang tersebut akan tersipu malu dan akan bertaubat daripada bertanyakan soal kahwin kepada semua orang.

Kesan negatif: Gurauan anda dipandang serius olehnya dan dia secara tiba-tiba terus ke status Facebook dan menukar statusnya dari single kepada 'engaged'.



Jenis respon: Kader-kader perjuangan


Jawapan kepada: Semua yang bertanya

Respon anda:

"Perjuangan hidup saya untuk agama, bangsa dan negara lebih penting daripada percintaan yang bersifat peribadi."

"Saya nak tumpukan pada kerjaya saya terlebih dahulu."


Kesan positif: Mereka bangga ada anak muda macam anda.

Kesan negatif: Anda mungkin akan ditangkap dan dilabel sebab pejuang puak pelampau


Jenis respon: Terkejut


Jawapan kepada: Kawan-kawan rapat yang bertanya

Respon anda:

"Dah kahwin dah minggu lepas. Saja tak ajak hang dah mulut becok sangat."

Kesan positif: Kawan anda tahu anda dalam mood melawak dan tak kisah dengan soalannya.

Kesan negatif: Rakan anda ambil serius, merajuk sebab tidak diajak kemudian berlari meluru keluar rumah dan dilanggar kereta maka jadilah drama TV2 secara tidak disangka-sangka.


Jenis respon: Cadangan bernas


Jawapan kepada: Jika anda diusik dengan sesiapa contohnya "Eh Man, Leha tu single lagi apasal kau tak cuba. Kasihan dia membujang lama, umur dah meningkat."

Respon:

"Kau kahwin la ngan dia, buat bini nombor dua." - jawapan kepada lelaki
"Kau ambil la Leha tu jadi madu kau. Kata kasihan." - jawapan kepada perempuan

Kesan positif: Entah

Kesan negatif: Anda bakal disyaki memporak-perandakan rumah tangga orang.


Jenis respon: Klise tahap drama Melayu


Jawapan kepada: Semua yang bertanya

Respon anda:

"Jodoh belum sampai."
"Nanti adalah tu."
"Ini takdirku."
"Biarlah aku sendiri menempuh ombak hidup ini."
"Siapalah nak kita ni kan. kan kan kan kan kan...."

Kesan positif: Jawapan paling standard, ala-ala skema jawapan PAI waktu PMR atau SPM dulu

Kesan negatif: Anda akan dibantai semula dengan soalan lebih pedas contohnya "Eleh awak tu memilih sangat!", "Jual mahal!" dan sebagainya. Anda juga mungkin dilabel sebagai peminat drama atau novel Melayu tegar kerana jawapan anda sama saja dengan skrip-skrip drama TV atau novel cinta.


Jenis respon: Cari pasal


Jawapan kepada: Wanita yang dah berkahwin

Respon anda (Wanita sahaja):

"Boleh juga nak kawin, teringin nak jadi isteri kedua seseorang juga ni"

Kesan positif: Akak tu akan tertelan air liur, terkesima dan terkejut.

Kesan negatif: Akak tersebut akan guna Facebook suaminya dan block anda

-------

Kebanyakan jawapan di atas adalah sekadar dalam bentuk gurauan. Jangan ambil serius. Dan kalau nak guna pun, tengok keadaan. haha. Aku tak bertanggungjawab kalau ada yang melayang kena sepak nanti.

Kadang-kala soalan berbentuk 'nakal' setengah orang memerlukan jawapan yang sedikit 'nakal' juga untuk mendiamkan orang. Haha. Kalau jawab biasa-biasa nanti orang tak faham yang sebahagian kita agak sensitif dan tertekan dengan soalan-soalan sebegini.

Baru-baru ni di Facebook ada pesanan macam dalam gambar di bawah:


Sumber gambar: carian Google images, instagram Shima Anuar

Betul kah tak boleh tanya soalan sebegini?

Bagi aku, boleh. Cuma kena gaya yang betul. 

Bandingkan kedua-dua situasi di bawah

Situasi 1:


A: Eh kau bila nak kahwin? Kawan-kawan baya kau dah kahwin. Danial Aqasha tu anak dah dua orang. Kau bila lagi?
B: Hm tah lah tak ada jodoh lagi
A: Kau tu memilih sangat. Kahwin la baru hidup senang bla bla bla
B: Hm..


Situasi 2


A: Kau bila nak kahwin?
B: Hm tah lah tak ada jodoh lagi
A: Oh takpa lah slow2 lah weh. InsyaAllah.

Situasi 1 ternyata membuatkan orang yang ditanya rasa tertekan. situasi 2 niat yang bertanya lebih kepada ingin tahu berbanding nak mengusik.

Pendek kata, ada bezanya 'bertanya' dan 'mengacah' atau 'mengejek'. 

Nak tanya boleh, tapi tengok apa niat nak bertanya. Kalau nak mengacah mengejek tu baik tak perlu.

Anda mungkin rasakan "Eh takpa la nak diusik ini gadis hot/laki hensem/laki kaya/laki hebat/perempuan rebutan yang tak ada masalah jodoh." - hakikatnya, anda takkan tahu masalah-masalah hidup orang lain yang tersembunyi. Tak semua orang hidupnya macam yang anda tahu (contoh dalam cerita Melayu kalau lelaki kaya tu selalunya tak ada masalah jodoh).

Jadi, berhati-hati!

Jadi sila jaga budi bahasa bila berkomunikasi semasa hari raya. Rugi saja hang puasa sebulan kemudian raya banyak buat dosa dengan sakitkan hati orang secara 'senyap' tanpa disedari.

Tu saja mesej post ni, merapu punya panjang. 

Raya di Manchester tahun ni, selamat la sikit dari soalan-soalan cepumas.

Selamat hari raya!




No comments:

Post a Comment