Monday 27 April 2015

6 Jawapan Kepada Soalan 'Mahasiswa Luar Negara Gembira Melancong...'

Pada mulanya saya sekadar bergurau-manja di Facebook - siapa mahu pandangan saya tentang isu ni sila like status ini. Nak buat ala-ala admin batak like gitu (bajet selebriti la konon), tapi akhirnya termakan diri sendiri setelah dapat like melebihi tahap biasa. Padan la muka, cari penyakit. 

Maka terpaksalah kemas kini blog yang dah sedia usang. Bagus juga sebab dapat kemas kini sidebar yang dah berhabuk-bersawang.

Akibat semalam (Ahad) banyak menghabiskan waktu dengan aktiviti kurang berfaedah (melepak kedai makan, berbasikal), maka terpaksa tulis ini selang-seli dengan kerja Phd di pejabat. Huhu. Kepada pelajar undergraduate yang bakal enak bercuti berbulan-bulan nanti, silalah manfaatkan cuti anda nanti. Jangan dah bila kerja atau sambung Phd, baru nak tergedik-gedik buat bermacam aktiviti.

Saya tak mahu tulis dalam bahasa jargon-margon yang memeningkan kepala, cukuplah sekadar analisis blog dan untuk kefahaman umum. Kalau anda tak faham juga tulisan ini, mungkin _____ (isi sendiri).

Saya merupakan bekas graduan University of Manchester (2009-2013) dalam bidang kejuruteraan mekanikal. Sekarang saya merupakan Phd researcher di universiti yang sama. Maka mungkin kebanyakan yang baca post ini adalah mereka yang boleh saya panggil adik-adik (bajet tua la syial). Saya juga pernah menguruskan persatuan pelajar di Manchester dan selalu berbincang hal pelajar luar negara dengan sahabat-sahabat seluruh dunia. InsyaAllah, post ini ditulis berdasarkan pengalaman ini.

Berapa panjang intro, bila nak mula ni woi.

Okay, okay jangan emo huhu. 

---------------------------

Saya pada mulanya seperti biasa bergembira-tomei-tomei bermain Facebook, sekali tengok ada semacam kemarahan timbul dalam kalangan sahabat yang juga pelajar luar negara. Hal ini timbul berdasarkan status/post Twitter ini:



Maka ramailah pelajar luar negara meluahkan keamukan dan ketidakpuasan hati:

"Mana ada! Cuba duduk kat tempat kitaorang baru la tau!"
"I memang happy go lucky, dah tu guane nak mase-mase (masam) muko plop!"
"Kitaorang pun belajar macam nak mampus. Nasib baik tak mampus betul je!"

Begitulah bunyi-bunyi amukan, lebih kurang.

Relax relax jangan emo. 

Saya rasa apa yang diujarkan oleh @tweetuniversiti ini tak salah pun.

Memang ada kebenaran.

Berdasarkan status Twitter ini, ia berbentuk soalan sebab itu adanya tanda soal di belakang. Namun bila tengok komen di Facebook dan juga Twitter, para pelajar luar negara tampaknya lebih kepada 'outrage' berbanding menjawab. Kalau status Twitter ini tidak berbentuk retorik/sinis, maknanya pelajar luar negara bertanggungjawab untuk jawab

"Kenapa kau orang nampak gembira melancong sana sini sedangkan kami (pelajar dalam negara) pening memikirkan masalah belajar?"

Ya,apa jawapan kepada soalan pengguna Twitter ini?

Itulah soalan yang harus dijawab berbanding bersikap defensive dan membambu si penulis Twitter dengan bermacam-macam dakwaan. Tak sepatutnya nak rasa marah - hanya perlu menjawab soalan itu dengan jawapan yang sebaik-baiknya. Rakan-rakan di Malaysia (atau lokasi lain seluruh dunia) tak akan pernah tahu cerita sebenar kita, yang menjadi sumber pengetahuan mereka hanyalah media-media sosial. Itulah rujukan cepat dan utama semua orang, termasuk kita sendiri bila nak melihat perkembangan rakan-rakan lain.

Zaman abang dulu pakai MIRC dik! Keh keh. 

Buktinya, cuba pilih akaun Instagram rakan luar negara secara random dan buat kajian. Kita dapati gambar-gambar yang ada adalah gambar makanan sedap-sedap yang dimasak sendiri, gambar golek atas salji, tonggek depan Eiffel tower dan lain-lain,  Secara umumnya, gambar semuanya pakat nampak seronok ala tomei-tomei belaka. 

Jadi, apakah jawapan kepada soalan status Twitter di atas?


Bagi memudahkan penerangan, saya membahagikan jawapan kepada enam bahagian.

---------------

Jawapan Pertama: Kepahitan jarang dimedia-sosialkan 


Tidak dinafikan bila sebut berkenaan luar negara, kita terbayangkan perkara yang seronok. Eh seronoknya sejuk tak payah pakai aircond, eh besnya negara luar kan public transport sangat bagus, orang baik- baik dan sebagainya. 

Memang, kalau tengok drama dan filem Melayu - latar luar negara diangkat begitu hebat sekali sampai semua orang tergila-gila nak ke sana.

Tapi secara realiti, tak semuanya indah. 

Apabila saya ke Sydney, Australia beberapa minggu lepas untuk urusan kerja - saya sempat 'berusrah' dengan pelajar di sana. Salah seorang pelajar wanita di sana menceritakan bagaimana mereka dimaki-hamun dalam keretapi oleh seorang lelaki anti Islam. Kalau tak salah saya, pernah juga mereka dijirus air semasa berjalan-jalan di bandar.

Sepanjang penglamana saya menguruskan persatuan pelajar di Manchester, pelbagai kisah 'menyayat hati' pernah dilaporkan kepada saya secara peribadi - ada kes cuba mencederakan diri kerana tertekan, kes kena cabul (seksual) oleh orang asing, kena mengorat oleh orang Pakistan sampai rumah kena 'mark', yang jumpa doktor sebab tekanan perasaan, yang tanya berapa harga tiket flight sebab nak lari balik rumah sebab homesick, kena rompak dengan ancaman pistol dan sebagainya. Ya, rakan-rakan Manchester yang membaca ini tentu juga terkejut sebab hal ini tak pernah diceritakan sangat. Pelajar-pelajar juga ada yang sampai kena minta teman untuk pulang ke rumah yang agak jauh - khuatir dengan kisah rogol, bunuh yang kerap diceritakan oleh Manchester Evening News.

Belum campur isu Islamphobia di negara kurang orang beragama Islam - rakan di Czech Republic jenuh berahsia untuk adakan sebuah masjid di bandarnya (nak makan ayam halal punya susah kena order). Di negara Arab pula, saya difahamkan kena ada 'penjaga' bila sekumpulan pelajar wanita berjalan pada waktu malam. Fuh, macam bahaya sungguh bunyinya kan? Memang bahaya pun.

Semasa saya menaip ini, rakan saya Hariz Said di Liverpool, UK baru menghantar emel kepada sebuah sekolah kerana pelajar mereka menyerang dia dan rakan dengan kata-kata berbaur perkauman. Hariz jenis suka kongsi kisah hidupnya tapi masih ramai sahabat di sana berdiam diri dengan kisah-kisah sedih yang menimpa mereka.

Kalau bab melancong pula, pernah sekumpulan anak buah saya (cewah ayat) yang wanita diganggu di Sepanyol - dipaksa memberi passport dan mujurlah ada seorang yang agak tegas jadi tiada apa yang berlaku. Kes kecurian dan kehilangan pun banyak - beg kena copet di Barcelona, kena tipu oleh orang tempatan di Turki dan sebagainya.

Cerita-cerita pahit ini tak dimasukkan pelajar luar negara dalam media sosial, apatah lagi gambar selfie dengan mata bengkak, ataupun selfie dengan perompak. Sebabnya:

  1. Khuatir keluarga/kawan di kampung susah hati dengan tahap keselamatan di luar negara - ada ibu bapa sanggup ada akaun Facebook semata-mata nak tengok kegiatan anaknya. Bayangkan kalau ada sesuatu yang tak gembira diceritakan, jenuh kerisauan datang membuak-buak. 
  2. Rasa tak berapa kena nak cerita benda kurang best kepada orang ramai. Bahkan bila persatuan pelajar minta derma kilat pun, nama pelajar ada kalanya tak didedahkan untuk menjaga privasi. 
Secara peribadi, saya sendiri terpaksa menceritakan hal-hal baik di Facebook sahaja agar ibu di Perlis tak salah faham. Pernah sekali letak gambar ala jiwang-sedih waktu first year, janggut panjang rambut panjang - terus emak telefon tanya saya ada masalah jiwa la apa la bla bla bla. Adeh, serabut. Jadi saya terpaksa kawal media sosial untuk gambarkan hal-hal yang comel-baik saja. 

P/S: Kalau buat muka masam terlampau sangat untuk Salam Perantauan (ucapan raya), confirm surat khabar tak publish. Maka terpaksalah buat muka ceria walaupun masing-masing kena pergi kelas waktu raya dan hanya makan ketupat nasi segera Adabi.

Screenshot oleh Hariz Said berkenaan laporannya. Weh hang letak kat Facebook satgi jenuh mak hang risau akan ketidaksejahteraan hang, baik delete cepat. Mak hang tak baca blog aku so takpa aku letak sini. 


Raya tahun 2009 - sampai di Manchester buat pertama kali sehari sebelum raya. Memang semangat raya ditenggelami nervous, nak makan lemang atau ketupat pulut memang jauh sekali. Tak boleh mengadu rindu Malaysia kat emak nanti dia risau anak dia tak gembira - jadi kita pun berlakon gembira yeahhh!


---------------

Jawapan Kedua: Melancong atau tak melancong?


Tidak dinafikan memang kebanyakan gambar pelajar sakan bergaya, contohnya di depan Sydney Opera House, atau pelajar melompat gaya kids about to get up (budak baru nak up) di depan stadium Old Trafford, buat mulut muncung itik bersama Tower Bridge London, sengih-sengih depan piramid makanan di Giza dan sebagainya.

Jadi ada yang mengatakan - mereka ini melancong dan membazir duit!

Tapi dalam sesetengah kes, tak ada kos melancong pun. 

Eh ye ke? Macam teepuu jew.

Contohnya untuk pelajar di Manchester, Old Trafford hanya 4 kilometer dari rumah dan boleh menaiki basikal saja ke sana (atau free bus kalau siapa ada annual bus rider). Pernah dahulu rakan-rakan saya di London duduk sangat hampir dengan stadium Emirates (Arsenal), tingkap dapur rumah sahabat saya di Cardiff pula siap boleh langut tengok bumbung stadium Millenium Cardiff (sangat dekat!), rakan-rakan di Sydney juga hanya naik bas 30 minit untuk sampai ke Opera House, pantai bersih Nice di selatan Perancis pula ibarat tempat lepak petang-petang untuk pelajar Malaysia di sana.

Pelajar dalam UK juga kalau nak move around, kosnya tak tinggi mana sebab public transport boleh tahan murah dan negara tak besar mana (tidaklah sebesar Amerika Syarikat atau Kanada).

Justeru kadang kala pelajar tak melancong pun. Benda dah ada depan mata, ada di sekitar rumah. Maka pada pandangan saya, tak salah nak bergembira-bergambar. 

Contoh analogi kes adalah begini, pelajar dari Libya di UUM atau UNIMAP Malaysia pun menaiki motosikal kapcai bersama sahabat ke sawah padi berdekatan.Waktu itu padi menguning dan cuaca langit cerah - mereka berselfie lalu memuat naik ke laman sosial. Tiba-tiba kawan di Libya tulis "Korang ni melancong gembira saja aku tengok, kami di sini terseksa!". Tentunya mereka pun terkulat-kulat tak faham apakah sebenarnya salah mereka - sawah padi je pun!

Maka ada kalanya pelajar tak lah 'melancong' sangat pun dan tidaklah memakai wang yang banyak. Tapi saya tak nafikan memang pelajar luar negara ADA yang melancong bagai nak rak - gunakan duit sendiri, duit kerja sampingan, lebihan elaun dan sebagainya. Saya ada tulis isu ini dalam blog ini juga (Aku Segan dengan Kawan-Kawan) dan artikel 'Erti Menjadi Pelajar Luar Negara' di Malaysian Insider (April 2014). Saya kurang setuju dengan mereka yang melancong bagai nak rak guna duit elaun (sampai ponteng kelas, malas buat benda lain yang manfaatkan negara) dan ini hanyalah pendapat peribadi. Saya bukan mufti nak bagi fatwa itu haram, ini halal dan sebagainya. Untuk ketepatan, sila rujuk naqib atau naqibah yang hampir dengan anda. 


P/S: Pelajar UK dapat elaun £880 sebulan (luar London) kerana ada peraturan tetap UKBA yang menetapkan jumlah minimum elaun untuk pelajar antarabangsa.



Pelajar Malaysia zaman saya dulu-dulu, rumah mereka beberapa minit berjalan kaki dari sini. Tapi tak ada lah kalau bola melambung keluar stadium boleh sampai masuk ke bilik tidur mereka. 



Stadium Manchester City - kalau saya keluar pintu pejabat sekarang dah berjalan selama 20 minit ke arah timur, dah sampai ke sini. Bukanlah melancong namanya, hanya jalan-jalan petang mencari erti hidup yang hilang. 


------------

Jawapan Ketiga: Harga ke Eropah ala-ala dinner restoran mahal 


Di Eropah atau khususnya UK, harga untuk ke melancong ke negara terdekat tidak mahal. Tiket flight kadang-kala sangat murah sekitar berbelas-belas Pound. Bahkan pernah ada kurang dari £10 Tiket bas kalau ke bandar-bandar berdekatan, return tak sampai £10. Makan dinner di Nandos pun dah dekat £10. Baik pi melancong daripada makan Nandos haha.

Nak dibandingkan dengan elaun yang dapat, memang pelajar ada kemampuan nak berjalan-jalan. 

Berkenaan isu wang, tidak dinafikan bahawa ini SANGAT bergantung kepada negara mana para pelajar berada. Sesetengah negara, elaun berlebihan maka lebihan ini boleh digunakan untuk tujuan lain. Ada negara, para pelajarnya tak cukup wang sampai terpaksa mencari kerja sampingan untuk wang lebih.

Ada seorang pelajar di Australia, semasa 'usrah' bertanya pendapat saya.:

"Kenapa pelajar UK nampak sungguh bergaya, beli barangan branded pakai lawa-lawa? Kitaorang di sini sewa rumah pun dah separuh duit elaun."

Jawapan saya dengan penuh berhemah sebagai 'abang usrah' kononnya:

"Di UK ada pelbagai musim berbanding dengan di Sydney - UK musim sejuk bawah paras kosong, Sydney katanya hanya sekitar 4-5 darjah Celcius waktu winter. Julat suhu di UK lebih besar berbanding Australia. Jadi pelajar UK terpaksa tukar-tukar jaket ikut musim, Mati la nak pakai jaket winter waktu spring. Selain tu, sesetengah barang branded macam sangat mampu berbanding elaun yang diberikan. Contohnya kasut Clark yang di Malaysia RM400-500, di UK cuma £30 iaitu 3.41% daripada elaun £880 (aku sanggup cari kalkulator nak kira benda ni). Jadi sebab itu di UK pelajarnya nampak macam 'kaya' sikit."

Maka kesimpulan kecil di sini adalah, setiap negara lanskap ekonominya pelbagai. Ada negara purchasing power nya tinggi - 100 nilai mata wang boleh beli bermacam-macam. Ada negara agak lemah ekonominya jadi pelajar kena berjimat sedikit. Kebanyakan pelajar yang nampak hebat, kaya dan melancong ala mak-pak datin tu, datang dari negara yang purchasing power tinggi. Sebab itu bila status Twitter atas viral, pelajar di negara-negara yang agak 'sempit' dari aspek kewangan akan melenting kerana mereka bersusah payah ikat perut (tahan lapar) dan sengkang mata kerja cleaner untuk dapatkan wang lebih.

Saya kurang setuju ada pelajar luar negara mengatakan "Di Malaysia hanya bayar GST 6%, di tempat kami kena 20% tau!" - saya kira anda perlu mengambil kira isu purchasing power dan kekuatan nilai mata wang di setiap negara dalam kes ni.

Di Malaysia, tiket bas mahal. Ke Perlis sahaja dah lebih RM50 - purchasing power berbanding dengan elaun yang diterima sangat rendah. Maka sebab itu tak ramai pelajar dalam negara melancong (kecuali balik kampung). Tapi tak dinafikan juga, tiket ke lokasi pelancongan berdekatan seperti Krabi dan Bali ada kalanya murah - mungkin pelajar dalam negara boleh mula simpan duit dan sambar tiket-tiket murah Air Asia untuk melancong.

Seperkara lagi, kebanyakan yang anda nampak melancong sana-sini tu adalah pelajar yang bujang dan undergraduate. Selalunya yang dah berkeluarga (Phd selalunya), mereka sering kali ada masalah kewangan sebab nak tampung keluarga. Kebanyakan mereka akan kerja part time dan masa lain terpaksa urus anak dan sebagainya. Maka golongan ini tidaklah selalu menggembirakan diri dengan melancong - hanya kadang-kala bila status kewangan mengizinkan.

Maknanya di sini, tak boleh pukul sama rata lanskap ekonomi di semua negara. Juga antara pelajar bujang dan yang dah berkeluarga.


Tak gembira melancong di sini, mai kena buat kerja. Sempat la sat rendam air laut Coogee tu pun sejuk tahap teh ais Malaysia.

-------------

Jawapan keempat: 'Kemampusan' belajar ada di mana-mana


Belajar di mana-mana pun susah. Ada sahabat yang pernah belajar di luar negara (UK) dan Malaysia mengatakan di UK super kali ganda payah. Tapi ada yang kata, sama saja tahap kesusahan - hal ini bergantung kepada course. Antara cabaran lain belajar di luar negara adalah tiadanya rakan sekelas sesama Malaysia untuk ulang kaji - nak kawan rapat dengan Mat Salleh ada banyak tak kena dari aspek budaya dan sebagainya (tapi ada juga pelajar yang mampu bergaul dengan baik). Peer pressure orang dari negara lain hebat sangat dan banyak lagi tekanan yang lain. Itulah cabaran belajar di luar negara.

Di Malaysia, tidak dinafikan memang ada kesusahan tersendiri. Yang saya difahamkan, jadual kadang-kala pack (sampai ada kelas malam, sedangkan di Manchester kelas akan tamat jam 6 petang paling lambat). Rumah jauh dan campur dengan traffic jammed lagi - masa belajar tak berapa ada. Penat dan sebagainya.

Kalau nak bandingkan kepayahan modul, rasanya sama sahaja. Pelajar kejuruteraan mekanikal di Manchester juga belajar numerical method yang menyerabutkan, di UNITEN juga belajar ilmu yang sama. Tidaklah ada pelajar kejuruteraan mekanikal negara lain sekadar belajar hanya F=ma dan belajar pertukangan tahap Kemahiran Hidup tingkatan 3 sahaja.

Pelajar di Manchester pun ada yang fail exam, ada yang berkampung di perpustakaan siang malam untuk belajar, menangis-nangis homesick dan sebagainya. Cumanya tak sampai hati nak selfie dengan buku bertimbun dan air liur basi (sebab tidur atas meja library)!


Makan luar selalu mahal, nak masak tak ada masa - maka kita makan ala kadar satu lauk begini pun dah layan. Kari tak payah nak fancy, campak saja apa yang ada. Yeha! Kedai mamak? Kirim salam saja la.


--------------

Jawapan kelima: Pelajar luar negara tak perlu pergi kenduri khatan anak saudara pada hujung minggu 


Fancy gila tajuk jawapan. Layan saja.

Apabila saya tamat pengajian kejuruteraan mekanikal di Manchester, saya berhajat sambung Phd jadi terfikir nak sambung di Malaysia atau kekal di Manchester. Ada seseorang memberi pandangan:

"Baik hang dok Manchester saja, balik Malaysia nanti banyak distraction. Tambah kalau hang kawin, lagi lah!"

Tak dinafikan bila belajar di luar negara (terutama untuk yang bujang dan undergraduate), akan ada banyak masa terluang. Kelas hanya dari jam 9 sehingga 5 petang dan weekend tidak ada sebarang aktiviti universiti. Tak ada kawad kaki wajib ka, tak ada taklimat wajib dan sebagainya. Bermakna, hujung minggu adalah masa untuk diri sendiri.

Disebabkan masa lapang ini, para pelajar boleh gunakan untuk pergi berjalan-jalan selain belajar. Hal ini ditambah lagi dengan fakta bahawa tiket-tiket bas, tren atau flight sangat affordable (di UK)

Saya dapat rasakan di Malaysia akan banyak komitmen untuk keluarga, ada satu hujung minggu yang kita lapang, tiba-tiba dapat SMS dari ibu ayah:

"Eh minggu ni kenduri khatan Adik Mail, hang jangan tak pi!"
"Hujung minggu ni balik la rumah tengok nenek...."

Bila habis komitmen keluarga, nah minggu depan ada 3 kenduri kahwin sahabat - di Klang, Tanjung Malim dan Kajang - masa hujung minggu digunakan untuk memenuhi jemputan keluarga/kawan.

Bila di luar negara, segala kegiatan ini tak dapat dilaksanakan atas faktor geografi (ramai yang meroyan sebab tak dapat balik kakak-abang kahwin dan sebagainya). Maka pelajar luar negara ada masa lebih disebabkan komitmen keluarga yang tak boleh dilunaskan. Jadi kerana itu nampak 'happy' dan boleh ada masa untuk melancong dan belajar.

Dari sudut yang lain, ada yang kematian ibu, ayah dan saudara terdekat semasa belajar di luar negara lalu terpaksa beli tiket saat akhir yang mahal. Bila sampai, tak sempat menatap wajah orang tersayang buat kali terakhir kerana telah dikebumikan. Sedih, itulah antara cabaran pelajar luar negara - kena bersedia untuk hal-hal mengejut sebegini.

------------

Jawapan keenam: Budaya Mat Salleh, petang study malam melingkup di kelab malam


Malam minggu kalau di Manchester kau akan nampak Mat Salleh berhuha-huha macam haram. Seolah-olah exam dah habis walhal minggu depan ada paper. Tapi sebenarnya, itu budaya kerja Mat Salleh. Petang belajar, malam bersuka ria. Esok sambung belajar balik. 

Waktu berhibur, berhibur sungguh-sungguh (melancong contohnya). Waktu belajar, belajar betul-betul (belajar sampai tahap nak mampus).

Sama juga sebagai pelajar Phd, rakan Mat Salleh kebanyakannya masuk pejabat jam 9 pagi dan balik 5 petang. Kami yang Malaysian ni banyak menyembang, makan biskut, buat air teh, singgah kedai makan bila balik dari surau dan sebagainya. Mat Salleh agak cekap dalam membahagikan masa kerja dan peribadi. 

Disebabkan budaya ini, pelajar di Manchester terbiasa untuk membahagikan secara tepat antara waktu bersuka ria (melancong) dan waktu belajar dengan cermat. Kerana itu ada waktu kita lihat pelajar ini berjalan punya sakan (relaks, no pressure) tapi ada kalanya senyap saja di Facebook sebab tengah bersilat-berkungfu di perpustakaan atau 'gua' masing-masing.


Saat rakan Mat Salleh fokus buat kerja sebab malam nanti nak berjimba di kelab malam, orang Melayu tak akan lekang dengan makanan - tin biskut (sebelah kiri gambar), pencuci pinggan (sebab selalu makan), biskut (berhampiran keyboard), juga gambar kucing di desktop yang selalu menghilangkan fokus.

Baik cukuplah kot panjang sangat nanti ada yang tertidur membacanya (ke dah ada yang tidur huhu). 

----------

Kesimpulan daripada apa yang ditulis di atas:

  • Pelajar luar negara tidak harus terlalu 'defensive' dalam hal ini. 
  • Hanya kegembiraan dikongsi di media sosial, sebab itu kita hanya dapat lihat pelajar luar negara bersuka-ria (melancong, makan) dan tiada gambar menangis huhuhu di depan Skype bila call family.
  • Setiap tempat ada kebaikan dan keburukan - ini kesimpulan paling klise tapi tetaplah kena tulis di sini. 
  • Kita akan sentiasa merasakan orang lain lebih bahagia daripada kita. Saya sendiri pun semasa menulis ini sangat cemburu dengan rakan-rakan penulis di Malaysia kerana dapat ke Pesta Buku di PWTC dan promosi buku masing-masing. Saya hanya mampu duduk depan komputer dan makan buah oren huhuhu. Kerjaya penulisanku semakin dihimpit kesibukan dan kedudukanku di Manchester yang jauh dari penulis-penulis lain di Malaysia. 
  • Ada perbezaan ketara komitmen masa dan kewangan antara mahasiswa yang bujang dan yang sudah berkeluarga apabila di luar negara. 
  • Isu ini tak perlu diperbesar sangat sebabnya masih banyak lagi isu rakyat yang lebih penting untuk diselesaikan oleh para mahasiswa. Isu ini terlalu kecil jadi saya anjurkan pelajar luar negara dan dalam negara silalah 'berdamai'. 
  • Secara peribadi, saya tak suka pelajar luar negara yang boros dan berbelanja melebihi keperluan yang anda. Melancong itu saya kira perlu sebab rugi kalau pelajar hanya datang belajar sedangkan ada ruang untuk mengembara, tapi janganlah pula melebih-lebih kalah mak datin. 
  • Melihat dari sudut positif, status Twitter di atas sebenarnya adalah pencetus pelajar luar negara untuk muhasabah kembali hidup di luar negara dan sedar bahawa kita telah guna banyak duit rakyat - jadi harus memikir cara untuk sumbangan semula kudrat kepada negara. 
  • Saya ucapkan terima kasih kepada penulis Twitter berkenaan kerana 'menegur' pelajar luar negara, walaupun dilakukan dengan cara sinis dan retorik. 
TAMBAHAN - kepada yang baca post ini selepas jam 3.07 petang, 29 April 2015 (waktu Malaysia) - saya masukkan gambar di bawah ini sebagai tambahan. 


Ada banyak lagi isu-isu lain nak dibincangkan berbanding isu ini - insyaAllah semoga tulisan ini mencerahkan. Kartun ini karya sahabat saya yang juga merupakan bekas rakan serumah saya di sini, Sabirin


Artikel ini sesuai dibaca dengan tulisan saya sebelum ini iaitu:

1) Erti Menjadi Pelajar Tajaan di Luar Negara - Malaysian Insider, April 2014
2) "Tuan, tahu tak saya dapat semua A" - Malaysian Insider, Mei 2014
3) Aku, Segan dengan Kawan-kawan - blog ini, September 2013
4) AWAS, pelingkup Easter break (kisah berkenaan kes-kes jenayah yang berlaku pada pelajar Malaysia semasa melancong)- blog ini, Mac 2012

Ragam hidup suka-duka di Manchester juga saya abadikan dalam buku travelog saya, Manchester Aku Mai.

Selamat maju jaya semua! Maaf salah silap.


(Saya menulis blog ini sambil membaca journal paper, harap tidak ada istilah engineering terlompat masuk ke sini huhu)

Maaf post berwarna-warni, abang memang suka kaler-kaler, ahaks.

14 comments:

  1. Great explanation.
    Balanced. Puas hati baca

    ReplyDelete
  2. Ni yang rasa berkobar kobar nak study kt UK ni. Harap boleh tunjuk ajar sikit heheh

    ReplyDelete
  3. Tak jadi lah ngaji kat obersiiiii... Huuuuuuuuuu.....

    ReplyDelete
  4. Tak jadi la sambung study kat obersiiiii... Huhuhuhu

    ReplyDelete
  5. Jahahaha.. Input bernas.
    Rasa nak nanges baca wpun sy x study oversea.

    ReplyDelete
  6. gaya penulisan sangat kelakar. rasa macam tengah berborak dengan penulis. hehe
    best. saya setuju. harap isu ni tidak terlalu 'menghangatkan' keadaan.
    chill chill sudaa~

    ReplyDelete
  7. Point paling penting:
    1. Orang akan share kat fb, instagram or twitter mende2 yang hebat dan bombastik dalam hidup org.
    2. Belajar mana2 pun susah. Tak yah compare.
    3. Xtah gaduh mende kecik. Tweet budak universiti tu bukan serious pun. Nada main2 je.
    4. Student oversea memang ada yg poyo. Haha

    ReplyDelete
  8. Bestnya baca...sumpah tak tido...

    ReplyDelete
  9. best baca. tp niat nak smbg blaja overseas ttp ada.

    ReplyDelete
  10. Hello Shahkang! Salam. Saya KJ, dan saya juga sedang belajar kat Manchester. Saya turut ada blog dan reply tentang tweet Budak University. Kalau minat, boleh baca kat http://www.kjyong.blogspot.co.uk/ Saya bersetuju atas pandangan anda, tetapi analysis saya berbeza sedikit. :)

    ReplyDelete
  11. Wah.. Perkongsian yang sangat menarik. Tq admin.. trip percuma ke Bangkok.

    ReplyDelete
  12. Terima kasih byk2 utk pencerahannya... selama ni sy selalu dok berfikir2 nk smbung pengajian kt luar negara ke dalam negara... tp ble bc tulisan Encik Shahkang rasa dpt pencerahan yg sungguh cerah... cerah masa depan! huhu

    ReplyDelete
  13. Nak suruh malaysia tambah gst lagi dah lah tu 6 peratus pun dah menyusahkan..

    ReplyDelete